Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kebobrokan politik: Salah manusia atau sistem?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ramai yang mengatakan memperjuangkan politik Melayu-Islam adalah satu yang rasis dan tidak relevan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Sehingga hari ini banyak penulisan dalam media sosial yang mempersendakan konsep Melayu Islam ini. Saya tidak menyalahkan mereka kerana ia berpunca dari kegagalan ahli politik Melayu dalam menterjemahkan hakikat politik Islam ke dalam realiti. Mereka gagal dalam memahami dan menghayati konsep siasah menyebabkan timbulnya ketakutan dalam kalangan sesetengah pihak terutama di kalangan orang bukan Islam.

Saya tidak perlu ulas panjang-panjang kerana umum melihat apa yang berlaku di hadapan mata merupakan sebuah manifestasi kebobrokan politik negara. Sama ada sebelah ‘sana’ mahupun sebelah ‘sini’, tidak ada apa-apa perbezaan sangat pun dalam konteks kesejahteraan politik.

Politik dilihat sebagai suatu yang mencengkam, mendiskriminasikan, tidak adil, merasuah, hukuman terpilih dan penyalahgunaan kuasa. Manifesto dan slogan mereka dilihat sebagai hanya propaganda. Ini menyebabkan anak muda membenci politik. Politik yang berteraskan keadilan, kesejahteraan, keharmonian dan kelestarian hidup yang diajar dalam Islam tidak dilihat oleh rakyat. Ia hanya tinggal dalam buku dan penulisan para filsuf.

Bermula dengan sistem pendidikan yang mengesampingkan kekuatan rohani seterusnya disokong pula oleh sistem ekonomi kapitalis yang menindas, akhirnya telah melahirkan sistem politik yang berdasarkan kepada kebendaan dan hawa nafsu. Inilah punca wujudnya kebobrokan politik yang menghancurkan, bukan saja kepada negara tetapi nilai kepada kemanusiaan. Jadi apabila ada pihak yang memperjuangkan politik Melayu-Islam, ia pasti dikecam dan dituduh sebagai satu helah politik semata-mata.

Bagi yang ikhlas mahu melihat perubahan ke arah kebaikan, mereka sentiasa berada dalam keadaan dilema apabila memperjuangkan politik Melayu-Islam kerana apa yang telah terjadi tidak sebagaimana yang diharapkan, bak kata pepatah Melayu “indah khabar dari rupa”. Luarannya baik dan indah tetapi isi di dalamnya pahit melengit. Lebih malang lagi, ada yang melihat konsep kepimpinan Melayu-Islam lebih membawa kemusnahan sehingga timbul satu analogi yang dibawa oleh ‘makhluk dari planet Marikh’ yang mengatakan bahawa “pemimpin kafir yang adil lebih baik dari Melayu Islam yang zalim”. Satu analogi yang hanya diimani oleh makhluk yang berunsurkan kebinatangan. Kalaulah kepercayaan ini terbit dari seorang insan biasa mungkin ia tidak menghairankan tetapi ia menjadi pemikiran dan perbahasan ilmuwan Islam.

Walaupun ia satu analogi ‘makhluk asing’ tetapi sebenarnya ia menggambarkan satu natijah dari satu pemerhatian terhadap keadaan politik negara. Saya ingin mengingatkan, jangan pandang enteng perkara ini kerana ramai di luar sana yang sudah beriman dengan konsep ini. Mereka bersedia dan bersungguh-sungguh melantik orang kafir sebagai pemimpin negara yang pernah dinobat oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri sebagai sebuah negara Islam, yang juga seperti yang tercatat dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalannya, adakah kewujudan politik sebegini disebabkan oleh kesalahan daripada sistem atau sebenarnya kelemahan manusia? Kedua-duanya berkait rapat yang boleh dibahaskan panjang lebar seperti perbahasan “yang mana dulu; ayam atau telur?”. Bagi saya, ia lebih kepada kelemahan manusia bukannya sistem kerana manusia yang baik tidak akan terpengaruh dengan sistem yang kotor. Ibn Khaldun dalam falsafah politiknya meletakkan faktor agama dan akhlak yang mulia di samping kesatuan bangsa (asabiah yang positif) sebagai teras kekuatan negara. Ertinya, memperjuangkan Melayu-Islam, iaitu asabiah yang positif tetapi tanpa akhlak yang mulia sebenarnya tidak akan membawa apa-apa makna.

Dari segi luarannya, orang Melayu-Islam akan berasa selesa dan nampak gah kerana masih memegang tampuk kepimpinan tetapi dari segi hakikatnya jati diri bangsa dan agama hanya menunggu masa untuk dikebumikan sahaja. Mungkin sudah sampai masanya perjuangan memartabatkan kepimpinan Melayu-Islam dibawa ke dalam naratif yang baharu.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Isma.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.