Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Berdoa untuk jadi benar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mungkin kerana rasuah dalam kalangan politikus kini dianggap sebagai normal, maka dicarilah jalan lain yang lebih sensasi untuk menjatuhkan seteru politik masing-masing.

Sebelum ini sudah ada ahli politik yang dikaitkan dengan rasuah dilihat masih bebas dan kadang-kadang nampak berbangga dengab kekayaan yang datangnya entah dari mana.

Kini kaedah yang gemar dipilih tentu saja melalui jalan skandal berahi. Selain ianya cepat menarik perhatian, kononnya kebencian masyarakat kepada hal sebegitu juga menjadi faktor.

Strategi memalukan lawan dengan jalan skandal terbukti begitu berkesan dalam sifir politik sejak sekian lama. Maka jalan itulah yang diulang-ulang sehingga kita menjadi muak sekarang.

Sedikit hari lagi, nampaknya - seperti rasuah - skandal berahi juga juga akan dianggp sebagai suatu norma yang baru.

Sementara untuk kita sampai ke waktu itu, selayaknya politikus tahu bahawa menjadi bahan fitnah adalah suatu hal yang datang dengan tugas.

Justeru apa yang paling perlu mereka lakukan kemudian dari itu adalah bertenang semasa dilanda apa juga tuduhan.

Mintalah pandangan daripada orang yang lebih arif dalam mengendalikan hal-hal sedemikian. Pada masa sama carilah jalan terbaik untuk membetulkan kerosakan yang sedang menimpa.

Atau berbincang dengan orang yang kita hormati bagi mengenal pasti cara terbaik mahu menepis dan mengelak musibah yang datang.

Politikus perlu tahu bahawa menebarkan jawapan segera melalui media sosial adalah suatu kegopohan dan tidak perlu. Menjawab apa juga tuduhan memerlukan masa.

Doa nabi akan diterima

Jangan dihirau jerit pekik orang awam. Tunggu sehingga sudah benar-benar bersedia dengan satu set pertahanan yang ampuh, barulah masuk ke medan perang.

Emosi akan sentiasa menang dan mengatasi kebijakan bila kita mahu segalanya diselesaikan dengan segera.

Pada masa sama, politikus juga harus sedar bahawa meletakkan diri sebagai mangsa dan mengadu ke sana sini tidak selalunya membawa kemenangan.

Ketika diserang, fikirkan juga apakah sumbangan kita terhadap fitnah berkenaan.

Apabila kita disua dengan umpan birahi misalnya, tanyakan kepada diri sendiri: adakah kita bersegera menghindarinya dan menjauh, atau sebaliknya kita - dengan bersenang hati - membalas kegelian sementara itu.

Tersenyum puas kerana digilai wanita mabuk, misalnya.

Dalam keadaan dihadapkan dengan dugaan atau fitnah, jangan sentiasa menyalahkan musuh politik. Sudah namanya dia pun musuh, maka yang dicari tentu saja kelemahan kita.

Nabi Yusuf AS - yang ternyata benar - lebih rela dipenjara semasa dihadapkan dengan ujian. Baginda boleh saja mendoakan kematian segera buat Zulaikha yang memberikan fitnah terhadapnya.

Siapa pun tidak akan menafikan bahawa doa Yusuf akan segera diterima.

Namun baginda nampak perkara yang lebih besar, kemudian - dengan pilihan yang diambilnya itu - kebaikan akhirnya berpihak kepada baginda.

Mendoakan agar roh siapa pun dipisahkan dari jasadnya adalah tindakan terdesak dan gopoh bagi membuktikan kita berada di pihak yang benar. Meminta perbuatan itu disokong juga adalah kelaku jahat.

Menyokong perbuatan tersebut pula adalah kejahilan abadi.

Kecil benar cara kita berfikir apabila kita bangun di tengah malam hanya untuk bermunajat agar orang tertentu dipisahkah roh dan jasadnya, sedangkan mencintai serta menyelamatkan seluruh manusia daripada kebatilan adalah doa di makam yang tinggi.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang buta agama.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.