Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Asean hilang taring

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persidangan kemuncak Asean yang berlangsung pada 26 Jun yang lalu adalah persidangan yang sangat signifikan kepada permasalahan dan isu-isu melanda negara-negara Asean pasca-Covid-19.

Juga persidangan ini buat pertama kalinya persidangan dilangsungkan dalam new-normal iaitu secara atas talian.

Ini adalah merupakan langkah baru dan berani yang terpaksa dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara Asean.

Akan tetapi persidangan selama sehari tersebut berakhir tanpa penyelesaian konkrit tentang isu Rohingya dan keselamatan Laut China Selatan.

Walaupun sebanyak 66 perkara dinyatakan dalam deklarasi yang dibacakan oleh pengerusi, Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc diakhir persidangan tersebut, akan tetapi tiada satu pun yang secara jelas menyentuh tentang isu Rohingya.

 Malah tiada juga perbincangan secara khusus berkaitan isu ini ditimbulkan dalam persidangan kemuncak tersebut.

Asean telah ditubuhkan pada tahun 1967 tidak lama selepas negara-negara di rantau ini mendapat kemerdekaan.

Seterusnya, atas semangat sebagai sebuah rantau yang berkecuali maka Zopfan, iaitu Zone Peace, Freedom and Neutrality telah diperkenalkan pada tahun 1971.

Dan atas semangat ini, maka keamanan dan keharmonian antara negara-negara anggota Asean dan kuasa-kuasa besar dapat dikekalkan di rantau ini.

Dekad berganti, Asean semakin maju dan bertambah kukuh.

Landskap sosial dan politik mula berubah hingga membawa kepada pelbagai pertikaian berpanjangan termasuklah dalam konflik di Selatan Thailand, Selatan Filipina, pertikaian antara agama di Indonesia, Timor Leste dan juga Rohingya.

Semua konflik ini berjaya dikawal dalam lokaliti negara tersebut tanpa melibatkan campur tangan asing.

Sekurang-kurangnya insiden-insiden ini tidak merebak ke negara-negara lainnya hingga boleh mencetuskan persengketaan.

Cemerlang berdepan Covid-19

Akan tetapi dalam kes Rohingya, ia telah membabitkan beberapa negara seperti Thailand, Indonesia dan juga Malaysia.

Termasuk juga negara persisir Asean iaitu Bangladesh dan India.

Asean seterusnya mendepani isu Covid-19 dengan cemerlang.

Walaupun rantau ini adalah yang terawal menerima kesan Covid-19, akan tetapi Asean menjadi rantau yang terbaik dalam menanganinya.

Ini diakui oleh WHO, keupayaan rantau ini mengekang Covid-19 adalah yang terbaik di dunia.

Pasca-Covid-19 bukan semata-mata keselamatan dan pertahanan secara fizikal, tetapi sekarang ini sudah menjangkau kepada keselamatan lainnya seperti:

• Keselamatan makanan (food security)

• Keselamatan kesihatan (health security)

• Keselamatan pendidikan (education security)

• Keselamatan perjalanan (travel security)

• Keselamatan pekerjaan (work security)

Isi-isu pasca-Covid-19 ini sebenarnya boleh memberikan ancaman yang besar terhadap keselamatan rantau Asean dan juga boleh merenggangkan hubungan antara negara.

Di saat seluruh dunia diancam pandemik Covid-19, semuanya berusaha menjaga negara masing-masing, keperluan kepada sifat ‘selfish’ atau mementingkan diri sendiri sudah menjadi ‘new normal’ dalam mana-mana negara.

Pada ketika inilah, negara-negara Asean menutup sempadan mereka dengan ketat, pelabuhan dan laluan air, udara dan darat disekat agar penularan virus.

Malah konflik dan perjuangan MILF & MNLF di Selatan Filipina dan juga gerakan pemisah oleh BRN & Pulo di Selatan Thailand dihentikan melalui gencatan senjata dan kenyataan bersama yang dikeluarkan.

Akan tetapi keadaan ini tidak berlaku dalam isu berkaitan Rohingya. Kerajaan Myanmar seperti menutup mata dan Asean juga seperti tidak nampak.

Semua aktiviti perekonomian dan ketenteraan dihentikan tetapi tidak bagi isu pelarian.

Isu pelarian Rohingya adalah isu yang sangat mendesak buat masa ini di kalangan semua negara Asean.

Kelicikan sindiket antarabangsa

Isu ini komplikated, juga melibatkan sindiket antarabangsa dan pelbagai pihak termasuk penguat kuasa di pelbagai negara.

Isu ini diketahui oleh negara-negara yang terlibat, akan tetapi mereka gagal menanganinya dengan tuntas.

Isu kemasukan pendatang asing atau pendatang tanpa izin (Pati) juga adalah isu yang amat penting di Asean.

Kemasukan Pati ke Malaysia terutamanya telah mengakibatkan pelbagai masalah sosial, peningkatan kadar jenayah, ancaman penyakit berjangkit dan lain-lain lagi.

Ini juga adalah merupakan industri yang mewah (lucrative business) yang melibatkan keuntungan ratusan juta setiap tahun.

Pelbagai pihak di Bangladesh, Myanmar, Thailand, Malaysia, Indonesia terlibat dalam industri ini.

Laporan oleh badan-badan antarabangsa dan tempatan Malaysia termasuk PBB, UNHCR dan Suhakam adalah dengan jelas memperincikan salah guna kuasa dan kelicikan sindiket antarabangsa ini.

Industri mewah bernilai ratusan juta ringgit tanpa modal besar ini menjadi kebal dan kekal di rantau ini.

Deklarasi atau memorandum semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah Asean terutamanya yang berkaitan isu pelarian Rohingya dan Pati.

Sudah sampai masanya perlu kepada tindakan tegas, holistik dan bersama.

Asean tidak boleh lagi mengeluarkan kenyataan semata-mata, akan tetapi perlu membuat satu pelan tindakan.

Di sinilah negara-negara Asean perlu membuat Asean Action Plan (AAP) sebagai roadmap kepada negara-negara Asean untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi atau yang bakal dihadapi.

Asean mampu mengelakkan rantau ini dari bergolak dan terlibat dengan konflik negara-negara besar lainnya termasuk Anerika dan China.

Pemacu usaha AAP

Malaysia perlu menjadi pemacu dan peneraju kepada usaha AAP dengan cara:

  • Penubuhan sekretariat AAP di Kuala Lumpur

  • Menyelesaikan masalah di wilayah-wilayah berkonflik di Sealatan Thailand, Selatan Filipina, Wilayah Rakhine ini secara bersama

  • Menubuhkan tentera pengaman Asean++ yang melibatkan Myanmar, Malaysia, Thailand, Indonesia + Bangladesh untuk memantau pergerakan pelarian yang sebenarnya dimanipulasi oleh sindiket antarabangsa.

  • Masalah PATI: perlu wujudkan pasukan pemantau bersenjata di Selat Melaka, Selat Sulu dan lain-lainnya bagi menangani isu yang tidak pernah berkesudahan ini.

  • Masalah Selatan Thailand & Selatan Filipina: Pasukan khas dari Malaysia diteruskan untuk menjadi perantara dalam penyelesaian masalah di wilayah tersebut

  • Sekretariat AAP akan membantu kerajaan Myanmar dalam menyediakan kem-kem pelarian dan pemindahan sementara yang lebih baik dan sistematik dengan pemantauan oleh tentera pengaman Asean+++

  • AAP juga akan membantu kerajaan Bangladesh mempercepatkan proses penubuhan pulau khusus untuk pelarian di Bhasan Char atau Piya Char sebagaiamana yang dipersetujui oleh kerajaan Bangladesh. Ia perlu dibantu dari sudut pengawasan dan fasiliti, tidak boleh meletakkan tanggungjawab ini kepada Bangladesh semata-mata. Di sinilah Asean+UNHCR dan lain-lain agensi perlu terlibat secara bersama.

Masalah Rohingya perlu diselesaiakan di negara mereka sendiri iaitu Myanmar dan bukannya diselesaikan di Malaysia.

Kita bukannya kejam atau membenci mereka. Akan tetapi kita tidak mahu menambah masalah dalam negara ini.

Masalah Rohingya perlu kepada tindakan secara konsensus atau bersama bukan sebuah negara semata-mata.

Jika kita bergerak in-silo, masalah tidak akan selesai.

Asean perlu membuat pelan tidakan dan ia haruslah bersifat ‘tangible’ dan ada jangka masa pelaksanaannya.

Bukan lagi deklarasi yang hanya bersifat retorik tanpa hasil yang konkrit.


DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.