Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Makan-makan di Kuala Terengganu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sudah dua bulan saya tinggal di Kuala Terengganu dengan pelbagai ekspektasi yang mula merubah kehidupan. Dari tempat tinggal, pekerjaan, makan-makan dan makan angin.

Perubahan ini adalah ketentuan Ilahi dan saya sungguh berbesar hati untuk pindah ke Kuala Terengganu. Tiada siapa sangka untuk saya bermastautin di sini dengan meninggalkan Kelana Jaya dan Dubai.

Saya telah berjalan ke seluruh Terengganu dari kota ke desa melalui lebuh raya dan jalan biasa. Ia mengambil hanya dua hari. Atau mungkin tiga hari. Tidak lebih dari itu untuk ke seluruh negeri Terengganu.

Mahu ke mana lagi? Apa yang ada di Terengganu?

Masih banyak untuk diterokai.

Selain pulau-pulau yang menarik perhatian saya, hanya PKP belum tamat sepenuhnya untuk berjalan ke pulau-pulau yang nampak memanggil-manggil. Dari video Youtube dan Facebook, pulau-pulau ini memang cantik. Tetapi tidak banyak publisiti tempatan dan khabarnya tidak perlu kerana pulau-pulau sudah terkenal untuk pelancong asing.

Saya tidak pasti kerana kekurangan maklumat. Dikatakan pemilik-pemilik chalet semuanya senang dengan pelancong asing dan mengalpakan pelancong tempatan.

Saya ingin mengeksporasi 13 pulau di Terengganu. Pulau Redang dikatakan paling cantik, Pulau Kapas, Pulau Gamia, Pulau Perhentian (Besar dan Kecil), Pulau Bidong, Pulau Lang Tengah, Pulau Tenggol, Pulau Rhu Hentian, pulau Lang Tengah, Pulau Rawa, Pulau Serenggeh, Pulau Tenggol dan pulau Duyong.

Dengan PKP di kurangkan dan orang boleh ke sana ke mari, pulau-pulau ini sentiasa menarik perhatian hanya jauh dan dekat dari pantai.

Pulau Perhentian

Bot-bot juga penting dengan feri. Jeti juga penting untuk OKU seperti saya. Tidak pasti ada khidmat untuk OKU. Selalunya OKU dilupakan sahaja untuk bersama-sama menikmati keindahan alam.

Saya harap bot-bot untuk OKU ada menawarkan perkhidmatan.

Pada mulanya saya mahu mencuba makanan Terengganu yang pelbagai dan banyak kedapatan. Ada kawan menyuruh saya membuat reviu gerai, restoran, warung dan kedai makan yang ada.

Idea yang bagus.

Sekarang telah hampir 50 tempat makan yang saya kunjungi di sekitar Kuala Terengganu. Masih banyak lagi untuk dikunjungi.

Kegemukan

Saya bermula dari sarapan, makan tengah hari dan kadang-kadang makan malam. Saya jarang makan malam untuk kurangkan berat badan sejak lama. Tetapi duduk di Kuala Terengganu menaikkan berat badan, sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan. Badan mula kegemukan walau saya berpuasa dahulu sebelum Ramadan selama tiga bulan.

Makanan di Terengganu boleh dikatakan manis-manis belaka. Sesuai untuk selera orang Terengganu saya rasa dan tidak sesuai untuk kebanyakan orang luar. Begitupun, saya tetap makan untuk merasa.

Terengganu terkenal dengan nasi dagang dan dari pagi lagi orang memakan nasi. Nasi dagang memang sedap dan menarik dan saya mencuba di banyak restoran.

Boleh dikatakan makan di Terengganu agak mahal berbanding dengan Kuala Lumpur. Mungkin kerana loghat atau slang saya masih tidak kenegerian Terengganu apabila saya bercakap.

Saya orang Pahang tetapi tanpa slang kerana sudah lama di luar negara. Sejak kecil hanya menggunakan bahasa Melayu standard. Tidak pernah sekali menggunakan loghat Pahang.

Saya pernah beberapa kali makan dengan bayaran yang mahal walau makan hanya simple, telur dan ikan. Tiada tanda harga dan saya orang luar, ditaruk betul-betul oleh peniaga.

Tidak kisahlah sama ada OKU atau tidak.

Begitupun, saya terus mencuba di warung, gerai dan restoran untuk mencuba makanan Terengganu dengan selera. Tidak kisah pasal harga.

Saya melihat pelbagai menu yang ada. Selain nasi dagang dan keropok lekor ialah laksa Terengganu, ketupat sotong, kuih beronok, kayu keramat, pulut lepa, satar dan bermacam lagi.

Saya cuba nasi dagang, keropok lekor, laksa, laksam dan roti canai sahaja. Kuih-kuih lain tunggu dahulu.

Saya melihat Terengganu tiada tempat makan yang punya kelas, standard tinggi dan terjaga kebersihan kecuali di hotel. Mungkin saya belum habis mengunjung atau tidak tahu kalau ada.

Tiada restoran mamak di Terengganu kerana mereka menjaga tentang makanan tempatan oleh orang tempatan, sesuatu yang terpuji. Dikatakan mamak tidak boleh hidup di Terengganu.

Selalunya gerai-gerai di buka di depan rumah atau mana sahaja. Tidak pasti sama ada lesen berniaga atau tidak. Saya nampak banyak rumah-rumah membuat kedai makan bukan kedai makan di bangunan atau tempat yang disediakan.

Struktur bandar raya Kuala Terengganu nampak tidak teratur, tidak tersusun dan masih banyak ruang kosong. Ada di fikiran saya sama ada Kuala Terengganu ada bandar baru khas untuk pentadbiran seperti Putrajaya.

MB, Hadi selalu datang Dubai

Saya terlibat dengan Dubai Internet City dan Palm Island di Dubai yang memakan bilion dolar. Pembangunan yang menampakkan kemajuan dan progresif sehingga kota Dubai pesat membangun sejak 20 tahun.

Saya tidak pasti pentadbiran PAS di Terengganu. MB selalu datang datang ke Dubai dengan Haji Hadi Awang suatu masa dulu dan dikenali oleh kami di Dubai. Tidak pasti sama ada beliau mengingati semua itu.

Kuala Terengganu memerlukan kepimpinan untuk berdaya saing di tahun 2020 dalam menghadapi bandar raya yang membangun dengan ketara. Perlu ada perancangan yang baik untuk dua puluh tahun akan datang.

Rasanya orang Terengganu juga mahukan kegemilangan dalam memastikan bandar raya Kuala Terengganu pesat dengan struktur dan perancangan yang mempunyai kelas dunia.

Kerajaan Terengganu mempunyai wang yang boleh diperuntukkan untuk itu dengan royalti minyak.

Berbalik pada makan-makan, peniaga-peniaga memang sungguh mesra dan ramah melayan pengunjung. Begitupun saya telah tertipu dua tiga kali mungkin disebabkan loghat dan slang orang luar. Harga makanan biasanya tidak ditulis dan ini memudahkan peniaga mengenakan pengunjung. Harga untuk pelancong tidak sama dengan harga orang tempatan.

Saya akan terus makan makan di Kuala Terengganu, sehingga kini nasi dagang dan laksam adalah kesukaan saya, tetapi kurang manis ya!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.