Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Korona dan peranan daulah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dunia kita hari ini dalam keadaan huru-hara. Muka depan berita tidak ada yang menenteramkan jiwa. Buka akhbar, buka kaca TV, buka laman dan portal internet – semua membawa berita resah lagi gelisah.

Bukan hanya kita di Malaysia yang berasa resah gelisah. Seluruh dunia juga sedang berhadapan dengan suasana sama saperti yang kita alami. Amin.

Perang berterusan di Afghanistan, Syria, Iraq, Yaman dan Libya. Sesekali terbaca berita letupan dan pembantaian oleh al-Qaeda atau Boko Haram. Di Amerika orang kulit hitam mati dibunuh polis menimbulkan kemarahan. Suasana marah ini menjemput orang ramai turun ke jalan. Kemarahan ini merebak ke London, Paris, Melbourne dan Berlin.

Di Hong Kong, China Merah mula menunjukkan kuku besi. Di Laut China Selatan mula nak tunjuk gagah. Amerika secara tepat menjawab perangai samseng China Merah. Trump menghantar dua armada perang - USS Ronald Reagan dan USS Nimitz - masuk ke perairaan Filipina.

Ini bertujuan untuk memberi amaran kepada China Merah agar jangan menuntut Laut China Selatan. Amaran Amerika kepada China Merah: jangan bikin kacau dan bikin huru-hara dalam negara Asean. Amin.

Kegelisahan suasana tegang di lautan ini ditambah gelisah oleh berita Covid-19. Pada Selasa 21 Julai 2020 angka serangan korona hampir mencecah 15 juta orang. Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) seramai lebih 14,730,700 warga dunia telah diserang korona. Seramai lebih 610,600 warga dunia pelbagai bangsa telah tewas.

Di Amerika seramai lebih 143, 834 mati. Di United Kingdom lebih 45,132 mati. Di Brazil pula seramai lebih 80,251. Di Malaysia setakat semalam, angka kematian ialah seramai 123 orang.

Kelmarin diberitakan beberapa kluster baru korona telah muncul. Satu kluster ditemui di sebuah restoran di Brickfields, di Sepang, di Kluang, di Kucing dan di Terangganu. Berita-berita ini membawa gelisah.

Perlu perubahan radikal

Kemudian kita terbaca berita Antonio Guterres Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran dan ingatan kepada warga dunia.

Mengikut laporan akhbar The Guardian London pada 18 Julai 2020 bekas Perdana Menteri Portugal itu memberi ingatan dan amaran kepada semua pemimpin dunia tentang bahaya yang sedang dihadapi anak semua bagsa – warga dunia.

Dalam ucapan tahunan Yayasan Mandela di Johannesburg Afrika Selatan, Guterres telah menyarankan agar Bank Dunia dan International Monetary Fund melakukan perubahan radikal. Saranan ini dibuat kerana keadaan ekonomi dunia yang sedang huru-hara.

Mengikut pandangan Guterres bekas perdana menteri dari Parti Sosialis Portugal itu, sikap berurusan macam biasa tidak boleh lagi dijalankan. Serangan korona membawa impak yang memerlukan perubahan radikal untuk umat dunia.

Antonio Guterres

Serangan korona hari ini menunjukkan betapa rapuhnya pertahanan kesihatan dunia yang selama ini tidak dipedulikan. Yang dikejar selama ini hanya untung, laba dan keuntungan maksimum.

Keadaan sekarang jelas menunjukkan sistem kesihatan tidakmencukupi, kegagalan membantu mereka yang memerlukan bantuan, jurang struktur ekonomi yang jelas. Keadaan buruk ini diburukkan lagi dengan pencemaran alam dan pemanasan global.

Sekali harung segala malapetaka ini datang serentak.

Guterres berkata: "[…] the pandemic was exposing fallacies and falsehoods everywhere: the lie that free markets can deliver healthcare for all. The fiction that unpaid care work is not work, the delusion that we live in a post-racist world, the myth that we are all in the same boat.”

Ekonomi bebas telah berbohong dan menipu tentang keupayaan sistem ekonomi kapitalis menjaga kesihatan untuk semua. Hari ini semakin ramai warga dunia kecewa dan melihat pemerintah dan kuasa elit politik status quo sebagai satu ilusi.

Pandangan ini dimanifestasikan oleh gerakan #MeToo dan #BlackLivesMatter. Mengikut padangan pemimpin PBB itu, ketidakadilan yang wujud dalam Dunia Ketiga hari ini semuanya hasil peninggalan kolonialisme. Amin.

Ucapan yang radikal seperti itu pernah kita dengar satu ketika dahulu daripada Bung Karno, daripada Burhanuddin al-Helmi, daripada Che Guevara, daripada Ho Chi Minh, daripada Mao Zedong, daripada Ahmed Ben Bella, daripada Patrice Lumumba atau daripada Fidel Castro.

Mahu daulah berperanan minimum

Itu ucapan jujur isi hati warga dunia yang menuntut keadilan. Itu ucapan perjuangan anak tanah jajahan yang sedang menentang kolonialisme lebih dari 50 tahun dahulu.

Kenapa hari ini ucapan sedemikain diulang ucap?

Jawabannya: Ucapan radikal saperti itu muncul kembali kerana ekonomi kapitalisme telah gagal. Covid-19 menunjukkan dengan jelas betapa rapuhnya sistem ekonomi kapitalisme.

Serangan korona membuka mata warga dunia untuk menilai kembali sistem ekonomi kapitalis yang kita guna selama ini.

Sistem kapitalis gagal. Maka peranan daulah muncul ke hadapan. Selama ini kaum pemodal, politikus kanan dan intelektual pemikir kanan amat meluat dan benci jika daulah memainkan apa-apa peranan yang utuh untuk mengendalikan ekonomi negara.

Mazhab kanan ini mahu daulah memiliki peranan yang amat minimum. Untuk mazhab ini daulah dilihat sebagai mengganggu perjalanan aliran bebas ekonomi kapitalis. Ajaran dan pandangan fikrah kaum kanan ini hanya mahu daulah menjadi orang tengah.

Menjadi orang tengah antara pemodal dengan pekerja. Orang tengah ketika pemaju melakukan rompakan tanah orang kampung. Menjadi orang tengah ketika gaji murah dikenakan kepada kaum buruh.

Daulah jangan campur tangan. Hanya jadi orang tengah.

Virus korona telah merobek dan memperlekehkan pandangan ini. Malah korona membuktikan bahawa ajaran ini adalah karut-marut dan wajib dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.

Lihat bagaimana Trump wakil kapitalis numero uno dunia telah mengeluarkan dana rangsangan ekonomi negara sebanyak AS$2 trilion pada bulan Mac, dua bulan sesudah korona menyerang. Itu juga tidak cukup.

Pada Julai ini Trump akan menambah dana rangsangan ekonomi lagi. Bukan AS$3 juta, bukan AS$300 juta, tapi AS$3 trilion dollar.

Tak ada tip, tak ada top. Senyap menikus lagi tak heboh. Semua anggota Kongres tanpa segan silu mengangkat tangan bersetuju. Ia merupakan kelulusan dasar dana yang paling pantas dalam sejarah Kongres AS.

Boleh dicap subversif, komunis

Semua yang dicadangkan dan mahu dilakukan oleh Trump itu adalah satu pengkhianatan terhadap falsafah, akidah, ajaran dan rukun ekonomi kapitalis.

Secara perbandingan, dalam ajaran Islam dana rangsangan ekonomi Trump itu samalah saperti makan sate daging babi, minum arak kemudian berzina sambil terkencing dalam masjid.

Pada minggu lepas di Brussels, Belgium, seramai 27 pemimpin negara Kesatuan Eropah berdebat tentang jumlah dana untuk bantuan rangsangan ekonomi.

Bukan. Mereka bukan berdebat sama ada daulah wajib berperanan atau tidak. Yang dibincangkan ialah berapa banyak dan siapa dapat apa daripada jumlah £1.8 trilion.

Pada satu ketika dahulu jika ada ahli parlimen, atau ahli Kongres atau mana-mana parti politik atau intelektual pemikir yang mencadangan dana bantuan untuk rakayat, maka si polan itu akan dikutuk habis-habisan oleh media. Kalau sistem sula masih ada, maka susuk itu akan disula.

Kita di Malaysia, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan RM250 bilion untuk rangsangan ekonomi. Kemudian ditambah RM10 bilion lagi untuk membantu industri kecil dan sederhana.

Dana sebanyak itu digunakan untuk sebahagian gaji pekerja yang hilang kerja dan membeli makanan yang diperlukan untuk warga miskin.

Sepuluh tahun yang lalu jika ada susuk pemikir intelektual atau parti politik yang mencadangkan dasar memiliknegarakan punca-punca ekonomi kepada United Malays National Organisation atau kerajaan memainkan peranan lebih luas dalam ekonomi negara, maka susuk itu akan dicap subversif komunis antinasional.

Mereka wajib dihantar ke kem Kamunting untuk diubah suai fikrahnya.

Hakikatnya apa yang berlaku hari ini semuanya adalah ciri dan pola ekonomi sosialisme. Sistem ekonomi membabitkan daulah memainkan pernan utama. Bukan kaum pemodal. Bukan tauke. Bukan cukung.

Pemodal, tauke, tuan tanah dan cukung memiliki akidah untuk mengaut keuntungan. Keuntungan maksimum. Manakala daulah bekerja melabur untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat. 

Dari ini jelas terbukti bahawa sistem ekonomi sosialisme adalah sistem ekonomi penyelamat umat manusia. Amin.

Betulkah apa yang dutulis oleh Hishamuddin Rais ini? Atau ini hanya satu propaganda sosialis komunis ateis?

Buruh kompak dan melawan

Sebenarnya ciri-ciri dan pola sistem sosialisme yang mula diguna hari ini pernah digunakan di AS. Dimana? Biar betul? Betul. Di Amerika Syarikat.

Ramai pemikir ekonomi mazhab kanan hari ini cuba melupakan fakta itu. Kerana kegilaan mereka menyembah kaum kapitalis maka fakta apa yang berlaku pada Zaman Meleset - Great Depression 1929 - cuba ditenggelamkan.

Pada tahun 1930-an ekonomi AS jatuh muflis. Ekonomi dunia mengikut sama. Seramai 15 juta orang atau 25 peratus tenaga kerja warga AS menganggur.

Zaman meleset ini melarat dari 1929 hingga ke Perang Dunia Kedua. Ketika itu Presiden AS ialah Franklin Delano Roosevelt (FDR). Susuk FDR ini menjadi presiden (1933-1945) pada ketika zaman meleset sedang melanda dan mengamuk di AS dan dunia.

FDR mengajukan dasar ekonomi baru. Apa yang dikatakan The New Deal atau Perjanjian Baru FDR. Ketika itu FDR tidak ada pilihan. Ekonomi runtuh. Kaum buruh Amerika tersusun kuat. Kesatuan buruh kompak dan melawan. Parti Komunis Amerika berpengaruh. Rakyat mahukan perubahan.

Ombak rakyat AS, ombak kesatuan buruh, suara Parti Komunis dan suara intelektual kiri kuat bergaung mengasak politik. Ketika itu ombak kiri sedang mengampuh dari Harlem New York hingga ke studio di Holywood.

Maka untuk selamat FDR mengajukan Perjanjian Baru. FDR mengambil ciri-ciri sistem ekonomi sosialis.

FDR mengarahkan semua pekerja yang hilang kerja akan mendapat bantuan kerajaan. Mereka mendapat dana bantuan bukan untuk satu minggu atau untuk satu bulan atau satu tahun. Bantuan dana daulah akan diberikan sahingga susuk itu kembali bekerja.

FDR mengambil dasar ekonomi Keynesian. Dasar itu memperluaskan lagi peranan daulah dan ekonomi negara. FDR melakukan projek dan program untuk dana daulah dilabur.

Langkah FDR itu berjaya menghalang dan menumpulkan kemarahan rakyat yang semakin kuat menyokong ombak kiri. Kaum kapitalis diselamatkan.

Peranan daulah menjana ekonomi itu berterusan selepas perang hingga ke tahun 1970-an. Tetiba muncul Milton Friedman pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 1976. Imam Kapitalis baru dari membawa ajaran perdagangan bebas. Peranan daulah diketepikan.

Ajaran itu dinamakan Chicago School berkembang dari Universiti Chicago. Induk falsafah ajaran iman itu ialah kesetiaan kepada pemegang saham.

Ajaran baru itu melupuskan New Deal FDR. Malah garis Chicago School itu melonjak berjaya dengan sampainya Ronald Reagan dan Magaret Thatcher. Apa sangkut pautnya FDR, Reagan dan Thatcher dengan Malaysia?

Ada. Ketika Thatcher sampai ke No 10 Jalan Downing, ketika Reagan masuk ke Rumah Putih, Mahathir Mohamad sampai ke Seri Perdana. Pencerahan akan disambung minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.