Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ulang tahun kelapan pemansuhan ISA

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) merupakan simbol kezaliman dalam politik. Untuk tempoh lebih daripada setengah abad, politik tanah air dihantui tiga huruf berbunyi I-S-A. Pernah ia diperolokkan sebagai “Ikut Suka Aku”, dan “Aku” yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan sang penguasa.

Apa tidaknya, apabila seseorang ditahan di bawah ISA, maka terserahlah kepada penguasa bagaimana individu itu diperlakukan, termasuk bila individu itu dibebaskan. Bayangkan penderitaan yang ditanggung tahanan ISA – dikurung, disoal siasat dengan seribu satu cara, dan tempoh penahanan boleh dilanjutkan mengikut “budi bicara” menteri dalam negeri, tanpa dicabar atau dipersoalkan kuasanya.

Sesungguhnya, ribuan sahaja yang pernah ditahan di bawah ISA, tetapi kesannya luas menimpa jutaan warga. Saya melalui zaman di mana apabila ada orang berbicara soal politik secara terbuka, dan mengambil pendirian yang bertentangan dengan kerajaan, maka akan ada orang tua yang menanam telunjuk di tengah-tengah bibirnya – sambil berbisik, “I-S-A!”

Kezaliman ISA ke atas tahanan telah diterjemahkan kepada ketakutan yang menyelubungi masyarakat. Ketakutan ini mereputkan kita kerana kita membisu untuk memberi laluan kepada sang penguasa bermaharajarela dengan kuasa mutlaknya. Justeru itu, untuk satu jangka masa yang agak panjang, parti pembangkang dan masyarakat sivil menyasarkan pemansuhan ISA sebagai agenda perjuangan mereka – dengan tanggapan bahawa ISA adalah senjata yang digunakan BN untuk mempertahankan kuasanya.

Namun demikian, di sebalik laungan slogan “Mansuh! Mansuh! Mansuh ISA!” ketika beraksi di jalan raya, ramai yang akan memberikan jawapan spontan, “Mustahil!” seandainya ditanya apakah ISA akan dimansuhkan. Mustahil ISA dimansuhkan, mustahil lagi kerajaan BN ditumbangkan. Jadi, lawan untuk apa? Kita lawan bukan kerana adanya harapan, tetapi hanya dengan adanya lawan, barulah muncul harapan.

Untuk makluman generasi yang lahir selepas tahun 2000, satu himpunan besar-besaran bertemakan “Mansuhkan ISA” diadakan pada 1 Ogos 2009, disahut FRU dengan bedilan gas pemedih mata dan meriam air berkimia. Tiga tahun kemudian, ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012. Sebagai catatan tambahan, kerajaan BN pula, tumbang pada 9 Mei 2018.

Tahanan ISA yang bunuh diri

Zaman ISA telah berlalu. Meskipun secara teknikalnya ia digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (singkatan: Sosma), namun impaknya meluntur, jikalau dibandingkan dengan ISA. Apabila segala yang mustahil menjadi mungkin, suasana politik pun berubah. Setidak-tidaknya, orang tua kita tidak lagi membisikkan “I-S-A” kepada kita sebagai amaran ketika sembang politik, malah ada kalanya mereka lebih garang mengkritik kerajaan dengan maklumat yang disuapkan melalui media sosial.

Apapun, menjelang ulang tahun kelapan pemansuhan ISA, hati saya terusik apabila terbaca kisah seorang bekas tahanan ISA yang membunuh diri setelah dibebaskan. Mendiang Yeong Ah Chit (bawah), ditemui menggantung diri pada usia 29 tahun, di kebunnya di Padang Sera, pada 3 Julai 1980. Mendiang meninggalkan satu nota dalam sakunya yang tertulis, “Kematian saya sarat dengan sumpah seranah, dan dendam yang tidak berganjak.”

Yeong Ah Chit 

Mendiang Yeong pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Malaya (PBTUM, kini PBCUM) dari Jun 1973 hingga Jun 1974, ditahan pada Disember 1974, dan dibebaskan pada tahun 1980. Latar belakang sedemikian membayangkan kepada kita bahawa mendiang Yeong berasal dari zaman gerakan siswa tahun 1970-an, yang mengombak lantaran Demo Baling dan Tasek Utara. Kerajaan akhirnya mematahkan kebangkitan siswa dengan tangkapan secara besar-besaran. Malah PBTUM yang pernah diterajui mendiang Yeong ketika itu, dikaitkan dengan pengaruh komunis.

Apa yang menarik, meskipun PBTUM mendefinisikan dirinya sebagai “pertubuhan kebudayaan”, mereka tidak membataskan diri kepada aktiviti seni budaya semata-mata, sebaliknya memperluaskan skop keprihatinan terhadap isu antarabangsa, misalnya bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin. Ia tidak memeranjatkan kerana hubungan kerjasama terjalin antara PBTUM dengan Kelab Sosialis dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya ketika itu.

Sempena ulang tahun ke-40 pemergian mendiang Yeong pada 3 Julai, rakan seperjuangannya berkongsi kisah dan kenangan bersama mendiang. Yeong diperingati sebagai seorang pelajar yang unggul sejak zaman persekolahan – bukan sahaja petah dalam tiga bahasa, malah seorang insan yang sentiasa berani kerana benar, dan tidak teragak-agak untuk menegakkan keadilan.

“Pernah seorang pelajar balik dari tandas, dan diherdik guru matematik secara tiba-tiba. Semua pelajar termasuk saya sebagai ketua tingkatan berdiam diri, apabila guru yang kelihatan garang pada hari-hari biasa, sedang meluap-luap kemarahannya. Tanpa rasa gentar, Yeong bangun untuk menyatakan bahawa tindakan guru itu tidak wajar. Ini kali pertama saya menemui pelajar yang begitu berani,” kenang Lee Phung Koon.

Lee Phung Koon adalah rakan Yeong sejak zaman remaja. Yeong kerap menziarahi rumah Lee, untuk meminjam buku yang cenderung kepada pemikiran jalur kiri. Ramai yang tidak senang dengan politik jalur kiri kerana disamakan dengan komunis, yang kemudiannya disamakan terus dengan anti agama. Jikalau diperincikan, politik jalur kiri bertitik tolak dari kerangka kelas – yang berkuasa dengan yang tidak berkuasa, yang menindas dengan yang ditindas. Tidak semua pendukung jalur kiri berakhir sebagai komunis, tetapi dengan kerangka ini mereka memperjuangkan masyarakat yang lebih adil dari segi pengagihan sumber.

Menurut Lee, Yeong berasal dari keluarga yang kaya, dengan kedai, kebun dan hartanahnya. Namun Yeong terpengaruh dengan pemikiran jalur kiri, yang meletakkan dirinya dalam dilema. Sungguhpun keputusan peperiksaannya melayakkan dirinya untuk memasuki fakulti seperti kejuruteraan, tetapi Yeong lebih berminat untuk memasuki fakulti yang “mudah (untuk ditamatkan pengajian)”, kerana tidak sabar-sabar untuk “berkhidmat kepada masyarakat”.

Sekali pemikirannya dicerahkan, mustahil Yeong berpatah balik untuk memilih kegelapan. Yeong dibuai gelombang zaman, dan akhirnya ditelan ke dalam laut. Mendiang membayar harga dengan kebebasan dirinya demi perjuangan menuntut kebebasan. Lebih lima tahun mendiang merana dalam penahanan, dan akhirnya rebah mentalnya.

Yeong berhasrat untuk menjadi guru setelah dibebaskan, tetapi pengalaman penahanan di bawah ISA menjadi batu penghalang. Emosi Yeong semakin tidak stabil, dan mendiang memilih untuk menamatkan nyawa dirinya sebagai protes terhadap segala bentuk kezaliman dan belenggu ke atas dirinya.

Lee tidak sempat menjenguk Yeong sebelum mendiang membunuh diri, kerana akur dengan nasihat rakannya untuk tidak mengganggu Yeong tatkala keadaan mentalnya tidak stabil. Lee hanya mampu mengeluh apabila khabar Yeong bunuh diri sampai kepadanya. “Yeong seorang insan yang bijak. Jikalau diizinkan, Yeong layak untuk mengajar di universiti. Jikalau diberi peluang, Yeong boleh menjadi pakar sains yang unggul. Apa perlunya Yeong mengajar di sekolah menengah? Seorang insan yang pernah bersinar nyawanya, tetapi menjadi malap setelah mengharungi segala ini. Mendiang mengalami penderitaan mental yang ketara, tanpa teman yang menyokong di sisinya. Pilihannya terbatas.”

Tiga tahun yang lalu, sekumpulan rakan mendiang Yeong membacakan teks belasungkawa di depan kuburnya, “Setiap kali mendiang dikenang, keluhan menyusul. Alangkah baiknya jikalau mendiang masih hidup. Dengan ilmunya, idealismenya, sikap kerjanya, penguasaan bahasanya, sudah tentu hasil kerjanya lebih baik daripada kita – sama ada mendiang mencurahkan usahanya untuk mempertahankan hak bangsa, interaksi antara kaum, membela golongan terpinggir, mahupun membina masyarakat madani.”

Lagi hiba apabila terbaca komen guru matematik yang pernah dibantah mendiang Yeong, “Lelaki yang luar biasa, bercita-cita tinggi” ketika menilai Yeong dalam buku autograf sekolah menengahnya. Nyawa Yeong terputus, antara cita-cita tinggi yang tidak tercapai, dengan bumi yang menyemadinya. Cuma, siapa yang menjadi tali gantungnya?

Tiada maaf, tidak lupa

“Apakah anak muda yang tabah seperti Yeong Ah Chit akan memilih untuk membunuh diri, jikalau tidak ditahan di bawah ISA dan didera mentalnya? Mendiang berdendam, mendiang menyumpah. Bagaimana mendiang boleh tidak berdendam dan tidak menyumpah?”

“Yeong Ah Chit ialah mangsa yang terkorban di bawah akta zalim. 40 tahun berlalu, tidak pernah saya lupa, tidak akan saya maafkan.” Demikianlah catatan Eow Bung Poo, bekas tahanan ISA yang sebilik dengan mendiang Yeoh.

Inilah tragedi yang menimpa seorang bekas tahanan ISA, yang akhirnya rebah. Tragedi ini harus dijadikan iktibar, agar akta zalim seperti ISA tidak dihidupkan kembali. Manusia tidak harus menyeksa sesama manusia hanya kerana perbezaan jalur politik. Nyawa yang bersinar harus menerangi zamannya, bukan menghanguskan dirinya. Moga-moga zaman kegelapan politik ini benar-benar dinoktahkan pada lapan tahun lalu, dan tiada lagi mangsa akta zalim pada masa depan, walau apa pun terjadi.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.