Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Pelarian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dunia orang Melayu sekarang semacam sarat dengan perkelahian yang remeh-temeh. Sering juga saya berpesan pada diri sendiri agar apabila bercakap, gunakan istilah mudah difahami orang masyarakat sedang membangun.

Jika menggunakan istilah yang asing atau berlainan dengan laras pemikiran masyarakat khususnya dalam masyarakat kurang membangun, mereka akan bangkit mengamuk.

Istilah pelarian bolehlah dikatakan sebagai suatu istilah baru dalam perbendaharaan kamus kita. Seminggu ini, hangat pasal istilah itu.

Mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua (1984) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, pelarian bermaksud hal (perbuatan dsb) lari atau melarikan. Maksud kedua adalah orang yang melarikan diri dari sesebuah kawasan, negeri dan lain-lain. Memang konotasinya negatif.

Bagaimanapun, penggunaan istilah ‘pelarian’ sekarang sudah luas maknanya. Ia digunakan dalam konteks politik, ekonomi dan juga kesusasteraan.

Dalam konteks politik, istilah pelarian politik atau refugees atau pengungsi di Indonesia adalah istilah yang paling banyak digunakan. Satu lagi istilah pelarian dalam konteks ekonomi-politik adalah ‘pelarian modal’ yang bermaksud pergerakan sumber-sumber ekonomi keluar ataupun dikenali sebagai ‘flight capital’ atau ‘brain drain’.

Makna sesuatu istilah bukan sekadar bergantung dengan kamus semata-mata tetapi harus dilihat dari konteks yang lebih luas lagi. Jangan lurus bendul macam pembaris. Perlu banyak membaca buku dan novel, agar jiwa bahasanya hidup.

Dalam rekod Dewan Bahasa dan Pustaka, terdapat sebuah buku yang bertajuk ‘Pelarian Palestina korban zionisme dan imperialisme’ diterbitkan oleh Pusaka pada 1953.

Barangkali itulah antara tulisan-tulisan awal yang menggunakan istilah pelarian.

Sasterawan Negara, Dr Anwar Ridwan menulis sebuah novel ‘Penyeberang Sempadan’ yang mengisahkan pejuang politik yang dalam pelarian.

Beliau sebelum itu menulis tajuk ‘Pelarian’ tetapi dalam bentuk cerpen di akhbar pada 1971. Isi kedua-dua gerne penulisannya itu masih tentang perjuangan dan kemanusiaan.

Istilah ‘pelarian’ lebih merujuk kepada fenomena selepas perang yang mengakibatkan berlakunya pergerakan manusia secara besar-besaran meninggalkan tempat asal mereka ke tempat lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru mengiktiraf istilah ‘pelarian’ (refugees) semasa Konvensyen 1951. Sejak itu, penggunaan istilah refugees atau pelarian politik mula berkembang di seluruh dunia. Ia bagi memisahkan pelarian politik dengan pelarian-pelarian lain bersifat teknikal dan mempunyai birokrasi tersendiri.

Apabila ungkapan ‘pelarian’ itu keluar daripada pemikiran dan lidah ahli politik, sewajarnya untuk diihat dalam konteks politik. Istilah ‘pelarian’ tidak boleh berdiri dengan sendirinya tanpa dihuraikan selanjutnya.

Huraian itu harus dilihat secara keseluruhan ucapan atau teks bagi mendapat makna yang menyeluruh. Tidak boleh mengulas dengan menebuk-nebuk sebahagian ucapan itu.

Inilah kedinamikan bahasa yang menjadi salah satu sifat bahasa yang boleh bertahan lama. Bahasa adalah lambang pemikiran bangsa. Bangsa yang beku hanya bergantung dengan istilah-istilah sendiri yang tidak berkembang sesuai dengan zaman.

Bahasa yang beku adalah gambaran bangsa yang malas mencipta dan lemah berfikir. Itulah tanda bangsa yang menjadi pak turut. Bangsa pengekor. Bukan bangsa memimpin dan bangsa penakrif. Jauh daripada bangsa bermaruah.

Sejarah pelarian politik banyak dicatat antaranya dalam buku Sulalatus Salatin (1808) dan Hikayat Merong Mahawangsa (1821). Namun manuskrip lama itu tidak menggunakan istilah pelarian sebagaimana maksud pada hari ini.

Gambar fail, bot pelarian Rohingya.

Pada masa itu, istilah ‘pelarian’ bermaksud sebuah kawasan lapang samada di dalam kota ataupun bahtera yang digunakan tempat orang berjalan-jalan atau berkeliaran.

Dalam kamus susunan RJ Wilkinson terbitan 1901, istilah ‘pelariyan’ merujuk ‘the terrace behind the battlements of a fort.’ Secara keseluruhannya, penggunaan istilah pelarian bermaksud suatu ruang yang luas untuk bergerak.

Selepas Melaka ditawan Feringgi, Sultan Mahmud Shah menjadi pelarian dan membina kota di Johor dan akhirnya di Kampar. Sulalatus Salatin sememangnya tidak menyebut istilah ‘pelarian’. Ini kerana istilah dengan makna yang begitu belum wujud dalam pemikiran orang Melayu pada masa itu.

Pengarang Sulalatus Salatin menggunakan kata-kata seperti ‘berlepaslah’, ‘berundur’, ‘berbuat negeri’ atau ‘membuat kota’ dan sebagainya bagi menggambarkan keadaan baginda sebagai pelarian dalam konteks bahasa Melayu lama.

Di Melaka, terdapat banyak makam-makam tokoh terkenal yang menjadi pelarian dari tempat asalnya. Contohnya Datuk Manila yang berasal dari kepuluan Sulu menjadikan Melaka sebagai tempat barunya setelah ditindas oleh penjajah Sepanyol.

Begitu juga pahlawan Sarawak, Datuk Abang Abdul Ghafur Abang Abdul Kahar, menjadi pelarian dalam pemerintahan James Brooke dan meninggal dunia di Melaka.

Perlindungan dalam Perjanjian Aqabah

Sultan Hussein dan Sultan Ali, Sultan terakhir Johor juga mangkat dalam buangan di Melaka. Tersingkir.

Mengaitkan hijrah Nabi Muhamad SAW sebagai pelarian bukanlah penghinaan kepada junjungan besar Rasulullah.

Ini kerana pengertian ‘pelarian’ dimaksudkan dengan makna ‘melarikan diri’ terlalu mengikat pemikiran sehingga meninggalkan pemaknaan dari segi konteks.

Pelarian itu masih dalam konteks proses perjuangan politik, mencari ruang dan memenuhi tuntutan wahyu. Prosesnya tentu sekali melibatkan pergerakan, persediaan dan tindak balas.

Antara yang membezakannya adalah niat. Siapa boleh membaca niat orang lain? Melainkan orang itu cuba mengambil kerja Tuhan yang Maha Mengetahui.

Dari segi hakikatnya, hijrah Nabi Muhamad SAW mendapat perlindungan dari Allah SWT. Walaupun dari segi hukum adatnya, masyarakat Yasrib berjanji memberi perlindungan kepada nabi melalui Perjanjian Aqabah.

Seperti juga pelarian yang ada pada hari ini mempunyai perlindungan yang dipersetujui bersama dalam konvensyen antarabangsa. Oleh kerana itu, kita juga perlu memahami kategori pelarian yang wujud agar pertimbangan dibuat secara wajar.

Tidak dapat tanduk, telinga dipulas. Itulah perumpamaannya kepada mereka yang gagal mencari makna dan asyik mencari kesalahan orang lain. Hina sungguh.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.