Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kebinatangan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Apakah yang benar-benar difikirkan Aristotle saat dia mengungkapkan manusia itu sebetulnya binatang politik? Jika benar manusia itu binatang, apakah mungkin ahli politik itu juga sifatnya penuh kebinatangan? Tidakkah itu menjelaskan mengapa kita berasa jauh daripada ahli politik yang kita pilih untuk mewakili kita. Mereka dahulu adalah manusia, sekelip mata mereka kini haiwan. Mereka - ahli politik itu - dengan spontan dan sangat tiba-tiba bertukar menjadi binatang telanjang.

Mereka benar-benar kebinatangan. Apakah ini lumrah? Bagaimana pula jika yang menjadi ahli politik (baca: binatang) itu adalah mereka yang mengakui diri alim ulama, dengan serban besar dan kopiah putih tinggi; dengan foto-foto untuk tatapan konon mereka di pili wuduk; dan mereka sedang membaca Yasin di hadapan mihrab yang dapat membawa mereka (seolah-olah) tembus ke Kaabah. Bagaimana kita menilai mereka ini - ulama yang menyarung pakaian politik dan bertukar menjadi binatang politik - dengan sengaja, tanpa banyak kira.

Saidina Ali, dalam pidato atau syarahnya yang mencapai hampir 480 buah itu mengucapkan macam-macam hal, yang menurut saya betul-betul mengesahkan apa yang dilontarkan Aristotle itu. Salah seorang yang rajin mengutip khutbah Saidina Ali ini namanya asy-Syarif ar-Radhi dan ia dibukukan sebagai Nahjul Balaghah (Puncak Kefasihan). Untuk khalayak bukan Islam, Saidina Ali adalah menantu Nabi Muhammad SAW, juga sepupu baginda. Baginda juga seperti disabdakan Rasulullah SAW adalah “pintu kepada kota ilmu”. Maka orang Islam tidak ada alasan untuk tidak mengutip Nahjul Balaghah sebagai panduan.

Maka kalau orang ingin merenung-renung agaknya macam apa kecaman atau pujian Nabi Muhammad itu tentang pemimpin; orang itu boleh sahaja menyelak halaman-halaman Nahjul Balaghah. Itu yang sedang saya lakukan untuk anda. Saya menjimatkan masa anda dan membentangkan kepada kalian, apa itu kebinatangan ahli politik, biarpun dia seorang yang mengaku-ngaku dirinya ulama. Ini kerana seorang yang banyak ilmu belum tentu akan masuk syurga, kerana bisa sahaja dia bercakap dari kebalikan ilmunya sehingga terserlah dia itu seorang munafik.

Dalam khutbah 108, khalifah keempat itu - Saidina Ali - mengingatkan tentang binatang dan kebinatangan di akhir zaman.

Orang di zaman ini akan menjadi serigala, penguasanya akan menjadi binatang buas, kelas menengahnya akan rakus, sementara si miskin mati pun tidak hidup pun tidak. Kebenaran akan tenggelam, kepalsuan akan melimpah, meski lisan bicara kepedulian, kehangatan dan keakraban, namun sesungguhnya yang terjadi adalah kecenderungan berdebat.”

Saidina Ali malah mengingatkan di hujung khutbah itu, “Islam pun akan dijungkirbalikkan.”

Berlumba-lumba menindas

Begini, di zaman kita terlihat sudah betapa pemimpin menjadi binatang liar, dan buas. Mereka selalu tanpa segan silu menelanjangkan diri dan membogelkan tubuh polos. Sehingga kita sangat terkejut melihat perangai mereka tanpa aib itu. Kita juga melihat orang berdaya secara ekonominya kian rakus. Di saat anggota masyarakat susah, banker sebagai misalan memilih untuk berlumba-lumbaan menindas, dan itu dilakukan dengan sungguh lahap dan gelojoh sekali. Serasa taring mereka membaham terbenam di tengkuk kita sehingga terkulai parah berdarah. Akan tetapi, dalam masa sama terdapat si miskin yang juga tidak menggunakan akalnya. Dia bodoh, dan melarat; tetapi juga dia tidak menggunakan kapasiti akalnya sebagai manusia lantas terus dibodohkan malah bangga dengan kebodohannya. Mungkin kata lebih baik ialah bebal, yang pernah digunakan oleh Syed Hussein Alatas. Jadi di mutakhir ini kita malang sekali ada pemimpin jadong (jahat bodoh sombong); dan juga orang bawah yang bebal serta tidak mahu mendengar akan kebenaran.

Mengapa mereka menolak kebenaran? Atau mengapakah mereka ragu?

Tentang kamu, rakyat yang ragu. Tahukah kamu dalam khutbah 38, Saidina Ali mengatakan:

Ragu disebut ragu kerana ragu menyerupai kebenaran.”

Habis bagaimanakah kita menghindari ragu? Menurut Saidina Ali, sebuah gedung ilmu:‘

Adapun para pencinta Allah, keyakinan mereka menjadi cahaya, sementara jalan kebenaran (itu sendiri) menjadi pemandu mereka. Sedangkan musuh Allah, kerana ragu, maka mereka merujuk kepada kesesatan dalam kelamnya keraguan, dan pemandu mereka adalah akal yang buta.

Itulah persoalan ragu, kerana jauh daripada akhlak Nabi Muhammad SAW dan Ali selaku pintu ilmu, orang pun tidak lagi menurut cahaya, malah memilih untuk bersama musuh dan memupuk ragu sebagai kebenaran. Itu semua berlaku kerana akal tidak digunakan. Akal mereka bukan setakat tumpul, malah sudah hitam tidak ternampak apa pun.

Makanya, orang bawah dihempuk pemimpin buas, diterkam kelas menengah yang menggerunkan dan saban tahun demi tahun, dekad demi dekad, kurun demi kurun - kita pun mendengar kisah sama. Yakni manusia dan kemanusiaan diruntuhkan oleh pemimpin haiwan, atau binatang jalang. Pemimpin dengan kebinatangan. Politikus raksaksa ini sering berkhianat.

Apakah kita tidak dapat melepaskan diri daripada pemimpin khianat? Atau bagaimanakah kita mengenal pasti pemimpin laknat dan yang mana satu pula pemimpin tekad, tambah-tambah pula tatkala pemimpin khianat mengakui dirinya tulus manakala sang katak mengakui diri pari-pari.

Blok khianat

Dalam khutbah 40, Saidina Ali saat berdepan dengan kelompok Khawarij mengatakan:

Faktanya adalah bahawa manusia tak boleh melepaskan diri daripada pemimpin atau penguasa baik atau buruk. Orang beriman nekad berkhidmat bila memimpin atau berkuasa, sedangkan ahli maksiat mencari keuntungan duniawi bila memimpin atau berkuasa. Selama orang beriman memimpin, Allah akan membawa segala sesuatu kepada tujuannya. Melalui pemimpin, cukai ditarik, musuh diperangi, jalan dilindungi, dan hak si lemah diambil kembali daripada tangan si kuat hingga si salih menikmati kedamaian dan terlindungi daripada penindasan si ahli maksiat atau si jahat.”

Para pembaca, itulah tips-tips yang makin jelas untuk kita menilai siapakah duduk dalam blok khianat? Mereka ini membinatangkan diri demi keuntungan dunia. Laba dunia itu bisa jadi tanah dan kediaman, seperti zaman dahulukala. Mungkin juga ia dalam bentuk tunai melampaui 30 juta?

Apakah dapat kita pesankan untuk pemimpin khianat?

Saidina Ali mengatakan dalam khutbah 41:

Saudara-saudara! Sesungguhnya memenuhi janji merupakan cermin kebenaran. Aku tak tahu ada perisai yang lebih hebat untuk melindungi diri dari serangan dosa selain memenuhi janji. Kalau orang tahu dan menyedari hakikat pulang ke akhirat, maka dia tak akan pernah berkhianat. Kita berada dalam sebuah zaman ketika sebahagian besar orang melihat pengkhianatan sebagai kearifan. Pada zaman seperti ini si jahil menyebutnya sebagai keutamaan, kecemerlangan, mutu, ketuanan, keahlian.

Tuhan Maha Besar, demikiankah kata-kata Saidina Ali tentang pengkhianatan? Tidakkah ini mencerminkan perangai pengkhianat hari ini? Meskipun ada serban besar di pundak kepala mereka? Jangan kita lupa Khawarij yang mengkhianati Imam Ali itu ada antaranya hafal Quran, konon pencinta Nabi dan memperagakan diri sebagai orang alim. Sedangkan mereka tidak lain tidak bukan adalah pengkhianat.

Kita diberi garis titik terang bahawa yang khianat itu tidak rasa apa dengan dosa, dan tidak rasa bersalah memungkiri janji. Bukan itu sahaja, terdapat orang bawah - bodoh; atau yang lebih berstatus kelas dinamai - jadong; inilah puak manusia yang menormalkan perbuatan khianat. Yang atas jadi haiwan, mereka siap menjadi mangsa untuk dikorbankan. Tidak pun ada usaha daripada mereka untuk melawan. Bahkan khianat itu disamarkan dengan kata atau ungkapan muluk sebagai contoh keutamaan, kecemerlangan, mutu, ketuanan dan juga keahlian.

Demikian samar-samar sekali semua ungkapan ini, kita akan melihat pengikut pemimpin buas dan kelas penindas yang rakus ini akur, malah percaya apa sahaja pembohongan. Bahkan mereka mempertahankan pemimpin binatang ini dengan percaya pemimpin jalang dan haiwani inilah yang manusiawi dan konon membantu anak yatim dan orang terhempuk seperti dirinya. Punyalah dia menurut akal buta sehingga tidak kelihatan betul dan salah.

Rumah diceroboh

Bukan itu sahaja, mereka merasakan perbuatan menceroboh rumah itu benar. Apakah Saidina Ali pernah mengatakan mengenai rumah yang diceroboh? Tentu, dalam khutbah 154, baginda menjelaskan bagaimana rumah dipecah masuk, atau bagaimana agama dimaklampirkan kerana keluarga Nabi Muhammad SAW yang suci tidak lagi dirujuki, kata Saidina Ali:

Rumah tidak dimasuki melainkan lewat pintu-pintunya. Orang yang masuk rumah bukan melalui pintunya, maka dia disebut pencuri.”

Sudah tentu, yang Imam Ali maksudkan dengan pintu sebenar ialah pintu Allah, atau betapa Nabi Muhammad itu kota ilmu, dan Ali itu adalah pintunya. Itulah jalan selamat untuk kita, untuk kamu, untuk semesta alam.

Apa yang akan kita katakan kepada pemimpin binatang dengan perangai kebinatangan ini?

Wahai pemimpin, kami akan menuntut kalian. Jangan kalian sangka yang kalian terlepas kerana kalian itu alim ulama kononnya.

Kata Imam Ali dalam khutbah 176, “Ketahuilah bahawa kezaliman ada tiga macam - pertama, kezaliman yang tak akan terampuni; kedua, kezaliman yang tak akan dibiarkan begitu sahaja; ketiga, kezaliman yang akan diampuni tanpa disiasat. Kezaliman yang tak akan pernah diampuni adalah menyekutukan Allah SWT.

Imam Ali seterusnya melanjutkan; “Kezaliman yang akan diampuni adalah kezaliman yang dilakukan seseorang kepada dirinya sendiri dengan jalan berbuat dosa-dosa kecil; sementara kezaliman yang tak akan dibiarkan begitu saja tanpa disiasat adalah kezaliman manusia kepada manusia. Hukuman untuk kezaliman seperti ini sangat keras. Hukumannya bukanlah berbentuk dilukai dengan pisau, bukan pula diajar dengan cemeti, namun hukumannya sedemikian keras sehingga semua ini jadi tidak ada ertinya sama sekali.”

Akan tetapi apakah pemimpin haiwan, atau politikus binatang ini akan hairan dengan teguran kita para rakyat?

Mereka pemimpin tergamak berkhianat kerana kita rakyat memang senang diperdaya dan ditipu. Kita senang dibohongi. Kita tidak memeriksa, dan menyoal. Kita merelakan diri jadi haiwan lemah untuk dibaham yang lebih buas.

Dalam khutbah 230, Amirul Mukminin Ali menjelaskan agar kita, dan pemimpin:

“...waspadailah dunia ini, kerana dunia ini suka berkhianat, memperdaya dan menipu. Ia memberi, ia pula yang mengambilnya. Ia memberi pakaian, ia pula yang mengambilnya. Kesenangan-kesenangan yang ditawarkannya cepat perginya, kesulitan dan penderitaan yang dibawanya tak berkesudahan, sementara bencananya tak kunjung berhenti.

Kemelut politik era Saidina Ali

Hari ini, kemelut politik kita tidaklah jauh dan begitu berbeza dengan apa terjadi ribuan tahun lalu di era Saidina Ali di Kufah, Iraq. Khianat itu biasa, yang kaya suka menelan kita, sementara yang miskin terus menurut akal buta sehingga tidak pernah dapat keluar dari jerangkap pemimpin khianat.

Untuk politikus haiwani, atau YB dengan sifat binatang, kebinatangan kamu itu akan diadili. Kalian bisa mengerang ibarat sang liar buas di hutan. Akan tetapi binatang memang tercipta tanpa akal dan hidup sebagai imbangan biologi. Manusia politik sebaliknya punya akal. Mereka boleh memilih untuk menjadi insan, atau haiwan. Akal itu tunggu digunakan atau tidak.

Jika ada yang bertanyakan kamu, bagaimana menilai dan memeriksa politik kebinatangan. Katakan kepada mereka, nah ini dia Nahjul Balaghah oleh Saidina Ali sedia diterokai. Tidak, ahli politik yang khianat itu tidak takut tentunya. Akan tetapi pautkan mereka pesanan atau tulisan ini - daripada rakyat - di akhirat nanti mereka tidak lagi boleh memberi alasan tidak tahu atau jahil.

Imam Ali akan berhujah dengan mereka, “Mengapa kalian menurut akal buta?”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.