Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Legally right, morally wrong

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hagia Sophia, sebuah bangunan bersejarah dan tersergam indah di kota Istanbul. Letaknya betul-betul dihadapan Masjid Biru atau dikenali sebagai Sultan Ahmed Blue Mosque.

Antaranya terdapat al-Harem atau tempat mandian awam yang dibina semasa empayar Turki Uthmaniyyah.

Di dalamnya dipenuhi dengan hiasan yang menarik berkaitan ajaran Kristian dan Islam. Susun aturnya masih lagi mengekalkan kegemilangan dan kemewahan empayar Rom dan Turki Uthmaniyyah.

Dihiasi lilin besar dan kawasan ibadah Kristian dibahagian hadapannya. Di kanannya terdapat mimbar dan mini perpustakaan sebagai lambang keagungan dan keilmuan Islam.

Gabungan kedua-dua agama samawi dan empayar hebat dunia suatu masa dahulu diterjemahkan dalam bentuk bangunan yang historikal dan penuh artistik ini.

Semua telah maklum, Hagia Sophia dibina oleh Emperor Justinian pada 532 dan siap sepenuhnya pada 537 masihi.

Pada masa tersebut, Hagia Sophia adalah binaan terhebat dunia, tiada bangunan seumpama itu dan sebesar itu pernah dibina manusia.

Ia secara jelas membuktikan betapa hebatnya empayar Rom ketika itu hingga kisah-kisah kehebatan mereka ini disebut dalam al-Quran dan hadis.

Malah Basilica Cistern atau sistem pengairan bawah tanah yang dibuat betul-betul di bawah tanah disebelah Hagia Sophia juga menunjukkan betapa hebatnya teknologi kejuruteraan yang mereka miliki.

Beberapa arca unik yang terdapat di sekitar masjid tersebut juga membuktikan hubungan luar yang hebat dengan dinasti lain termasuk China dan Mongul.

Akhirnya, tamadun yang hebat dan gagah ini telah ditumbangkan oleh seorang pemuda berusia 21 tahun iaitu Sultan Mehmet II atau dikenali juga sebagai Al-Fateh.

Kejayaan beliau terinspirasi dari hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

“Konstantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”

Hasilnya Muhammad bin Murad bin Biyazid atau Sultan Mehmet II berjaya membuktikan hadis ini selepas 800 tahun kewafatan Rasulullah SAW.

Sultan muda tinggi ilmu

Walaupun pelbagai cubaan pernah dilakukan sebelumnya termasuklah dari sahabat rasulullah sendiri, Abu Ayyub Al-Ansari, akan tetapi kejayaan hanya akhirnya berjaya digapai oleh seorang sultan yang muda dan cukup alim serta tinggi ilmunya.

Kejayaan Sultan Mehmet bukanlah kerana lemahnya Konstantinapole, akan tetapi lebih kepada kekuatan ketenteraan, keimanan yang tinggi dan strategi peperangan luar biasa yang dimiliki oleh beliau bersama 265,000 tentera yang dibahagikan kepada infantri berkuda, pemanah, pejalan kaki dan berani mati.

Strategi yang tidak pernah dilihat dalam peperangan sebelumnya telah dipraktikkan di dalam peperangan ini termasuklah pembinaan menara bergerak dan meriam terbesar yang boleh menembak peluru seberat 300 kilogram.

Malah yang tidak dapat dilupakan dunia ialah apabila Sultan Mehmet menggerakkan 60 buah armada perang melalui kawasan pergunungan di belakang Galata Tower di sebelah Anatolia.

Konstantinapole yang sepertinya mustahil ditewaskan dan mempunyai rantai besi besar yang menghalang kapal masuk ke Selat Bosphorus dan Goldern Horn, akhirnya rebah ke bumi apabila dalam tempoh satu malam sahaja puluhan kapal perang Sultan Mehmet berada di hadapan tempok Konstantinapole.

Setelah kejayaan tersebut, Sultan Mehmet telah menukarkan gereja St Sophie menjadi Masjid Hagia Sophia dengan pengekalan simbol dan lambang St Mary, Jesus dan Trinity serta ditambah dengan simbol-simbol Islam lainnya.

Selepas kematian beliau, Hagia Sophia telah diwaqafkan atas nama Islam begitu juga segala aset di sekitarnya dan kekallah ia menjadi masjid agung di bumi Turki walaupun terbinanya Masjid Biru pada 1606.

Akan tetapi setelah bangkitnya Mustafa Kamal Ataturk pada 1927, Hagia Sophia telah ditukarkan fungsinya kepada muzium, ia adalah satu pengkhianatan kepada konsep waqaf yang telah dibangunkan oleh Sultan Mehmet dan para ulama Islam sebelumnya.

Rata-rata penduduk Turki menganggap insiden ini adalah sebagai malapetaka dan sumpahan kepada Turki.

Teman saya yang bekerja di Universitasi Fatih Sultan Mehmet Vaqif mengatakan bahawa:

“Selama 86 tahun kami disumpah oleh Sultan Mehmet, dan selama itulah kami gagal dan tidak mampu bergerak maju ke hadapan.”

Penduduk Turki melihat kejayaan mengembalikan semula harta Waqaf tersebut selepas dirampas selama puluhan tahun adalah era baru untuk Turki.

Solat Jumaat pertama kalinya selepas 86 tahun yang dilaksanakan pada 24 Julai lalu adalah sebagai tanda kebangkitan Islam dan kebangkitan Turki sebagai khilafah Islam yang baru.

Solat Jumaat di Hagia Sophia pada 24 Julai 2020

Dalam coretan ini, apa yang ingin saya ulas ialah adakah tindakan mahkamah Turki menggembalikan status Hagia Sophia kembali sebagai masjid adalah satu tindakan yang tepat?

Hak waqaf Sultan Mehmet

Atau ia adalah satu tindakan yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan hak asasi manusia?

Ramai yang bersorak kegembiraan apabila mahkamah Turki menjatuhkan hukuman yang sebegitu.

Ia dianggap satu kemenangan kepada Islam, iaitu kembali menunaikan hak waqaf yang telah dibuat oleh Sultan Mehmet sekitar 500 tahun yang lalu.

Dari segi perundangan, dianggap benar dan tepat akan tetapi dari segi moral ia membawa kepada perbincangan di sebaliknya.

Bangunan bersejarah ini yang menjadi titik pertemuan antara dua agama samawi dan kehebatan dua empayar terbesar menjadi persaingan dan berakhir dengan ada yang menang dan ada yang kalah.

Kekalahan yang dialami oleh penganut Kristian dan juga penentang konsep waqaf amat berat untuk ditelan.

Kekalahan ini sepertinya membuka kembali luka berdarah yang dialami oleh Justinian di tangan Sultan Mehmet pada 1453m.

Penganut Kristian melihat bagaimana gereja St Sophie ini dirampas oleh orang-orang Islam, status gereja ini perlu dikembalikan ataupun di diletakkan sebagai entiti berkecuali iaitu muzium.

Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat, Abdul Hadi Awang (bawah) pada 18 Julai lalu mengatakan penentangan Barat terhadap keputusan mahkamah Turki adalah bukti Islamophobia.

Sebenarnya ini bukan persoalan Islamophobia, ini adalah perjuangan Perang Salib yang tersimpan lama dahulu.

Malah jika ditelusuri di Barat, berapa banyak gereja yang telah dibeli dan ditukar menjadi masjid oleh umat Islam.

Mereka menerimanya dan dianggap sebagai komoditi yang boleh boleh dijual beli berdasarkan pasaran terbuka.

Akan tetapi bagi kes Hagia Sophia, dianggap skrip yang jauh berbeza. Ia juga adalah bukti kejatuhan Kristian.

Bagaimana pula apabila keputusan mahkamah India membatalkan status masjid Babri dan memberikan hak tapak tersebut kepada penganut Hindu? Adakah satu keadilan?

Dan lihat pula bagaimana reaksi masyarakat Muslim di India hingga membawa kepada pertempuran dan kematian serta kemusnahan harta benda.

Akan tetapi reaksi berbeza dapat dilihat di Barat dengan keputusan oleh mahkamah Turki ini. Keadaannya lebih aman dan terkawal serta tidak timbul sebarang insiden yang tidak diingini.

Warisan Sejarah Dunia

Dari sudut historikal juga, Hagia Sophia mempunyai sejarah ketamadun yang cukup besar. Di dalamnya terdapat pelbagai simbol kedua-dua agama samawi yang hampir mustahil untuk dihapuskan.

Hagia Sophia yang juga diiktiraf sebagai Warisan Sejarah Dunia oleh Unesco perlu dipelihara dan dijauhkan daripada sebarang bentuk kerosakan.

Dunia mungkin menerimanya sebagai muzium yang unik, tetapi tidak bagi masyarakat Turki.

Dunia memandang dari aspek moral, bahawa tapak warisan dunia ini perlu dikekalkan untuk menjadi tatapan umum tanpa berpihak kepada mana-mana agama.

Apa yang pasti, kerajaan Turki telah menjamin status Hagia Sophia akan kekal sebagai aset bersejarah yang boleh dilawati oleh sesiapa pun, warisan kesenian dan sejarah yang terkandung di dalamnya akan kekal sebagai sebuah warisan yang tidak ternilai.

Walaupun dari segi undang-undang keputusan tersebut adalah baik dan diterima dengan gembira, akan tetapi dari segi moralnya ia menimbulkan sedikit kekeliruan.

Saya melihat keputusan ini adalah mengembalikan hak waqaf yang tertangguh perlaksanaannya selama 86 tahun di bumi Turki.

Dalam masa yang sama, status muzium yang dimiliki oleh Hagia Sophia dilihat cukup sesuai dengan mengambil kira sudut historikal dan artistiknya.

Walau bagaimanapun, janji pemerintah Turki untuk membuka Hagia Sophia kepada sesiapa sahaja yang ingin mengunjunginya adalah merupakan satu tindakan yang bermoral.

Menerima kekalahan bukannya mudah, bertolak ansur atas dasar moral juga bukannya mudah. Maka lihatlah dengan mata hati bukan mata nafsu semata-mata, lebih-lebih lagi jika yang menang itu adalah ego.

Adakalanya kita kelihatan menang, tetapi dalam erti kata lainnya kita kalah, dan ada ketikanya kita kelihatannya kalah, tetapi dalam erti kata lainnya kita menang.


DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.