Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | 31 Ogos – siapa merdeka?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ini bukan hal baru. Ia akan muncul setiap kali tarikh 31 Ogos tiba atau menjelang tiba.

Tarikh itu tarikh keramat.

Pada 31 Ogos 1957 Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya merdeka.

Diulangi: Malaya yang merdeka. Bukan Malaysia.

Dan realitinya Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu tidak wujud lagi sebagai sebuah negara sebaik sahaja Malaysia wujud.

Persekutuan Malaysia dilahirkan pada 16 September 1963. Hasil gabungan Malaya, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara atau Sabah.

Perlu diingat Sarawak dan Sabah menyertai gabungan itu – bukannya mereka memasuki atau menyertai Malaysia.

Malaysia masih belum wujud ketika itu.

Oleh Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bergabung dengan Malaya dan Singapura, maka lahirlah Malaysia.

Ini saya sebut kerana saudara kita di Malaysia Barat merasa tersinggung setiap kali kita kata Sabah dan Sarawak “masuk” Malaysia.

Dua tahun selepas penubuhannya iaitu iaitu pada 9 Ogos 1965 Singapura keluar daripada Malaysia.

Persoalannya mengapa kita menganggap 31 Ogos tarikh kemerdekaan Malaysia?

Lantas saudara kita di Sabah dan Sarawak tidak “ghairah” untuk menyambut “Hari Kemerdekaan” pada 31 Ogos setiap tahun.

Mereka tidak ada “feel” apabila kita menyambut “merdeka” setiap 31 Ogos .

Bagi mereka tarikh negara merdeka ialah 16 September. Sedikit sebanyak saya setuju.

Tapi ini juga kurang tepat.

Pada tarikh itu Malaysia ditubuhkan. Bukan Malaysia merdeka.

Saudara kita di Sabah-Sarawak terus rasa terpinggir

Daripada siapa pula yang Malaysia memerdekakan diri? Ketika Malaysia ditubuhkan Malaya sudah pun merdeka.

Mungkin bagi Sarawak, Sabah dan Singapura istilah merdeka boleh digunakan jika mahu.

Ini kerana mereka ketika itu sekadar menikmati status pemerintahan sendiri daripada British.

Apa pun kerajaan Persekutuan Malaysia sedar akan “permasalahan” berhubung tarikh 31 Ogos dan 16 September.

Lalu kerajaan (zaman BN) menetapkan 16 September diisytihar Hari Malaysia manakala 31 Ogos Hari Kebangsaan.

Bagaimanapun pelbagai pihak di semenanjung khususnya, masih melaung merdeka setiap 31 Ogos.

Tahun ini ramai yang mengucapkan “Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-63” – jelas mengambil kira 31 Ogos 1957.

Ketika saya menulis ini pun lagu bertema kemerdekaan berkumandang di radio.

Pelbagai barangan seperti kemeja, beg, juga pelitup muka dihiasi dengan kata kata Malaysia Merdeka dan macam-macam lagi yang mengingatkan 31 Ogos tarikh Malaysia merdeka.

Saudara kita di Sabah dan Sarawak terus merasa terpinggir.

Di sekolah anak-anak diajar 31 Ogos ialah hari Malaysia merdeka.

Jika mereka (termasuk anak-anak Sabah dan Sarawak) memberi jawapan lain daripada tarikh itu semasa mengambil ujian sejarah misalnya, mereka tidak akan mendapat markah.

Mungkin pihak berwajib harus memperbetulkan fakta sejarah negara.

Mungkin juga cuti umum 31 Ogos boleh dilupuskan. Oleh kerana soal cuti memang sensitif mungkin 31 Ogos hanya cuti umum di semenanjung.

Ucapan yang dilaungkan pula ialah Selamat merdeka Semenangjung Malaysia”. Istilah “Hari Kebangsaan” dilesapkan. Dan acara sambutan diadakan secara sederhana dan tidak gilang gemilang seperti lazim (masa Covid-19 belum melanda).

Yang gilang gemilang dan cuti umum seluruh negara ialah untuk 16 September iaitu Hari Malaysia (bukan Hari Malaysia merdeka.)

Ia diraikan oleh rakyat Malaysia di semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan penuh kebanggaan kerana ia membawa erti kepada setiap warganegara ini.

Sekadar cadangan.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.