Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Punca sokongan politik undi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada 9 Mei 2018 Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan.

Barisan Nasional yang dikepalai oleh gerombolan United Malays National Organisation hilang kuasa. Kuasa baru kini dimiliki oleh Pakatan Harapan.

Pada 17 Mei - dua minggu sesudah kemenangan Pakatan Harapan, bulan puasa sampai.

Pelik tetapi benar dalam minggu kedua bulan puasa tahun 2018 saya telah mendapat jemputan berbuka puasa melalui sistem pesanan telefon bimbit.

Di mana? Bukan di warung Mek Ngoh Bangsar. Bukan di restoran Iran di Ampang.

Saya dijemput ke jamuan berbuka puasa di Hotel Hilton Petaling Jaya.

Hebat. Saya dijemput ke Hotel Hilton.

Dari fakta yang saya baca - Hotel Hilton yang bersepah-sepah dalam dunia ini didirikan oleh Encik Conrad Hilton pada tahun 1919.

Nak dijadikan cerita - cucu kepada Conrad Hilton ini ialah minah yang bernama Paris Hilton.

Dari laporan media dan gambar-gambar yang tersebar dalam portal Internet saya difahamkan bahawa minah ini pernah berparti bersama Encik Jho Low.

Paris Hilton dan Jho Low

Encik Jho Low ini ialah jantan kaya yang dikaitkan dengan Najib dan Rosmah. Najib bekas perdana menteri dan ayah tiri Reza, yang juga kawan Jho Low.

Reza dan Jho Low kenal baik pula dengan warga Hollywood seperti Martin Scorsese dan Leonardo DiCaprio.

Justeru apabila saya mendapat jemputan berbuka puasa ke PJ Hiton ini saya merasa begitu bangga sekali.

Saya merasa telah ‘sampai’ kerana mendapat bau-bau bacang berasosiasi dengan nama-nama yang hebat-hebat dalam dunia.

Kemenangan dan kuasa baru Pakatan Harapan ini memungkinkan saya berbuka puasa di Hilton.

Belum pernah dalam hidup saya berbuka puasa dalam hotel mewah seperti Hilton.

‘Jangan duduk, nanti kecoh’

Tanpa banyak songel saya bersetuju untuk hadir.

Pada anggapan saya jemputan berbuka puasa ini hanya untuk beberapa kenalan.

Ops, saya silap.

Bila saya sampai saya nampak ramai yang dijemput sama. Saya merasa letih berjabat tangan dengan kenalan lama.

Kemudian berjabat tangan dengan muka-muka baru yang entah dari mana datangnya. Mereka mula nak berkenalan.

Maklumlah Pakatan Harapan sudah jadi kerajaan. Yang menjemput ini pun orang kuat Pakatan.

Bukan kecil anak. Berjawatan menteri.

Hendak dijadikan cerita ada seorang kenalan datang lambat.

Justeru tak ada tempat duduk. Meja di sebelah kanan saya masih kosong.

Tetapi di atas meja telah bertanda nama penempah meja itu.

Teman saya pergi melihat dan terus duduk.

Saya memberi ingatan bahawa meja itu telah ditempah awal oleh orang lain.

Jangan ambil dan jangan duduk. Nanti kecoh.

“Betullah, meja ini meja kita, ditempah untuk kita,” jawab kenalan saya.

“Siapa menempah? Tengok namanya, sapa mamat tu? Jangan silap, nanti bergaduh.”

Teman saya menyebut nama seorang tauke.

“Hang tak tahu ke? Dia yang sponsor berbuka puasa ni.”

Bila mendengar nama itu disebut dengan cepat mulut saya mencarut dari bahasa Melayu, ke bahasa Inggeris, ke bahasa Urdu, ke bahasa Perancis, ke bahasa Sepanyol, ke bahasa Benggali.

‘Saya tahu siapa tauke itu’

Semua pukrak mukrak nama alat sulit lelaki dan perempuan dalam pelbagai bahasa terhambur dengan spontan dari mulut saya.

Dengan sekelip mata saya menjadi kurang ajar.

Menjadi kurang sopan dalam majlis yang dilihat beriman.

Beberapa biji mata yang hampir dengan meja saya memandang Hishamuddin Rais yang sedang buat perangai.

Hishamuddin Rais kurang ajar dan kurang sopan dan tidak tahu adat majlis.

Saya memanggil sosok yang menelefon saya untuk datang ke Hilton. Saya terus bersuara.

“Kau tak tahu ke siapa dia ini?” saya menguatkan suara tanda marah.

Saya marah kerana saya telah datang ke majlis berbuka puasa yang ditaja oleh orang jahat.

Untuk saya ini bukan soal halal haram atau suci bersih. Saya marah kerana saya tahu siapa tauke itu.

Pengetahuan saya ini tidak membenarkan saya duduk diam tidak bersuara. Khalas.

Apa yang berlaku di PJ Hilton ini adalah satu contoh bagaimana cara halus para tauke dan cukong masuk menyelit ke meja kuasa.

Para tauke dan para cukong dengan senang hati akan menabur budi menaja pelbagai bentuk jamuan untuk para menteri, untuk yang berhormat atau sesiapa yang diyakini atau dilihat memiliki kunci kuasa atau boleh membawa ke sosok yang memiliki kuasa.

Dalam kes PJ Hilton, sebelum tamat jamuan si penaja telah dijemput ke atas pentas dan telah diberi penghormatan dan ucapan terima kasih dari sang menteri.

Sambil berterima kasih mereka bergambar bersama di atas pentas. Amin.

Ini satu kes yang saya sendiri alami. Justeru ini bukan kisah penglipur lara atau cerita dongeng.

Bagaimana pula berita yang menjadi heboh ketika pilihan raya kecil (PRK) di Port Dickson.

Jamuan makan malam Anwar

Pada 9 Oktober 2018 Malaysiakini melaporkan kenyataan NGO Bersih meminta agar Anwar Ibrahim calon PRK Port Dickson membatalkan jamuan makan malam untuk 4,000 bakal pengundi.

Bersih menganggap jamuan ini sebagai rasuah dan menyalahi tatacara pilihan raya.

Sebenarnya Bersih agak sopan apabila meminta jamuan makan malam ini dibatalkan.

Bersih bersopan tidak menyebut siapa sebenarnya penaja jamuan makan malam untuk 4,000 orang bakal pengundi Port Dickson.

Wajib dirakamkan dalam sejarah bahawa jamuan makan malam PRK Port Dickson menjadi heboh bukan kerana makan free atau bukan kerana dibuat dalam kawasan Tok Pekong.

Bukan kerana ada menu ikan bawal kukus. Bukan. Bukan. Bukan.

Jamuan ini menjadi heboh kerana jamuan ini didakwa ditaja oleh seorang tauke.

Tauke ini amat rajin menderma.

Pada bulan Jun 2018 dia juga didakwa merancang untuk menaja jamuan makan malam sambutan hari jadi Mahathir Muhamad yang ke-93.

Jamuan ini dirancang untuk menjemput 200 orang kenamaan dan para gedebe dari Malaysia.

Jamuan ini dirancang untuk diadakan di Pudu. Tapi Mahathir lebih cekap dan tahu siapa sebenarnya tauke ini.

Mahathir menolak tajaan. Projek tauke ini gagal meleset.

Apa yang Mahathir tahu tentang tauke ini dan Anwar Ibrahim tidak tahu menahu?

Jamuan makan malam ini adalah satu contoh bagaimana politikus didakwa mendapat sokongan dalam politik undi.

Jamuan makan free untuk 4,000 orang bererti dapat 4,000 undi. Yang datang makan pasti akan memberi undi mereka kepada yang memberi makan.

Setiap hari raya, setiap tahun baru China, setiap Diwali kita akan mendengar atau membaca berita para menteri dan yang berhormat dari kawasan ini dan itu mengadakan jamuan rumah terbuka.

Di simpang jalan kita akan ternampak kain rentang dengan muka yang berhormat menyampaikan ucapan dan mengumumkan jamuan rumah terbuka.

Sambutan belakang LRT Bangsar

Pada tahun 1996 saya baru setahun pulang dari 20 tahun berkelana.

Ketika itu saya wajib mempelajari kembali budaya yang telah lama saya tinggalkan.

Pada hari raya tahun 1996 saya telah dijemput oleh kenalan saya untuk sama merayakan rumah terbuka YB Lembah Pantai.

Sebenarnya saya tidak kenal dengan YB Lembah Pantai. Hanya mendengar nama. Teman yang menjemput saya hadir ada pertalian darah dengan YB ini.

Sambutan ini diadakan di belakang Stesen LRT Bangsar Jalan Kemuja.

Pada tahun 1996 masih ada tanah lapang seluas padang bola di kawasan ini.

Berbelas-belas khemah dipasang.

Ketika saya meninggalkan Malaysia pada tahun 1974 – budaya rumah terbuka telah wujud.

Tapi tidak seperti yang pertama kali saya alami pada tahun 1996.

Saya terperanjat besar apabila di bawah setiap khemah ada makanan khusus disediakan.

Ada khemah cendol. Ada khemah mi rebus. Ada khemah sate. Ada khemah roti canai. Ada khemah rojak. Ada khemah lemang dan rendang.

Yang memeranjatkan saya bukan jenis makanan. Saya terperanjat kerana semuanya diberi percuma. Para tamu hanya datang beratur untuk menikmati apa saja yang diidamkan. Amin.

Ketika menunggu cendol dibuat ingatan saya kembali kepada kitab-kitab lama tentang raja-raja Melayu.

Surah dan kisah raja Melayu mengadakan jamuan apabila putera atau puteri baginda sultan bernikah.

Tabuh dipukul canang dipalu
Seantero negeri dijamput datang
Kecil tua muda jantan betina dan sida
berduyun duyun datang
Yang capik datang bertongkat
Yang buta berpegang bahu

Lembu disembelih
kambing dilapah
kepala lembu menganak bukit
kerak nasi membusut jantan
nasi ditanak gulai dikawah
jamuan empat puluh hari empat puluh malam
anak raja naik pelamin

Pesan Muzaffar Tate

Pada jamuan rumah terbuka YB Lembah Pantai tahun 1996 saya teringat kembali kepada kata-kata arwah Cikgu Muzaffar Tate: Politic is a rich man’s game – politik ialah mainan mereka yang kaya.

Ketika saya menikmati cendol tajaan YB Lembah Pantai saya anggap YB ini pastilah orang kaya.

Bayangkan para jemputan datang bertali arus. Bukan belas-belas. Bukan ratus-ratus.

Tapi ribu-ribu para tamu. Seolah-oah seluruh warga Lembah Pantai datang menjamu selera.

Pada tahun 2020 saya mendewasa.

Saya memahami budaya politik Malaysia.

Saya memahami bahawa di belakang politik ini ada lagi kuasa yang lagi berkuasa.

Kuasa apa? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.