Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kuala Terengganu menuju Dubai?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sewaktu hari ulang tahun kemerdekaan kali ke-63, begitu ramai manusia datang ke Kuala Terengganu untuk bercuti. Penuh sesak di mana-mana tempat tumpuan. Tempat seperti Pasar Payang dibanjiri. Boleh dikatakan para pelancong mula membanjiri Terengganu, terutama ke pulau-pulau yang terkenal dengan keindahan.

Saya melihat banyak kenderaan luar bergerak di sana sini dengan hotel-hotel dipenuhi - adegan biasa di Kuala Terengganu apabila cuti panjang. Cukup meriah dan seperti pesta pula dengan pelbagai aktiviti.

Jambatan angkat atau drawbridge yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di muara Sungai Terengganu telah dibuka sejak setahun lalu.

Jambatan ikonik bernilai RM248 juta itu terus menjadi buah mulut penduduk Terengganu di mana orang ramai melihat sebagai suatu tanda baru. Orang luar dan pelancong yang mengagumi struktur dan seni binanya datang untuk mengambil gambar.

Anak perantau dan pengembara yang pulang beraya di Terengganu ini tidak mahu melepaskan peluang memandu melalui jambatan sepanjang 638 meter itu. Kebanyakan pemandu beberapa kali membuat pusingan U semata-mata bagi merasai pengalaman yang menarik dan penuh memori.

Apa lagi terkecuali bagi kaki foto yang berhenti untuk bergaya di atas jambatan. Tidak kira waktu sama ada hujan atau panas untuk merakamkan gambar berlatarbelakangkan jambatan.

Boleh dikatakan sehingga mewujudkan kesesakan agak teruk di sepanjang laluan baik arah ke bandaraya atau ke Seberang Takir.

Ternyata keghairahan penduduk Terengganu ini membuatkan warganet menggelarkan mereka sebagai bersifat kebudak-budakan dan keanak-anakan. Tetapi gelaran itu dibalas pula dengan “Terengganu ada, negeri awok ada dok?”.

Setimpal dengan keterujaan dan kebanggaan rakyat Terengganu mempunyai jambatan angkat yang pertama di Malaysia dan juga Asia Tenggara, sesuatu yang boleh dipuji dan dibanggakan.

Rakyat Terengganu mempunyai sesuatu yang tidak ada di negeri lain dan agak unik untuk dibandingkan. Secara tidak langsung yang jambatan angkat terpanjang di dunia itu bakal mengubah landskap pelancongan negeri Terengganu pada keseluruhannya. Sudah terkenal dengan pelancongan pesisir pantai dan pulau yang senantiasa menggamit untuk datang.

Kalau dilihat sebelum jambatan angkat, limpahan aktiviti pelancongan di Terengganu lebih tertumpu di kawasan pulau seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah. Ramai pelancong dari luar negara yang berpusu.

Kuala Terengganu dinamik dengan pembangunan yang banyak merubah kawasan dan yang giat dilaksanakan. Misalnya pembangunan Kuala Terengganu City Center (KTCC) memberikan satu nilai tambah untuk sektor pelancongan. Ini semakin bertambah dengan kerancakan pembangunan di kawasan terbabit termasuk dengan pembinaan dua pusat beli-belah KTCC Mall dan Mayang Mall dengan pembukaan pusat beli-belah Sogo.

Apabila siap pembangunan yang bakal mengubah Kuala Terengganu menjadi sebuah bandar yang nampak moden dan canggih. Adalah keterlaluan untuk memanggil Kuala Terengganu sebagai Dubai Malaysia, sesuatu yang terlalu besar angan-angan dan tidak mungkin direalisasikan.

Dubai hanya mengambil masa yang cepat dengan wajah kosmopolitan sedangkan Kuala Terengganu masih lagi didiami oleh orang Melayu sahaja. Dubai sentiasa ketat dengan undang-undang dan penduduk respek dengan keharmonian.

Di Terengganu, sektor pelancongan yang tertumpu di kawasan pulau. Pelancong lebih suka ke Tasik Kenyir yang luas. Di Tasik Kenyir bagi menikmati suasana kehijauan dan ketenangan kawasan hutan dengan tumbuhan pelbagai jenis.

Tetapi dengan ikon pelancongan baharu dengan ini pengunjung boleh menikmati suasana pesisir pantai di Kuala Terengganu. Untuk menikmati ICT (ikan celup tepung) dan KLCC (keropok lekor cicah colek) dengan pemandangan kuala sungai Terengganu dan Laut China Selatan yang terbuka.

Makanan Terengganu senantiasa diburu dengan nasi dagang menjadi kesukaan. Ada pelbagai bahan makanan dengan keropok lekor makanan utama yang mempunyai banyak pusat jualan.

Walaupun begitu di sebalik kerancakan pembangunan kawasan pesisir Terengganu itu, ada yang sedikit kurang enak untuk diperkatakan. Ini adalah berkaitan sikap orang luar atau pengunjung yang kurang kesedaran dan kerendahan sivik. Untuk dipersalahkan siapa lagi kalau pembuangan sampah berterusan ke hari ini.

Dilaporkan sebanyak 750 kilogram sampah terutamanya puntung rokok, pembalut coklat, bekas minuman termasuk botol dan tin serta sisa makanan dikutip baru-baru ini.

Kesedaran sivik masyarakat termasuk pengunjung ke kawasan itu masih kurang diamalkan apabila ada segelintir mereka dengan sengaja mengotorkan kawasan di sekitar menara ikonik Jambatan Angkat.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah menyediakan lebih 20 tong sampah di sekitar kawasan itu, tetapi pengunjung membuang putung rokok, meninggalkan bekas minuman dan pembalut coklat di merata kawasan.

Mereka meninggalkan sampah merata-rata dan bertimbun-timbun di kawasan berhampiran jambatan angkat itu sehingga mencacatkan pemandangan dan menjejaskan kebersihan.

Pelancong dan pengunjung seharusnya menjaga kebersihan agar keindahan jambatan itu tidak dicemari dengan timbunan sampah yang seolah-olah tidak dihiraukan. Ini merosakkan kebersihan.

Di sebalik pembangunan yang giat dijalankan di Kuala Terengganu turut melenyapkan nilai warisan dan tradisional yang ada di sekitar kawasan. Contohnya di Kampung Ladang dan Kampung Tanjung. Kawasan ini yang asalnya sebuah perkampungan tradisional Melayu yang terkenal dengan perusahaan warisan. Terkenal dengan kain tenun, batik, songket dan pembuatan barangan tembaga.

Sayang sekali atas nama pembangunan yang perkampungan terbabit dirobohkan. Sehingga perindustrian yang bertapak sejak 1950-an itu lenyap dengan begitu sahaja. Tanpa ada usaha dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengekalkan warisan yang bertapak sejak sekian lama. Ini termasuk menempatkan semula di satu kawasan lain agar dapat perusahaan itu dapat dipelihara.

Kalau dikaji negara maju dan seperti Jepun dan Korea Selatan mahupun negara Amerika dan Eropah, walaupun maju mereka tidak meminggirkan budaya dan warisan yang sebati dalam kehidupan mereka dan menjaga dengan sebaiknya. Mereka terus memelihara sebagai bahan bersejarah untuk menarik pelancong asing untuk mengenali budaya dan peradaban. Satu keutamaan untuk menjaga warisan supaya tidak dilupakan begitu saja.

Adalah perlu untuk dikomersialkan segala seni dan warisan yang ada sebagai tarikan pelancongan bagi mengisi kehendak orang luar. Mereka sudah memiliki kemajuan, teknologi dan kemodenan namun seni, budaya, warisan sesebuah negara adalah hak milik negara terbabit dan tidak boleh diperoleh di negara lain. Ini adalah kepastian yang negara itu sendiri mahu seni, warisan dan budaya dipertahankan.

Begitupun, infrastruktur kelas dunia futuristik pun kalau mentaliti tidak berubah tidak akan ke mana. Orang bagi kemudahan tong sampah sepatutnya buang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan. Kalau tiada kemudahan tong sampah pun, boleh bubuh dalam plastik untuk bawa balik sampah ke rumah dengan kesedaran sivik.

Terutama sewaktu pasar malam atau pasar tani. Sampah macam sengaja dibiarkan berselerak dan bertimbun. Konon sudah bayar duit untuk pihak perbandaran mengutip.

Mentaliti “asal sudah bayar pada majlis perbandaran maka boleh buang sampah ikut suka” ini adalah mentaliti yang buruk untuk diikuti. Mentaliti tidak mengapa, sekejap lagi ada orang datang mengutip sampah dan kita buang saja. Kalau tidak buang sampah ini, nanti tiada kerja pula orang perbandaran. Makan gaji buta pula, pun satu mentaliti tidak bertamadun dan beradab.

Kalau mahu dibandingkan dengan Pulau Pinang, walaupun ada jenis bermentaliti demikian, majlis perbandaran sangat efektif membuat kerja. Kekerapan lori mengutip sampah datang mengutip memang terbaik. Perbelanjaan besar diuntukkan menjaga kebersihan negeri dan patut dicontohi negeri-negeri lain juga.

Namun hal kesedaran sivik memang kena beri latihan sampai benar-benar berlaku. Kena beri gegar dalam kuliah-kuliah di masjid dan di surau, program-program kesedaran jaga kebersihan.

Kempen mesti berterusan sampai terpasak dalam minda luar kesedaran, sampai jadi tabiat menjaga kebersihan dengan sebaiknya.

Itulah Kuala Terengganu yang damai yang masih perlukan mentaliti penduduk dan pengunjung untuk menjadi Dubai!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.