Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Muda: Budi, tara, serta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jadi, apa yang kita harapkan daripada anak muda? Muda oleh usia dan juga muda, yang katakan muda dari segi idea, segar dan berkehendak untuk memecah kebuntuan politik dan sistem?

Pertama menurut saya, muda itu harus berbudi. Apakah itu budi?

Saya suka melihat kamus susunan William Marsden dengan tajuk A Dictionary and Grammar of the Malayan Language (1812) yang menghimpun kata-kata dari bahasa Melayu sewaktu beliau berkhidmat dengan East India Company di Sumatra.

Marsden menghuni di Minangkabau dan menyatakan di situ, bahasa Melayunya persih dan asli (original purity).

Jadi kita melihat budi seperti dirakam oleh Marsden adalah bijaksana, pintar, kefahaman, intelek, kewarasan, lojik dan kemahiran menjentik mereka yang tidak mahu mengerti.

Marsden mengutip satu peribahasa untuk menjelaskan budi; “karna ilang budi menjadi gila kata nuri itu” yakni jika kita kehilangan kefahaman, kita akan menjadi nanar.

Budiman itu selalunya malim menurut orang dulu-dulu, yakni yang memandu. Jadi jika ada anak muda yang kurang ajar, tidak mahu ditunjuk ajar, selalu tidak waras, melenting dan hilang kefahaman, taksub akan gerombolan penipu maka ini anak muda yang tiada budi.

Kita tidak akan membenci mereka. Jangan membenci mereka. Masih, anak muda tidak berbudi ini wajar kita dekati kerana manusia kian matang kian berubah, dan bila kian berubah rohnya maka dia akan ada peluang menjadi, insya-Allah. Anggaplah ketika ini roh mereka masih tidak membangun.

Kedua, muda itu harus tara. Istilah tara ini berkembang hari ini menjadi setara. Marsden menghujahkan tara itu, nombor satu bermaksud; tiada tandingan. Semacam ayat, “tiadalah ada tara-nia pada zeman itu” atau “elok-nia tiadalah bertara” iaitu, begitu “lain” sekali.

Muda yang “lain” dan tiada tandingan ini penting berbanding anak muda yang menurut, mengekor, taksub, jahil, terikut-ikut, membuntut dan membengap diri.

Kita tidak mengatakan anak muda yang terkebil-kebil dengan kelurusan itu tiada tara, melainkan mereka itu - meminjam Syed Hussein Alatas - bebal. Sebagai guru di pengajian tinggi memang saya melihat ada anak muda yang tiada tara (tiada tandingan), dan apa pula anak muda yang kesasar.

Nombor dua, tara itu dalam hal ini setara iaitu saksama, serupa dari segi tinggi duduk.

Tolak diskriminasi

Ini terlihat pada ayat “sama tara-nia kaduduk-an-nia”. Ini juga satu istilah yang penting kerana anak muda itu wajar bahkan mesti untuk bersikap setara.

Muda itu harus melihat semua secara setara, supaya bila ia menjadi malim dan budiman itu, anak muda akan melayani semua dengan saksama dan sebaris tanpa memilih-milih. Anak muda yang memimpin dengan budi, tidak patut lagi percaya kepada diskriminasi. Anak muda percaya kepada demokrasi. Anak muda tidak sanggup menjamah kleptokrasi.

Hari ini masalah dan krisis yang berakarkan ketidakadilan sudah terbiasa. Sehingga ada anak muda yang sudah muak duduk dalam sistem, sanggup memperjuangkan agar jangan ada kesetaraan.

Yakni mereka ingin meneruskan sistem lama, atau gagasan tua yang sudah lapuk dan basi. Mereka misalnya percaya kepada ketuanan tertentu dan menyamarkan diri sebagai pencinta nusa bangsa.

Padahal mereka itu anak muda yang tertelan racun dan gemar membawa imej penipu. Jika mereka menggunakan akal, dan menjadi budiman; anak muda akan memilih untuk setara.

Jika kita meneliti satu demi satu, kita akan menemui ketidakadilan dalam pendidikan, dalam pengagihan kekayaan, ketidakdilan dalam hukuman dan undang-undang, dan ketidakadilan dalam peluang.

Ia adalah ketidakadilan yang memerlukan tenaga muda. Iaitu muda dari segi usia kerana mereka bertenaga, dan muda dari aspek idea dan kerangka untuk merombak.

Ini supaya muda itu dapat membongkar ketidakadilan dan meletakkan kesetaraan sebagai paksi. Ini tentunya kerja besar yang memerlukan pasukan baik untuk melakukannya.

Di sinilah datang sifat atau cogan kata ketiga untuk anak muda, iaitu serta. Serta seperti dirakam oleh Marsden mempunyai aneka pengertian yang baik. Misalnya serta dalam hal ini bermaksud bergerak seiring secara spontan (immediate), atau ikut sekali (ikut serta).

Serta ini justeru adalah bererti gelombang, ombak, atau kuasa ketiga yang menderu.

Jika anak-anak muda yang budiman itu semuanya percaya kepada kesetaraan dan tiada tandingan pula, kemudian masuk serta dalam satu pasukan untuk merubah sesuatu yang sudah rosak, tentulah kita tidak dapat tidak, tanpa berbelah bahagi menyokongnya.

Kita juga tidak turut serta dengan pasukan yang merosakkan.Tentu akan ada anak muda yang tujuannya mengkorup dan mengkurap.

Ini dapat kita fahami sesuatu yang alami memandangkan anak muda Nabi Adam pun ada seorang bernama Qabil itu jahat, sesat dan nanar gila menurut nafsu. Pun, ada anak muda yang budiman dan percaya kepada kesetaraan seperti Habil.

Menyembah dewa tua

Dia bekerja keras, sangat ingin membuktikan dan beriman. Ia hidup penuh rukun dan penuh panduan. Ia ingin meneroka dan kreatif. Ini kumpulan anak muda yang ingin kita sertai. Ini ikatan yang mempunyai petunjuk baik.

Serta juga membawa maksud bersetuju. Jika muda itu membawa arah dan gagasan murni tidak ada sebab-musabab untuk kita menolak dan tidak ingin serta. Maka persetujuan itulah akan menjadi kesepakatan, atau ikatan yang kukuh dan utuh. Justeru serta ini adalah satu ciri sihat.

Pun, kita tidak serta atau kita tidak bersetuju tanpa memberi penelitian yang bersungguh-sungguh. Anak muda sangat perlukan satu ikatan yang budi, tara dan serta ini. Misalkan jika di dalam politik, mereka sering dicicirkan. Baik dari segi kepimpinan mahupun dipaksa hanya mengekorkan.

Sudah masanya muda diberi peluang dan kesempatan. Sebab apa? Sebab ada pasukan yang ramai anak mudanya dan rapi rekrutnya, tapi sayang yang muda-muda itu hidup mati masa depan kariernya di tangan lima atau enam orang tua yang menetapkan standard tertentu sendiri-sendiri.

Ada pula pasukan yang ramai anak mudanya, tetapi memilih pekak apabila diberitakan keperluan untuk jangan menjadi tuli terhadap perubahan iaitu penyertaan muda.

Ada yang memilih untuk tidak memberi ruang kepada muda dari segi wajah atau idea, padahal individu itu segar. Dia hanya diberi sekadar ruang untuk menerang-nerangkan perkara sedangkan bakatnya untuk memimpin itu boleh dihujah luar biasa.

Anak muda tidak boleh sekadar menjadi ketua penerangan. Ada pasukan lebih dahsyat, muda-mudinya memilih untuk menyembah satu dewa tua sampai kapan pun.

Konon dewa itu ada cahaya.

Padahal cahaya yang terlalu banyak itu menyilaukan dan dek silau tidak dapat melihat kebenaran di sebaliknya.

Ada pula pasukan yang memang tua, lapuk, basi, purba, ketinggalan, keciciran, lembab, rosak, bebal, jahat bodoh sombong atau jadong, biasa-biasa, tidak melihat masa hadapan, buntu, bantut, sembab, memerlukan surat sokongan lagi korup juga kurap.

Tidak mustahil ada anak muda yang terperuk dan ingin tetap menurut pasukan tidak kreatif dan antik ini.

Mereka bukanlah musuh tetapi sasaran untuk diberi pendidikan. Mereka pasti melenting, dihujahkan demikian. Ini kerana mereka duduk di dalam buih atau lingkungan yang mereka perasan sungguh wong, padahal kutubnya itu wang.

Sungguh muda itu harus budi, tara dan serta. Muda seperti itu adalah pilihan yang bermutu. Muda begini kita beri masa kita.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.