Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Solat subuh, al-Quran dan Harakah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada muktamar PAS pada pertengahan bulan ini di Kota Bharu, ketua penerangannya Kamaruzaman Mohamad menyeru ahli parti menjadikan amalan membaca Harakahdaily sebagai rutin, baca setiap hari selepas sembahyang subuh.

Harakahdaily seperti kita tahu ialah versi atas talian akhbar Harakah, lidah rasmi PAS. Dan bagi Kamaruzaman menjelang PRU15, Harakahdaily “akan menjadi medium sangat penting untuk menyampaikan mesej kita (PAS) kepada seluruh rakyat Malaysia”.

Malangnya buat Kamaruzaman, lidah rasmi PAS itu kurang mendapat sambutan. Maka berkatalah beliau kepada ahli parti menerusi ucapan penangguhannya di muktamar lalu, seperti berikut:

“Kalau kita tidak sokong siapa lagi nak sokong. Hari ini saya nak seru setiap pagi bangun sembahyang subuh, baca al-Quran, lepas tu baca mathurat, lepas tu buka Harakahdaily.”

Bagi saya kata-kata itu bukan sekadar “seruan”. Ia boleh dilihat sebagai satu “rayuan”. Tidak tahu sama ada langkah terdesak atau tidak, tetapi beliau “merayu” ahli PAS tampil menolong, bukan untuk Harakahdaily sahaja tetapi juga Harakah cetak.

Katanya penjualan Harakah versi cetak masa ini sekitar 25,000 naskah sebulan bagi setiap edisi tetapi “ahli kita ada sejuta”. Maknanya, kata beliau, banyak kawasan yang masih belum melanggan Harakah cetak.

Lalu beliau berharap “kalau boleh kita nak tengok dua bulan selepas Muktamar, Harakah boleh cetak 50,000 naskah setiap edisi”.

Namun persoalannya bukan berapa jumlah naskhah yang Harakah boleh cetak. Persoalannya ialah bolehkah jumlah yang dicetak itu dijual? Dalam erti kata lain, adakah ahli PAS sendiri akan beli?

Perlu diingat, presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri pernah berkata kalau setiap ahli PAS beli Harakah, penjualan akan mencatat angka cukup besar, berdasarkan jumlah keahlian.

Harapan itu tidak kesampaian.

Sebaliknya Harakah dan juga Harakhadaily yang pernah gah pada suatu masa lalu sudah tidak segah dulu. Jelas ia diakui pimpinan tertinggi PAS sendiri.

Di mana silapnya?

Malah Harakah dilapor terbeban dengan masalah kewangan sehingga terpalit dengan isu tunggakan hutang yang tidak dilunaskan kepada syarikat pencetak, kelewatan pembayaran gaji kakitangan dan pelbagai kesulitan lain.


Baca: PAS: Harakah dalam proses bayar hutang pencetak


Lantas persoalan besar – di mana silapnya? Kalau ketika Harakah ditekan pihak berkuasa dulu dengan pelbagai sekatan, rintangan dan halangan masih boleh berkembang hebat mengapa tidak sekarang? Apatah lagi PAS sekarang berada dalam kerajaan persekutuan?

Saya hubungi tiga tokoh wartawan yang pernah membantu Harakah mencipta nama - untuk mendapat pandangan.

Bermula dengan Zin Mahmud. Beliau adalah tenaga awal atau antara pioneer – menyertai Harakah pada 1987 bertugas bersama pengarang tersohor allahyarham Subky Latif.

Zin pernah menyandang jawatan pengarang kumpulan mengetuai Harakah, majalah Dunia Islam dan Muslimah serta unit penerbitan buku.

Menurut Zin, pengedaran Harakah merosot apabila PAS berpecah, menyaksikan penubuhan Parti Amanah Negara. Ramai wartawan berpengalaman menyertai penerbitan Amanah. Ketiadaan mereka sekali gus dirasai serta tidak dinafikan menjejaskan mutu.

Bekas ahli PAS menyertai Amanah, katanya, tentunya tidak mahu membaca Harakah. Adanya media sosial dan Internet menyulitkan keadaan. Masalah kewangan juga boleh menyukarkan pengurusan.

“Mengapa Harakahdaily juga tidak mendapat hits ? Saya fikir pemberitaan dan dasar yang agak keras tidak menarik minat sebilangan besar masyarakat,” kata Zin.

Dia mengakui sememangnya PAS mempunyai ahli dan penyokong tetapi mereka tidak mahu membaca Harakah kerana sudah tahu mengenai pendirian parti.

“Mengapa harus mereka baca perkara yang mereka semenangnya sudah maklum”, ujar Zin.

Berdasarkan pandangan itu, izinkan saya mencelah – dasar Harakah ditentukan oleh PAS. Kakitangan hanya menjalankan apa yang digubal dan diarah pimpinan parti. Oleh itu untuk menyalahkan sepenuhnya kakitangan apabila Harakah merosot adalah tindakan tidak adil.

Seorang lagi tokoh wartawan yang saya hubungi tentunya Lutfi Othman - aktivis media yang terkenal dengan semangat kental memperjuangkan kebebasan akbar di Malaysia. Dia menyertai Harakah pada Mac 1987, seminggu sebelum akhbar Harakah edisi sulung diterbitkan.

Lutfi Othman 

Jawatan terakhirnya ialah ketua pengarang. Lutfi berhenti pada 2015 atas sebab kesihatan.

Menurut Lutfi, Harakah semakin menjunam teruk apabila fungsinya sebagai akhbar alternatif dibataskan untuk dijadikan “media rasmi parti dalam pengertian sempit”.

Sidang editorialnya, kata Lutfi, tidak lagi punya kebebasan malah terpaksa akur dengan “pantang larang” yang ketat sedangkan “dulu editor diberi ruang agak selesa untuk siarkan laporan yang dikira tidak becanggah dengan kehendak parti dan memenuhi kualiti kewartawanan yang baik”.

“Tapi pimpinan PAS kerap berbangga dengan keahlian lebih satu juta orang yang dilihatkan pasaran berpotensi untuk Harakah. Sedangkan tiada hubungan rapat antara keahlian PAS dengan jualan Harakah.

“Pembaca membeli Harakah bukan sangat disebabkan kesetiaan terhadap PAS. Mereka mahukan kandungan akhbar berkualiti dengan laporan bermutu,” menurut Lutfi.

Dia akui pasaran akhbar cetak dewasa ini amat terjejas seluruh dunia dan masyarakat beralih kepada media atas talian.

“Tapi,” kata Lutfi, “ isunya sekarang Harakahdaily juga tidak mendapat sambutan.”

Dan puncanya, kata Lutfi, sama seperti yang dialami Harakah cetak, iaitu susulan kandungan dan skop laporannya. Malah dalam beberapa hal, “memperbodohkan” khalayak.

Dan Harakahdaily dilihat “hanya berfungsi sebagai organ parti yang sempit, tidak meraikan kepelbagaian dan memperlekeh minda pembaca”.

“Namun ia bergantung juga kepada kualiti kepimpinan yang ditawarkan PAS. Pendekatan PAS dilihat semakin tertutup dan memupuk kefanatikan ataupun taat setia melulu, “ kata Lutfi.

Dari PAS, untuk ahli PAS

Saya hubungi juga Zulkifli Sulong, bekas ketua pengarang Harakah dan Harakahdaily dan tokoh yang “melahirkan” Harakah Web TV pada tahun 2000. Beliau berkhidmat daripada 1987 sehingga 2013.

Dan mungkin kesimpulan terbaik terhadap isu kemerosotan Harakah dan Harakahdaily dibuat oleh Zulkifli sendiri.

“Dari (pendekatan) PAS untuk rakyat, kepada dari PAS untuk ahli PAS”, katanya.

Intepretasi saya terhadap apa yang beliau katakan itu ialah Harakah dulu adalah untuk rakyat tetapi kini hanya untuk ahli PAS.

Walaupun dulu, mengikut syarat kerajaan BN, Harakah mesti diterbitkan khas untuk ahli PAS saja, akhbar itu tetap mengambil pendirian mendekatkan diri kepada rakyat dengan menyajikan laporan mengenai isu kepentingan rakyat. Bukan hanya ahli parti. Nampaknya ini sudah berubah sekarang.

Lalu teringat saya akan laungan atau slogan lama - PAS untuk semua. Namun itu juga nampaknya bukan keadaannya sekarang.

Kalau PAS bersifat eksklusif, Harakah sekadar mengikut langkah.

MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.


Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.