KOLUM | Sebelum mimpi lebih ngeri
Hari ini - setelah heboh kes Covid-19 bawaan dari Sabah - barulah ramai yang perasan bahawa kabinet kerajaan kini adalah yang paling ramai anggotanya.
Dan baru sekarang inilah ada yang mahu mengaku bahawa kebanyakan anggota kabinet itu dilantik sebagai hadiah kepada kesetiaan mereka kepada sang ketua.
Hakikatnya pendewaan kepada apa pun akan sentiasa membutakan. Namun dalam keadaan teraba-raba inilah kamu baru mula sibuk mencaci-maki para menteri.
Jika tidak kerana takutkan wabak, kamu semua akan sentiasa menjadi pak angguk yang memusuhi siapa saja yang kamu rasa mengkritik politikus pujaan kamu sambil memandang mereka seumpama setan.
Nah, mengapa tidak kamu cari politikus pujaan kamu yang baru pulang dari Sabah itu dan peluk serta cium mereka sebagai tanda terima kasih kerana memenangkan partai pujaan kamu itu?
Penyokong politikus yang tewas di Sabah itu pula jangan ketinggalan. Elok juga mereka mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi merangka langkah berikutnya bagi memastikan kemenangan dalam apa juga pertandingan merebut kekayaan negara ini nanti.
Di perhimpunan itu nanti bolehlah kamu berpeluk cium sambil menangisi kekalahan beramai-ramai.
Pedulikan apa juga penyakit yang sedang mengganas kerana apa yang penting ialah, partai kamu mesti memang.
Jika tidak - misalnya - apa faedah menteri tertentu tiba-tiba berkampung berminggu-minggu di Sabah dan kononnya membuat kerja itu dan ini tetapi sebenarnya semata-mata berkempen untuk partai?
Apa faedahnya kamu yang menjadi kuli politikus berbondong-bondong ke Sabah dan pulang membawa penyakit?
Apabila kami mengatakan bahawa menyokong partai politik secara membuta tuli akan menyebabkan politikus berasa bebas berbuat sesuka hati, kamu dengan keras mengatakan kami ini penyokong DAP, pelahap duit si kafir dan sebagainya.
Sedangkan apa yang kami perjuangkan ialah betapa perlunya kita semua menjadi tuan kepada politikus, bukan sebaliknya.
Ini tidak, apa saja yang dilakukan oleh partai kesayangan kamu adalah seakan-akan firman tuhan. Sebalikya siapa saja yang mengkritik sahih bakal penghuni neraka Wail.
Kita semua yakni rakyat negeri ini adalah kuasa besar yang boleh menentukan ke mana hala kehidupan bernegara. Cuma ia boleh dijadikan kenyataan hanya dengan tidak menjadi lembu tambat politikus.
Dengan cara itu kita akan terbebas daripada segala kecelaruan menjadi manusia.
Tak kiralah kamu PAS, Umno, DAP, Amanah, Usno atau pun partai Upko sekalipun. Jika kamu mahu bertenang dalam menyokong dan membuka fikiran tentang peri pentingnya negara ini melebihi kepentingan Bossku, Abah, Ayoh Chik atau Atuk kamu, sudah lama kita semua keluar dari kerja jahat ahli politik yang ada.
Kita menjadi marah kepada politikus yang kerjanya tidak lain dan tidak bukan hanya memikirkan cara untuk terus berkuasa. Segala tenaga yang ada mereka gunakan untuk mencapai cita-cita tersebut.
Perkataan keramat lagi lahanat yang sering mereka laungkan sudah tentu "demi rakyat". Rakyat negeri mana yang mereka perjuangkan?
Kita semua bergaduh dan saling membenci. Ini adalah senjata utama mereka. Pecah dan perintah, hasil tunjuk ajar penjajah yang baik hati memerdekakan negara ini lebih enam dekad lalu.
Kami ulangi: Politikus akan sentiasa mahu menang demi kepentingan diri sendiri dan sesiapa yang ada di sekeliling mereka. Kita semua adalah bidak-bidak yang akan diperbodohkan jika selamanya mahu patuh kepada mereka dengan kesetiaan yang membabi-buta.
Bangunlah dari mimpi indah yang dijanjikan partai politik sebelum ianya menjadi mimpi lebih ngeri. Bangkit dan menjadi manusia yang berfikir lebih daripada kepentingan manusia politik.
ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pelawak.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai