Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Generasi baru

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya menonton final US Presential debate, siaran langsung di TV antara Trump dan Biden. Ini bukanlah kali pertama terjadi di Amerika Syarikat - calon presiden bersemuka dan berdebat di hadapan jutaan penonton.

Tidak kisahlah siapa yang menang. Tiada impak untuk kita rakyat Malaysia secara amnya. Biarkan Amerika Syarikat menentukan arah dan hala negaranya untuk empat tahun akan datang. Baik dan buruk adalah pilihan mereka, rakyat Amerika Syarikat, sebuah negara maju dan yang kaya.

Dalam perdebatan itu, saya melihat dua orang tua atau senior bertikam lidah untuk menegakkan benang basah. Itu adalah perkara baik dan sihat untuk kesejahteraan rakyat yang berada di bawah.

Belum tentu janji calon boleh di tunaikan, ia membawa harapan supaya rakyat membuat pilihan.

Debat presiden Trump-Biden

Kini tahun sudah berlalu ke 2020. Di mana kita rakyat Malaysia?

Melihat dari percaturan politik semasa, kita masih di takuk lama dengan ahli-ahli politik lama, tua dan usang. Dalam 32.7 juta orang penduduk, kita masih ditahap politik yang mundur dan ke belakang.

Mungkin rakyat sudah jemu dan menyampah dan ramai tidak pergi mengundi nanti. Dan berapa ramai yang mendaftar untuk mengundi. Dari pengetahuan, orang Melayu masih ramai tidak mendaftar. Mungkin kerajaan patut pendaftaran secara automatik apabila sudah berusia 18 tahun, bukan 21 tahun.

Ramai tidak kisah dan tidak peduli. Ini satu lagi masalah generasi baru untuk memikirkan soal negara. Apabila tidak mengundi, tiada gunanya sebab yang mengundi masih orang lama yang mempertahankan politik rasis.

Wawasan 2020 sudah dilupakan, saya pun tidak ingat perkara-perka yang diimpikan. Untuk semasa, kita bercakap siapa perdana menteri, untuk orang lama bertarung dan bergaduh di pentas politik. Seakan tahun 80-an, 90-an masih berterusan dan berkekalan.

Di manakah generasi baru yang sepatutnya bangkit bersuara dan bertindak dalam masa depan yang semakin jauh untuk mereka? Suasana negara semakin memberatkan orang-orang muda untuk bekerja dan mencari rezeki.

Ada jurang perbedaan antara bawah 30-an dengan melebihi 50-an dalam perspektif dan hala tuju kehidupan.

Kerjaya semakin berubah dengan banyak pekerjaan dari bidang baru yang tidak terfikirkan sebelum ini. Apa lagi di tahun mendatang yang orang lama politik pun tidak terfikirkan.

Zaman serba mencengkam

Namun kita masih dikuasai oleh orang-orang lama yang tidak mahu mengundur diri untuk anak-anak muda bergiat. Sampai masanya anak-anak muda untuk memimpin dan berkuasa di zaman yang serba mencengkam.

Kita lihat di hampir semua negara maju, generasi muda terus ke hadapan. New Zealand misalnya, perdana menteri adalah golongan yang lebih memahami tentang apa kehendak generasi baru. New Zealand, negara tempat saya belajar dahulu, semakin dihormati.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern

Saya kagum melihat New Zealand dengan perubahan dasar dan lebih mengutamakan rakyat.

Saya pernah ditawarkan status pemastautin tetap sebanyak dua kali. Mungkin kali ketiga saya akan mengambilnya.

Pada pilihan raya ke-15, kita harus pastikan orang-orang politik yang bersih dan tiada skandal untuk bertanding dan menang. Rakyat harus juga bertukar dari pada parti kepada individu yang bersih dan punya daya kepimpinan.

Beri mereka peluang. Sekiranya mereka bertukar sikap, buang saja di pilihan raya berikutnya.

Mereka adalah orang muda, generasi baru yang lebih ramai untuk membuat justifikasi dan komitmen yang tinggi dalam abad yang lebih mencabar. Dunia semakin pesat, dinamik, pantas dan bukan untuk orang tua memikirkan masalah yang semakin berat.

Namun melihat dari pilihan raya negeri Sabah, ternyata pilihan masih lagi status quo dengan menaruhkan harapan pada parti dan orang yang sama. Biar sudah tahu mengenai korup dan skandal calon tersebut.

Dibiarkan secara skandal dengan memilih orang yang sama.

Saya berharap yang bertanding dalam piliharaya ke-15 lebih terbuka dengan memastikan orang muda diberi peluang. Kita mesti yakin dan percaya kebolehan orang muda untuk memimpin negara.

Sudah sampai masanya semua orang baru yang dipilih, mungkin dari parti Muda. Biar negara dilonjak dengan paradigma yang mencetuskan pemikiran baru dan perspektif berlainan dari sebelumnya. Apakah kita sudah bersedia?

Harapan kita semoga perdana menteri dari kalangan orang baru dan bawah umur 30-an!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.