Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Umno dengan keputusannya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika menolak permohonan perdana menteri Muhyiddin Yassin supaya darurat diisytiharkan di negara ini untuk memerangi wabak Covid-19, Yang di Pertuan Agong turut mengingatkan ahli politik memberhentikan segala “politicking” (mainan politik) yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan.

Beberapa jam setelah kenyataan itu dikeluarkan, ramai menteri dan orang kuat Muhyiddin berkumpul di kediaman perdana menteri untuk mengadakan pertemuan.

Tidak tahulah saya apa yang dibincangkan. Satu sumber yang dekat dengan perdana menteri dipetik media sebagai berkata pertemuan itu “ biasa-biasa saja”.

Keesokan hari, Muhyiddin diberitakan mengadakan mesyuarat kabinet.

Namun beliau dikatakan mengadakan juga mesyuarat dengan presiden parti politik komponen Perikatan Nasional (PN) atau yang pro gabungan pimpinannya.

Itu sebelah pagi. Pada tengah hari, BN pula mengadakan mesyuarat mereka.

Tengku Razaleigh Hamzah, antara pemimpin yang hadir dalam mesyuarat anggota parlimen BN

Dalam BN, seperti kita tahu, ada yang duduk dalam kabinet Muhyiddin, ada yang berada di luar kerajaan tetapi tetap pro-PN.

Ada juga yang kurang senang (marah?) dengan Muhyiddin dan gabungannya, contohnya Umno.

Apa pun mesyuarat BN itu diikuti dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada sebelah malamnya.

Lantas saya terbaca satu catatan di Facebook yang bertanya: “Asyik mesyuarat sana mesyuarat sini bila masa nak kerja?”

Soalan sinis itu jelas merujuk titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak tidak main politik dan mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk “bersatu padu dan bersatu hati” membantu pihak berkuasa membendung Covid-19.

Mesyuarat yang telah diadakan itu dihadiri orang politik. Oleh itu bolehkah disimpulkan ia juga sebahagian “ aktiviti politicking” - yang Agong mahu dihentikan?

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Mungkin boleh.

Tapi saya beranggapan semua mesyuarat itu diadakan bagi membolehkan orang politik merangka rancangan dan strategi bagaimana mereka boleh membantu memerangi Covid-19 dan lain usaha demi menstabilkan negara.

Kendurkan ketegangan

Maksudnya, tidak dikategorikan mesyuarat itu semua sebagai aktiviti main politik.

Ini demi memberi mereka yang bermesyuarat benefit of the doubt atau faedah keraguan.

Seperti kita maklum juga, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diadakan untuk memutuskan sama ada parti itu akan terus menyokong kerajaan PN atau menarik sokongan.

Itu antara agenda paling utama mesyuarat.

Zahid Hamidi

Selesai mesyuarat, Majlis Tertinggi Umno menerusi presiden parti Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan menghuraikan keputusan.

Memendekkan cerita yang panjang, ahli Parlimen Umno akan terus menyokong kerajaan PN.

Majlis Tertinggi Umno memutuskan mendokong sepenuhnya titah dan saranan Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatatan politik atau political ceasefire.

Bagus.

Majlis Tertinggi Umno juga menyarankan agar agenda perdamaian nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam kerajaan PN dan pembangkang.

Ini lagi bagus.

Pada masa yang sama Majlis Tertinggi Umno “mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP”.

Ketetapan itu mendorong seorang wartawan veteran memberi komen:

“Ini satu kes klasik percanggahan. Pada satu sudut presiden Umno kata partinya mahu inisiatif rekonsilasi nasional dan kendurkan ketegangan politik dengan gencatan politik.

“Tapi pada satu sudut lain beliau kata tidak ada kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Bagaimana matlamat yang beliau sebut tadi tadi akan dicapai tanpa kerjasama dua parti yang mempunyai blok terbesar di Dewan Rakyat?

“Nampaknya macam cakap cakap kosong . Walhasil balik asal,” katanya.

Ada benarnya hujah rakan saya itu. Rekonsiliasi membawa erti berbaik-baik.

Pendamaian mesti inklusif

Ia bermaksud “perbuatan memulihkan hubungan persahabatan pada keadaan semula ; perbuatan menyelesaikan perbebezaan”.

Ertinya merangkumi semua pihak seperti yang dinyatakan sendiri oleh Zahid: “menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti parti pembangkang”.

Inisiatif rekonsiliasi ialah inklusif, bukan eksklusif . Kalau pilih si anu tapi tolak si polan - bukan rekonsiliasi namanya. Apatah lagi inisiatif sebesar rekonsiliasi nasional .

Maka bertanya seorang lagi wartawan otai:

“Apa yang dimaksudkan dengan inisiatif rekonsiliasi nasional atau agenda perdamaian nasional yang dicadang Majlis Tertinggi Umno?”

Saya kongsi persoalan itu.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.