KOLUM | Siapa menang?
Selasa 3 November 2020 lebih daripada 300 juta warga Amerika Syarikat akan memilih presiden. Lebih daripada 80 juta telah mengundi awal. Semua angka, semua pugutan suara.
Semua pemerhati politik dalam Amerika dan luar Amerika berpendapat Presiden ke-45 Amerika Syarikat Donald Trump akan kalah. Joe Biden akan menang.
Apa makna dan tanda politik Amerika yang berlaku sekarang? Apa pula implikasinya terhadap politik dan ekonomi dunia?
Wajib diakui Amerika pemilik ekonomi kapitalis terbesar dunia. Pemilik bala tentera terbesar dalam dunia. Apa sahaja berlaku di Amerika akan membawa tempias kepada dunia.
Minggu lalu saya ada menimbulkan apa yang dipanggil ‘October Surprise' atau saya panggil 'Gempak Oktober'.
Pada bulan Oktober – bulan terakhir sebelum mengundi biasanya tukang kempen parti Demokrat atau Republikan akan membocorkan maklumat terkini tentang musuh masing-masing dalam usaha untuk meraih undi. Atau membuat kenyataan dasar yang tidak disangka yang diharapkan boleh menjadi besi berani menarik undi.
Gempak Oktober adalah konsep politik Amerika ini di saat akhir untuk memburukkan musuh. Pada tahun 2016, Demokrat membocorkan e-mail Trump. Republikan juga membocorkan e-mail Hillary yang menggunakan email resmi kerajaan untuk kegunaan pribadi. Ketika itu Hillary ialah setiausaha negara di bawah kerajaan Obama.
Gempak Oktober kali ini muncul pada 14 Oktober. Tabloid New York Post membocorkan rahsia dari sebuah kompter riba.
Amerika jadi heboh. Berita ini meledak untuk memburukkan Biden.
Kisah bermula pada April 2019 – seorang Mamat tuan punya kedai memperbaiki komputer di Delware telah menerima sebuah komputer riba untuk dibaik pulih. Tetapi tuan empunya komputer tidak datang untuk mengambil kembali komputer yang telah dibaiki.
Mamat ini terlihat isi kandungan komputer. Dia risau lalu dia membuat satu salinan. Kemudian mamat ini menghubungi FBI dan menyerahkan komputer ini.
Tunggu punya tunggu FBI tidak melakukan apa-apa maka mamat ini menghubungi Rudy Giuliani (gambar, bawah) bekas Datuk Bandar New York dan juga peguam Trump.
Giuliani membaca isi kandungan komputer. Dikatakan ada surat, ada gambar dan ada klip video seks dengan gadis bawah umur. Rudy Giuliani memberikan isi komputer riba untuk ‘diletupkan' oleh tabloid The New York Post.
Pada hemat sesiapa saja yang membaca isi kandungan emel yang dikatakan itu akan terperanjat. Isinya jika diselidiki akan memperlihatkan bahaya kepada Amerika. Terutama daripada segi pertahanan. Surat menyurat yang dikatakan juga menunjukkan telah berlaku salah guna kuasa dan rasuah.
Isu komputer ini meledak bukan kerana video seks tapi kerana pemiliknya dikatakan bukan orang biasa. Pemiliknya didakwa Hunter Biden anak lelaki Joe Biden bekas naib presiden dan calon presiden 2020.
Hunter seorang ahli perniagaan yang dikatakan gagal. Hunter juga didakwa pemadat kokain. Untuk hidup mewah Hunter dikatakan telah menjadi ‘broker’ menjual nama ayahya yang pada ketika itu naib presiden di bawah presiden Obama.
Kita di Malaysia tidak hairan dengan berita seperti ini. Tapi ini pertama kali 'kisah benar’ sebegitu berlaku di Amerika.
Kita di Malaysia ada Riza Aziz. Riza Aziz ada Jho Low. Riza dituduh jual nama Najib. Hunter dituduh jual nama Biden. Tapi siapa Jho Low untuk Hunter.
Jeng jeng jeng. Jangan risau Hunter juga ada Jho Lownya. Menurut New York Post, peranan Jho Low dimainkan oleh Ho Chi Ping. Siapa sosok ini?
Dari maklumat komputer didapati bagaimana Hunter telah dihubungi oleh Ho Chi Ping. Lelaki Cina ini membuka peluang perniagaan cari gali minyak melalui Syarikat CEFC China Energy kepada Hunter Biden.
Ini dikatakan modus operandi yang dijalankan oleh China Merah di serata dunia dalam usaha China Merah merancang untuk menjadi kuasa imperial baru. China Merah mahu menggantikan kuasa imperialis Amerika Syarikat. Kini melalui Hunter Biden, China Merah telah berjaya menyusup ke puncak kuasa di Rumah Putih.
Dalam masa yang sama, kata laporan New York Post lagi, Hunter juga telah direkrut oleh Burisma – syarikat cari gali Ukraine. Burisma telah melantik Hunter untuk menjadi ahli lembaga pengarah dengan gaji dan saham yang lumayan walau pun Hunter buta dalam hal perniagaan apatah lagi dalam ilmu cari gali bahan bakar petrolium.
Tidak cukup dengan imbuhan kepada Hunter, Burisma juga didakwa akan memberi 10 peratus potongan kepada Big Guy.
Ingat tidak? Malaysia ada MO1. Amerika ada Big Guy. Siapa MO1? Siapa Big Guy?
Apabila dikaji dan diselidiki isi kandungan surat menyurat dari dalam komputer maka semuanya terbongkar jelas.
Kisah Hunter yang dikatakan menjual nama ayahnya bukan satu pekara baru. Malah isu ‘jual nama’ ini telah ditimbulkan dalam Kongress Demokrat pada tahun 2019 lagi. Ramai ahli parti tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oeh Hunter.
Media dan ahli parti telah mendesak Joe Biden untuk menerangkan duduk perkara. Sama seperti jawapan Najib ‘saya tak tahu’.
Joe Biden juga mengakui bahawa dia tidak tahu menahu hal perniagaan anaknya. Joe Biden menafikan yang dia ada hubungan dengan perniagaan anaknya. Bila media memberi tekanan Biden terus berkeras menafikan.
Tup-tup emel surat menyurat dalam komputer mencerahkan semua yang kabur. Jelas China Merah dan Ukraine sedang menggunakan Hunter Biden untuk mempengaruhi bakal presiden Amerika. Daripada emel ini, dikatakan Big Guy ialah Joe Biden.
Apa terjadi?
Bila berita ini meledak pada 14 Oktober 2020 – warga Amerika marah. Melalui media sosial - Twitter, Google dan Facebook berita ini telah dihebohkan. Twitter dan Facebook mengambil langkah ‘ ganas’.
Semua berita yang membawa berita komputer riba dilupuskan atau ditapis. Tuan empunya akaun dipadamkan. Amerika gempar. Jelas media neo liberal dan syarikat teknologi semunya cuba mempertahankan Joe Biden.
Media arus perdana seperti The New York Times, Washington Post mengambil pendirian bahawa - apa yang sedang berlaku ialah projek Rusia menyebarkan berita palsu untuk mensabotaj peluang Biden daripada menang.
Rusia sekali lagi seperti tahun 2016 telah digunakan sebagai hantu untuk menakutkan warga Amerika. Walhal yang jelas terbabit hitam putih ialah peranan China Merah.
Keadaan ini telah memanggil Pengarah National Intelligence John Ratcliffe (gambar, atas) untuk membuat kenyataan. Pengarah Intel ini telah menafikan secara terbuka peranan Rusia. Pengarah Intel berkata bahawa Rusia tidak terbabit dalam kes komputer Hunter Biden ini. Khalas.
Tidak cukup dengan ini - pada 27 Oktober 2020 – stesen televisyen Fox telah membuat temu bual dengan Tony Bobulinsky rakan niaga Hunter Biden dalam syarikat SinoHawk Holding.
Tony menerangkan hubungan syarikat mereka dengan syarikat CEFC China Energy. Tony juga memberitahu media bahawa Joe Biden berbohong kepada rakyat Amerika. Joe Biden tahu semua perniagaan yang dijalankan oleh anaknya Hunter.
Pada 29 Oktober 2020 - Jawatankuasa Senat Amerika telah memanggil Mark Zukerberg daripada Facebook, Jack Dorsey dari Twitter dan Sundar Pichai dari Google.
Tak sampai satu minggu sebelum pengundian berlaku Dewan Senat Amerika mahu tahu kenapa media sosial menjalankan ‘censorship’ melupuskan berita, menapis berita daripada diketahui oleh warga Amerika.
Propaganda tentang demokrasi dan kebebasan bersuara di Amerika menjadi persoalan. Kini media Amerika telah sama tarafnya dengan media dunia ketiga saperti di Korea Utara atau di China Merah. Amin.
Kita di Malaysia tidak hairan lagi dengan kes rasuah di kalangan pemimpin negara. Kita tidak terperanjat apabila tahu bagaimana Riza Aziz anak tiri Najib menjual nama Najib yang ketika itu perdana menteri Malaysia.
Undi popular bukan penentu
Kini dari mahkamah, kita telah mendapat pencerahan akan peranan Jho Low. Ketua polis negara juga telah beberapa kali secara berlapik membocorkan kepada media peranan China Merah yang memelihara Jho Low.
Untuk warga Amerika 'October Surprise' memang memeranjatkan. Apakah gempak Oktober akan mengubah hati pengundi? Mari kita sama lihat jawapannya pada Selasa 3 Oktober depan.
Siapa agaknya pilihan warga Amerika. Daripada semua pungutan suara dilihat Joe Biden akan ke Rumah Putih.
Ketika tulisan ini digarap Joe Biden mengatasi Donald Trump lebih dari 10 peratus. Populariti Joe Biden 51 peratus dan Donald Trump 43 peratus.
Tapi awas pada tahun 2016, Hillary mengatasi 16 peratus populariti Trump. Hillary mendapat undi lebih 3 juta berbanding Trump tapi masih kalah.
Undi popular dalam pilihan raya presiden di Amerika sama seperti di Malaysia bukan penentu.
Amerika menggunakan ‘electoral college system' sebagai pemilih akhir. Setiap 50 buah negeri di Amerika memilki undi. Undi negeri ini akan dikumpulkan sebagai penentu.
Apakah Donald Trump akan berjaya melakukan seperti apa yang telah dilakukan olehnya terhadap Hillary Clinton pada tahun 2016. Ketika itu semua media menyokong Hillary.
Semua media meramal Hillary. Malah ada akhbar lebih awal telah membuat tajuk berita – Hillary ke Rumah Putih.
Mari kita tunggu dan lihat. Jika Joe Biden menang apa akan berlaku. Jika Trump kalah apa akan terjadi. Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai