KOLUM | Salleh Ben Joned 1941-2020
Tahun 1973/74 aku bercuti dari belajar selama setahun. Aku menjadi aktivis pelajar sepenuh masa. Aku dibenarkan bercuti oleh Universiti Malaya (UM) kerana aku telah diberi kepercayaan untuk menjadi setiausaha agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
Satu petang di Rumah Pesatuan untuk kali pertama aku berjumpa Salleh Ben Joned. Dia datang membawa satu tulisan meminta dimasukkan ke dalam Mahasiswa Negara – akhbar PMUM. Aku lupa apa terjadi dengan tulisan itu.
Sebenarnya aku telah mendengar berita tentang sosok ini. Sosok ini baru sampai dari Australia. Dia baru masuk ke Universiti Malaya untuk jadi guru di Jabatan Inggeris. Aku mendengar soh seh soh seh yang Mamat ini suka memakai baju hitam dan berterompah kayu bila datang mengajar.
Pelajar di Jabatan Inggeris menjadi gempar kerana ada Mat Cool yang counter culture mengajar sastera Inggeris. Budaya hippie sedang dilihat cool. Memakai kasut kulit dianggap ‘apiah atau pakaian Mat Belia’. Berkaki ayam lebih cool.
Di UM aku sendiri tak pernah ada kasut. Aku memakai selipar Jepun. Kalau ada mesyuarat rasmi aku pinjam kasut kawan.
Petang itu, bila kami pertama berkenalan memang sahih Salleh Ben Joned berbaju hitam. Tapi tak berterompah – dia memakai selipar Jepun.
Lalu kami bersembang. Salleh bersurah tentang Australia, tentang Tasmania dan tentang gerakan pelajar di Australia menentang Perang Vietnam. Salleh menyimpang juga ke gerakan pelajar Malaysia di Hobart dan di Sydney.
"Aku ada terima majalah dan akhbar dari persatuan pelajar Malaysia dari Australia. Dihantar ke PMUM. Pernah sekali aku baca tulisan Malchin.’
"Apa? Kau pernah baca? Ha ha ha… Melayu China India ..itu nama pena aku… ha ha ha."
Kali kedua kami bertemu di simpang jalan nak masuk ke Rumah Persatuan di tepi Fakulti Pertanian. Aku sedang menapak nak ke Dewan Tunku Chanselor.
Salleh memandu kereta sport MG hijau tak ada atap. Seorang Minah Salleh duduk di sebelah. Dia memperlahankan kereta hingga aku dapat bertanya.
"Nak ke mana?"
"Nak pergi berjubur," Salleh ketawa. Minah Saleh tersenyum. Pasti Minah ini tak faham kenapa kami ketawa. Aku ketawa kerana cuaca agak panas untuk berjubur dalam kereta. Petang itu aku senang hati bertemu sosok yang memberi jawapan jujur.
Seni daripada seniman tulen
Kemudian, satu petang aku dengar berita tentang Salleh telah terkencing di Dewan Bahasa dan Pustaka. Mengikut surah yang aku dengar Salleh ‘meluat’ dengan majlis yang sedang berjalan pada petang itu. Majlis di mana para sasterawan sedang mengada-ngada.
Di mana Salleh terkencing dan apa yang Salleh kencing aku tak ambil pot. Kerana aku sendiri pun selalu terkencing merata-rata. Pada aku terkencing permintaan semulajadi badan. Justeru tak perlu ditahan-tahan.
Babak Salleh terkencing ini berlaku tahun 1974. Pada tahun 2020 ini, setelah aku tahu sikit-sikit tentang seni maka ‘Kencing Salleh' ini akan aku takrifkan sebagai ‘performance art’. Bayangkan betapa hebatnya ‘Kencing Salleh’ hingga ke tahun 2020 masih diperkatakan. Ini lah seni daripada seniman tulen namanya.
Pada tahun 1974, ekonomi Tanah Melayu masih dalam genggaman kuasa kolonial Inggeris. Parti United Malays National Organisation yang menetas dalam reban kuasa kolonial Inggeris sedang diserang oleh tentera pembebasan Rakyat Malaya di bawah Parti Komunis Malaya (PKM ) dari sempadan Siam.
Perang Vietnam sedang membara. Asia Tenggara bergolak. Maka tuan Inggeris datang membantu membuat perang saraf anti garis gerakan pembebasan PKM.
Justeru filem Paper Tiger membuat penggambaran di Tanah Melayu. Salleh berlakon menjadi pemimpin gerila PKM yang mengganas. Salleh berlakon dengan David Niven dan Toshiro Mifune dua aktor tersohor.
Pada 9 Disember 1974, aku menghilangkan diri. Polis mencari aku. Akhbar Utusan meletakkan muka aku di muka depan akhbar bila aku gagal datang ke Mahkamah di Johor Baru.
Aku bergerak di bawah tanah. Pindah dari satu tempat ke satu tempat. Salah satu tempat aku menumpang sebelum aku mencelah ke sempadan Siam ialah di rumah Usman Awang aka Tongkat Waran. Rumah Tongkat di daerah kelas menengah Melayu di Kampung Tunku.
Aku masih ingat lagi satu petang Tongkat baru pulang dari Dewan. Ini bulan Jun 1975. Bulan ini aku ingat kerana ianya sebulan sebelum hari jadi Tongkat sampai. Ketika ini Tongkat bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Tadi Salleh datang ke Dewan… dia jumpa abang," Tongkat membahasakan dirinya abang. Salleh ini memang rapat dengan Usman Awang. Dua sosok ini terlibat dalam dunia tulisan dan sastera.
"Ada apa dengan Salleh, dia nak hantar tulisan ke?" Aku bertanya kerana Tongkat menjaga majalah Dewan Sastera.
"Dia nak jual buku. Dia kata dia dah pokai. Dia nak minta Dewan beli buku-buku dia.
"Buku apa? Banyak buku dia.
"Banyaklaaa… buku library yang dia pinjam tak pulang, buku-buku yang dia curi." Selamba Tongkat melawak sambil memandang muka aku. Kami ketawa kerana kami memang kenal siapa dia Salleh Ben Joned.
Penyunting skrip di TV3, kolumnis NST
Tahun 1976 aku berkelana di Australia. Pada satu hujung minggu aku hadir satu program pelajar bersama ahli akademik di Universiti Sydney. Aku bukan ahli akedemik. Aku datang untuk mendengar perbincangan.
Selesai program kami ada minum-minum. Tiba-tiba seorang Minah cun, lampai dan bergetah datang memperkenalkan diri.
"You… Isham? Heard about you." Dia menghulur tangan aku perhatikan di dadanya terselit tanda nama Kay Salleh…’
"I’m Kay… Kay Salleh.. from Sydney Uni."
Minah ini aku pernah dengar namanya. Dia ahli sosiologi. Ini betul-betul Minah Salleh. Minah yang dipelok oleh Salleh. Minah ini bernama Kay. Kay masih bangga memakai nama Salleh di dada walau pun dari apa yang aku dengar mereka telah lama berpisah sebagai suami isteri.
Tahun 1990, aku telah menjadi warga kota London. Tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon daripada Salleh. Ketika itu aku menjadi pelayan di Restoran Garuda 150 Shaftesbury Avenue.
Kami bertemu di The Cambridge Pub – tiga minit menapak dari tempat aku bekerja. Aku cukup senang hati dapat bertemu Salleh. Aku bertanya tentang Si Polan dan si Polan dalam UM.
Dia bersurah yang dia dah berhenti dari UM. Pindah ke stesen televisyen buat itu dan buat ini. Di TV3, Salleh menjadi penyunting skrip. Dia juga ada kolum As I Please di akhbar The New Straits Times (NST).
"Aku datang London ini nak bincang dengan penerbit Skoob Books. Opis dia di sini. Kau kenal Ike Ong?" Aku mengeleng kepala.
Esoknya kami ke Russel Square untuk berjumpa Ike yang bercadang hendak menerbitkan buku Salleh. Aku tak pernah membaca kolum Salleh jadi aku tak tahu apa isi tulisan. Aku tak campur perbincangan. Aku hanya menemani Salleh. Pulang dari Russel Square kami naik kereta api bawah tanah ke Oxford Street.
Ketika sampai ke Oxford Street pejabat telah tutup. Stesen agak lengang. Menjadi kebiasaan warga kota London membaca Evening Standard akhbar petang ketika menunggu atau dalam keretapi. Sesudah membaca akhbar akan dibuang atau di tinggalkan di tempat duduk.
"Ehhh, tak perlu ambik laa," aku memberi ingatan bila Salleh menyeluk tong sampah dalam stesen untuk mengambil akhbar Evening Standard yang telah dibuang.
"Wow… kau dah jadi bourgeoise," Salleh memperli aku. Aku tak ada jawapan.
"Aku nak baca bila opera, aku dengar Pavarotti ada bagi free konsert di Convent Garden… aku nak dengar arias dia."
Kemudian Salleh memberi aku kuliah tentang Three Penny Opera garapan seniman Marxist Bertolt Brecht. Petang itu aku hanya mendengar seperti Jebat dan Lekir yang mendengar syarahan dari Adiputra tentang ilmu silat. Sosok di hadapan aku yang penuh dengan ilmu pengetahuan.
Malah konsep - teater jalanan – yang aku mulakan di Tasik Utara (1974) sebagai agit-prop – agitasi propaganda – aku mula mendengar dari surah Salleh yang telah melihat street teater dipentaskan oleh pelajar anti perang Vietnam di German.
Akhirnya, setelah dua puluh tahun berkelana aku pulang ke Malaysia. Aku perbaharui hubungan dengan Salleh.
Buku yang dirancang di London telah diterbitkan. Dia merancang untuk menerbitkan buku puisi dan merancang teater Mat Solo.
Satu hari Salleh mengajak aku bertandang ke rumahnya di Subang Jaya. Salleh mahu menunjukkan pada aku satu keping pantun tulisan tangan Shahnon Ahmad (gambar, bawah) yang dihadiahkan kepada Salleh.
Ini pantun erotik Melayu. Menurut Salleh pantun ini ditulis Shahnon sebelum dia menjadi ahli parti Islam. Sebelum Shahnon menjadi ahli kumpulan Arqam.
Menurut Salleh inilah contoh sosok Melayu lama yang jujur, penuh erotika dan berhati mulia. Istilah Melayu lama di munculkan oleh Salleh sebagai perlawanan menentang konsep Melayu Baru yang sedang diheboh-hebohkan pada ketika itu.
Salleh Ben Joned memang ulat buku. Buku-buku dalam bilik Salleh melimpah keluar luar bilik. Aku melihat betapa banyaknya buku koleksi Salleh.
Lalu aku teringat apa kata Tongkat satu ketika dulu tentang Salleh yang mahu menjual bukunya. Aku minta pinjam satu buku. Aku ambil buku Bakunin on Anarchism.
Pada 10 April 2001 aku ditangkap di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA). Aku dihantar ke kem Kamunting untuk ditahan. Ketika ini aku masih berhadapan dengan dua kes terlibat dalam perhimpunan haram.
Kes ini masih berjalan. Dua atau tiga bulan sekali aku akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk menyambung perbicaraan di mahkamah lama sebelah Masjid Jamek.
Selalunya ramai kawan-kawan akan datang ke mahkamah Ketika aku dibicarakan tanda bersetia kawan. Kami tak boleh bercakap. Hanya melambai-lambai, toleh-menoleh dan jika nasib baik boleh bersalaman.
Aku ingat lagi pada bulan puasa November 2002 aku dibawa ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan. Sesampai ke mahkamah aku ternampak ramai kawan telah sedia duduk dalam mahkamah. Aku ternampak Salleh Ben Joned duduk di kerusi paling atas paling belakang - di sudut. Dia memakai baju putih lengan penjang putih.
Aku merasa amat gumbira di mahkamah kali ini. Aku merasa aku telah bebas. Ini kerana kawan lama Salleh Ben Joned ada datang sama.
Selesai bicara warden penjara memasang gari. Aku akan dibawa ke dalam van untuk dibawa pulang ke Bilik Sulit. Ini tempat rahsia yang hingga ke hari ini aku belum 100 peratus pasti di mana letaknya.
Polis mahkamah mengarahkan semua bangun dan keluar dari mahkamah. Aku menggamit Salleh. Dia bangun. Tangan aku bergari. Salleh dari tingkat atas cuba turun ke bawah untuk berjabat salam dengan aku. Polis menepis takut ada sesutu yang akan masuk di seludup ke dalam tangan aku.
Bayangkan aku di tingkat bawah Salleh dari tingkat atas menunduk menghulur tangan. Tiba-tiba dari poket baju Salleh terjatuh sekotak rokok.
Salleh pun dengan cepat mengambil rokok dan memasuk ke dalam saku. Aku ketawa bukan kerana rokok itu untuk aku. Aku ketawa kerana dalam bulan puasa pun Salleh masih ada rokok. Ini tanda sosok Melayu yang tidak pernah digula-gulakan oleh Tok Arab.
Tahun2003 aku dibebaskan. Aku berhubung kembali dengan Salleh. Dia sedang masih merancang untuk menerbitakn buku puisi. Sekali lagi Salleh memperkenalkan aku dengan seorang penerbit.
Dulu Ike Ong dari Russels Square kali ini John Lee dari Petaling Jaya. Kami menjalin persahabatan.
Pada pagi Khamis 29 Oktober 2020 yang lalu aku terima pesanan ringkas dari Adman Salleh. Adman memberi tahu bahawa Salleh telah meninggal dunia. Adman ialah pengarah filem Bintang Malam (1991) yang Salleh menjadi pelakon.
Aku menghantar pesanan ringkas kepada semua kenalan. Kemudian aku menelefon Adman. Aku menelefon John Lee. Kami merancang untuk menziarah jenazah. Aku siap sedia menunggu.
Tiba-tiba Adman menelefon memberi tahu bahawa hanya keluarga terdekat yang dibenarkan datang melawat jenazah. Ini peraturan Covid-19. Kemudian aku menelefon John Lee dan memberi tahu maklumat yang sama.
Sosok lelaki berbaju hitam berterompah kayu telah meninggalkan kita. Buku-buku dan tulisan Salleh masih segar dibaca. Hanya aku harap pantun tulisan tangan Shahnon Ahmad masih ada tersimpan. Tanda bukti Melayu sebelum mengada-ngada nak jadi Arab.
Buku Bakunin on Aranchism milik Salleh yang aku pinjam masih belum aku pulangkan. Entah di mana aku letakkan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai