Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Selamat dari tali gantung

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dalam tempoh vakum kuasa selepas pengunduran tentera Jepun, Bintang Tiga menguasai banyak kawasan di Tanah Melayu. Beberapa tangkapan dibuat.

Antara yang ditangkap ialah Ishak Mat Sidi bersama 10 orang termasuk Khalifah Perang Sungai Manik, Patuan Guru Hj Bakri.

Mereka ditangkap ketika dijemput menghadiri majlis perdamaian akibat kekacauan di Sungai Manik pada 1945. Mereka terperangkap oleh helah Bintang Tiga.

Kesemua mereka ditangkap di Sekolah Wah Keow, Langkap dan dibawa ke lokap Balai Polis Bidor sebelum ke penjara Batu Gajah.

Ishak ialah orang Melayu Perak yang ramai ahli keluarganya di Degong, Tukang Sidin dan juga di Sungai Lampam. Dia merupakan anak Ketua Kampung Sungai Lampam, Mat Sidi bin Lebai Tan.

Mat Sidi menjadi ketua kampung sejak 1933 atau pada awal-awal tahun pembukaan sawah padi di mukim Sungai Manik hingga tahun 1970-an. Pengaruhnya besar.

Sebelum pembukaan sawah padi di Sungai Manik, orang yang tinggal di sepanjang landasan kereta api dan pesisir Sungai Perak adalah orang Melayu Perak.

Dalam catatan bekas residen British di Perak, Frank Swettenham, dan sumber lisan tempatan, selepas pemberontakan Melayu di Pasir Salak, ramai keluarga mereka yang terlibat berpindah ke kawasan pedalaman untuk mengelak tekanan Inggeris.

Ramai ambil kesempatan

Kemudian setelah Inggeris membuka tanah untuk penanaman padi, kerajaan menawarkan penduduk di sepanjang tepi Sungai Perak untuk menjadi pesawah.

Bagaimanapun, tawaran tersebut kurang menggalakkan. Menurut Haji Ayub Nordin yang pernah bertugas sebagai penghulu muda di Mukim Sungai Manik antara 1959 hingga 1962, mereka lebih senang tinggal di tepi Sungai Perak daripada memulakan hidup baru di kawasan yang masih berhutan tebal.

Setelah itu, Inggeri menawarkan kepada orang dari Banjarmasin, Sumatera dan Jawa merantau ke Sungai Manik dan mengusahakan tanaman padi.

Bersawah memang sudah tradisi warisan sejak beberapa generasi di kampong asal mereka. Mereka adalah perantau dari segi antropologi. Mereka bukan pendatang.

Pengunduran Jepun menyebabkan berlakunya kekosongan kuasa di Tanah Melayu menyebabkan berlaku kekacauan di sesetengah tempat. Inggeris banyak membantu Bintang Tiga dari segi logistik, kewangan dan maklumat semasa pendudukan Jepun.

Ada pihak yang mengambil kesempatan pada waktu kritikal itu. Bintang Tiga mendakwa kekacauan dicetuskan oleh Angkatan Fasis Jepun dan Kuomintang.

Sebaliknya Inggeris menyalahkan Bintang Tiga sebagai pencetus kekacauan. Hakikatnya, rakyat bawahan tetap menjadi mangsa sebenar dan menderita serta hidup dalam ketakutan.

Mereka yang ditahan Bintang Tiga menjalani proses pengadilan di bawah Pentadbiran Tentera British (BMA) setelah mereka mengambil alih sepenuhnya pentadbiran Tanah Melayu.

Sebelum itu, mereka diadili oleh mahkamah rakyat yang menjalankan proses pengadilan secara tergesa-gesa serta terdapat unsur balas dendam atau kepentingan peribadi.

Ada proses pengadilan dijalankan hanya di bawah pokok dan disaksikan orang ramai. Bahkan hukuman tembak sampai mati juga dijalankan di hadapan orang ramai.

Ditahan tanpa khabar berita

Itulah yang berlaku di Sekolah Wah Keow, Langkap. Begitulah yang tercatat dalam Mingguan Malaysia hasil tulisan wartawan veteran almarhum Abu Bakar Sidek pada 1987.

Hal yang sama juga berlaku di beberapa kawasan di beberapa negeri lain. Antaranya di Bruas dan Pantai Remis seperti yang dicatat dalam tesis Ahmad Zaki Mohd Johari yang bertajuk Kerjasama dan Konflik Antara Parti Komunis Malaya dengan British di Tanah Melayu, 1941-1948 pada 2017 dari Universiti Malaya.

Mereka yang ditahan Bintang Tiga menjalani pengadilan di bawah BMA. Sebelum Inggeris masuk semula ke Malaya, Bintang Tiga melalui mahkamah rakyat menjatuhkan hukuman kepada orang yang disyaki bekerjasama dengan Jepun.

Pada masa itulah berlaku kezaliman apabila ada tuduhan dibuat walaupun tanpa ada asas kukuh.

Bagi 11 orang yang ditangkap itu mujurlah mereka belum sempat lagi diadili oleh mahkamah rakyat. Nyawa mereka betul-betul di hujung tanduk.

Namun ketibaan tentera Inggeris tepat pada waktunya. Mereka dibicarakan dalam mahkamah yang diurus oleh BMA. Kesemua tahanan itu dibebaskan kecuali Ishak yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah BMA memutuskan Ishak bersalah atas tuduhan melakukan rusuhan dan kekacauan awam.

Patuan Guru Haji Bakri yang menjadi khalifah dan yang lain-lain pulang ke kampung masing-masing setelah ditahan tanpa khabar berita. Mereka akhirnya dapat bertemu keluarga masing-masing.

Mungkin mahkamah BMA mendapati kurang bukti atau ada hal-hal yang tidak diketahui lagi.

Keluarga Ishak kemudian berusaha mendapat pengampunan daripada Sultan Perak. Tentulah proses itu panjang dan melalui pelbagai peringkat pentadbiran.

Sebagai ketua kampung, Mat Sidi mempunyai ‘suara’ untuk sampai ke pengetahuan pihak istana.

Mat Sidi bin Lebai Tan, Ketua Kampong Sungai Lampam bersama isteri keduanya, Maimunah.

Kemudian, Ishak dibebaskan tetapi dinasihati oleh Sultan Yusuf Izuddin Shah agar dia lagi tidak tinggal di kampung. Dia menggunakan nama ‘Yusuf’ sebagai identiti diri baru bagi memulakan hidup baru.

Mungkin bagi mengelakkan tindakan balas dendam dan sebagainya. Dia berpindah ke Melaka dan bekerja sebagai polis dalam cawangan khas. Dia meninggal dunia di Bertam, Melaka pada 2011.

Adakah Ishak terlibat dalam pertempuran Perang Sungai Manik yang berlaku di Jambatan Sungai Batang Padang di Degong? Degong ialah pintu masuk ke kampung. Ia ibarat pintu kota.

Mungkinkah dia mahu menghalang Bintang Tiga masuk ke kampungnya?

Mungkinkah Ishak berjuang tanpa pengikutnya? Jika ada pengikutnya, siapakah mereka? Atau mungkin mereka menjadi mangsa ‘character assassination’ yang menyebabkan sejarah mereka hilang.

Atau sejarah hitam itu sememangnya mahu terus dilupakan?

Banyak lagi persoalan yang perlukan penelitian dan kajian lanjut. Sejarahlah yang sentiasa membangkitkan kesedaran secara wajar dan rasional. Tetapi pensejarahan yang sarat dengan kebencian hanya melemahkan bangsa. Bukan menguatkan.

  • (Artikel ini sebahagian daripada kandungan dari kajian Antropologi Politik Kampung Sungai Manik yang diusahakan oleh penulis dengan berasaskan sumber lisan dari temubual dengan Shafei Ariffin, Mohamad Noor Salim dan rujukan lain. Penulis mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan bagi memperbaiki kajian ini. Sila hubungi: [email protected])


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei serta buku dan sekarang sebagai koodinator Melaka 5 Minit yang menerbitkan video dokumentari di media sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.