KOLUM | Warkah kakang buat Ayun di Meru
Kepada Ayun,
Bacalah pepatah yang kakang kamu karangkan ini. Pepatah lama dilupa jangan. Pesan orang tua itu hasil banyaknya makan asam garam kehidupan.
Sebagai kakang yang sedikit sebanyak kamu rujuk sebelum ini, kakang rasa wajar beri sepatah dua kata walaupun sudah terlambat. Ibarat kata, nasi sudah menjadi bubur.
Sengaja kakang buatkan bingkasan ini secara terbuka. Biar ia dibaca orang lain. Ini kerana cerita kamu menjadi ahli PKR sudah jadi pengetahuan umum.
Sekurang-kurangnya ada kebaikan untuk semua. Jangan kata kakang tak tegur; jangan kata pimpinan tidak nasihat.
Ada pepatah lama menyebut, mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan jangan. Guruh bukan petanda semestinya hujan akan turun. Bunyi guruh memang gempar. Apatah lagi jika diiringi dengan kilat yang sambar-menyambar.
Hujan tiada kena mengena dengan guruh. Dentam-dentum bunyi guruh di langit itu bergantung pada sifat kilat itu dan jarak pendengar dari sumbernya.
Guruh itu kuat bergema kerana tekanan dan suhu yang mendadak dari kilat menyebabkan udara sekelilingnya mengembang dengan pantas. Pengembangan udara itulah yang menghasilkan gelombang kejutan deras yang menghasilkan bunyi petir. Penjelasan sainsnya begitulah.
Kamu perlu tahu bahawa dunia politik ini penuh cerita sensasi, meletup dan gempak. Ini memang kepakaran ahli politik. Cerita sekepal lalu dibesar-besarkan menjadi segunung. Bangkai gajah boleh ditutup dengan sehelai daun. Hitam jadi putih, putih jadi hitam.
Sihir ahli politik memang begitu. Terutama sihir mulutnya. Ini adalah penjelasan sains politik.
Oleh kerana itu, apabila kakang mendengar cakap orang politik, berlapis-lapis kakang tapis. Kamu jangan begitu. Politik bukan untuk selangkah dua sahaja tetapi suajana mata memandang jauhnya.
Sekali lidah kamu berbelit-belit, sukar untuk berpatah balik. Lainlah kalau kamu menulis puisi, macam kakang ini. Jika ia sukar difahami, katakan saja bahawa itulah tanda kehebatan puisi!
Ada kala ‘kusangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari’. Memang hayat kerajaan PH tidak lama. PH jatuh bukan kerana musuh politiknya kuat. Jatuhnya PH kerana ada pemimpin berhidung tinggi melangit, bernafsu besar dan sibuk membusung perut sendiri.
Isunya bukan sangat pasal Melayu terancam, Islam dicabar atau ekonomi teruk dan ramai menganggur. Laporan Audit Negara baru-baru ini mengesahkan prestasi cemerlang PH. Siap dengan angka dan rajah serta carta.
Sayangnya orang Melayu lebih banyak berminat kepada hikayat penipu dan mainan emosi. Ramai juga bengap dengan nombor dan sering gagal dalam ilmu hisab.
Setahu kakang, angka keramat dalam epistemologi Melayu adalah 40 dan tiga. Bukan 91, bukan 109, bukan 113 dan bukan nombor lain. Kamu tengoklah, hinggakan SOP waktu Covid-19 mengamuk sakan ini, solat berjemaah di masjid pun dihadkan seramai 40 orang.
Semua akur dan tunduk. Tiada siapa pun mengatakan Islam terancam. Awal dulu, lebih tiga minggu berturut-turut tidak solat Jumaat, OK saja. Tiada demo atau hantar memorandum bantahan.
Orang tua-tua lama pernah berpesan, jangan barang yang dikejar tak dapat dapat, barang yang ada keciciran. Beberapa hari lalu, kakang kamu ini mengeteh di Brickfields dengan Isham Rais.
Dia bertanya tentang kamu yang lompat ke PKR. Kakang jawab: dengarnya begitu, tapi kamu sendiri belum menjawab pertanyaan kakang. Tiadalah kakang kamu ini berlanjut-lanjut ceritanya.
"Mendengar khabar Anwar Ibrahim mendapat nombor, belilah tiket dulu," tiba-tiba Isham bermadah begitu. Dia tidak ketawa berdekah-dekah seperti selalu. Dia hanya mengeleng kepala.
Agaknya, dia sedikit ralat kerana berasakan kamu kena tipu. Tapi Isham bukan kisah sangat.
Masalah terbesar dalam Amanah ialah setia pada janji dan berpegang kuat pada prinsip perjuangannya. Masalah inilah yang menjadikan sebahagian kalangan ahli parti gagal menahan sabar. Termasuklah kamu. Untungnya kamu masih dalam PH tetapi tindakan itu pasti melukakan teman-teman.
Sesekali kakang suarakan juga agar Amanah belajar daripada PAS. Parti itu bijak menjual ayat-ayat agama demi sekarung kuasa. Nah, hari ini PAS senang-senang jadi kerajaan.
Segala ucapan berapi-api mereka pada zaman pembangkang, sekarang tenggelam. Mereka kini diam-diam. Mulut penuh dengan bertih jagung kuasa.
Berjuang dalam Amanah memang perit dan sakit. Banyak sangat berkorban dan terpaksa terkorban demi perjuangan. Saat kawan meminta peluang, saat kawan bertegang urat leher menuntut itu dan ini, bukankah Amanah yang jadi galang ganti menyelamatkan sebuah pasukan?
Pasukan itulah yang memecahkan metos Umno tidak boleh ditewaskan.
Dua kutub yang saling bertentangan disatukan dalam satu barisan. Masihkah kau ingat?
Akhir sekali pesan kakang, bukan kembali ke Amanah yang kakang harapkan. Bertaubat atau menyesal pun tidak. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, terimalah seadanya.
Alang-alang seluk pekasam, biar ke pangkal lengan jauhnya. Dalam politik, hukumnya begitu. Bara yang digenggam biar sampai jadi arang. Seperti lirik lagu rasmi PKR: membujur lalu, melintang patah.
Semoga bahagia pada jalan yang kamu pilih.
Mudah-mudahan bingkasan ini menjadi surat-surat arkib perjuangan pada 100 tahun akan datang, ketika orang merindui politik Amanah.
- KAKANG
* Kakang ialah panggilan "abang" dalam bahasa Jawa. Kami sepupu berlainan nenek. Ayun pula nama panggilan untuk dia dalam keluarga kami.
MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei serta buku dan sekarang menjadi koodinator Melaka 5 Minit yang menerbitkan video dokumentari di media sosial.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai