Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kebalkah sempadan negara?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Isu berkaitan insiden tembakan yang mengakibatkan kehilangan nyawa anggota PGA sebelum ini adalah satu wake-up call kepada seluruh sistem kawalan sempadan di negara ini. Apa dah jadi dengan sempadan negara kita? Adakah ini kes terpencil atau kes berulang? Mengapa insiden ini terjadi sekarang ini? 

Adakah ia akibatnya daripada kawalan sempadan negara yang semakin ketat hingga mengakibatkan industri penyeludupan terancam? Semua persoalan ini perlu dirungkai sebaiknya. Perlu kepada dasar khas yang dipublikkan agar boleh akses oleh sesiapa sahaja.

Walau apa pun alasannya, negara terpaksa mengakui bahawa kelemahan pengurusan sempadan yang berlaku sekian lamanya telah menjadi isu yang akhirnya bukan sahaja menyebabkan kehilangan pendapatan kepada negara, malah juga mengakibatkan kehilangan nyawa. 

Malah lebih mengecewakan apabila kehilangan nyawa pasukan keselamatan yang bertugas untuk mengawal sempadan negara dan menjamin keselamatan rakyat di negara ini. Akan tetapi inilah harga yang terpaksa dibayar akibat daripada kegagalan kita menguruskan sempadan dengan berkesan. 

Jika dibandingkan negara Singapura yang dikelilingi lautan, mengapakah sempadan yang dibina di atas tanah sepanjang 551kilometer dari kuala Perlis hingga ke Rantau Pajang, Kelantan ini mudah ditembusi dan menjadi laluan mudah bagi penyeludup?

Padang Besar: Tragedi tak berkesudahan

Sejak pendedahan kubur besar Wang Kelian pada tahun 2015, disusuli dengan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja berkaitan isu tersebut, akan tetapi tiada kertas putih atau reform dilakukan. Kekal Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadi sarang penyeludupan bukan sahaja barangan terlarang, malah penyeludupan manusia juga bukanlah perkara asing di sempadan utara semenanjung ini.

Oktober 2019 juga negara digemparkan dengan video penyeludupan di sempadan yang dilakukan secara terang-terangan. Rentetannya, pelbagai video berkaitan lagi tersebar dan dalam pemerhatian pihak SPRM dan lain-lain agensi. Juga kita tidak mendengar satu reform atau pembaharuan berkaitan kawalan sempadan dilaksanakan. Ini menimbulkan persoalan adakah hanya melakukan siasatan dan diakhiri dengan laporan seterusnya disimpan sebagai bahan arkib?

Kita ingin melihat ‘tindakan’ dan bukannya laporan atau ‘teori’ semata-mata. Ini belum lagi ditambah dengan insiden di perkampungan haram Rohingya di Kuala Perlis dan dwiidentiti yang dimiliki oleh ramai penduduk di sempadan. Semua ini memerlukan tindakan yang menyeluruh dari pelbagai agensi berkaitan.

Akan tetapi masalah ini masih juga tidak mampu diselesaikan dan masih belum jelas reform yang akan diambil oleh pihak kerajaan bagi memastikan keselamatan sempadan dan negara dari ditembusi oleh penjenayah dan pengganas. Mana-mana penjenayah akhirnya akan mengganas apabila nyawa dan ‘perniagaan’ mereka terancam. Dalam keadaan tersebut, mereka akan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh tanpa mengira mangsa.

Reformasi pengurusan sempadan

Semakin lama semakin banyak kes sempadan akan masuk dalam senarai laporan keselamatan negara. Maka sampailah masanya kerajaan melakukan total-reform ke atas pengawalan sempadan. 

Total reform ini adalah antara dapatan yang difikirkan baik dan perlu buat masa ini, akan tetapi pastinya lebih banyak cara dan taktikal yang boleh diperolehi dari pelbagai pihak termasuklah agensi kawalan sempadan dan penduduk yang tinggal di sekitarnya. Antara cara yang boleh dilakukan adalah:

  1. Pembinaan pagar yang lebih sempurna dan mempunyai ketinggian yang tidak mampu ditembusi oleh penjenayah/penyeludup. Pagar sempadan juga seharusnya dilengkapi teknologi kamera atau CCTV dan lain-lainnya. Malah liputan berkaitan juga boleh disambungkan ke pihak tentera/polis dan agensi-agensi berkaitan. Perlu banyak pihak yang boleh melihat dan memantau agar ketelusannya terjamin.

  2. Menyediakan buffer zone atau zon penampan di sepanjang kawasan sempadan dan dikawal oleh tentera kedua-dua negara. Zon selamat ini seharusnya dikawal 24 jam oleh pihak keselamatan terdiri dari pelbagai agensi seperti yang diamalkan pd masa ini. Sempadan negara seharusnya ada rondaan berkala secara rawak agar tidak ada pihak yang sehingga boleh membuat pelantar atau tapak khusus untuk menyeludup barang dan lain-lain Penggiliran tugas perlu dilakukan dengan lebih kerap buka sahaja melibatkan rank rendah, malah pegawai atasan juga. Pegawai integriti (CEIO) dan pegawai SPRM juga perlu ditempatkan diagensi-agensi kawalan sempadan jika diperlukan.

  3. Pasukan keselamatan yang terlibat dengan kawalan sempadan walaupun unit risikan perlu dibekalkan dengan senjata berat kerana risiko yang mungkin terjadi. Penjenayah akan melakukan serangan apabila terancam hingga sanggup membunuh pasukan keselamatan. Selain itu, sistem amaran awal dan pantas kepada pusat-pusat kawalan perlu diberikan dan dibangunkan. Penggunaan dron peninjau dan lain-lain instrumen keselamatan adalah keperluan yang mendesak ketika ini.

  4. Menaikkan elaun risiko atau elaun khusus kepada pasukan keselamatan yang terlibat dengan pemantauan pintu-pintu sempadan. Selain pemilihan yang ketat, malah melepasi pelbagai ujian integriti (apitutde test) dan lain-lain juga adalah keperluan. Rentetan dari isu ini, maka semakan gaji untuk kakitangan pasukan keselamatan sudah sampai masanya dilakukan. Banyak kajian yang mengaitkan apabila mengalami masalah kewangan, maka ramai yang terlibat dengan aktiviti jenayah.

  5. Pemakaian body-camera adalah wajib buat masa ini dan ia mestilah dipantau oleh pasukan khas yang di pusat kawalan. Penggunaan night-gogle juga adalah merupakan keperluan ketika ini. Dengan cara ini, akan dapat menjamin keselamatan sempadan, nyawa anggota dan menggelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

  6. Keperluan untuk pihak-pihak pengurusan atasan pasukan keselamatan turun ke sempadan dengan lebih kerap dan tanpa jadual berkala adalah perlu. Kehadiran pasukan audit juga adalah merupakan keperluan untuk memastikan ketirisan dapat dikawal.

  7. Siri-siri rundingan dan kerjasama dengan pihak Thailand, Indonesia, Filipina sebagai jiran kita adalah juga merupakan satu keperluan. Kita tidak mampu menangani isu ini secara bersedirian, kita memerlukan kerjasama di pihak ‘sana’ untuk menyelamatkan pintu-pintu dan sempadan negara. Di pihak negara jiran kita juga mereka memerlukan kerjasama kita untuk mengawal aktiviti berkaitan jenayah rentas sempadan ini.

  8. Semakan semula terhadap undang-undang yang berkaitan sempadan dan jenayah di sempadan perlu lebih ketat dan mencakupi seluruh sistem. Sudah sampai masanya reform terhadap ‘ketum’ juga dilakukan agar jenayah ini dapat ditangani. Pihak Thialand juga sebenarnya sudah kepenatan menghadapi penyeludup berkaitan ketum yang sentiasa masuk ke sempadan mereka kerana tiada undang-undang berkaitan di Malaysia. Malah yang lebih penting lagi adalah si pembuat undang-undang (wakil rakyat) tidak melanggar undang-undang, maka barulah undang-undang akan berjaya menjadi objektifnya.

  9. Dalang-dalang penjenayah tempatan perlu dibanteras sepenuhnya. Selagi mana adanya permintaan maka akan adalah penawaran. Oleh itu penjenayah tempatan di Malaysia dan di Thailand juga perlu dihapuskan. Bukan sahaja di Malaysia, malah Thailand dan lain-lain negara juga perlu membanteras dan menangkap penjenayah ini agar kes-kes penyeludupan dapat ditangani sebaik mungkin.

  10. Perlu melihat semula ‘industri’ tertentu yang sering dijadikan punca penyeludupan untuk diputihkan. Meng’sah’kan indutri-industri tertentu bagi memastikan alirannya dapat dikawal. Malah kerajaan juga boleh mengenakan cukai yang berpatutan untuk dijadikan sebagai pendapatan baharu kepada negara. Penjenayah/penyeludup juga pastinya senang dengan ruang dan peluang baru ini sebagai punca pendapatan mereka. Memberikan lesen import/eksport kepada kelompok-kelompok tersebut melalui mekanisme terbaik dengan kerjasama kedua-dua negara.

Sempadan fizikal tidak cukup

Di atas adalah di antara reform yang boleh difikirkan oleh kerajaan pada masa ini. Mungkin kita tidak akan dapat mengawal aktiviti jenayah rentas sempadan ini sepenuhnya, akan tetapi sekurang-kurangnya damage-control boleh dilakukan ke atas kawalan sempadan negara ini.

Penjenayah akan menjadi terroris apabila nyawa dan industri mereka terancam. Membina sempadan secara fizikal semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh nagara ketika ini, akan tetapi pembinaan sempadan rohani dan naluri adalah merupakan sesuatu yang mendesak. Akan tetapi apabila ruang dan peluang disempitkan, maka secara tidak langsung akan dapat melemahkan cita-cita kelompok penjenayah ini.

Manusia yang tidak takutkan tuhannya perlu ditakutkan dengan undang-undang yang kukuh. Manusia harus dikekang pergerakkannya agar ia tidak mampu melakukan jenayah. Integriti yang dimiliki oleh seseorang itu banyak dibantu dengan adanya sistem, pemantauan dan undang-undang yang berkesan.

Jenayah rentas sempadan ini perlu dikurangkan jika tidak mampu untuk dihapuskan. Reform perlu dilakukan sekarang demi keselamatan nyawa dan kedaulatan negara.


PROF DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.