Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Jambatan dalam api

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sejak Amanah ditubuhkan lima tahun lalu, api perjuangannya terus menyala, membara dan menerangkan alam. Berkokok di pintu reban atau menyalak di lereng bukit sememangnya kerja ayam dan anjing yang berkeliaran.

Abaikan haiwan-haiwan itu, kawan. Itulah tamsilan manusia yang sarat kesombongan dan kurang kasih sayang. Kita akan terus berjalan dengan kaki dan kudrat yang ada.

Amanah sebagai raison d’etre sebuah pakatan politik yang pernah dirintis oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pada 1999. Lebih dua dekad ia melakar cerita suka duka menjadi jambatan api yang penuh dengan duri.

Sejarah pakatan politik di tanah air memang pelbagai dan berevolusi sehingga wujudnya pakatan politik pembangkang yang kuat dan berjaya menumbangkan parti pemerintah.

Dalam keadaan sekarang, pembangkang ibarat dua tebing yang tidak akan bertemu melainkan ada kemahuan yang tinggi untuk menyatukan. Inilah fungsi Amanah sejak awal. Tebing kiri dan kanan wajar disatukan. Inilah fungsi Amanah sejak awal. Jurang yang memisahkan itu perlu diserasi dan didamaikan, seperti Bota Kiri dan Bota Kanan yang seirama di pinggir Sungai Perak.

Orang Melayu diasuh secara tradisinya untuk melihat sungai sebagai penghubung, bukan pemisah. Namun setelah terjajah sekian lama, segala mercu alam seperti sungai, bukit, pulau dan batu dijadikan sempadan.

Kita dipisah-pisahkan oleh poskod, mazhab dan parti yang pelbagai logo. Kita dijarakkan dengan slogan dan kata-kata sang saudagar mimpi yang berahi kuasa dan takhta.

Lalu dicipta hukuman dan celaan pada yang tidak sehaluan. Kepada yang patuh dan setia tidak berbelah bagi pula, diberikan pujian dan kemegahan. Kita sebenarnya sedikit demi sedikit menghilangkan deria keindahan terhadap kepelbagaian warna-warni kehidupan.

Kita perlahan-lahan menuju dunia yang hitam putih.

Itulah antara inti pati permukiman dua hari perwakilan Amanah dari seluruh negara di Melaka pada hujung minggu lalu. Bermula daripada bacaan doa yang diketuai Ridzwan Abu Bakar hingga pantun penyudah speaker, Yuhaizad Abdullah, konvensyen Amanah kali ini sangat bermakna untuk politik masa hadapan negara.

Pada awal majlis, Ridzwan mengungkapkan doa: "Allahuma! Engkau telah berfirman dalam kitab mulia-Mu, siapa yang dianugerahkan ilmu hikmah (dalam memimpin dan menguruskan manusia), maka dia telah diberikan kebaikan yang berlipat ganda. Allahumma! Anugerahkan kepada kami ilmu hikmah dari sisi-Mu disertakan rahmat-Mu. Sesungguhnya Engkau penganugerah yang terbaik."

Kata-kata itu kami aminkan dengan penuh harapan.

Pidato Presiden bertajuk Memperkukuhkan Kemakmuran Sosial bertitik tolak daripada pemikiran Muhammad Rashid Ridha, seorang ulama yang melakukan tajdid atau reformasi dalam pemikiran masyarakat Islam di Mesir pada awal kurun ke-20.

Terikat dengan teks

Ketika itu, umat Islam - yang disebut sebagai umat terbaik oleh Nabi Muhamad SAW -  berada di bawah penjajahan, mundur dan sering bersengketa.

Kemakmuran sosial dalam negara Islam jauh ketinggalan berbanding pencapaian negara-negara Barat. Di sebalik khazanah dan hasil mahsul negara Islam yang melimpah-ruah, umat Islam dihambat dengan kemiskinan, kemunduran, ketakutan dan kejahilan yang sangat kritikal. Islam dijadikan tunggangan. Islam diperdagangkan demi kuasa dan kedudukan.

Saya duduk di baris kedua dari belakang di atas pentas. Di belakang saya ialah ruang untuk speaker dan timbalan speaker. Di kiri Ahmad Sabky Yusuf, peguam yang pernah menjadi peguam saya semasa di lokap angkara himpunan Black 14 dua dekad lalu.

Duduk di kanan saya pula Wan Kharizal Wan Khazim, pengerusi Amanah Perlis dan bekas ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). Di hadapan saya Cikgu Wan Abdul Rahim yang berada di belakang bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Pidato Presiden - seperti juga pidato Almarhum Ustaz Fadzil - hilang keramatnya apabila mereka menyampaikan mesej dengan ikatan teks yang disediakan lebih awal.

Namun, sesekali Bang Mat bergaya seperti Frank Sinatra. Ketika sedap 'menyanyi' dia bijak menyelit itu dan ini untuk kekal menangkap perhatian pendengar.

Di pentas konvensyen itu Bang Mat tidak berceramah berapi-api seperti di pentas awam yang memang mengamit orang ramai untuk hadir.

Pidato Bang Mat tidak bergaya seperti dewa, wali atau para malaikat. Ada suara kecewa, ada nada marah selain gaya yang pelbagai. Ada kedegilan dalam menyatakan keyakinan politiknya.

Apa pun yang pasti Bang Mat tidak menjadi saudagar untuk menjual mimpi. Dia membawa ahli dan pengikutnya ke dunia realiti. Dikritik, diarah dan diberi amaran. Mereka diberi semangat tetapi tidak hingga mabuk dan hilang akal.

Memenatkan pencandu kertas

Pidato sepanjang 23 halaman itu tidak seperti pidato konvensyen biasa. Bang Mat biasanya menyentuh persoalan politik global. Itu memang kepakaran Bang Mat. Ini diakui sendiri Dr Mahathir Mohamad.

Bang Mat dalam pidatonya hujung minggu lalu lebih fokus kepada Amanah dan Pakatan Harapan (PH).

Umum tahu hubungan Bang Mat dengan Mahathir dan Anwar Ibrahim seperti teka-teki yang rumit dan sukar dibaca. Biasalah, bukannya mudah menjadi jambatan di antara nyalaan api. Inilah yang pernah dilakukan Bang Mat dengan rakan-rakannya semasa membina kekuatan PH hingga tersembamnya Umno/BN kira-kira dua tahun lalu.

Tapi lazim dalam politik begitu juga. Tidak ada pidato yang sempurna. Kelemahan ketara Bang Mat ialah kerana sanggup mengalah jika itu jalan mendapat kemenangan yang lebih besar. Bang Mat mahu menanggung beban dimaki hamun.

Amanah dikritik kerana ‘main dua kolam’. Setia dengan Anwar sebagai calon perdana menteri tapi masih berhubung baik dengan Mahathir.

Sepanjang dua hari konvensyen, perbahasan perwakilan adalah manifestasi suara akar umbi parti. Pada konvensyen kali ini juga semua dokumen disedia dan diedar secara digital dan dalam talian.

Teknologi ini memang canggih, murah dan mudah tetapi memenatkan untuk para pencandu kertas bercetak seperti saya.

Kehadiran semua wakil parti pembangkang termasuk Warisan dari Sabah ke konvensyen Amanah jelas memberi petanda sangat positif. Tumpuan fikiran saya hanya beberapa perkara.

Pertama, idea grand coalition yang dikemukakan oleh Amanah untuk mencari jalan buntu pada angka 108. Angka itu wajib ditambah dan dimanfaatkan bagi menumbangkan kerajaan PN secara demokratik.

Hatta jika ditakdirkan pilihan raya umum diadakan dalam tahun depan, angka 108 itu mesti ditambah. Ia tidak boleh sesekali berkurangan.

Anjakan politik besar

Idea grand coalition banyak disentuh dalam pidato presiden sendiri. Bahkan sehari sebelum itu, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar menyuarakannya di Konvensyen Pemuda dan Wanita Amanah. Manakala beberapa perwakilan Pemuda dan Wanita dari negeri turut menyuarakan perihal yang sama.

Tiada suara yang ingin menidakkan keperluan pendekatan tersebut.

Ia adalah idea politik yang berpijak di bumi nyata, dan jantan. Idea grand coalition bukan idea segelintir pemimpin dalam Amanah tetapi idealisme dan prinsip politik pegangan dari akar umbi hingga ke pucuk pimpinannya.      

Pendekatan politik konstruktif perlu diteroka oleh pemimpin Amanah bagi memastikan kelangsungan perjuangan politik Islam. Bahkan perwakilan Perak menyarankan Amanah  meneroka potensi dan kemungkinan untuk mewujudkan persekitaran politik secara lebih berani iaitu memadamkan garis yang memisahkan blok pembangkang dengan blok kerajaan.

Ini berdasarkan situasi politik di Perak kebelakangan ini yang memungkinkan berlakunya suatu anjakan dalam politik tanah air. Jika ini terjadi, satu lagi anjakan politik besar akan berlaku di negara kita.

Presiden Amanah memjelaskan, jalur yang perlu diambil Amanah ialah memperbanyakkan kawan dan mengurangkan musuh politik. Salahuddin selaku timbalan presiden dan Mahfuz sebagai naib presiden juga meminta ahli Amanah tidak terlalu memusuhi parti lama sehingga hilang rasa persaudaraan.

Ia kerana kedinamikan politik memungkinkan seribu kemungkinan lain.

Setakat ini, Anwar selaku pengerusi PH memang mempunyai kelebihan menjadi peneraju utama grand coalition. Saya tidak fikir idea grand coalition merupakan langkah untuk menyingkirkan ikon reformasi itu.

Sangat dangkal pemikiran orang yang terlalu obses terhadap jaminan kedudukan Anwar sebagai peneraju. Menembak ke arah kaki kawan dan membiarkan penyamun terus bermaharajela adalah tindakan mengarut. Bahkan ia suatu tindakan politik budak nakal tidak tahu diajar.

Sejarah sudah cukup menjadi bukti setiakawan pimpinan Amanah dengan PH sejak hari pertama. Pihak yang curiga kepada pendekatan politik Amanah seharusnya mencermin diri.

Menyuburkan idealisme berpolitik

Begitu juga komitmen pimpinan PH lain dalam memperkukuhkan pakatan. Kalau kail sejengkal, laut dalam jangan diduga! Pemimpin yang berwibawa tidak akan menuntut kedudukan buat dirinya sendiri.

Pemimpin perlu membina keyakinan dengan kualiti kepimpinan yang tinggi.

Menjadi jambatan kepada dua tebing tinggi adalah usaha Amanah yang tidak akan terhenti hanya kerana kerenah yang ada. Biar api yang perlu diharungi dan duri yang dipijak ketika menanggung beban amanah, Amanah bukan mahu menjadi lilin membakar diri untuk menerangi orang lain.

Amanah adalah jambatan kepada sesuatu yang sukar dan mencabar.

Hanya yang berjiwa besar dan merdeka sahaja sanggup memikul gagasan ini. Nekad Amanah ialah menghubungkan dua kutub berbeza tapi ia bukan bermakna untuk mengangkat individu tertentu menjadi pemimpin di atas takhta.

Tekad Amanah yang tercermin sepanjang perbahasan di Konvensyen Amanah kelima sebenarnya adalah untuk memecahkan tembok-tembok yang mengongkong pemikiran politik masyarakat yang diikat politik kepartian sempit.  

Inilah kesimpulan pertama yang saya amati dalam keseluruhan konvensyen tersebut.

Perkara kedua yang menjadi tumpuan fikiran saya ialah persoalan keutuhan organisasi Amanah sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam. Kelestarian Amanah di persada negara bukan sahaja dilihat daripada penguasaan kerusi di Dewan Rakyat atau DUN tetapi penyuburan idealisme berpolitik.

Selama ini, Amanah kekal komited dengan idealisme politik ‘rahmatan lil alamin’. Amanah menyampaikan salam buat seluruh alam. Idealisme politik itu akan membakar fahaman Machiavelli yang sanggup menggunakan apa sahaja kaedah bagi mendakap kuasa.

Ini termasuk mempergunakan agama, beramal dengan rasuah, khianat dan sebagainya demi kepentingan peribadi dan kelompok.

Perwakilan Kedah menyarankan Amanah mengetuai gerakan demokrasi dengan menggemblingkan peranan pertubuhan bukan kerajaan sebagaimana yang pernah dimainkan Bersih suatu ketika dahulu.  

Semua setuju bahawa tindakan merampas mandat rakyat melalui Langkah Sheraton adalah pengkhianatan demokrasi.

Sementara itu pindaan perlembagaan dan usul yang diluluskan semasa konvensyen juga memberikan masa pembinaan barisan pelapis kepimpinan parti.

Had umur Warda dinaikkan kepada 35 berbanding 30 tahun sebelum ini, juga pembentukan akademi kepimpinan, cadangan untuk menambah penyertaan wanita sebagai calon pilihan raya dan barisan kepimpinan parti serta pelbagai saranan perwakilan adalah langkah positif buat Amanah membina kekuatan organisasi.

Sebagai sebuah parti politik, proses kaderisasi atau pertarbiahan sangat penting. Beberapa perwakilan turut menyuarakan keperluan ahli dibina kekuatan rohani dan jasmani masing-masing untuk berhadapan pelbagai cabaran perjuangan.

Inovasi yang dilakukan oleh Biro Sumber Manusia Amanah sangat penting agar proses tarbiah itu bukan sejenis indokrinasasi yang membantutkan kreativiti atau pemikiran kritikal ahli.

Begitu juga saranan Ketua Penasihat Umum Amanah, Ustaz Ahmad Awang, dalam sesi penggulungan mempertegaskan pandangan-pandangan perwakilan dalam memperkukuhkan parti melalui program pembinaan jiwa dan rohani.

Dua perkara itu cukup untuk dijadikan bekalan pulang para perwakilan ke kawasan masing-masing dengan penuh semangat. Meski banyak perkara lain yang disebut sepanjang konvensyen tersebut, memadai saya memilih dua perkara utama untuk perbahasan dan renungan bersama.

Berhimpun bukan untuk menuding jari untuk menghukum siapa salah dan siapa benar. Ia lebih sebagai medan memperkukuhkan pakatan perjuangan.

Konvensyen Amanah kelima memberi panduan bahawa perjuangan politik kini tidak seharusnya menentang batang tubuh pemimpin atau parti musuh sehingga meninggalkan adab-adab bersiasah dalam Islam.

Amanah merintis hubungan politik dengan semua pihak hatta dengan Umno, PAS, Bersatu dan parti-parti lain dalam kerajaan.

Amanah menentang pemimpin yang khianat, jumud, sombong, individualistik, zalim, melampau dan bersifat eksklusif. Itulah kesimpulan daripada konvensyen yang mencatat sejarah dalam kedinamikan politik Malaysia. Juga satu lagi sejarah buat kota Melaka!


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei serta buku dan sekarang sebagai koodinator Melaka 5 Minit yang menerbitkan video dokumentari di media sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.