Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Seni lukis yang malang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Orang Negeri Sembilan rupa-rupaya tidak pandai memasak, jadi mereka akan pedaskan semua jenis gulai yang mereka ada untuk menutup kelemahan ini.

Kami bukan mahu menceritakan pasal negeri yang semua gulainya adalah berwarna kuning dan semua benda akan disalai oleh mereka. Dari ikan keli hingga kepada kulit bawang, dari daging haiwan hingga kepada atap zink melengkung ala tanduk kerbau - habis disalainya.

Agaknya mereka tidak perasan bahawa peti sejuk sudah lama direka manusia untuk menyimpan makanan agar tahan lebih lama.

Tidak ada rasa selain pedas dalam masakan berkenaan. Rasa masin pula datang dari hingus mereka yang meleleh laju masuk ke mulut ketika mereka ber-ishhh-ishhh kepedasan.

Kami mulakan tulisan ini dengan meluahkan apa yang terbuku di hati akibat tidak sedapnya makanan di negeri yang kami angkat sebagai tempat tinggal sementara kami.

Dan ia juga dibuat sebegitu untuk menarik kamu terus membaca.

Apa yang sebenarnya ingin kami ceritakan kali ini adalah bagaimana sekarang sudah mula ada gerakan dari sekumpulan pelukis kita yang membuka ruang pameran peribadi.

Ia dibuat sebagai tanda bosannya pelukis terbabit kepada kerja-kerja yang dihasilkan galeri-galeri sedia ada.

Penuhi permintaan pasaran

Yang paling utama daripada kebosanan itu ialah apabila hampir semua galeri terlalu mementingkan keuntungan, dan pada masa yang sama tidak mengambil berat terhadap perkembangan dunia catan tempatan.

Malah karyawan yang terlibat juga dipandang hanya sebagai alat yang boleh saja ditukar ganti pada bila-bila dirasakan perlu.

Galeri hari ini lebih menumpukan perhatian kepada karya yang mereka fikir boleh mendatangkan keuntungan segera. Lalu apa saja yang menjadi kegilaan pembeli, itulah yang akan dipersembahkan oleh mereka.

Mereka memberi tumpuan yang banyak kepada pelukis-pelukis muda yang sedang ghairah dan mereka - yakni pelukis muda - dikerah untuk menghasilkan karya popular sebagai memenuhi permintaan semasa pasaran.

Dari segi perniagaan, amalan itu bukanlah dosa yang besar namun demi membangunkan alam seni catan milik kita sendiri, perbuatan sebegitu pasti akan membunuh terus peningkatan jalur masa karya tempatan.

Ayahku Dan Angkawasan karya Ibrahim Hussein adalah antara karya yang sepatutnya menjadi pembuka jalan kepada karyawan kita membuat rujukan mengenai hala tuju dunia catan mahu dibawa.

Namun kerana ‘kilang’ yang sepatutnya mengeluarkan seniman berjiwa iaitu ITM - atau kini disebut sebagai UiTM - waktu itu sedang dilanda kejumudan dalam beragama, maka terbinalah suatu ruang lompong apabila karya-karya yang sepatutnya sudah mempunyai identiti sebalikya kalut memulakan sesuatu yang baru.

(Pelajar-pelajar ITM waktu itu sibuk bergelut dengan polemik sama ada lukisan figura dibenarkan dalam Islam atau tidak.)

Hal ini kemudian dilegakan oleh sekumpulan pelukis yang menggelar diri mereka sebagai Matahati. Ia terdiri daripada Bayu Utomo, Ahmad Fuad, Hamir Soib Mohamed, Ahmad Shukri serta Masnoor Ramli.

Secara bersama mereka keluar dengan karya-karya figura di tengah kemelut ‘seni Islam’ yang sedang hangat pada waktu itu.

Mungkin kerana ada kelainan dalam karya yang dipersembahkan berbanding dengan rakan-rakan ‘sekilang’ lalu mereka berjaya diangkat sebagai antara kumpulan pelukis yang hingga hari ini disebut-sebut apabila dunia seni catan Malaya dibicarakan.

Semua mahu jadi Jogja

Ini adalah sesuatu yang malang pada hemat kami kerana setelah berpuluh-puluh tahun, kita masih sibuk memperkatakan Matahati. Itu pun jika kita tidak sibuk dengan Piyadasa atau Ismail Zain.

Apa yang menarik ialah Hamir dan Ahmad Shukri juga adalah pelukis yang secara rasminya membuka ruang pameran peribadi kepada umum dan kedua-dua mereka sebahagian daripada ahli kumpulan Matahati.

Hamir meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap galeri-galeri yang kuat memberi tumpuan kepada pelukis muda demi mencari keuntungan tanpa ada sikap tanggungjawab untuk membina karier artis tersebut kepada satu tahap yang lebih baik.

Lebih malang lagi apabila pelukis-pelukis muda terbabit hanyut dalam berkarya hanya kerana mereka adalah ‘favour of the month’ dunia seni catan waktu itu.

Mereka dikerah untuk menghasilkan karya popular. Akibat dibuai kehangatan populariti mereka lupa untuk menghasilkan karya yang mewakili diri sendiri.

Semua mahu jadi Jogja dan sedikit hari lagi, semua mereka ini akan berpaling ke Pattani kerana hari ini tumpuan galeris mula cenderong ke sana.

Galeri mengenakan komisyen sebanyak 50 peratus ke atas setiap karya yang terjual sambil menyediakan sedikit jamuan ringan pada hari pembukaan pameran, sambil kadangkala melakukan pemasaran secara dalam talian.

Hanya satu karya saja

Jarang benar hari ini ada galeri yang sudi menyediakan katalog pameran atau membayar kurator untuk menilai serta menulis. Apa yang ada ialah sedikit makalah yang menceritakan barangan yang dipamerkan.

Tidak ada perbezaan keterangan sesebuah karya yang dipersembahkan di galeri dengan keterangan untuk mengiklankan tuala wanita di sebuah pasar raya, misalnya.

Galeri juga tidak sudi untuk membina artis agar menjadi seorang seniman. Hampir tidak ada langsung galeri yang ingin melabur untuk seorang seniman, misalnya membantu mereka dalam hal mencari idea, membina karya.

Malah untuk menyewa lori buat menghantar karya ke galeri juga upahnya harus keluar dari kocek pelukis sendiri.

(Pun begitu untuk rekod, kami mengenali seorang galeris yang memberikan elaun bulanan selama dua tahun kepada seorang pelukis untuk melakukan kajian tanpa perlu ada sebarang kepentingan.)

Kerana itu juga, Ahmad Fuad Osman serta Umibaizurah Mahir Ismail membina ruang pameran yang digelar sebagai Hinggap sebagai suatu alternatif untuk karyawan-karyawan seni.

Baru-baru ini Hamir dan Ahmad Shukri membuka ruangan pameran peribadi mereka kepada umum. Ianya mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Yang lebih menarik tentu saja apabila Hamir hanya mempamerkan sebuah karya untuk tatapan. Setiap pengunjung diberi penerangan tentang karya tersebut dan Hamir memberikan masa yang baik kepada semua pengunjung.

Beliau menerangkan perihal karya itu dan juga harapannya terhadap dunia senia catan kita.

Begitu juga halnya dengan Ahmad Shukri yang mempamerkan karya Umibaizurah, Al-Khuzairi Ali serta karya beliau sendiri. Al-Khuzairie berasal dari Kuantan iaitu bandar yang makanannya tidak pedas dan penduduknyanya ramah-tamah walaupun mereka tidak mempunyai deria seni yang baik.

Galeri-galeri yang ada hari ini perlu membuka dada untuk bersama dengan para seniman membentuk suatu suasana yang lebih adil demi kelansungan semua pihak.

Pelukis-pelukis pertengahan karier hari ini mulai bosan dengan ketidakendahan galeris kepada mereka. Secara pelahan-lahan mereka mula menjarakkan diri dari galeri.

Kumpulan pelukis pertengahan karier ini tidak lagi lapar mencari nama. Mereka sebaliknya mahukan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar menjadi popular.

Seperti kata Hamir: "Kanvas kita beli, color kita beli, bingkai kita beli, idea kita cari. Kemudian sewa galeri dia kita bayar, bil api dan air galeri dia kita bayar, tayar BMW dia kita bayar. Baik kita je yang buat semua."


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis, pengembara dan pelawak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.