KOLUM | Joe Biden presiden baru Amerika
Hari ini Jumaat, 8 Januari, saya menangguhkan sambungan tulisan tentang Zionis dan Arab Saudi. Ini kerana saya mahu membawa pembaca memahami secepat mungkin apa yang telah berlaku pada Rabu 6 Januari di Washington D.C – ibu negara Amerika Syarikat.
Saya telah menulis tentang pemilihan presiden Amerika yang berlangsung pada Selasa 2 November 2020 yang lalu. Saya juga telah menulis tentang bagaimana Donald Trump dan Joe Biden mendapat sokongan dana berbilion dolar untuk berkempen. Saya juga telah menulis tentang wujudnya kumpulan dan tim berkepentingan yang mahu mengalahkan Trump.
Saya juga telah menulis tentang penyokong tegar Trump. Kenapa mereka menyokong Trump. Malah saya juga telah menulis bahawa penyokong Trump ini ada terdiri daripada kumpulan extremis kanan yang bersenjata.
Saya telah menulis dan meramalkan akan berlaku bentrokan di Washington D.C. Maka pada Rabu 6 Januari, Bangunan Capitol di Washington D.C telah dikepung dan diceroboh oleh penyokong Trump. Apa yang saya ramalkan telah berlaku.
Bangunan Capitol ini didirikan pada tahun 1800 di Washington D.C. Dalam bangunan itu terletak Dewan Senat. Ia juga menjadi pusat legislatif dan eksekutif pentadbiran Amerika.
Dalam bentrokan ini empat warga Amerika mati terbunuh ketika demonstrasi berjalan. Ketika saya menulis ini seramai 26 orang telah ditangkap.
Bentrokan berlaku kerana Trump dan penyokongnya menganggap pemilihan Presiden 2020 berjalan dengan perancangan licik menipu undi. Penyokong Trump percaya bahawa wujud projek gelap untuk memastikan Trump kalah.
Mengikut pandangan penyokong Trump - projek gelap lagi jahat untuk menjatuhkan Trump ialah persengkokolan tiga gerombolan - gerombolan pertama ialah apa yang dipanggil ‘big tech’ atau teknologi gergasi iaitu Twitter, Google dan Facebook . Gerombolan kedua terdiri dari media arus perdana seperti CNN, Washington Post, New York Times. Gerombolan ketiga ialah kumpulan oligarki - kaum pemodal yang kaya raya dari Wall Street.
Keyakinan para penyokong Trump ini diperkuatkan lagi oleh kenyataan demi kenyataan dari para pemimpin Parti Republikan yang menuduh penipuan undi telah berlaku. Malah Trump sendiri hingga ke hari Rabu masih enggan mengaku dan menerima Biden sebagai presiden dilantik. Parti Republikan percaya penipuan undi telah berlaku.
Kemenangan Trump telah dirampas. Ini mantra dan ratib penyokongnya.
Hujah penipuan undi telah disokong kuat oleh hujah perundangan. Pasukan peguam Trump dipimpin oleh Rudy Gualiani – bekas datuk bandar New York.
Hujah – legality atau keabsahan – pengundian cukup kuat. Kes-kes penipuan dan bahan bukti penipuan telah diajukan ke mahkamah tetapi gagal dilebarkan ke mahkamah kerana mahkamah juga kini dibaca oleh penyokong Trump telah menjadi sebahagian dari penyokong Biden.
Untuk kita di Malaysia, apa yang berlaku di Amerika bukan suatu yang menghairankan. Rakyat telah melihat dan mendengar kes tipu, kes bawa ke mahkamah berkali-kali. Semuanya menghabiskan dana parti. Tidak membawa apa jawapan.
Dari zaman Perikatan, United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya telah menipu dalam pilihan raya. PRU12 dan PRU13 kita melihat bagaimana Pakatan Rakyat telah digagalkan dengan penipuan undi. Ini membawa kepada tahun 2018 apabila kebencian rakyat sampai ke tahap gaban maka barulah PH berjaya menubuhkan kerajaan.
Apakah dalam PRU14 tidak ada tipu undi?
Jawapannya ada. Tetapi kebencian rakyat terhadap United Malays National Organisation telah ampuh dan melimpah sehingga tidak ada jenis penipuan yang dapat mempertahankan dan menyelamatkan gerombolan jahat ini. Kebencian orang ramai menggunung hingga berjaya menenggelam musnah projek tipu. Amin.
Kes tipu undi, salah guna kuasa , kes elektrik putus ketika undi dikira – kini berlaku bukan hanya di Lembah Pantai atau Pagoh tapi di Arizona dan Pennsylvania.
Untuk saya inilah kehebatan Trump. Inilah kejujuran Trump. Sosok yang bernama Donald Trump ini telah membogelkan sandiwara silap mata menipu orang ramai. Sandiwara ini diketahui oleh umat manusia seluruh dunia. Sandiwara ini dikenali sebagai pilihan raya.
Amerika negara termaju yang mengaku sebagai jaguh dan kepala demokrasi pun berlaku penipuan undi. Bayangkan di negara Afrika, Arab dan Amerika Latin. Hakikatnya di serata pelusuk dunia dimana ada pilihan raya pasti ada penipuan. Tipu undi telah menjadi watak pilihan raya.
Jelas semakin jelas bahawa projek pilihan raya ini hanyalah satu ilusi. Apa yang dialami oleh penyokong Trump pada tahun 2020 telah kita alami di Malaysia.
Pada pagi Rabu 6 Januari, penyokong Trump telah berhimpun berhampiran Rumah Putih. Trump telah menyampaikan ucapan. Trump membakar semangat penunjuk perasaan. Dalam ucapannya Trump sekali lagi menolak kemenangan Biden dan mendakwa dirinya telah menang besar. Ucapan ini telah menaik dan membakar semangat penyokong.
Kemudian Trump mengarahkan para penunjuk perasaan berarak ke bangunan Capitol. Ketika ini ahli Dewan Senat dalam banguanan Capitol sedang mengira keputusan jumlah undi elektoral.
Dari segi perlembagaan, undi elektoral yang telah dijumlahkan akan diberi kepada Naib Presiden Mike Pence untuk diumumkan secara rasmi siapa yang menang. Sebelum upacara ini tuntas, akan ada perdebatan. Jika ada senator, akan ada yang membantah keputusan kiraan undi. Ketika inilah pada penunjuk perasaan masuk menceroboh.
Naib Presiden Pence dan para senator dilarikan di tempat selamat. Huruhara berlaku dalam Dewan Senat. Bukan huru-hara perdebatan, tapi huru-hara yang dilakukan oleh penunjuk perasaan.
Media arus perdana dengan cepat menuduh satu serangan telah berlaku di Capitol. Trump dituduh memulakan serangan ganas ini.
Keganasaan memuncak. Seorang wanita penyokong Trump ditembak mati. Trump kemudian muncul di televisyen dan meminta para penyokong berundur. Pada awalnya Trump enggan memanggil National Guard untuk mereda keadaan tapi akhirnya dia setuju agar pasukan itu masuk mengawal Washington D.C untuk meredakan keadaan.
Dewan Senat bersidang kembali. Jam empat pagi barulah secara rasmi undi elektoral diterima dan Joe Biden menjadi presiden Amerika ke-46.
Apa maknanya semua ini? Apa maknanya pemilihan Presiden 2020?
Untuk saya, selain daripada peranan Trump membogelkan pilihan raya, dia juga telah membuka ladang kemarahan yang amat luas. Ini kemarahan dan rasa tidak puas hati dari warga Amerika yang selama ini ditinggalkan. Kemarahan dari mereka yang terpinggir.
Kini Amerika terpecah dua. Satu Amerika Merah dan satu Lagi Amerika Biru. Merah ialah lambang Parti Republikan, Biru ialah lambang Parti Demokrat.
Jelas amat jelas yang jumlah undi popular yang diterima Trump bertambah berbanding dengan undian tahun 2016. Maknanya penyokong Trump tetap setia dengan garis dan politik Trump.
Amerika pecah dua ini amat susah untuk bertaut kembali. Dendam penyokong Trump ini akan mencari jalan untuk meneruskan harapan mereka bagi membersihkan Amerika dari elit politik dan elit ekonomi yang selama 200 tahun telah menjarah negara itu.
Trump telah berjanji akan membersihkan kelimbah Washington D.C dari penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan para politikus. Trump berjanji untuk menjadikan Amerika gagah sekali lagi. Niat dan rancangan Trump telah digagalkan. Kegagalan ini akan terus tersimpan dalam sanubari mereka.
Mereka yang saya maksudkan mengikut Hillary Clinton ialah ‘ a basket of deplorables ‘ - atau sebakul Mat Lekeh. Elit politik memandang lekeh terhadap penyokong Trump. Mat Lekeh ini kurang pelajaran, kurang ilmu, kurang duit dan kurang pengaruh. Mereka ini dianggap pergi terlanggar, pulang tersepak.
Sila ambil perhatian - majoriti Mat Lekeh ini berkulit putih.
Hari ini dunia sedang diserang pandemik Covid-19. Ekonomi dunia meleset. Mungkin akan runtuh. Malah ada para ekonomis memberi pandangan bahawa apa yang sedang berlaku sekarang lebih buruk dari tahun 1930-an.
Ke mana arah dunia pasca Covid-19 masih menjadi tanda tanya. Mari kita melihat sejarah. Membuka kitab lama.
Sayugia diberitahu bahawa pada satu ketika dahulu sebelum dan ketika zaman meleset era 1930-an, kesatuan buruh, kesatuan sekerja dan politik kiri cukup kuat di Amerika. Gerakan dan kesatuan mereka inilah yang berjaya memaksa Presiden Franklin D Roosevelt (1933-1939) untuk melancarkan apa yang dipanggil sebagai New Deal.
New Deal ialah dasar ekonomi kebajikan yang berjaya menampung warga Amerika yang jatuh papa kedana di zaman meleset – Great Depression (1929-1933).
New Deal memunculkan gaji minimum. New Deal memberi bayaran bulanan kepada setiap warga Amerika yang kehilangan kerja dan berpotensi untuk mendapat kerja. New Deal ialah kerajaan mengeluarkan dana untuk projek asas membangun negara. Projek seperti membuat jalan, empangan air, lebuh raya dan jambatan. Pembelajaran percuma dari sekolah rendah hingga diberi biasiswa ke universiti.
Harus disedari penyokong teguh garis politik kiri dan kekuatan kesatuan buruh pada ketika itu ialah mereka yang dipanggil Mat Lekeh oleh Hilary Clinton.
Saya yakin dalam suasana Covid-19 dan kegawatan ekonomi, Mat Lekeh ini berpotensi untuk melakukan sesuatu. Kuncinya ialah kemunculan kembali fikrah progresif, pemikiran radikal yang berpaksi kebajikan ramai berbanding kepentingan individu.
Huru hara yang ditimbulkan selama empat tahun oleh Donald Trump seharusnya menjadikan Amerika bumi subur untuk para intelektual awam, pemikir kiri dan kesatuan buruh kembali mempanglima politik Amerika.
Apa sangkut pautnya semua ini dengan kita di Malaysia?
Kita di Malaysia wajib faham apa yang telah berlaku, yang terjadi dan yang akan terjadi di Amerika akan mempengaruhi politik dunia – termasuk kita. Rumah Putih adalah kiblat sistem ekonomi kapitalis. Malaysia adalah salah satu daripada jaringan negara yang menggunakan sistem ekonomi kapitalis. Jika kapitalis Amerika Syarikat sakit, kita akan sakit sama.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai