Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Mari mengenal darurat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mari kita belajar bahasa. Mari kita memahami makna perkataan. Mari kita sesama menggali dan mencari kekayaan Bahasa Melayu. Ini agar kita menjadi sosok yang bukan sahaja berbudi tapi bijak juga berbahasa.

Mari kita berbudi berbahasa. Jangan menjadi sosok tak berbudi dan menjadi sosok gila-gila bahasa. Bahasa itu jiwa bangsa mengikut kata-kata Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bahasa ialah sambungan perkataan yang disusun dan tersusun untuk menjadi ayat yang memberi makna. Justeru bahasa ialah kumpulan perkataan yang melahirkan makna. Perkataan ini juga boleh berubah ubah maknanya. Mengikut susunan ayat.

Jika ditambah perkataan ini atau itu maka makna akan berubah.

Pada permulaan tahun baru 2021 perkataan yang heboh dan lagi dihebohkan dalam dunia hari ini ialah insurrection - pemberontakan. Perkataan ‘insurrection’ ini muncul berikutan dengan apa yang dilakukan oleh penyokong Donald Trump di bangunan Capitol Washington DC pada 6/1/2021. Ini di Amerika.

Manakala di Malaysia yang heboh lagi dihebohkan ialah perkataan darurat.

Dalam bahasa Tamil darurat dipanggil avacaram. Dalam bahasa Bangla jaruri. Dalam bahasa Punjabi aimarajainsi. Dalam bahasa Jepun Kinkyu. Dalam bahasa Inggeris dipanggil emergency.

Kerana perkataan darurat semakin heboh maka saya mengajak pembaca berkenalan rapat dengan darurat. Perkataan darurat masuk ke dalam bahasa Melayu dari bahasa Timur Tengah. Asal usul darurat dari bahasa Arab.

Jangan selalu buat anggapan yang salah – menganggap semua perkataan Arab tersangkut-paut dengan Islam.

Ibnu aleahira ialah perkataan Arab. Makna perkataan ibnu aleahira ialah anak jalang. Anak jalang ialah anak yang lahir tanpa emak dan ayahnya mengadakan kenduri kahwin. Tidak direstui oleh Lebai Jakim kerana anak lahir tanpa ada saksi akad nikah.

Maka jelas bukan semua perkataan Arab itu bersangkut-paut dengan Islam.

Makna perkataan darurat ialah: Susah yang datang tanpa kita ketahui. Susah datang tidak disangka-sangka. Susah datang dengan tertiba. Susah datang mengejut.

Darurat ini mula dikenali dengan ampuh dan merebak luas dalam perbendaharan kata-kata Bani Melayu ketika gerila Pembebasan Rakyat Tanah Melayu sedang melawan kuasa kolonial Inggeris. Perang gerila antikolonial Inggeris ini dipimpin oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Perang ini dipanggil darurat (1948-1960).

Darurat Ahmad dan Aminah

Ertinya perkataan darurat menjadi pop sesudah Perang Dunia Kedua (1941-1945).

Kuasa kolonial Inggeris telah mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu pada 16 Jun 1948. Semenjak dari tahun 1948 darurat amat-amat dikenali dan telah dialami oleh warga Tanah Melayu.

Untuk menghayati perkataan darurat mari kita ikuti contoh-contoh darurat ini.

Contoh darurat: Ahmad naik kereta api ringan dari Bangsar hendak menuju ke Gombak. Teriba Ahmad terasa sakit perut setelah melintasi stesen Pasar Seni. Ahmad berhenti di stesen Masjid Jamek untuk berak. Ini darurat namanya. Ahmad terberak dalam keadaan darurat.

Ahmad bukan susah nak terberak. Tapi Ahmad tetiba menjadi susah kerana perut memulas nak terberak. Ahmad bukan susah nak terberak tapi menjadi susah kerana tetiba sakit perut nak terberak.

Ada perbezaan: susah nak terberak. Dengan: susah kerana nak terberak.

Ahmad selamat dari terberak dalam kereta api.

Contoh darurat: Aminah belum kahwin dengan Ahmad. Tapi Aminah sudah bunting. Maka Ahmad cepat-cepat kahwin dengan Aminah sebelum Abdul Jakim ayah Aminah ternampak perut Aminah yang membesar. Ini darurat namanya. Ahmad dan Aminah kahwin darurat.

Kahwin ini bukan sakit yang datang tak disangka-sangka. Kahwin bukan sakit datang dengan tetiba. Kahwin ialah sedap yang datang bertali arus dengan percuma.

Perut besar tanda bunting. Bunting menjadi darurat kerana Aminah dah bunting sebelum akad nikah. Aminah kahwin darurat dengan Ahmad.

Aminah mengawini Ahmad untuk selamat dari dilihat bunting.

Contoh darurat: Kuasa kolonial Inggeris mengisytihar darurat kerana tidak mahu diserang oleh gerila Gerakan Pembebasan Rakyat Tanah Melayu yang di pimpin oleh PKM.

Kuasa kolonial Inggeris selamat dari mati dibunuh gerila.

Contoh darurat: Malaysia diserang virus korona. Ramai warga jatuh sakit. Ramai warga Malaysia mati. Majlis Keselamatan Negara mengisytihar darurat di beberapa kawasan yang teruk diserang virus korona. Kawasan ini dikenali sebagai kawasan PKPD,, atau ditakrif sebagai kawasan merah.

Kata kunci ‘dari’

Darurat diisytihar untuk menyelamatkan warga dari virus korona. Warga Malaysia diselamatkan dari wabak virus korona.

Warga selamat dari mati diserang virus korona.

Sila beri perhatian - kunci ayat-ayat ini ialah perkataan “dari”. Diselamatkan dari terberak dalam kereta api. Diselamatkan dari dilihat bunting sebelum kahwin. Diselamatkan dari mati kerana serangan virus korona. Diselamatkan dari dibunuh gerila PKM.

Kata kunci ialah “dari”.

Perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin telah mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Pada petang Rabu 13/1/2021 Muhyiddin telah mengisytihar avacaram - ops, silap, maaf - mengisytihar darurat. Ini berat. Ini darurat berat.

Berat bukan bermakna darurat ini boleh ditimbang. Dianggap berat kerana ada Siti Muslihat di belakang darurat yang diumum oleh Muhyiddin Yassin.

Jangan salah baca Siti Muslihat ini bukan perempuan gemuk yang berat. Juga bukan kakak sepupu kepada Siti Nurhilaza atau anak tiri dari bini ketiga Datuk Seri Abdul Karen Azeez. Bukan. Bukan. Bukan.

Siti Muslihat ialah cara berlapik berbudi dan berbahasa Bani Melayu untuk menerangkan tentang wujudnya udang dalam mangkuk laksa Muhyiddin Yassin perdana menteri Malaysia.

Ada udang di sebalik laksa atau ada udang di sebalik batu ialah contoh bersopan berbudi bahasa Melayu. Bani Melayu tidak akan mengatakan bahawa Muhyidin Yasin ada agenda tersorok. Tidak. Bani Melayu ini memiliki perangai yang berbelit-belit dan berputar-putar berjela-jela dengan air liur untuk bersopan dalam berbahasa. Amin.

Bahasa berlapik ini akan bertambah lapik apabila perbualan itu berlaku di hadapan sosok yang berpangkat lagi berkedudukan tinggi seperti Yang Amat Mulia Sultan.

Maka mari kita bawa kembali kepada tajuk asal: Mengenal darurat.

Pasti ada pembaca akan bertanya:

Apa bezanya darurat Ahmad terberak di Masjid Jamek dengan darurat Muhyidin pada hari Rabu lalu?

Dari lawan oleh

Apa bezanya darurat Aminah bunting dengan darurat Muhyidin? Muhyiddin tidak bunting. Dia hanya dilaporkan pernah diserang oleh ketumbuhan di pankreas. Ketumbuhan tidak membesarkan perut Muhyiddin.

Apa bezanya darurat kolonial Inggeris dengan darurat Muhyidin?

Untuk menjawab soalan-soalan ini kita wajib memahami kata kunci. Dalam memahami darurat kata kunci ialah perkataan: “dari”. Darurat Ahmad, darurat Aminah, darurat warga Malaysia, darurat Inggeris semuanya “selamat dari”.

Ahmad selamat dari malu terberak dalam kereta api. Aminah selamat dari kena belasah oleh Lebai Jakim kerana bunting sebelum kahwin. Soldadu Inggeris selamat dari mati dibunuh gerila PKM. Warga Malaysia selamat dari virus korona.

Bagaimana pula dengan darurat Muhyidin Yassin?

Darurat Muhyiddin Yassin bukan darurat “selamat dari” tapi “diselamatkan oleh”. Dua perkataan ini penting – “dari” dan “oleh”. Biar saya jelaskan di sini.

Muhyiddin Yassin bukan selamat dari virus. Muhyiddin bukan selamat dari gerila. Muhyiddin bukan selamat dari bunting. Muhyiddin bukan selamat dari terberak. Muhyiddin Yassin diselamatkan oleh darurat.

Dalam bahasa Mat Rempit Muhyiddin pandai cilok.

Orang ramai tahu bahawa kerajaan Muhyiddin tidak memiliki sokongan yang ampuh. Umum mengetahui satu demi satu Yang Berhormat dari parti Ketuanan Melayu – United Malays National Organisation telah menarik diri dari menyokong kerajaan Muhyiddin.

Pada hari Rabu 13/1/2021 ketika Muhyiddin mengumumkan darurat di media - YB Nazri Aziz juga mengumumkan bahawa dia menarik diri dari menyokong Muhyiddin Yassin.

Maka adalah tepat jika saya katakan bahawa Muhyiddin Yasin diselamatkan oleh darurat dari dijatuhkan dari kerusi perdana menteri.

Adalah betul lagi tepat jika saya nyatakan bahawa Muhyiddin Yassin mengisytihar darurat bukan kerana YB Nazri Aziz. Dari siapa? Sabar dulu jangan gopoh nak tahu.

Makin jelas bahawa darurat ini satu perkara yang amat berguna. Dalam masa yang sama darurat juga satu perkara yang tidak berguna.

Untuk Ahmad dan Aminah darurat tidak berguna. Darurat sakit perut dan bunting tidak berguna kerana menyusahkan hidup mereka. Ahmad gelabah mencari tandas. Manakala Aminah gelabah mengikat perut.

Siapa menunggu di bucu parlimen?

Untuk warga Malaysia darurat berguna kerana warga selamat dari virus korona.

Manakala untuk kolonial Inggeris darurat berguna kerana mereka selamat dari mati dibunuh oleh gerila PKM.

Untuk Muhyiddin Yasin darurat amat-amat berguna. Muhyiddin telah diselamatkan oleh darurat. Kalau tak ada darurat Muhyiddin Yassin akan kena terajang oleh ops, oleh siapa? Sabar dulu jangan gopoh nak tahu.

Hubaya, hubaya. Anwar Ibrahim, Najib dan Zahid sedang menunggu di bucu parlimen untuk menikam mati Muhyiddin Yassin. Menikam mati bukan dengan pisau. Ini perbuatan salah lagi ganas.

Tiga sekawan ini ingin menikam mati Muhyiddin dengan menggunakan numbo azimat. Numbo azimat ini adalah numbo jumlah angka YB yang menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri. Anwar Ibrahim telah menjaja angka ini ke hulu ke hilir lebih dari setahun.

Muhyiddin Yassin telah diselamatkan oleh darurat yang diselamatkan oleh virus korona.

Maka seperti biasa dibuatlah gurindam seloka oleh orang Melaka untuk mengingati Muhyiddin Yasin dan avacaram - ops, maaf - Muhyiddin Yassin dan darurat.

Darurat darurat
Sudah tersirat

Darurat darurat
Apa nak buat?
Bagai besi berkarat
Longkang tersumbat
Semua dah terlewat

Darurat darurat
Semua tak sempat
Covid melarat
Frontliners tak larat
Dah tak ada kudrat

Darurat darurat
Pengumuman hebat
Biarpun kawan rapat
Mau pun ustaz
Semua terjerat

Darurat darurat
Inikah ubat?
Atau Siti Muslihat?


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.