Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Demokrasi yang dijahatkan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Apabila kita turun di kotak undian 2018 lampau, kita turun dengan satu kasad suci iaitu untuk membetulkan negara ini. Untuk rekod, sebahagian besar kita tidak memilih penguasa hari ini. Sama sekali tidak. Mereka berada di atas kerusi berlapikkan wang hari ini tanpa restu rakyat. Ia bukan demokrasi. Sama sekali tidak.

Kita tidak pernah menyangka, pada 2021, segala harapan kita berkecai.

Hari ini demokrasi putih yang kita sandarkan harapan itu sudah menjadi gelap, hitam, bukat, juga kesia-siaan. Ia bukan lagi demokrasi. Bukan lagi. Kita tidak tahu apa ia, tetapi yang pasti ia bukan demokrasi. Jika kita hujahkan ia sebagai demi-kerusi ia malah tidak memadai. Ia jauh lebih menjengkelkan. Setidak pun demi kerusi masih boleh dihujahkan sebagai perlumbaan untuk kuasa. Jika kuasa itu diguna untuk baik maka masih ia dapat membaik. Namun, hari ini, demokrasi yang bukan lagi demokrasi itu menunjukkan kita bahawa perlumbaan yang ada hari ini ialah perlumbaan untuk menjadi sekutu iblis.

Mereka yang saling berhempas pulas mengejar untuk menjadi kawanan iblis dan setan itu tidak menyedarinya. Kita rakyat, yang melihatnya terlongo dan terkejut. Ada misalnya yang sudah di batas usia dan sudah pernah diuji kematian; tetapi sangat berlelehan liur keinginannya untuk mempertahankan nafsu untuk menjadi jahat. Bahasa jahatnya, dah dekat mampus tetapi kasihan, tergoda memilih jahat.

Memang aneh, mereka berlumba untuk menjadi jahat. Ada yang menyarung jubah dan serban sambil jahat. Bahasa mereka adalah bahasa dalil tetapi bermakhraj jahat. Ada yang sudah betul-betul dilarang isterinya agar sudah-sudahlah kerana kegilaan itu terlihat menakutkan tetapi, tetap mahu jahat. Barangkali, iblis berjaya menukar segala kegilaan itu tampak manis. Ada yang tidak berkelayakan tetapi berkeinginan kerana sudah jahat. Untuk kekal jahat, demokrasi yang manis itu harus dijahatkan sekali. Ia harus disorong sama ke jurang. Apa sahaja yang boleh dijadikan jahat, akan dijahatkan sebagai alat.

Maka ujian genting sebuah negara adil yang hendak maju atau sudah pun maju ialah apabila demokrasinya diduga dengan kejadian di mana demokrasi itu, sebagai alat untuk kebaikan warganya telah diseret oleh pemimpin yang patut melindunginya sehingga ia menjadi jahat. Dalam erti kata lain demokrasi telah dijahatkan.

Ini terlihat di Washington DC misalnya apabila pemimpin sebuah negara agung demokrasi terpesona dengan iblis dan mendorong demokrasi ke gaung agar ia dapat dijadikan alat untuk menjahat. Makanya seisi dunia tergamam melihat pemimpin negara itu menyeru secara tanpa segan silu agar demokrasi berpihak kepada kejahatan. Seruan itu termakan juga, dan ada yang menyerbu simbol perkhidmatan demokrasi di negara itu dengan niat dan juga cogan kata jahat. Demikianlah demokrasi boleh dijahatkan untuk kepuasan atau agenda penjahat.

Maka demokrasi yang lambangnya selalu ada pada parlimen boleh dilumur dengan segala yang jahat-jahat agar kejahatan dapat disalut seolah kebaikan. Ada mengenalnya sebagai demokrasi hibrid. Maka segala sayap-sayap demokrasi dibodoh-bodohkan untuk mengisi tembolok penjahat. Dalam hal demokrasi hibrid ini, ia dikacukkan dengan kekuasaan yang penuh hasad dan nafsu buas sehingga ia diputarbelitkan agar dapat melindungi penjahat. Saya pernah mengarang mengenai demokrasi hibrid itu di sini.

Kejahatan lagi menghargai kebaikan

Kata jahat adalah sebuah kata yang sungguh mendebarkan. Apakah mungkin pada kejahatan yang ditimpakan ke atas demokrasi ini, sebetulnya ada kebaikan?

Ini mengingatkan saya kepada hujah filsuf Iran yang tersohor, Mutahhari (bawah) yang mengatakan kejahatan diperlukan untuk memahami, apatah lagi menghargai kebaikan. Misalnya orang kacak tidak akan dipuji kacak sekiranya tiada orang hodoh. Jika semua orang berwajah buruk, istilah kacak tentu tiada. Amerika memerlukan seorang Donald Trump untuk dengan segera melindungi demokrasi mereka yang terancam.

Kita memerlukan kerajaan Melayu-Islam yang jahat untuk menyuluh semula hakikat dan menghargai kerajaan pelbagai bangsa yang gigih. Kita memerlukan seorang Radzi untuk menghargai seorang Maszlee. Kita tidak akan menghargai Theresa jika kita tidak ditonyohkan dengan muka at-Takiri. Kita hanya akan merindui Dzulkefly bila kita perlu menghadap Adham. Kita kini percaya Hannah bila tiba-tiba tersentak dengan Rina dan Zailah. Kita hanya pandai bila ada yang bodoh. Jika semua bodoh, kita tidak dapat terlihat pandai.

Tentulah sarwa pandang ini kontroversi. Mutahhari dalam persoalan keadilan Ilahi dengan penuh dedikasi membentangkan falsafah kejahatan ini. Akan tetapi ia tiada kaitan dengan demokrasi. Begini, kita mengetahui kemiskinan itu bukanlah sesuatu yang baik. Kemiskinan bererti tidak memiliki sesuatu, dan bukannya memiliki sesuatu. Iaitu seorang yang miskin adalah seorang yang tidak memiliki kekayaan.

Sekarang, kita berhenti sejenak dan kita bayangkan pula situasi ini. Angin badai, gempa tsunami, binatang buas yang lapar, virus dan bakteria seperti Covid, banjir tenggelam bumbung rumah di Lipis, dan pelbagai lagi. Semua itu, kita sebutkan kejahatan lantaran wujudnya mengakibatkan kematian, kehilangan harta benda, kecacatan kekal, dan menyebabkan kerugian. Pendek kata, ia menghalangi kita makhluk untuk mencapai kesempurnaan. Sekiranya virus tidak menyebabkan sakit atau kematian, nescaya ia tidak disebut kejahatan; dan sekiranya banjir atau tsunami-gempa bumi tidak mendorong kematian dan kehilangan kekayaan atau kematian, maka ia tidak akan tergolong sebagai kejahatan. Jadi kejahatan mengandungi kehilangan, kekurangan, atau ketiadaan.

Oleh itu, di alam ini terdapat kekosongan (al-faraghat) yang menjadi punca penderitaan alam tersebut, dan keadilan Ilahi harus mengisi kekosongan tersebut. Di sinilah Mutahhari datang memperjelaskan persoalan eksistensial yang, melalui fungsi dan sebabnya, maka muncullah deretan kekurangan dan ketiadaan. Dalam kategori ini juga kita temukan kebodohan, kelemahan, dan kemiskinan. Tentulah jatuh di bawah kategori yang sama adalah penyakit, ribut taufan, kebakaran, dan pelbagai bencana lain.

Keadilan Allah

Mutahhari melihat persoalan kejahatan dari sarwa pandang keadilan Allah, justeru beliau cuba menerangkan pertama; mungkinkah kecacatan atau kekurangan itu dapat dipisahkan dari kewujudan alam ini atau semua itu merupakan kemestian yang tidak dapat dipisahkan, yang ketiadaan wujudnya bermakna tiadanya alam ini. Sebagai contoh, bolehkah tsunami dan gempa itu tiada pada bumi, jika ditiadakan adakah dari segi geografisnya pula membantu hayat bumi yang kita huni ini. Kedua, Mutahhari cuba melihat apakah kekurangan atau keburukan itu merupakan kejahatan murni, atau ia merupakan kebaikan yang terselindung di sebalik kejahatan tersebut. Lebih waras pertanyaan beliau ialah apakah dari kejahatan tersebut muncul banyak manfaat? Dalam erti kata lain tatkala kejahatan tersebut tidak ada, maka sistem alam ini akan porak-poranda dan kebaikan menjadi tidak ada.

Sesungguhnya kejahatan adalah bersifat relatif, ini kerana apa yang disebut sebagai kejahatan itu, untuk dirinya tidaklah jahat, kerana jahatnya adalah untuk sesuatu yang lain. Tsunami untuk dirinya adalah baik, tetapi bila dikaitkan dengan yang selainnya, iaitu kehilangan jiwa maka ia dikatakan jahat. Jadi gempa dan tsunami dikatakan jahat lantaran dapat menjadi sebab-musabab terjadinya kekurangan, kehancuran, ketiadaan dan kecacatan. Pun wujud sejati dari setiap sesuatu adalah kewujudannya sendiri.

Sebetulnya setiap yang terdapat dalam sistem penciptaan dunia ini menanggung kekurangan, dan hal itu dilihat dari segi kekurangan potensinya, bukanlah kerana terhalangnya rahmat Allah yang patut tiba sehingga hal itu dipandang sebagai nasib atau perbuatan zalim atau pilih kasih daripada Yang Maha Kuasa.

Dalam hal kedua, Mutahhari melihat kebaikan, dan kejahatan bukan dua kualiti yang terpisah dan sendiri-sendiri tetapi kejahatan adalah kualiti yang terlekat pada kebaikan. Kejahatan iaitu tiada kualiti tertentu menunjukkan ketidakberdayaan sesuatu yang secara potensialnya mempunyai daya. Mutahhari berpandangan dalam sistem alam sedia ada, kejahatan dan kebaikan saling bergantung untuk menunjukkan potensi masing-masing. Gempa bumi tidak jahat. Kita yang memberinya kata jahat. Untuk dirinya sendiri, ia punya peranan tersendiri yang justeru adalah baik. Hubungan antara kejahatan, musibah, dan penderitaan, adalah untuk menonjolkan keindahan dan penyempurnaan keseluruhan.

Dalam pada itu Mutahhari juga memahamkan kita antara kejahatan dan kebaikan itu terdapat kausaliti atau sebab-akibat. Menurut Mutahhari, kejahatan itu juga menjadi pendahulu (sebab) bagi terwujudnya (akibat) sesuatu yang indah. Di hujung malam yang gelap bukat (dilihat jahat kerana gelap) terdapat pula siang yang terang benderang (justeru baik kerana ada cahaya). Ini menjelaskan satu keharusan yang pasti, iaitu pra-syarat kebaikan adalah terlebih dahulu penderitaan atau kekurangan.

Kewujudan sistem politik yang jahat, pemimpin yang jahat, dan keputusan yang jahat dan jahanam untuk kita marhaen pasti membawa kepada kebaikan dan pemulihan. Namun, ini adalah bahagian yang bukan alamiah kerana ia adalah perihal tangan manusia. Dalam hal ini tangan manusia harus merebutkannya untuk membaiki kejahatan atau kekurangan ini.

Malam jadi siang

Kejahatan dan bencana yang dibawa Donald Trump pada demokrasi Amerika boleh membaik jika tangan manusia politik baik Demokrat dan Republikan mahu membaikinya. Kehuru-haraan, kebodohan dan ketidakcekapan Perikatan Nasional boleh membaik dengan syarat tangan manusia yang terlibat iaitu politikus ingin dan mahu menukar keburukan ini kepada kebaikan. Misalnya jika pembangkang mahu bersatu dan membetulkan keadaan maka mungkin saja kita akan beroleh kerajaan yang lebih baik pada masa mendatang. Atau jika yang memerintah itu muhasabah lantas insaf lalu ia memperbaiki diri maka kita rakyat akan mendapat manfaat.

Jika politikus ini enggan melakukannya, kita rakyat pasti dan mesti melakukan iaitu campur tangan agar yang jahat itu kita gantikan dengan baik. Jika malam (jahat) boleh berakhir menjadi siang (baik) maka apa sangatlah hal urusan seharian manusia. Bos jahat jangan didiamkan, kita lengserkan. Diktator jangan dialpakan, kita gulingkan.

Demokrasi tidak jahat, tetapi ia telah dijahatkan oleh tangan manusia tamak haloba. Ia bukan urusan Ilahiah maka kita boleh campur tangan untuk membetulkannya. Kita tidak boleh menerima takdir dan nasib seperti mana kita menerima sahaja bencana. Sayugia diingatkan bencana tertentu itu malah datang dari tangan kerosakan kita juga. Banjir misalnya tidak akan berlaku jika kerabat tidak rakus memperkosa alam sehingga tercabut dan tergendala sistem alam.

Soalnya, adakah kita manusia punya kekuatan untuk membetulkan apa yang salah atau membaikkan semula apa yang jahat ini? Atau, adakah kita hendak pasrah ditenggelami banjir setahun sekali, manakala dalam hal politik pula kita reda menerima penindasan padahal semua ini bukan ketentuan Tuhan?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.