Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Tak mahu jadi buaya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kalau dilihat semua hasil kerja Namewee, sepatutnya beliau merupakan seorang penguasaha seni yang paling disukai oleh rakyat Malaya.

Hampir semua hasil kerja seni beliau sangat berlandaskan apa yang kita sebut sebagai gaya citrawarna. Baik video muziknya mahupun filem-filem yang dihasilkan.

Masih ingatkah bagaimana saban tahun - apabila menyambut merdeka, misalnya - akan keluarlah segala kaum yang ada di negara ini dengan pakaian yang berwarna-warni?

Mereka akan menari dan bernyanyi dalam suasana yang sangat gembira. Seolah-olahnya itulah yang berlaku setiap hari dalam negara kita. Ali, Ah Kau dan Muthu akan tidak semena-mena berlari terkinja-kinja menari sambil gendang besar dipukul, sambil rebab digesek dan tabla sayup-sayup membalas tingkah keduanya.

Akan menarilah semua kaum yang ada di negara ini sambil tersengih-sengih dan tersenyum gembira. Terlompat-lompat seperti sedang memijak bara api dengan bibir dihias gincu paling merah buat penghias putihnya gigi mereka.

Jauh dihujung sana akan kelihatan seorang penari ngajat yang dibawa bagi mengisi ruang.

Malangnya kita tidak dapat mendengar tawa dan hilai gelak mereka kerana ia dilitupi bunyi bising suara ahli politik mengarut - atau dalam bahasa Negeri Sembilan disebut sebagai membongak - tentang betapa harmoninya kehidupan dalam negara yang sedang giat membangun ini.

Tak boleh diharap

Itulah gambaran keharmonian kaum dan Namewee mengambil semua ini dengan sepenuh hati. Namewee ialah pokok yang sedang membesar hasil daripada benih yang disemai oleh siri-siri citrawarna yang menjadi kebanggaan kita semua.

Mengikut kata beliau, semua filemnya mengabungkan elemen yang disahkan sebagai ramuan benar oleh kerajaan dan juga sebilangan besar umat negara ini.

Lalu mengapa Namewee dianggap sebagai si malaun oleh sesetengah orang? Maka dianggap dia si anak Cina yang hampir semua hasil kerjanya adalah mengenai perpaduan kaum tetapi tetap dilayan sebagai si jibaok yang memungkinkan negara ini masuk ke kancah peperangan antara kaum.

Bukankah beliau mengikuti semua displin dalam menghasilkan filem dan video muzik yang dianggap muhibah dengan baik?

Kami menyukai video muzik yang dihasilkan hanya kerana terdapat unsur-unsur humor di dalamnya. Filem-filem Namewee pula - pada pendapat kami - belum lagi sampai pada tahap yang boleh diharap untuk bersaing dengan karya Yusof Haslam jika kita sekali lagi mengambil Citrawarna sebagai ukuran.

Yusof Haslam sudah khatam segala kitab mengenai Citrawarna. Beliau digemari ramai. Siri Gerak Khas terbitan beliau diakui sebagai drama bersiri paling lama bertahan di dunia.

Adalah lebih baik untuk Namewee duduk dan belajar daripada beliau jika serius dalam usaha untuk menghasilkan video musik dan filem yang akan diterima semua golongan terutamanya kaki-kaki yang kerjanya tidak lain hanya membuat laporan polis.

Pun begitu, belum pernah dibuktikan bagaimana siri Gerak Khas berjaya membasmi jenayah di negara ini apatah lagi membentuk keharmonian semua bangsa di dalamnya.

Jika kita anggap filem dan muzik boleh mengubah kebodohan maka termasuklah kita kedalam kumpulan manusia yang mereng. Bob Dylan bernyanyi mengenai ketidakadilan sejak sebahagian kamu belum dan ia tidak menghasilkan apa-apa.

Perlukan duit lebih banyak

Iwan Fals menjerit dari awal tahun 1980-an hingga sebelum masuk ke zaman melenial, juga tidak membuahkan apa-apa selain dia menjadi bertambah kaya.

Kemudian kamu marah kerana M Nasir tidak lagi menjadi kutu seperti kamu. Yang kamu mahu ialah M Nasir sentiasa memakai kasut Fung Keong dan bernyanyi di tembok menyuarakan ketidakadilan sampai mati lalu dikebumikan bersama seluar jeans, kemeja T cap Pagoda dan juga kasut getah buatan tempatan yang kamu anggap ikonik itu sampai tauke kilang Fung Keong itu pun hairan.

Dengar semua lagu yang dihasilkan oleh M Nasir pada zaman Alleycats, Flybaits dan sebagainya, lalu kamu akan dapati beliau bukan seorang kutu tetapi seorang yang membuatkan kutu mendengar lagu-lagu yang sebegitu.

Dunia tidak memerlukan rebel. Dunia perlukan wang yang lebih banyak.

Sebenarnya kami bukanlah mahu menulis mengenai Namewee. Setelah hampir dua bulan meninggalkan dunia digital, kami mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan banyak perkara.

Waktu paginya kami berjalan untuk menikmati keindahan alam sambil berhati-hati untuk mengelak motosikal laju budak-budak penghantar bungkusan dan juga pemandu motokar yang sentiasa kelam-kabut berlumba.

Kami juga ada lebih masa untuk termenung di hadapan lukisan yang sedang kami siapkan; dan juga tidak terburu-buru untuk menyiapkannya. Pendek kata, dunia kami menjadi lebih perlahan.

Kami tidak lagi menjadi seorang pemarah setiap kali membaca cerita politik misalnya, dan juga tiada lagi tekanan untuk mengumpul ‘like’ dalam semua media sosial yang kami sertai.

Sekarang segala berita terutama mengenai Covid-19 kami dapati daripada Ragu, budak dari India yang menjadi pelayan di kedai mamak tempat kami minum kopi O ais tanpa gula setiap hari.

Seperti yang selalu kami katakan, kami minum apa pun tanpa gula bukan kerana berpenyakit tetapi kerana hidup kami sudah cukup manis lalu kami mahu tahu apa itu yang kamu panggil pahit.

Ada lebih banyak masa

Pahit itulah yang tidak sudah-sudah kamu hebahkan kepada dunia melalui segala media sosial yang ada di tangan kamu itu.

Ragu dengan yakinnya akan datang ke meja kami dan memberitahu berapakah kes terbaru hari itu sambil membandingkannya dengan kes di negaranya. Beliau juga akan bercerita sedikit mengenai dirinya dan mengenai tanah airnya.

Beberapa hari lalu kami dapat tahu bahawa India telah mula memberikan suntikan vaksin kepada rakyatnya. Kami tahu kerana Ragu berdiri dengan megah di hadapan meja kami sambil memberitahu, dan kemudian bertanya: "Apa pasal sini tarak lagi? Wang tak cukup ka, abang?".

Kami tidak menjawab selain tersenyum seperti biasa yakni dengan bibir dikatup rapat bimbang terlihat sebatang gigi kami yang patah.

Kata Ragu vaksin tersebut adalah buatan India sepenuhnya.

Seperti yang kami nyatakan tadi, setelah tidak lagi berhubung dengan dunia digital, kami ada lebih masa untuk melakukan banyak perkara namun kami jadi amat rindu untuk menulis, terutamanya di sini.

Datang satu macam keinginan yang tidak dapat digambarkan apabila lama tidak mencatat. Keinginan yang sama juga datang kepada aktiviti memfoto yang juga kami gemari. Namun keinginan untuk menulis melebihi keinginan lain.

Dari India ke Jepun

Kerana itu kami gagahkan diri untuk menulis kembali.

Kami juga mengambil keputusan untuk menulis mengenai pengalaman hidup seharian untuk dikongsi kepada kamu yang sudi. Tambahan pula kami memberikan komitmen kepada editor portal ini maka menjadi tanggungjawab kami untuk memenuhinya.

Ragu merupakan lulusan sains komputer. Seperti diketahui ramai, penampilan kami memang sentiasa memperlihatkan kebahagian dan kejayaan.

Pernah sekali beliau meminta kami mencarikan kerja yang sesuai dengan kepandaiannya di sini. Kami menolak dengan mengatakan bahawa kami tidak mempunyai kepandaian dalam bidang menemukan seseorang dengan kerja pilihan mereka.

Adik beliau baru saja mendapat tawaran berkerja di Jepun dalam bidang yang sama dan telah mendapat permit penerbangan untuk ke negara itu.

Beliau bertanya mengenai Jepun kepada kami. Lalu kami katakan kepada Ragu bahawa jika kamu pergi ke sana sebagai pelancong, kamu akan dapatinya ia sebuah negara yang penduduknya antara paling baik di dunia.

Namun jika kamu berlama-lama di Jepun, kamu akan dapati mereka adalah antara penduduk yang agak tebal sifat rasisnya.

Ragu dan adiknya mengingatkan kami kapada OP Zaharin, sahabat kami yang juga ahli dalam bidang komputeran. Suka kami berpesan kepada beliau untuk tidak sangat bangga diri atas keahlian dalam bidang IT kerana jika beliau dilahirkan di India, mungkin hari ini beliaulah yang membawa berita tentang Covid sambil menghulurkan kopi O ais tanpa gula kepada kami. Kita ini hidup biar tahu dek untung.

Kami ingin memohon maaf kapada semua yang (mungkin) cuba menghubungi kami. Buat masa ini kami belum mempunyai cita-cita untuk membeli telefon baru.

Kami masih agak selesa tanpanya. Pada masa hadapan mungkin kami akan kembali berperanti namun jika kamu rasa sangat perlu menghubungi kami untuk ajak berpameran, makan kambing atau memberikan wang yang banyak, sayugia kamu masuk ke Facebook dan cari akaun Omorq Iwan atau pelukis abstrak terkenal Norlisham Selamat.

Mereka berdua telah kami kerahkan sebagai perantara kami dengan dunia maya. Lantaklah sama ada mereka suka atau tidak.

"Abang, itu vaksin tarak bagus," kata Ragu kelmarin. "First day cucuk, next day 24 orang mati." Dia bercerita tentang Covid-19 dan vaksin di negaranya jauh di sana.

Kami tidak tahu sama ada ia berita benar atau tidak namun kami telah lama bersetuju dengan Presiden Brazil bahawa siapa yang disuntik vaksin itu akan bertukar menjadi buaya.

Walau apa pun yang dikata orang, kami sama sekali tidak mahu bertukar menjadi seekor buaya.


ABDULLAHJONES ialah peminat kopi O yang baru mengenal nikmat dunia tanpa telefon tangan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.