Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | SOP CNY: Di manakah kepimpinan?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kita tidak perlu tinggal dalam mahligai untuk memahami maksud tersirat di sebalik SOP “makan malam besar keluarga hanya diizinkan dalam kalangan anggota keluarga yang sama” adalah “reunion dinner tidak dibenarkan”. Ia sepatutnya berbunyi, “Tiada makan besar keluarga, tiada aktiviti ziarah-menziarahi dibenarkan sepanjang Tahun Baru Cina”. Perintah harus disampaikan dengan mesej yang ringkas dan jelas, bukan?

Jadi, mengapa SOP ini mencetuskan pertikaian, sehingga netizen Melayu pun menyindir bahawa kerajaan seolah-olah tidak faham maksud “reunion”? Sejurus selepas pengumuman Menteri Pertahanan, Ismail Sabri, media sosial dilambak dengan gambar makan besar di keliling kereta lok-lok di pasar malam, aktiviti ziarah-menziarahi yang mengambil tempat di MRT, di mana bilangan penumpang tidak dihadkan, dan sebagainya.

Tidak adil untuk mengecam kerajaan lantaran SOP yang ketat tatkala kita menuntut penularan wabak Covid-19 dikawal. Kita harus bersikap rasional ketika membicarakan isu ini. Mengasak dari kiri dan kanan – dikritik kerajaan kerana gagal menyekat penularan Covid-19 apabila PKP dilonggarkan; pada masa yang sama, dikritik kerajaan juga kerana menzalimi peniaga kecil apabila PKP dilanjutkan – adalah tidak bertanggungjawab.

Namun, ia tidak bermaksud kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Dan kerajaan juga tidak patut mengambil kesempatan untuk bersambil lewa dalam kebuntuan ini. Persoalannya, jikalau gandingan politik Perikatan Nasional begitu handal dan tangkas untuk merampas kuasa pada Februari 2020, mengapa tidak bakat dan kehebatan ini digunakan untuk mentadbir negara sepanjang tempoh setahun ini? Mengapa dilihat seolah-olah melepas batok di tangga, setelah menggengam tampuk di tangga kuasa?

Saya menolak hujah bahawa rakyat berdegil untuk tidak mematuhi SOP, kerana rakyat yang sama telah berjaya melandaikan lekuk angka kes baru pada tahun lalu. Hakikatnya, ketidakpuasan masyarakat Cina kali ini boleh dirungkaikan, jika pun gagal dielakkan. Cuma, sebelum ia dirungkaikan, kita wajar menyelami, mengapa masyarakat Malaysia secara umumnya semakin pasrah dengan langkah yang diambil kerajaan?

SOP yang tidak masuk akal

Ketepikan dahulu soal siapa yang harus dipertanggungjawabkan kerana mencetuskan gelombang ketiga penularan wabak Covid-19. Kita mengambil kira senario yang berbeza sebelum dan selepas September 2020, dengan situasi ekonomi yang tenat lantaran PKP1.0.

Kita perlu PKP 2.0 untuk menangkis gelombang ketiga, tetapi pada masa yang sama, PKP 2.0 tidak wajar mengulangi PKP 1.0, yang mungkin “terlebih bunuh” (overkill). Justeru itu, kita harus mengambil iktibar daripada PKP 1.0, dengan mengubah suai SOP yang terlalu ketat, sebelum ini.

Misalnya, seandainya bilangan pengunjung dikawal, dan jarak fizikal dipatuhi, risiko jangkitan di pasar malam yang terbuka (open air) padahal lebih rendah daripada pusat beli-belah dalam ruang tertutup. Jadi, mengapa pusat beli-belah berpenghawa dingin dibenarkan berniaga, tetapi gerai pasar malam ditutup pula sebelum ini?

Antara 'troll' yang dikesan di Internet, gambar hiasan

Contoh SOP yang mencabar akal ada di mana-mana. Misalnya, pusat cuci kereta yang ditutup sebelum ini, tatkala pusat servis kereta dibenarkan beroperasi. Apakah mekanik boleh memperbaiki dan menguji enjin, tanpa perlu memasuki kereta untuk menghidupkan enjin? Jika pun dikhuatiri risiko jangkitan lantaran aktiviti cuci kereta, kita masih memiliki pilihan untuk menggariskan SOP “cucian hanya untuk luaran kereta, dan vakum dalam kereta dilarang”. Dengan ini, kita tidak memutuskan terus pendapatan pencuci kereta yang kais pagi makan pagi. Apapun, tujuan PKP 2.0 dilonggarkan adalah untuk menjaga periuk nasi golongan berpendapatan rendah, bukan?

Apabila wujudnya senario sebegini, kebijaksanaan jemaah menteri dipertikai. Mesej tentang risiko jangkitan, kewajaran di sebalik SOP yang diperketatkan dan dilonggarkan tidak diterangkan dengan jelas, maka wujud keadaan di mana reunion dinner disamakan dengan kunjungan ke pasar malam.

‘Double standard’

Walau bagaimanapun, saya mentafsirkan fenomena troll pasar malam ini sebagai ledakan emosi, yang tidak berpuas hati dengan amalan double standard dalam kalangan penguasa. Sudahlah kebijaksanaan jemaah menteri dipertikaikan, kini kewibawaan mereka turut dipersoalkan.

Bayangkan, apabila menteri memuat naik gambar bersenam bertiga, alasan yang diberikan adalah “kebetulan bertemu di tengah jalan”. Apabila menteri hadir dalam sambutan hari ulang tahun, alasan yang diberikan adalah “(pejabat menteri) selang satu blok”. Apabila menteri dilihat mengambil gambar tanpa pelitup muka, alasannya “buka (pelitup muka) hanya untuk sekejap saja”. Tiada yang mohon maaf, dan tiada yang dikompaun setakat ini.

Antara 'troll' yang dikesan di Internet, gambar hiasan

Namun apabila rakyat biasa keluar kereta untuk ambil anak di belakang kereta, tanpa pelitup muka di satu kawasan yang tiada manusia dikesan melalui CCTV, terus dikompaun RM1,000. Apabila lapan warga emas termasuk OKU dari kawasan pedalaman keluar untuk membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan di pekan, terus dikompaun RM1,000 masing-masing, kerana SOP tetap SOP, sungguhpun polis bersimpati kepada mereka. Tepuk dada tanya selera, siapa yang sudi akur dengan ketidakadilan yang terang lagi jelek ini?

Itu pun belum lagi kita masuk bab paling sensitif, yang melibatkan aktiviti keagamaan. Misi untuk mengolah restu akan perlunya SOP yang ketat sepanjang Tahun Baru Cina bertambah sukar apabila sesetengah netizen cuba membandingkan SOP aktiviti keagamaan lain. Kebetulan PN adalah gandingan parti yang berteraskan Melayu-Islam. Realiti ini membuatkan sesetengah Cina menganggap SOP ini sengaja disasarkan kepada komuniti Cina, memandangkan aktiviti keagamaan lain semakin diberi kelonggaran. Kita tidak mahu usaha melawan Covid-19 terjejas lantaran syak wasangka sedemikian, bukan?

Penantian tanpa penghujung

Akhir sekali, segala ketidakpuasan dan ketidaksabaran dalam kalangan masyarakat gagal dirungkaikan tanpa kita mengakui kelemahan kerajaan PN berdepan dengan wabak Covid-19.

Apa yang boleh dirumuskan daripada strategi kerajaan dalam usaha menangkis gelombang ketiga Covid-19 adalah, tiada matlamat, dan tiada hala tuju. Kerajaan PN dilihat seolah-olah mengambil langkah pasif ketika berdepan dengan wabak Covid-19. Apabila gelombang ketiga mengombak, maka diumumkan PKPB pada pertengahan Oktober 2020. Jelas, PKPB gagal menyekat penularan wabak Covid-19, namun kelonggaran merentas negeri tetap diberikan pada 7 Disember 2020 tatkala angkanya masih melonjak. Kita faham dilema untuk mengimbangi antara kesihatan dan pendapatan rakyat, tetapi apa yang berlaku sekarang mentafsirkan kepada kita makna “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

Apa tidaknya, sektor yang disekat, semakin lemas; kelonggaran yang diberikan itu pula, diambil kesempatan wabak Covid-19 untuk merebak. Akhirnya, semakin ramai terjangkit, dan semakin ramai juga yang kehilangan pendapatan.

Lama-kelamaan, rakyat bosan dan jemu, letih dan pasrah, bahawa usaha yang dicurahkan selama ini, sia-sia sahaja. Tiada cahaya harapan di penghujung terowong. Kerajaan tidak menyuntik semangat untuk motivasi rakyat, misalnya, pengorbanan untuk tempoh sebulan akan menemukan kita dengan matlamat angka jangkitan harian di bawah 1,000, misalnya. Dengan ini, barangkali rakyat teruja untuk berusaha menuju ke arah itu, dan mereka tahu sekatan akan dibuka apabila matlamat tercapai.

Namun, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Kita tidak yakin bahawa angka jangkitan harian akan merudum. Rakyat boleh patuh SOP, Cina boleh korbankan makan malam besarnya, tetapi, apakah kerajaan mampu jamin, dengan itu, Malaysia akan berjaya untuk melandaikan lekuk jangkitan? Apakah menteri akan mendabik dada untuk memberi jaminan, bahawa “Jikalau saya melanggar SOP, saya akan letak jawatan, atau sekurang-kurangnya, dikompaun sebagaimana rakyat biasa didenda.” Berani?

Lebih setahun wabak Covid-19 berleluasa, hampir setahun PN bermaharajarela. Ya, kuasa telah dirampas, tetapi di manakah kepimpinan? 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.