Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kena strok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya adalah salah seorang yang menghadapi strok atau angin ahmar sejak dua tahun lima bulan lalu. Itu adalah pengalaman yang memeritkan. Namun saya bersyukur kepada tuhan kerana masih memanjangkan usia saya.

Sebelum strok saya tidak mengalami apa-apa penyakit dan disahkan oleh doktor yang saya temui setiap enam bulan. Isteri saya juga seorang doktor.

Saya meneruskan kerja sebagai CEO sebuah syarikat organik dan pengarah e-dompet di Dubai, Abu Dhabi, India dan Mesir, setelah duduk di Riyadh dan Dubai selama 18 tahun (sehingga Ogos 2018).

Begitulah takdir tuhan dan saya menerima hakikat dengan reda, walaupun saya hilang ingatan 100 peratus dan menjadi seorang OKU.

Saya memerlukan masa setahun untuk bangkit semula. Dari terlantar di atas katil, dengan kerusi roda, bertongkat dan berjalan terjengket-jengkat serta perlahan.

Terima kasih kepada pengamal fisioterapi yang membantu.

Saya juga penulis sastera yang memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, sembilan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, pemenang novel remaja Berita Harian dan lain-lain. Saya masih menulis di Malaysiakini.

Tidak ramai yang sedar bahaya strok termasuk saya sebelum terkena. Mungkin saya tidak cukup tidur selama dua minggu menjadikan angin ahmar menerpa.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia strok adalah pembunuh nombor tiga di Malaysia, selepas jantung dan kanser.

Terdapat 50,000 kes baharu setiap tahun. Ini adalah angka yang besar dan menakutkan.

Boleh dihitung, seramai 3.1 dari enam orang rakyat Malaysia adalah pesakit strok. Ia mewakili 17 peratus daripada keseluruhan populasi negara.

Sebanyak 55 peratus melibatkan lelaki dan 60 peratus melibatkan orang berumur 60 tahun kea tas atau lebih tua. Sekarang, orang muda termasuk remaja semakin ramai.

Dari statistik, setiap enam saat seorang individu akan meninggal dunia akibat angin ahmar.

Data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2018 meletakkan Malaysia di tangga ke-107 dunia dengan 13,799 kematian akibat angin ahmar.

Begitulah strok terus mengganas dan kita harus menjaga kesihatan. Kalau kita pergi ke hospital tiap hari bekerja, sungguh ramai orang yang menghadapi pelbagai penyakit.

Sesiapa sahaja boleh mengalami strok termasuk kanak-kanak. Namun strok kebanyakan kes menimpa orang dewasa.

Gangguan bekalan darah ke otak

Strok adalah serangan otak dan berlaku apabila bekalan darah ke otak terganggu. Otak adalah pusat saraf tubuh dan mengawal setiap perlakuan dan fikiran. Selain mengawal fungsi-fungsi automatik seperti pernafasan.

Otak memerlukan bekalan darah berterusan untuk berfungsi dengan baik dan membawa oksigen dan nutrien yang amat penting.

Strok mengakibatkan bekalan darah terhenti, menyebabkan sel-sel otak kekurangan oksigen dan nutrien. Apabila saluran darah dalam otak pecah ataupun tersumbat, bahagian otak mula mati dan strok akan terjadi dengan pantas dan secara diam.

Kerosakan otak menjejaskan deria-deria, pertuturan dan pemahaman bahasa.

Sebelah tubuh lumpuh, sikap, corak pemikiran dan ingatan berubah dengan sekelip mata.

Terdapat dua jenis strok yang utama. Setiap satunya mempunyai sebab yang berbeza.

Untuk strok iskemia pembuluh darah dalam otak tersekat oleh gumpalan darah beku dalam pembuluh, plak aterosklerotik pecah, ataupun oleh emboli (darah beku yang bergerak dalam saluran darah yang kemudiannya tersekat di pembuluh darah otak).

Untuk strok berdarah, ia berlaku apabila terdapat aneurisme (bengkak atau gelembung pada arteri). Ia mungkin menyebabkan pembuluh darah di otak pecah dan berlaku pendarahan ke dalam otak. Ini biasanya dikaitkan dengan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.

Menurut sebuah rencana,tekanan darah tinggi yang lama dan tidak dirawat memberikan tekanan pada dinding arteri menyebabkan meningkatnya risiko arteri pecah dan berdarah.

Strok berdarah disebabkan oleh pendarahan salur darah pecah di dalam otak.

Gejala-gejala strok bergantung kepada jenis strok dan bahagian otak yang terjejas.

Strok iskemia biasanya hanya menjejaskan bahagian setempat otak yang dirempuh oleh arteri yang sumbat.

Strok dapat didiagnosis melalui beberapa teknik, pemeriksaan neurologi, ujian darah, CT scan atau MRI scan, ultra bunyi atau doppler serta arteriografi.

Kalau pengimejan menunjukkan strok, berbagai-bagai kajian yang lain boleh dilakukan untuk menentukan adakah terdapatnya satu punca pinggir embolus yang wujud.

Menurut artikel itu lagi, kajian ultra bunyi bagi arteri karotid untuk mengesan stenosis carotid elektrokardiogram (ECG) dan ekokardiogram untuk mengenal pasti aritmia kardium dan hasilan darah beku dalam jantung yang boleh tersebar ke salur-salur otak melalui aliran darah kajian pengawas holter untuk mengenal pasti aritmia berjeda.

Kesan-kesan strok berbeza antara individu, bergantung kepada bahagian otak yang terjejas. Bagi sesetengah orang, kesannya agak sedikit dan sekejap, yang lain mengalami kehilangan upaya yang lebih teruk dalam jangka panjang.

80% dapat dicegah

Menurut artikel lain, 80 peratus dari serangan strok dapat dicegah.

Serangan strok dapat dicegah sekiranya setiap orang mengambil langkah bagi mengelak penyakit ini daripada berlaku. Usah sekali-kali menyangka bahawa kita tidak berisiko diserang strok. Sesiapa sahaja mungkin diserang strok tanpa mengira sama ada kita lelaki ataupun perempuan, muda ataupun tua, apa jua etnik kita.

Artikel itu memberitahu apa yang kita boleh buat:

  • Kawal tekanan darah sekiranya kita mempunyai penyakit darah tinggi. Setiap hari, pantau tekanan darah dan makan ubat yang diberi. Jangan mengatur sendiri ataupun berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor.

  • Berhenti merokok! Perokok terdedah kepada risiko serangan strok dua kali ganda berbanding bukan perokok.

  • Kekalkan berat badan yang sihat.

  • Diet sihat dan seimbang.

  • Penghidap kencing manis perlu mengawal pengambilan gula secara optimum.

  • Dapatkan pemeriksaan bagi degupan jantung yang tidak normal.

  • Bersenam dan kekalkan gaya hidup aktif.

  • Elak atau kurangkan pengambilan alkohol.

Kita mungkin sedang diserang strok sekiranya:

  • Kebas atau lemah secara tiba-tiba pada muka, lengan, ataupun kaki terutamanya jika hanya pada sebelah bahagian badan sahaja.

  • Tiba-tiba sukar menelan.

  • Mendadak kurang sedar, mengantuk, sukar bercakap atau memahami percakapan.

  • Tidak dapat melihat sama ada dengan sebelah mata atau kedua-dua belah mata.

  • Tidak stabil apabila berjalan, pening, hilang keseimbangan atau koordinasi.

  • Sakit kepala yang teruk dan tidak diketahui puncanya, disertai dengan muntah dan mual.

Sekiranya kita nampak seseorang yang mempunyai mana-mana simptom di atas, kita dapat menggunakan FAST bagi mengenal pasti dengan cepat adakah orang itu sedang diserang strok.

F untuk FACE: Minta orang itu senyum. Adakah sebelah bahagian wajahnya jatuh?

A untuk ARMS: Minta orang itu angkat kedua-dua lengannya. Adakah sebelah lengannya jatuh ke bawah?

S untuk SPEECH: Minta orang itu ulang semula satu ayat mudah. Adakah percakapannya tidak jelas atau pelik?

T untuk TIME: Sekiranya kita perhatikan orang itu mempunyai antara tanda yang di atas, segera dapatkan rawatan perubatan.

Begitulah menurut artikel untuk mengawal strok.

Saya masih menghadapi strok untuk kedua kali dan memakan sepuluh pil setiap hari. Saya sudah tidak boleh tidak memakan ubat. Jantung masih 60 peratus berfungsi dan mempunya kolestrol yang tinggi.

Untuk yang tidak menjaga kesihatan, Ingatlah strok adalah penyakit ketiga selepas jantung dan kanser dan boleh saja membawa maut!

MOHD FUDZAIL MOHD NOR, kini OKU pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.