KOLUM | Melepak di Clubhouse
Terdapat sebuah aplikasi media sosial yang mulai menerima sambutan hangat daripada rakyat Malaysia. Namanya Clubhouse. Ia sama sekali berbeza dari Twitter, atau Facebook, atau Instagram dan segala macam yang lain. Aplikasi ini berasaskan audio, di mana kita boleh menyertai sebuah kamar yang didirikan untuk ‘bersembang’ dan sebaik ia berakhir, segala jejak yang ada segera menghilang. Siapa pun yang menyertainya tidak dapat diekori atau dihujahkan.
Maka, ia boleh digunakan untuk sembang pendek akal; tetapi juga sembang yang panjang akal. Ia boleh mengisi perbualan bernas; sehingga ke perbualan merepek.
Justeru, untuk sesetengah masyarakat, seperti di China misalnya; ia segera diterima hangat. Ini kerana haiya, kita boleh mengumpat siapa sahaja termasuk penguasa dan kemudian kabur tanpa kesan. Ini mendorong China mengharamkan aplikasi ini. Di Thailand, pihak berkuasa memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak membincangkan perihal raja mereka setelah Pavin Chachavalpongpun (pengkritik monarki) diikuti 70 ribu pendengar dalam masa beberapa hari.
Pendek kata Clubhouse mengizinkan kita melepak dan mendengar (juga menyampuk jika diizinkan) di aneka kamar, malah kita boleh menyelinap dari satu bilik ke bilik lain untuk memasang telinga. Topik bual bisa jadi apa, dan tidak ada siapa yang boleh menyekat.
Aplikasi ini sudah dimuat turun lebih lapan juta kali pada 16 Februari lalu, dan nilai syarikat pemiliknya sudah melesat mencanak naik dari 100 juta dolar US menjadi 1 bilion dolar.
Kelihatannya di negara kita; pelakon, menteri, politikus, pelawak, pengarang, dan ustaz muda sudah menenggek di Clubhouse, melepak dan mencuba-cuba pelbagai kesempatan untuk ‘menyampaikan’ utusan.
Memang terdapat satu kritikan bahawa Clubhouse adalah semata untuk kelompok pengguna elit memandangkan ia hanya boleh digunakan oleh pengguna iphone, selain pengguna Clubhouse juga perlu diundang terlebih dahulu. Tanpa pencalonan pengguna terdahulu, pengguna yang mengharap untuk menyertai kelab istimewa ini mungkin dinafikan harapannya.
Di sebalik kritikan di atas, saya juga ingin melihat manfaat Clubhouse lebih dari kelebihan yang disebutkan di atas. Biar saya jenguk peluang lain yang disediakan Clubhouse. Aplikasi ini memberi satu petunjuk khas bahawa budaya lisan dan budaya tetuang sudah kembali.
Budaya lisan menurut pakar tradisi lisan Jan Vansina adalah satu hantaran atau dokumen masa kini yang mana dalam masa sama ia berfungsi mengutus mesej dari belakang (masa lampau).
Dalam tradisi lisan kita akan menerima testimoni atau perakuan langsung dari penyampai. Dalam hal ini kita mesti beringat, tradisi lisan adalah satu tradisi Timur yang pernah canggih di mana berbanding di Barat yang lebih menggunakan tradisi bertulis dan bergambar.
Apabila Barat tiba di Timur, penakluk memperkenalkan tradisi bertulis menggantikan tradisi lisan yang dianggap lapuk, tidak moden dan ketinggalan. Tiba-tiba juga orang Timur merubah parameter mereka. Padahal, menerusi tradisi lisan inilah masyarakat Timur menyampaikan kepada generasi muda, dan bertalian generasi demi generasi pelbagai mitos, lagenda, cerita rakyat, memori, lagu rakyat, peribahasa dan syair klasik.
Lama kelamaan budaya tradisi lisan itu berkembang dan menjadi lebih marak menerusi budaya atau tradisi tetuang di mana seperti radio, apa yang disampaikan secara oral ini lebih terkhusus, digubah untuk tujuan tertentu dan dipancarkan untuk perhatian ahli masyarakat.
Apabila tradisi lisan ini berkembang menjadi tradisi tetuang ia mulai ‘memerlukan tempat’ iaitu tempat bercerita. Orang lama sebagai contoh mendengar radio sebagai sumber segala kefahaman, kepercayaan dan juga ilmu. Segala propaganda dan pengisian ilmu disalur menerusi radio, tetapi diperlukan satu hos atau stesen untuk ia menjadi tersusun. Dalam hal ini Clubhouse memberikan kamar, hos dan juga peluang untuk pendengar ikut serta dalam proses lisan itu.
Revolusi Iran yang digerakkan oleh Imam Khomeini menggunakan budaya tetuang ini di mana ceramah atau pesan almarhum disampaikan menerusi kaset dan teredar disembunyi dalam lampin anak-anak, atau cadur wanita Parsi.
Tradisi lisan juga pernah menjadi sumber sejarah. Di sini ‘sejarah’ tidak ditulis tetapi disampaikan turun-temurun lantas membina enigma tertentu seputar tokoh atau memberi aura yang munasabah kepada satu-satu kejadian. Tradisi lisan mempunyai kuasa untuk disampaikan dari satu orang ke satu orang dan pemuliharaannya sangat bergantung kepada berapa ramai pendengar kepada penyampai lisan ini.
Bahan atau material tradisi lisan ini seperti telah saya sebutkan boleh jadi peribahasa, puisi tradisional, syair bahkan epik. Untuk sejarawan, tradisi lisan adalah bahagian dari rekod sejarah.
Malah mengambil kira historiografi, tradisi lisan itu sendiri adalah sejarah bahasa, sejarah budaya dan sejarah masyarakat. Tradisi lisan memberikan gambaran kepada kita bagaimana individu atau ahli masyarakat berhubung, bercakap, bertingkah laku, berfikir dan berhujah. Lebih menarik ialah satu individu akan memperihalkan apa yang didengarnya berbeza dengan individu lain, di mana ia boleh menjadi petaka; tetapi boleh juga menjadi kuasa.
Clubhouse menyediakan tradisi lisan dan tetuang ini secara canggih sejajar dengan kepesatan teknologi digital dan maklumat. Apa yang menjadikan tradisi lisan pernah berpengaruh ialah kerana berbanding tradisi bertulis, ia jauh lebih mengkhusus dan tidak ada pertentangan. Ini kerana satu bahan yang dibaca boleh ditafsirkan. Namun untuk tradisi lisan, kita boleh sahaja bertanya langsung kepada penyampai lisan itu.
Di Clubhosue, disediakan butang untuk bertanya atau mencelah. Lebih baik dari tradisi bertulis, tradisi lisan juga menyediakan ekspresi, nada atau intonasi, dan juga penekanan yang membolehkan kita memahami sesuatu dengan pantas dan tidak perlu salah tafsir atau salah faham seperti mana yang selalu terjadi kepada kita tatkala membaca mesej di aplikasi whatssap, telegram atau signal.
Lain dari itu aplikasi Clubhouse ini menyediakan pengguna satu kelainan untuk mereka yang sedang tidak terurus dan tidak mahu memperlihatkan wajah dengan alasan tidak bersedia, tidak berpakaian sesuai atau keadaan rumah yang tunggang-langgang di wadah zoom atau skype misalnya.
Adalah aneh manusia serba moden dan canggih sedang mengundur ke belakang semula, menggunakan pengalaman lalu untuk berkembang di masa depan. Meskipun sesebuah kamar terbubar sebaik sahaja perbualan atau sembang tamat di Clubhouse, ia masih meninggalkan kesan kepada pendengar. Utusan atau inti bual yang dikemukakan akan lekat di benak dan itu merupakan jalan pintas untuk mereka yang juga sudah kelelahan membaca.
Clubhouse boleh saja menjadi peluang untuk politikus, dan juga kekuatan untuk seniman yang memerlukan capaian khalayak yang berbeza dan pelbagai. Ia juga boleh menjadi peluang kepada militan merekrut ahli tanpa tanda, kepercayaan ‘salah’, dan juga khabar angin. Ia ruang untuk apa sahaja, dengan ingatan itulah ia bersifat eksklusif di mana pengguna elitis ini dianggap tidak melakukan ‘yang tidak tentu’.
Sejauh mana ia mencorakkan masyarakat masa kini, dan kemudian berkembang di masa mendatang belumlah kita ketahui. Namun, dengan perkembangan teknologi yang terlalu pesat, ada macam-macam jangkaan yang tidak terjangkau. Clubhouse adalah satu stesen tetuang yang tidak ada siapa pun dapat mencegah.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai