Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Buaya politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ada seorang agamawan yang rajin menggunakan analogi buaya dan pengailnya. Kita tidak tahu siapakah yang dimaksudkan dengan buaya tersebut. Malah qias yang konon ala-ala Tuan Guru Nik Aziz itu memang tidak kesampaian dan tiada mengena.

Untuk mengenal buaya dan pengailnya dalam sebuah negara atau masyarakat demokratik tidaklah sesulit mana.
Begini, etos penting atau wajib dalam sebuah negara demokrasi itu, menurut William Theodore de Bary itu ada empat.

Pertamanya, ia amat berkait rapat dengan nilai-nilai asas kemanusiaan dan kehormatan diri individu. Dalam hal ini, karektor pertama ini amat rapat dan tidak terpisah dari kerangka hak asasi manusia baik kerangka moden mahupun tradisional.

Malah kehormatan diri itu sentiasa sahaja menjadi perkara paling utama menurut agama Islam. Kata de Bary dalam The Trouble With Confucianism, nilai paling utama dalam masyarakat demokratik itu ialah; “a positive commitment to humane values - such as the value of human life and the dignity of the human person.”

Misalnya, sebuah negara demokratik tidak mengganggu kehidupan individu seorang trans. Ini kerana kehidupan peribadinya adalah miliknya, dan juga ia adalah kehormatan diri; yang ia punya sebaik lahir.

Juga, sebuah negara demokratik tidak mengganggu kehidupan spiritual seorang Ahmadi. Mereka berhak beramal. Sebuah negara demokratik tidak membiarkan seorang pastor atau seorang Syiah diculik paksa tanpa khabar berita, dan membiarkan keluarga mereka menunggu tanpa maklumat jelas. Sebuah negara demokratik tidak membiarkan semua itu berlaku dengan sengaja. Ini kerana semua itu adalah kehormatan diri individu yang wajar dipenuhi oleh sesebuah negara.

Ajaran agama Islam tidak menafikan ini. Tidak sama sekali. Mungkin ada buaya dalam air keruh demokrasi yang cuba membaham dan menerkam rakyat.

Ciri kedua dalam masyarakat demokratik itu adalah kebolehdayaan masyarakat untuk menghindar diri (bila perlu) dari wacana arus perdana agar boleh menilai dan memperhalusinya secara kritikal.

Misalnya apabila terbit sebuah wacana dalam masyarakat bahawa kalimah Allah itu hanya untuk kegunaan sesebuah kaum atau umat sahaja, maka masyarakat yang demokratik akan segera menjarakkan diri dan boleh memikir dengan akal dan kebebasan sendiri tanpa perlu bergantung dengan pandangan atau gagasan pihak berkuasa.

Keupayaan masyarakat untuk menjarakkan diri dan tidak menelan bulat-bulat ini sangat penting kerana ia adalah kebalikan dari sistem autoritarian yang menyudu dan memaksa telan apa sahaja.

Masyarakat yang berdikari dan mandiri ini tahu beza yang mana nasionalisme demi nusa bangsa, dan yang mana racun ketuanan yang bertujuan menafikan hak dan maruah segelintir yang lain.

Etos ini bukanlah etos yang batil

Iklim beginilah yang dapat dimanfaatkan oleh umat Islam sendiri dalam negara sekular. Lihat saja apa yang dinikmati oleh masyarakat Islam di New Zealand di bawah Jacinda Adern. Justeru, etos ini bukanlah etos yang batil tentunya. Hanya mereka yang dibodohkan kemarang-marangan sahaja akan tertutup minda dan tidak nampak kebenaran ini. Dalam hal inilah maka buaya sebagai satu lambang mungkin terpakai.

Buaya tidak mahu masyarakat ada keupayaan untuk menghindar dari wacana arus perdana. Buaya sejenis binatang yang memakan bangkai busuk tidak mengenal pilihan-pilihan segar harum dalam sistem demokratik sebenar.

Etos ketiga dalam masyarakat yang demokratik tentunya terletak pada kebolehmampuan masyarakat itu untuk membincangkan secara terbuka semua gagasan atau pendapat yang bertentangan. 

Jika hadir satu-satu percekcokan dalam masyarakat mengenai satu-satu perkara misalnya isu mengkhianati sesebuah kerajaan yang menjadi pilihan rakyat atau kedudukan mana-mana pemimpin yang tidak boleh diganggugugat; rakyat mesti diberi izin seluas-luasnya untuk berbahas mengenai hal ini dengan saksama.

Kerajaan terdahulu iaitu Pakatan Harapan misalnya memberi ruang untuk pihak yang membantah Icerd bersuara malah berkumpul menyatakan bantahan mereka. Ini satu (salah satu) nilai atau ciri yang harus ada pada sesebuah negara yang mendabik dada berpegang kepada sistem dan faham demokrasi.

Kita dapat melihat bagaimana dalam sesebuah negara yang sekular dan demokratik, suara bertentangan ini dibiarkan untuk saling berbalas. Manusia atau umat mempunyai citarasa, perbezaan pandang dan keinginan yang berlainan dalam sesuatu hal dan tidak boleh diurus secara simplistik iaitu dengan melarang pertanyaan, dan kritikan.

Jika satu komentar boleh menyebabkan sebuah suara kolektif diancam tutup maka masyarakat ini boleh mengatakan ia hidup dalam masyarakat buaya.

Etos terakhir adalah terdapat dorongan agar masyarakat berani dan mahu berbahas mengenai sesuatu isu yang hangat dan sengit secara terbuka. Ini bermakna pihak berkuasa sendiri yang menyediakan iklim dan persekitaran tersebut dan bukan menutupnya. Apatah lagi menghalang dan menakut-nakutkan rakyat untuk tidak berekspresi. Hal ini harus dipupuk dalam bidang pendidikan dan diserapkan kepada semua anggota dalam masyarakat sejak anak-anak lagi.

Semua ini tidak bertentangan dengan tradisi Timur, apatah lagi tradisi Islam. Tidak ada satu pun hujah agama atau adat dapat digunakan untuk menolak semua etos di atas. Jika buaya ini percaya kesejagatan agamanya sendiri, maka agamanya tentu sahaja mendokong malah menyerlahkan semua etos di atas dalam ajaran-ajarannya.

‘Semua parti politik yang boleh digigitnya’

Salah satu sifat buaya ialah memenggap dan mengendap sebelum menyerang mangsanya. Ia adalah sifat yang menjolok mata dan menjengkelkan.

Mangsa kemudian diheret dalam lubuk dan diratah sehingga tulang-temulangnya luluh lantak.

Untuk sekian waktu mangsa akan direndam dan diperam sehingga busuk dan barulah sedap dimamah.

Soalnya, dalam konteks politik hari ini; kita tidak dapat menafikan kebuayaan sang agamawan yang menerkam, melibas, dan menggelupur.

Pada kala hari kering dan panas, ia akan naik ke tebing beramai-ramai menganga dan menjemur diri tanpa apa-apa gerakan.

Ada kemungkinan apabila analogi buaya itu digunakan, sebagai insan yang ada akal dan celik politik selepas Mei 2018, kita boleh memikir dan menimbangkan siapa sebenarnya buaya.

Mangsanya adalah semua parti politik yang boleh digigitnya.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.