Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | 439 hari di Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pada 1 Jan lalu - ketika orang ramai bercuti meraikan ketibaan tahun baru - saya memandu ke Melaka. Minggu pertama saya melapor diri kepada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Ketika itu Adly baru sahaja selesai menghadiri mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka. Saya sempat menyapa salam Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil, Kami pernah belajar satu universiti dulu.

Idea Adly ialah ingin menjadikan Melaka sebagai pusat ketamadunan dan kebudayaan Islam Nusantara dengan menggunakan khazanah sejarah sedi ada sebagai modal permulaan.

Pendekatan Islam Nusantara lebih dekat dan sesuai dengan pemikiran serta pengamalan masyarakat di Malaysia. Tiada rotan, akar pun berguna. Itulah ibaratnya saya dengan cita-cita ketua menteri Melaka itu.

Saya ditempatkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Hang Tuah, berhampiran dengan Stadium Hang Tuah dan berjiran dengan Masjid Kampong Hulu, makam Sheikh Shamsuddin al-Sumaterani dan bekas rumah Abdullah Munsyi di Kampong Ketek.

Benarlah seperti kata Rendra dalam bait puisinya: ‘Jika takut pada risiko, jangan bicara soal perjuangan’. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Selepas dua bulan saya tinggal di Melaka, ketidaktentuan politik Putrajaya berlaku yang menyebabkan kerajaan PH di Putrajaya jatuh.

Kejatuhan itu diikuti di Johor, Kedah, Perak dan juga Melaka. Meninggalkan tugas tetap di Universiti Teknologi Petronas (UTP) memang merugikan, tetapi itulah risiko bermain dengan api politik.

Malam-malam terakhir Adly sebagai ketua menteri, kami habiskan masa menikmati kopi panas di kebunnya. Dia tenang sekali menghadapi situasi gawat itu. Baginya, jawatan ketua menteri bukanlah perkara yang hendak dikejar-kejarkan seperti sebahagian ahli politik di Melaka.

Membelah awan, mencari dahan

Adly berpendapat dia tidak sanggup mengkhianati sahabat dan bermain jahat sesama sendiri.

Jawatan ketua menteri adalah jawatan yang mendapat sokongan daripada majoriti ahli-ahli dewan undangan negeri. Sifirnya mudah. Jika ada kualiti dan sokongan, silalah menghadap yang dipertua negeri. Tidak perlu membilang kerusi setiap hari atau musim berganti.

Tidak lama selepas jatuhnya PH, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara. Jalan raya dan bandar lenggang seperti negeri baru diserang garuda.

Saya menyambung kerja-kerja penyelidikan yang tertangguh dan berusaha menyiapkan sedaya upaya tugasan dalam musim kurungan itu.

Setelah PKP dilonggarkan, saya mula meneroka khazanah Melaka yang terpendam. Saya bersama team Melaka5Minit menerbitkan beberapa dokumentari tentang sejarah dan kebudayaan Nusantara.

Saya menjadi burung undan yang bebas berterbangan mencari dahan dan membelah awan. Saya pergi ke desa-desa sunyi, rumah-rumah Melaka yang usang, deretan kedai terbiar, makam lama yang sepi dan mendaki bukit-bukau.

Melaka secara geografinya adalah negeri yang dipenuhi dengan bukit-bukau rendah tetapi strategik. Dari kejauhan bukit-bukau itu jelas menggamit para pedagang dan pelayar yang mabuk di Selat Melaka.

Bukit Melaka, Bukit Senjuang, Bukit Peringgit dan Bukit Supai menjadi kubu paling strategik buat negeri itu. Pada kaki dan puncak bukit tersebut, sejarah terukir penuh makna bagi yang ingin menerokanya. Di situlah kota-kota pertahanan dan kemegahan didirikan.

Pada masa sama Selat Melaka, Sungai Melaka dan kualanya kehilangan pantai. Projek penambakan laut dan pembangunan memadamkan banyak kampung tradisional dalam peta dan sejarah Melaka.

Ke hilir Sungai Melaka hingga ke Pulau Sebang yang bersempadan dengan Negeri Sembilan, ada pula rumahnya penyanyi blues tersohor tanah air, Ito. Ia terletak tidak jauh dari rumah pengarah filem Kembara Seniman Jalanan, Nasir Jani.

Sesekali saya balik kampung di Perak sambil menikmati keseronokan berkereta api (ETS) dengan isteri. Stesen kereta api di Melaka terdapat di Pulau Sebang dan Batang Melaka yang terletak di timur laut negeri sekangkang kera itu.

Muara Sungai Melaka dahulunya boleh dimudiki dengan mudah oleh kapal pedagang luar. Sayangnya, dalam banyak-banyak kapal, jong dan bahtera bangsa yang pernah ada, kapal Flor de la Mar juga yang diagungkan. Bukankah itu kapal lanun yang menjarah khazanah bangsa?

Kebangsaan asal-usul bangsa

Sepatutnya berbanggalah pada Mendam Berahi, bahtera Hang Tuah yang membelah Laut Hindi hingga ke Rom Timur. Betapa kurangnya jati diri dan harga diri!

Masjid Kampung Hulu yang dibina oleh Shamsudin Aroom iaitu kapitan Melayu berdarah Cina adalah seni reka campuran China, Belanda dan tempatan. Masjid itu dibina pada 1728 semasa Belanda menguasai kota Melaka.

Seni reka bentuk itulah yang mempengaruhi pembinaan masjid-masjid di Melaka seterusnya hingga kini. Masjid di Tengkera yang dibina pada 1728 dijadikan masjid utama Melaka sehingga 2010 apabila Masjid al-Azim yang siap dibina mengambil peranan sebagai Masjid Negeri.

Tidak jauh dari Masjid Kampong Hulu, adalah pula Masjid Kampung Keling yang dibina oleh pedagang India Muslim yang mengelarkan diri sebagai Keling sebagai suatu kebanggaan asal-usul bangsa mereka. Sayangnya istilah keling mengalami evolusi yang memberi makna berbeza daripada asalnya. Bahkan bertentangan. Bahasa memang sifatnya dinamik.

Melaka suatu waktu dahulu adalah kota metropolitan seperti New York, London, Paris pada hari ini. Ia merupakan kota raya yang menjadi idaman semua orang menghirup udara kemajuannya dan tempat orang terbuang mendapat perlindungan.

Sultan Hussein dan anakandanya Sultan Ali, Sultan Johor terakhir mangkat dalam buangan. Datuk Manila, Datu Patinggi Abdul Ghaffur, Datuk Aroom dan banyak lagi adalah nama-nama tokoh yang mendapat perlindungan di Melaka.

Itu tidak termasuk lagi tokoh-tokoh serantau yang meninggal dunia di Melaka dalam misi membebaskan tanah sejarah itu daripada cengkaman penjajah. Antaranya Raja Haji dari Riau, Sheikh Shamsuddin al-Sumaterani dan Panglima Pidi dari Acheh.

Sifat kota metropolitan memang menyediakan kehidupan yang lebih bebas dan bertenaga. Itulah kualiti kota Melaka pada kurun ke-15.

Hatta pada kurun ke 20, Melaka kekal menjadi pusat gerakan reformasi tanah air. Melaka dijadikan Negeri-negeri Selat yang berada di bawah pentadbiran terus Pejabat Tanah Jajahan yang berpusat di Calcutta, India selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Melaka sudah lama mengalami sistem politik demokrasi yang terbuka dan bebas dari sistem feudal. 

Jika bukan kerana bisa keris Taming Sari yang terbenam ke tubuh Hang Jebat, Melaka akan menjadi negara republik pertama di dunia.

Melaka boleh menjadi republik 300 tahun lebih awal sebelum Revolusi Perancis. Tetapi setia Hang Tuah hanya kepada tuannya. Setia Hang Tuah bukan kepada kebenaran.

Melaka adalah tanah sejarah. Dari tanah besar hingga ke Pulau Besar dan belasan pulau di negeri itu memang penuh dengan metos dan misteri. 

Kami ke makam Sheikh Sultan Ariffin, guru kepada Wali Songo dan mencari keramat yang hilang dalam air laut yang jernih.

Terlalu banyak hendak dicatatkan sepanjang 439 hari di Melaka. Ringkasnya, Melaka adalah suatu budaya, kuasa dan masa hadapan negara. Terima kasih, Melaka.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.