Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kita tak selamanya benar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kami berprasangka editor portal ini memberikan judul tulisan kami yang lalu - Kisah Hidup Tanpa Motif - adalah kerana dia mahu memerli kami. Dan dengan rendah dirinya kami terpaksa mengaku bahawa hidup menulis tanpa sebarang motif memang amat payah.

Lagipun memang itulah kerja editor yakni mencantikan tulisan dan memberi motivasi kepada penulis untuk menyampaikan dakyah yang disukainya.

Pelbagai cerita yang datang akhir-akhir ini sangat mengganggu. Mana dengan tuduhan pengundi tidak matang, ditambah pula dengan cerita mak cik marahkan AJK masjid.

Ditambah lagi dengan cerita bagaimana politikus bebas ke mana-mana dan tidak perlu dikuarantin seperti yang awam. Dan kami menjadi kembali hangat untuk menjadi tali barut kepada portal ini bagi mengetengahkan apa-apa yang kami rasakan ketidakadilan.

Maka cerita pelancongan yang kami rancang terpaksa disambung dalam suatu tulisan yang lain.

Punyalah huru-hara negara kita sekarang hinggakan menteri pun turut sama menyibuk semasa dua selebriti mahu bernikah. Mengapa menteri perlu turun sehingga ke tahap serendah itu? Orang lain yang berlaga pusat awak yang tersengih-sengih bangga tak tentu arah.

Mengenai mak cik yang datang menegur suara bacaan al-Quran itu, kamu mungkin menyangka beliau diperlekeh kerana hanya memakai tudung sangkut dan berbaju kelawar.

Namun percayalah, jika yang datang itu adalah perempuan bertudung litup sekali pun, maka beliau tetap akan dipandang sebagai wanita yang menghampiri jurang kemusnahan.

Tempah tiket ke sorga

Kita adalah umat Islam yang tidak boleh ditegur. Kita menganggap apa saja amalan agama yang kita bawa adalah sentiasa benar kerana kita ini beragama sejak dilahirkan. Kita berasa pandai dan selamanya tidak akan mahu menambah ilmu.

Kami secara peribadi sentiasa tidak bersetuju dengan siaran bacaan al-Quran dan kelas pengajian melalui pembesar suara sama ada di masjid atau surau.

Cukuplah hanya azan yang dilaungkan dengan pembesar suara hingga keluar masjid. Mendengar kuliah sepatutnya menjadi hak istimewa kepada mereka yang sudi datang dan duduk menadah kitab bersama guru di dalam masjid.

Kamu yang mengaku gemar dan mahu masjid-masjid kita sentiasa penuh hendaklah menunjukkan akhlak yang baik sebagai faktor penarik kepada kawan, sahabat, teman dan jiran yang masih belum sudi memanfaatkan sedikit masa duduk bersama kita.

Dan kamu luangkan sedikit masa untuk berdoa semoga mereka juga menjadi seperti kamu yang sudah menempah tiket ke sorga ini. Bangun pada tengah malam. Setelah selesai berdoa minta dikayakan, minta lawa, minta popular, dan minta menang kerusi, doakan pula agar jiran-jiran kamu turut mendapat hidayah, mendapat jalan cahaya, lalu datang memakmurkan masjid.

Doa sungguh-sungguh sambil menangis. Mana tahu jika nanti mereka akan jadi lebih baik daripada kita.

Jangan lupa menyebut nama kami juga dalam semua doa kebaikan yang kamu minta. Dalam banyak hal, berlaku baik sesama manusia adalah tonik untuk menjadikan kita lebih tenteram.

Seperti kata-kata popular masa kini: kita jaga kita. Siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk menjaga keamanan hidup apabila hari ini mereka yang berkuasa tanpa ada rasa malu mengamalkan dua sistem undang-undang yang berbeza?

Satu untuk mereka (yang berkuasa), sementara satu lagi untuk kita semua - si bodoh yang sentiasa digula-gulakan.

Mahu harapkan partai politik yang itu - yakni yang Isle itu - mereka pun sibuk ke hulu ke hilir bersamping bertanjak berbahagi harta negara. Kopiah lembik yang menjadi kebanggan mereka suatu masa dulu pun kini seperti hanyalah sebuah kenangan yang mahu segera dilupakan.

Buat apa berkopiah kusam dan miskin jika boleh bertanjak dan kaya, kan? Tentu tidak cocok memandu Vellfire dengan kopiah dan serban. Nampak agak kekampungan, ye dak?

Terpalit kegusaran yang sama

Kami merindui zaman apabila mereka asal terasa sikit, berdemo; asal terusik sikit buat laporan polis. Sekarang sudah kenyang agaknya penyokong mereka dengan kekuasaan yang dimiliki para pemimpin masing-masing.

Di Kuantan, Masjid Tepian Putra adalah masjid yang gemar bertarhim dan kadangkala bernyasyid (dengan kuat) setiap kali sebelum masuk waktu sembahyang.

Kami juga tidak bersetuju apabila kedai-kedai makan memainkan alunan ayat al-Quran. Dan bertambah tidak setuju apabila diberitahu bahawa alunan ayat suci itu adalah untuk mengelak perniagaan mereka daripada disihir.

Ayat tuhan bukan diturunkan untuk dijadikan tangkal.

Entah mengapa setelah beransur dilupakan, ‘kekuatan’ kuasa sihir makin menjadi sebahagian besar dalam kehidupan kita hari ini. Dengan jahatnya kami mengatakan bahawa itu adalah hasil daripada ramainya tokoh agama menceburi kegiatan ‘perubatan Islam’.

Mereka lupa bahawa perubatan moden hari ini dipelopori oleh orang Islam.

Kemudian apa pula pihak yang mencadangkan agar satu undang-undang khas mengenai ilmu sihir diwujudkan. Mengapa sampai ke situ sangat bodohnya kita ini?

Untuk berlaku adil, kerja perbomohan yang kononnya berlandaskan Islam itu tidak terkhusus untuk negara kita sahaja. Hampir di seluruh negara Islam terpalit dengan kegusaran sama.

Di Turki dan Maghribi misalnya, mereka sangat percaya dengan panahan ‘mata jahat’. Lalu mereka akan memakai perhiasan - yang juga sebenarnya sebutir tangkal - untuk mengelak daripada terkena panahan beracun yang menurut mereka dihantar musuh.

Kepercayaan tidak tentu arah ke atas 'musuh' mereka itu biasanya berpunca daripada faktor perniagaan atau cinta.

Entah apa pentingnya kita ini hingga perlu dibomoh orang.

Awak ingat sebab awak jual aiskrim Cheese untung RM100 atau RM200 sehari orang dengki? Awak ingat walapun awak tak handsome tak apa tapi kaya, orang dengki? Awak ingat sebab awak buang ego dan jual kain pasang, orang dengki? Jenis muka tak tahu malu.

Keluhan mak cik yang datang meminta diperlahankan suara dari masjid itu hendaknya diberikan perhatian. Layanlah segala cadangan, keluhan malah cemuhan yang kita terima dengan baik. Jangan jadikan keislaman kita sebagai perisai yang menghadang orang untuk dekat dengan agama.

Kita ini bukan selamanya benar dan orang lain pula bukan selamanya salah.

Selamat pengantin baru Neelofa.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis lirik lagu Cerita Burung yang sedang popular di YouTube dan Spotify sekarang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.