Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Nasihat Datuk Nikah Kahwin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Baru-baru ini masyarakat membaca kisah nasihat Datuk Nikah Kahwin yang beria-ia memperihalkan menerusi ciapan dakwahnya akan SOP itu ini. Konon jangan dilanggar atau ditabrak. Masyarakat mendengar nasihat itu dengan tertawa yang amat geli dalam hati. Ada rasa ngilu melenting-lenting pada bahagian tidak patut tatkala membaca nasihat nikah kahwin dan SOP itu.

Datuk Nikah Kahwin adalah manusia paling tidak layak melakukan tarbiah. Sesungguhnya nasihat itu ada rukun dan syaratnya duhai Datuk Nikah Kahwin, dan kamu tidak termasuk sama sekali dalam rukun dan syarat itu. Yakni, kamu tidak sekali-kali memenuhi rukun dan syarat tarbiah.

Ada tiga rukun melakukan tarbiah atau pengajaran. Pertama adalah wa’izh (pelaku); kedua adalah mutta’izh (penerima nasihat) dan terakhir sekali wa’zhu iaitu nasihat itu sendiri.

Syarat pada wa’izh itu ada tiga pula. Pertama adalah, iman yang kuat disertai dengan amal. Kita sesungguhnya tahu orang yang menasihat hendaklah melakukan dahulu apa yang dinasihatinya. Ramai agamawan kita misalnya menasihati orang agar bertakwa kepada Allah, akan tetapi dialah paling dulu tidak takut Tuhan dan melanggar SOP. Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya adalah setan paling terkutuk. Kalau Datuk Nikah Kahwin yang melakukannya maka sesuai sangatlah dengan kutuk. Kita mesti ingat Datuk Nikah Kahwin ini sudah dinasihati agar jangan sekongkol dengan pencuri dan perompak, tetapi itulah yang Datuk Nikah Kahwin lakukan; berjimak dan bersenda gurau dengan mereka yang menyeleweng dan berkhianat.

Kedua, wa’izh itu hendaklah berpengetahuan yang luas. Untuk menasihati seseorang si pemberi nasihat hendaklah lebih tahu. Dalam hal ini bukan mesti sahaja urusan agama. Ini kerana masyarakat kita dewasa ini jauh lebih kompleks dari masyarakat terdahulu. Masyarakat ini serba tahu kerana maklumat dan ilmu berada di hujung jari. Jikalau penasihat ingin memberikan nasihat perihal SOP misalnya dia hendaklah yang terlebih faham mengenai SOP agar dia tahu selok-beloknya, apa yang tidak boleh dan apa yang diperbolehkan; selain dia juga mesti mengerti petaka dan musibah jika SOP dilanggari. Agamawan kaki langgar SOP tidak termasuk dalam ruang lingkup syarat ini. Bahkan nista sekali jika dia melanggar SOP berkali-kali dan pernah membahayakan nyawa orang lain, serta meletakkan yang dinasihati dalam keadaan berisiko.

Ketiga, wa’izh juga hendaklah menjadi hujjah buat kaumnya. Hujjah di sini adalah pedoman, atau contoh, dan model tunggak terulung. Kalau wa’izh tidak pun macam pedoman sebaliknya semacam orang hilang pedoman dan nampak nanar lagi sengal maka apa yang dinasihatinya pun luput. Kita tidak mendengar atau merujuk penasihat yang tidak dapat menjadi hujjah. Itulah sebabnya semua rasul, nabi dan imam itu maksum agar dapat menjadi hujjah. Apa definisi maksum tidak akan saya leterkan di sini. Mereka maksum supaya dapat berhujah. Kalau kamu agamawan biasa, Datuk Nikah Kahwin memanglah kamu tidak maksum; akan tetapi kamu mesti berperilaku seperti seorang ulama yang senonoh. Kita ada ramai contoh, paling dekat almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tuan Guru Nik Aziz pesan jangan sekongkol dengan penyangak, dia tidak pernah bersemenda dengan penyangak, reti?

Rukun tarbiah tiga perkara

Untuk rukun pendengar nasihat pula, terdapat dua syarat yang mesti dipenuhi sebelum mereka itu dihukum atau didenda dengan wang besar. Pertamanya, keadaan pendengar atau orang yang dinasihati itu hendaklah diambil kira. Jika mereka orang jahil (baca: tiada berpengetahuan) maka kondisi mereka ini berbeza untuk dihukum, berbanding influencer yang ingin mendapat anak-anak mujtahid kelak selepas bernikah. Kita membaca beberapa kali orang kampung yang keluar menaiki bas, dengan hasrat membeli barang keperluan; tetapi tanpa belas mereka disasarkan. Manakala mereka dari kelas bangsawan, dan selebriti terlepas terbang serata negeri merentas.

Kedua, syarat untuk penerima nasihat ialah kita harus mengukur tingkat keberkesanan nasihat kita itu. Barangkali nasihat kita tidak berkesan kerana mediumnya salah. Mungkin juga nasihat kita tidak berkesan kerana lemahnya pemberi nasihat. Atau, penerima nasihat enggan kerana pemberi nasihat tidak cukup kreatif. Dalam hal ini misalnya memberi nasihat kepada orang ramai agar menerima vaksin perlu dilakukan secara berhemah, bijaksana dan cukup kreatif; agar yang disasarkan itu menjadi suka dan menerima nasihatnya.

Dalam hal rukun nasihat pula kita harus memakai beberapa syarat penting. Adakah Datuk Nikah Kahwin mengerti hal ini? Mustahil rasanya beliau tidak mengetahui.

Hal pertama dari nasihat adalah isi nasihat itu sendiri. Isinya hendaklah tepat, berguna dan tidak menyinggung rasa. Nasihat bukanlah kekejian, ia adalah aturan kata hikmah yang baik. Nasihat atau tarbiah yang sentap bukanlah nasihat atau tarbiah yang memenuhi syarat nasihat itu.

Hal kedua ialah nasihat itu mesti secocok dengan kehidupan yang menerima nasihat. Misalnya kita memberi nasihat kepada seseorang yang papa kedana agar sentiasa mengenakan pelitup muka, akan tetapi apakah kita telah mengambil kira yang si daif ini mungkin tiada pun wang yang cukup untuk mengganti-gantikan mask atau pelitup muka sedia ada?

Hal ketiga ialah nasihat hanya menjadi nasihat apabila keadaan untuk nasihat itu diterima sudah sedia di tempatnya. Kita misalnya tidak boleh memberi nasihat agar masyarakat menerima vaksin padahal vaksin itu belum tersedia dan hanya berlegar sekitar kelas tertentu sahaja.

Hal keempat yang sering diabaikan ialah nasihat kadang kala harus disampaikan secara khusus, terfokus untuk sasaran tertentu. Satu nasihat tidak mesti terpakai untuk pelbagai golongan. Ini merupakan hal yang terlupakan oleh Datuk Nikah Kahwin apabila beliau menasihati agar semua orang mematuhi SOP. Sedangkan mata kita memandang beliau berbuat bisu apabila menimpa mereka yang diakrabinya.

Hal kelima ialah nasihat itu harus mengikat hati, bukan menjauhkan lagi sasaran.

Kita melihat Datuk Nikah Kahwin berasa lucu, dan jengkel kerana beliau berperangai seperti watak dalam musang berjanggut. Padahal ilmu beliau (konon) banyak, sudah sampai tahap bergelar doktor. Namun demikian dia melupakan segala kehormatan yang ada demi sesuap dua.

Benarlah nasihat orang lama, seorang agamawan tidak terhegeh mencari kuasa. Jika dia terhegeh mencari kuasa, dia akan menjadi liar, dan ternampak hina.

Datuk Nikah Kahwin tidak menyedari beliau dipandang hina. Di bumi dia dibenci, kerana tingkah lakunya, di langit juga dia dikutuki.

Wallahualam.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.