KOLUM | Wibawa warga akademia yang tercalar
“Gelar cendekiawan patut diberikan kepada siapa yang menggunakan pengetahuan dan ilmunya itu untuk mencari susur galur kebenaran sesebuah permasalahan dan berusaha setengah mati untuk menegakkannya.”
Usman Awang, Malaysian Hall, London, 25 Mei 1970
Dewasa ini timbul persoalan integriti para pensyarah IPT kita yang dipersoalkan lewat isu penerbitan artikel di jurnal ‘pemangsa’ ataupun jurnal yang dipersoalkan kredebilitnya. Ia menjadi perdebatan khalayak kerana terdapat pensyarah, malah mereka yang bergelar profesor sekalipun yang menggunakan penulisan artikel-artikel mereka di jurnal-jurnal pemangsa (predators) ‘berbayar’ dan tidak berkredebiliti untuk tujuan kenaikan pangkat, mendapat gelaran profesor madya, professor dan juga lain-lain jawatan.
Penerbitan-penerbitan itu jugalah yang digunakan sebagai kayu ukur oleh sesetengah badan untuk menentukan ranking universiti.
Perdebatan ini bermula dengan fakta yang mengatakan bahawa Malaysia menduduki senarai keempat dunia dalam hal ini menurut kajian yang dilakukan oleh dua saintis dari Republik Czech, Vit Machacek dan Martin Srholec pada awal tahun 2021 ini. Hal ini kemudiannya menjadi perbincangan di kalangan pensyarah, siswa universiti dan orang awam yang mempunyai prejudis terhadap sesetengah ahli akademik yang digelar masyarakat sebagai profesor kangkung. Isu ini juga menjadi semakin mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap setengah ahli akademik kita. Beberapa bulan lalu Arshad Ayob mempertikaikan kepakaran dan kehebatan sesetengah profesor tanah air yang menjawat jawatan tersebut tanpa kredebiliti dan merit yang sepatutnya.
Malangnya menteri yang menjaga KPT sehingga kini gagal memberikan respon yang boleh meredakan keadaan. Kita maklum berhubung hal ini memandangkan beliau sendiri tidak pernah bertugas di mana-mana IPT, dan tidak pernah seumur hidupnya terlibat dengan usaha-usaha dan kerja-kerja akademik. Namun, sebagai pembuat dasar, sepatutnya beliau dibantu oleh para pegawai tertinggi kementerian untuk tampil memberikan respon dan hala tuju yang sepatutnya diambil oleh KPT demi menyikapi defisit kepercayaan masyarakat terhadap golongan akademia, dan juga persepsi dunia antarabangsa terhadap pendidikan tinggi di Malaysia.
Semasa di KPM, antara komitmen yang diberikan oleh kerajaan PH ialah untuk mengembalikan kewibawaan IPT tempatan dan menempatkannya dalam peta dunia. Di samping itu, antara komitmen KPM pada waktu itu juga ialah untuk menjadikan universiti di Malaysia sebagai medan intelektual terbuka, dan juga institusi yang memikirkan penyelesaian terhadap masa depan dan masalah negara dan masyarakat. Antara slogan yang dikumandangkan pada waktu itu ialah, Universiti untuk Masyarakat. Demi untuk menjulang visi tersebut, isu integriti perlu diselesaikan dahulu. Isu plagiarisme, isu bonceng gratis (menggunakan hasil tulisan murid), isu penerbitan di jurnal pemangsa berbayar, isu menipu sijil dan kelayakan akademi, isu penipuan kajian dan culas di dalam menjalankan kajian akademi adalah keutamaan untuk dibenteras sehabisnya.
Hari Akademia pertama
Isu ini pernah saya bawakan lewat Amanat tahun baharu 2019 KPM. Malah, saya telah menekankan sekali lagi isu kewibawaan dan integriti akademik ini sewaktu sambutan Hari Akademia tanah air buat julung kalinya di dalam ucapan sulung saya pada 5 Oktober 2019.
Apabila bercakap tentang kewibawaan akademik, kita tidak boleh mengetepikan isu integriti, sikap kebertanggungjawaban serta kelakuan etika yang tinggi. Sehubungan itu, ahli akademik bebas menikmati hasil kerja mereka dan juga bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka. Dalam masa sama, KPT melalui autonomi yang telah diberikan kepada universiti perlu memastikan sebarang isu-isu integriti melibatkan ahli akademik juga dapat dihapuskan. Kita mahu memiliki kelompok sarjana yang bertindak atas lunas-lunas yang jujur dan benar. Tidak ada negara yang dapat dibina dengan sempurna, jika akal sarjananya dipenjara dan budi serta integritinya tercalar.
Bertitik tolak dari kesedaran inilah, saya pernah mengusahakan pindaan terhadap Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 – Akta 605 adalah untuk memastikan kebebasan akademik sentiasa terjamin dan dalam masa sama memastikan integriti ahli akademik di negara kita dapat diperkukuhkan. Untuk meminda akta tersebut, ia tidak perlu dibawa ke parlimen tetapi cukup dengan persetujuan perdana menteri. Ini berdasarkan seksyen 23 dan 25, Akta 605. Pada tahun 2019 saya pernah membawa cadangan pengecualian ahli akademik daripaa beberapa peraturan 605 yang berkaitan dengan kebebasan akademik, di samping mencadangkan penambahbaikan dengan mengkhususkan beberapa kesalahan akademik yang boleh menjejaskan integriti mereka seperti plagiarisme, salah guna geran penyelidikan, memanipulasi hasil kajian mahasiswa dijadikan kesalahan utama yang boleh menyebabkan mereka hilang jawatan dan dikenakan tindakan disiplin.
Saya secara peribadi bertemu dengan perdana menteri pada waktu itu, iaitu, Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara ini dan juga telah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mengecualikan ahli akademik daripada sekatan yang diberikan kepada perkhidmatan awam serta menambah panduan tertentu kepada mereka untuk memperkasakan tahap akademik mereka. Kita mahukan sebuah suasana institusi pendidikan tinggi yang meriah dengan wacana dan perdebatan dengan ahli akademik tidak gentar dalam menyatakan pandangan-pandangan benar berasaskan kekuatan hujah akademik mereka. Malangnya, selepas kerajaan bertukar, usaha ini tidak menampakkan progres, dan soalan mengenainya di Dewan Rakyat juga tidak dijawab dengan penuh substantif dan serius.
Walau bagaimanapun isu integriti ini tidak boleh ditangani semata-mata dengan perundangan. Ia juga perlu lahir dengan pengwujudan budaya baharu, naratif baharu dan juga nalar baru golongan akademia. Malah penggunaan maksimum kepintaran buatan dan data raya juga boleh membantu KPT mengatasi masalah ini. Perubahan pada sistem penilaian kualiti akademik di peringkat penggubal dasar dan pelaksana melalui MQA milik KPT juga dilakukan demi memastikan apa-apa polisi dan peraturan yang mereka bawa tidak akan membuka ruang untuk IPT di Malaysia melakukan penipuan demi mendapatkan penarafan dengan pelbagai usaha kosmetik serta pemanipulasian angka yang tidak menggambarkan substance atau kualiti yang sebenar. Sistem KPI yang tidak realistik di IPT demi mencapai penarafan MQA juga perlu diubah demi memastikan kerja-kerja kosmetik akademik yang menyebabkan banyak salah laku akademik yang diterangkan tidak berterusan berlaku.
Inilah yang cuba dibawa oleh KPM seawal saya menjadi menteri, dan cuba diperjuangkan sepanjang tahun 2019, dan malangnya tidak dapat diteruskan apabila bertukarnya kerajaan pada awal tahun 2020. Saya tidak pasti apakah langkah-langkah terkini yang telah dan sedang diambil untuk memastikan isu kewibawaan dan integriti para ahli akademik terus dijulang?
Apa yang pasti, rakyat merindukan khabar-khabar yang positif demi menjulang tahap menara gading kebangsaan dengan penuh substantif dan reputasi yang hakiki dan bukan semata-mata bahan berita yang boleh dijual beli.
“The whole problem with the world is that fools and fanatics are always so certain of themselves, and wiser people so full of doubts.” - Bertrand Russell
DR MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai