Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Laporan sepi Kajian Dasar Pendidikan Negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selari dengan semangat Malaysia baharu yang dibawa oleh pentadbiran PH sejurus kemenangan PH pada 9 Mei 2018, YAB perdana menteri pada ketika itu, Dr Mahathir Mohammad melihat kepada keperluan untuk melakukan reformasi yang lebih menyeluruh dan bersepadu ke atas sistem pendidikan negara. Beliau melihat kerecaman perubahan sosioekonomi dan juga arus teknologi memerlukan Malaysia melihat semula sistem pendidikan yang ada di negara ini dan mempersiapkan diri ke arah masa depan yang lebih mencabar. 

Beliau mahukan satu penelitian secara holistik kepada sistem Pendidikan yang ada dan perlunya ide-ide baru yang lebih substantif untuk menggantikan sistem yang ada kepada yang lebih berdaya saing terutamanya di peringkat antarabangsa. 

Hal ini telah dibawa oleh YAB PM dalam mesyuarat jemaah menteri yang pertama dan mengarahkan agar satu jawatankuasa yang dianggotai oleh golongan profesional bukan ahli politik untuk melihat isu ini. Beliau mahu perwakilan dari segenap lapangan untuk menggangotai jawatankuasa tersebut.

Berhubung dengan itu, jemaah menteri pada mesyuarat kabinet pada 6 Jun 2018 telah memutuskan Kementerian Pendidikan menubuhkan JKD untuk mengkaji semula dasar pendidikan negara. JKD ditubuhkan sebagai badan bebas untuk mengkaji dasar pendidikan negara selain Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (prasekolah hingga lepasan menengah) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (pendidikan tinggi).

Jawatankuasa berkenaan bekerjasama dengan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk mengkaji dasar pendidikan negara sebelum membuat syor kepada Kementerian Pendidikan pada 30 April 2019. kajian semula dasar pendidikan negara itu termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga universiti. 

Laporan itu juga menyentuh mengenai usaha melengkapkan pelajar berdepan masa depan yang mencabar, mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta menempuh alam pekerjaan dalam Revolusi Industri 4.0.

TVET, gambar hiasan

Bertitik tolak daripada kesedaran ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memulakan usaha untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara dengan menubuhkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Inti-UC Laureate International Universities, Prof Emeritus Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, satu nama yang tidak asing lagi dalam bidang pendidikan di Malaysia dan dibantu oleh Dr Madeline Berma dari UKM sebagai timbalan pengerusi. 

Selain itu, jawatankuasa ini juga dianggotai oleh 11 orang ahli lagi yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing merangkumi polisi pendidikan, Stem, seni dan bidang lain di luar dunia pendidikan. Ahli-ahli JKDPN yang lain, iaitu Profesor Dr Ab Halim Tamuri, Dr Dzaharudin Mansor, Dr Mohamed Yunus Mohamed, Dr Juli Edo, Yeo Kar Peng, Janet Pillai, Dr Mohd Tazli Azizan, Dr Putri Afzan Maria, Puan Cheryl Fernando, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Professor Dr Abhi Veerakumarasivam. 

JKDPN dibantu secara teknikal dan pengurusannya oleh pasukan petugas khas JKDPN dari KPM yang diketuai oleh Profesor Dr Norhayati Mohamed.

Menurut Prof Emeritus Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, pihak JKDPN percaya syor yang dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan akan menambah baik dasar pendidikan negara dalam konteks yang lebih besar, ini kerana menurut beliau, perubahan sentiasa berlaku terutama dalam era sains dan teknologi.

Pendidikan bukan bersifat ‘one off’

Beliau juga menekankan bahawa Malaysia mewarisi model sistem pendidikan yang diiktiraf antara terbaik di dunia iaitu daripada British terutama dalam sektor pengajian tinggi seperti Oxford dan Cambridge, tetapi beberapa perkara iaitu pendidikan bukan bersifat one off tetapi perlu ada pembangunan yang berterusan. Berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, laporan JKD menurut beliau adalah lebih kepada pelaksanaan, mungkin penambahbaikan perlu dilakukan secara berterusan kepada pelan tersebut supaya ia kekal relevan dengan perkembangan semasa pendidikan. 

Tambahnya, pembinaan karakter kebangsaan Malaysia berteraskan ilmu, kemahiran dan sahsiah adalah penting ke arah membentuk bangsa Malaysia yang berjaya.

Objektif utama penubuhan JKDPN yang bersumberkan punca kuasa mesyuarat jemaah menteri adalah: 1) memberi cadangan dan idea baharu serta inovatif dalam menyusun semula sistem pendidikan negara untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang holistic; 2) mengkaji semula dasar pendidikan negara dan pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sedia ada bagi tujuan penambahbaikan; 3) mengkaji dan memberi cadangan hala tuju sistem pendidikan di Malaysia dari peringkat prasekolah sehingga ke universiti dengan matlamat untuk menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat serta mengembalikan wibawa UA dan pendidikan tinggi.

Manakala Fungsi JKDPN untuk mencapai objektif penubuhannya pula ialah: 

1) Untuk mencari cadangan dan idea baharu serta inovatif dalam menyusun semula sistem pendidikan negara untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang holistic;

2) Mengkaji semula dasar pendidikan negara dan pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sedia ada bagi tujuan penambahbaikan;

3) Mengkaji dan memberi cadangan hala tuju sistem pendidikan di Malaysia dari peringkat prasekolah hingga universiti dengan matlamat menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat serta mengembalikan wibawa universiti awam dan pendidikan tinggi;

4) Melaksanakan proses libat urus dengan semua pemegang taruh dan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mencadangkan perubahan sistematik untuk merangsang pembabitan pemegang taruh dalam sistem pendidikan negara;

5) Menjalankan proses penanda aras bersesuaian ke atas sistem pendidikan negara lain;

6) Menyedia dan membentangkan pelaporan status kajian JKD kepada ketua setiausaha Kementerian Pendidikan setiap bulan;

7) Menyediakan dan mengemukakan pelaporan kajian yang mengandungi syor JKD kepada menteri pendidikan sebelum atau pada 30 April 2019.

Hasil dari mandat yang telah diberikan, JKDPN telah menjalankan kajian bebas mengenai dasar pendidikan negara dengan mengambil kira Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Prasekolah hingga Lepas Menengah) 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Hasilnya, sebanyak 98 siri sindikasi dengan kira-kira 3,141 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan menambah baik sistem pendidikan negara sama ada secara bersemuka, sesi dialog awam, taklimat dan syarahan umum telah diadakan. JKDPN juga telah menerima sebanyak 3,378 perakuan daripada pelbagai pertubuhan dan individu.

Perjalanan JKDPN agak terganggu sedikit apabila pengerusinya, Prof Emeritus Dr Ibrahim Ahmad Bajunid jatuh sakit dalam kesungguhannya melakukan tugas-tugas sebagai pengerusi JKDPN. Keluarga beliau meminta agar beliau diberikan tempoh untuk berehat dan pulih. Amanah kepimpinan digalas oleh Dr Madeline Berma sebagai timbalan pengerusi JKDPN.

Dasar bebas politik

Bagi anggota JKDPN, mereka telah melakukan yang terbaik dan berdedikasi demi mencapai hasrat di sebalik penubuhan JK tersebut. Usaha JKDPN mendapatkan pendapat sebanyak mungkin pemegang taruh merupakan satu usaha unik yang julung kali diadakan dalam negara ini semenjak kemerdekaan negara.

Melalui JKDPN sistem pendidikan negara daripada peringkat prasekolah hingga ke universiti, disemak secara whole system reform dengan crowdsourcing feedback yang begitu menyeluruh. Salah satu komponen penting yang terkandung di dalam JKDPN itu adalah dasar pendidikan bebas politik. Ia salah satu kunci besar untuk memastikan pendidikan di Malaysia sihat, bertaraf dunia, mapan dan bersifat profesional.

Di penghujung tarikh yang diberikan kepada mereka, akhirnya JKDPN Berjaya menyiapkan laporan yang mengandungi sebanyak 310 syor dasar pendidikan dan telah memperakukan sebanyak 48 dasar/program Kementerian Pendidikan sedia ada yang berhasrat melahirkan masyarakat berilmu dan beradab melalui pendidikan berkualiti berpaksikan kepada lima tonggak dasar:

  1. Pembangunan holistik pelajar;

  2. Pendidik dan pemimpin pendidik yang berkualiti;

  3. Infrastruktur dan infostruktur yang bersepadu;

  4. Penyampaian dan pelaksanaan yang berkesan; dan

  5. Cadangan untuk satu model sistem pendidikan baharu (new education model) menggantikan sistem yang sedia ada.

Laporan penuh Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) telah dibentangkan kepada menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik dan diperincikan dalam mesyuarat khusus bersama anggota JKDPN, tanpa kehadiran pengerusinya pada 2 Mei 2019.

Mahathir setuju

YBM menteri pendidikan telah menyerahkan kepada Padu untuk melakukan tindakan susulan memandangkan badan itu juga yang merupakan pihak bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan Pelan Pendidikan Kebangsaan.

Padu telah dipertaggungjawabkan untuk memperincikan laporan dan melakukan penelitian terhadap pelaksanaan syor-syor yang telah dikemukakan di dalam laporan berkenaan dan melakukan kajian makmal kepada semua syor-syor tersebut.

Hasil kajian Padu telah dibentangkan oleh menteri pendidikan kepada Dr Mahathir Mohamad, pada 24 Jun 2019. PM telah bersetuju dengan segala cadangan yang telah dikemukakan dan meminta agar ia diteruskan.

Menurut perencanaan, KPM akan menyediakan satu memorandum jemaah menteri pada tahun 2020 mengenai kajian menyeluruh dasar pendidikan negara dan pelan pembangunan pendidikan dengan mengambil kira laporan daripada JKDPN, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, Jawatankuasa Pemerkasaan TVET dan Akademi Sains Malaysia. Menurut perencanaan juga, apabila persetujuan kabinet telah berjaya didapati, maka pelaksanaan kepada cadangan-cadangan tersebut akan mula dilaksanakan pada tahun 2021.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin

 Malangnya apabila kerajaan bertukar, laporan ini dibiarkan sepi tanpa arah tuju yang jelas. Malah Ketika diajukan soalan mengenainya di parlimen, menteri kanan pendidikan tidak menunjukkan keseriusan mengenai laporan tersebut dan usaha untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun, usaha serius untuk perubahan sistem pendidikan negara ini perlu dirakam di dalam lipatan sejarah. Rakyat berhak tahu bahawa usaha menyeluruh dan komprehensif untuk merombak sistem yang sedia ada demi menjadikan sistem Pendidikan Malaysia bertaraf dunia pernah dilakukan oleh kerajaan PH kesinambungan dari usaha sebelumnya melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (prasekolah hingga lepas menengah) 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (pendidikan tinggi) 2015-2025.


DR MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.