Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sosialis di batas bendang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gerakan sosialis lazimnya dikaitkan dengan gerakan buruh di kilang-kilang. Namun, idea sosialis berkembang dan mengalami evolusi untuk disesuaikan dengan keadaan setempat dan semasa.

Artikel ini akan mengupas perkembangan gerakan sosialis di kawasan penanaman padi kedua terbesar di Perak atau - suatu masa dulu - kedua di Malaysia selepas Kedah iaitu Sungai Manik.

Sungai Manik ialah sebuah kawasan dewan undangan negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu lebih kurang 75 peratus, manakala bakinya adalah pengundi Cina, India dan Orang Asli. Sebahagian besar penduduknya menanam padi dan bertani.

Istilah "sosialis" dalam artikel ini tidak boleh difahami sebagai seorang atau gerakan yang berasaskan idelogi sosialisme sahaja. Sosialis secara ideologinya tidak terikat dengan warna kulit, agama dan kaum. Ia lebih kepada persoalan kelas atau darjat.

Sosialisme adalah satu ideologi yang memperjuangkan kepentingan masyarakat (sosial) tanpa mengira perbezaan warna kulit, budaya dan agama.

Idealogi sosialisme pernah diperjuangkan Tjokroaminoto melalui pertubuhan berpengaruh dikenali sebagai Sarekat Islam.

Begitu juga dengan Tan Malaka dan Haji Misbach melalui Parti Komunis Indonesia, selain dan Syed Hussein Alatas melalui penulisannya.

Idea sosialis merentasi kepelbagaian batas dan panjang untuk diperbahaskan definisinya.

Di Malaysia, secara umum politiknya sangat diwarnai dengan kaum berbanding ideologi. Seperti disebut oleh Tilman RO yang dipetik Rustam A Sani: tidak wujud parti yang tidak berasaskan perkauman di Malaysia Barat.

Bermulanya kekeliruan sejarah

Hatta sebuah parti itu mempunyai perlembagaan dan falsafah sosialisme tetapi lidah dan rupa wajahnya masih memiliki sifat perkauman.

Sosialis lebih bermaksud dengan gerakan kiri yang menentang gerakan kanan. Gerakan kanan merujuk idea konservatif yang didominasi golongan aristokrat.

Umno adalah gerakan kanan dalam politik tanah air. Sifat kekananan Umno menyebabkan British lebih selesa bekerjasama dengan mereka dalam proses memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Banyak penulis menggunakan istilah "kiri" untuk merujuk Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pusat Tenaga Rakyat (Putera) dan juga Parti Rakyat Malaya (PRM).

Parti Komunis Malaya juga dikategorikan sebagai gerakan kiri.

Namun di sebalik semua itu Hizbul Muslimin yang berasaskan agama juga menerima nasib yang sama. Ia dianggap kiri. Pandangan sebeginilah yang meletakkan gerakan sosialis sebagai gerakan komunis.

Gerakan komunis pula difahami sebagai bertentangan dengan Islam. Di situlah bermulanya kekeliruan sejarah berlaku.

Gerakan sosialis awalnya diterajui Barisan Sosialis atau Socialist Front (FS). FS adalah kombinasi dua parti sosialis berpengaruh iaitu Parti Buruh Malaya dan Parti Rakyat Malaya (kemudiannya menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaysia).

Parti Sosialis Malaya kebanyakannya dibarisi pimpinan kiri Melayu dan Parti Buruh Malaya dikuasai oleh pemimpin kiri India. Pimpinan kiri Cina pula terdapat di kedua-dua parti tersebut.

Pada pilihan raya tempatan yang berlangsung sebelum merdeka, FS memenangi banyak kerusi.

Pada pilihan raya umum (PRU) 1959 FS memberi tumpuan besar kepada Perak dengan meletakkan calon di 14 kerusi kawasan dewan undangan negeri (DUN) daripada 40 yang dipertandingkan.

Untuk kerusi parlimen pula FS bertanding di empat daripada 20 kerusi yang ada.

Kebanyakan calon FS bertanding di kawasan bandar dan pengundi campuran. Namun terdapat juga calon FS di kawasan luar bandar yang majoriti pengundinya Melayu. Pada PRU itu, FS gagal memenangi sebarang kerusi.

Pun begitu, penyertaan FS dalam PRU berikutnya bertambah. Parti-parti pembangkang kecuali PPP gagal memperolehi kerusi sama ada di peringkat parlimen ataupun DUN.  

Jadi wakil rakyat Setapak

Selepas 1969 gerakan sosialis di Malaysia mulai menurun ekoran pemboikotan FS terhadap perjalanan PRU pada tahun itu. Peranan dan peluang itu diambil oleh DAP yang meraih kemenangan di lima kerusi parlimen dan enam kerusi DUN.

Parti-parti pembangkang lain juga menang di beberapa kerusi sehingga Perikatan hampir-hampir gagal membentuk kerajaan negeri.

Pada PRU 1974, PAS bersama-sama BN membentuk kerajaan. Penyertaan PAS ke dalam kerajaan menyebabkan suara kiri Melayu semakin lemah.

Tambahan pula selepas pemimpin Umno Abdul Razak Hussein mengambil alih kepimpinan negara daripada Tunku Abdul Rahman Putra, banyak pendekatan kerajaan bersifat prososialis.

Perikatan/BN semakin kuat apabila mewujudkan hubungan diplomatik dengan bapa negara sosialis, China.

Gerakan sosialis tanah air disemarakkan dengan penampilan semula Ahmad Boestamam atas nama Parti Kemajuan Masyarakat (Pekemas).

Sebagai seorang veteran politik sejak sebelum merdeka, Ahmad Boestamam pernah menjadi wakil rakyat di Setapak yang dimenangi pada PRU 1959.

Ahmad Boestamam

Dia pernah bertanding di kerusi parlimen Hilir Perak pada PRU 1974 atas tiket Pekemas. Bagaimanapun dia tewas dengan memperolehi undi sebanyak 4,925 kepada calon BN, Abu Bakar Arshad dengan majoriti 8,152 undi.

Di peringkat DUN Sungai Manik, Pekemas mencalonkan Abdul Latif Nasain yang merupakan bekas Ketua Pemuda PAS Perak yang pernah bertanding atas tiket PAS.

Abdul Latif merupakan orang tempatan yang bertanggungjawab membawa Ahmad Boestamam bertanding di Hilir Perak.  Kombinasi pengaruh dan kedudukannya sebagai bekas pimpinan PAS dengan pengaruh Ahmad Boestamam ternyata gagal menandingi BN.

Menang sejak merdeka

DAP turut menurunkan calonnya untuk bertanding di DUN Sungai Manik pada 1974 itu dengan menurunkan  Abdul Manaf Abdul Samad. Dia seorang anak tempatan yang berasal dari Parit 5 Sungai Manik.

Meski DAP dan Pekemas secara ideologinya adalah sosialis tetapi dalam PRU itu mereka saling berentap antara satu sama lain.

Di Pasir Salak  pada 1974, Pekemas bukan sahaja bertanding di Sungai Manik, malah di DUN Kampung Gajah. Calonnya ialah Mohd Rus Jaafar, bekas calon PAS di parlimen Beruas pada 1969.

Pada PRU itu BN terus mengekalkan kemenangan yang diraih sejak merdeka. Calon BN ialah Yusuf Maidin iaitu adik kepada Rashid Maidin, pemimpin Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya yang pernah tinggal di Sungai Manik juga.

Pada PRU 1978, Pekemas sekali bertanding di kerusi parlimen Hilir Perak melalui calonnya Shaharuddin Dahlan yang berasal dari Ipoh. 

DAP juga mengemukakan calonnya di parlimen iaitu Hawari Abdullah dari Kampong Gajah.

Manakala di DUN Kampung Gajah, DAP mengemukakan calonnya Zainal Abidin Md Nusi. Pekemas pula mencalonkan Chek Ali. Namun undi yang diperolehi mereka sangat kecil.

Pun begitu ada dua anak tempatan Sungai Manik beraliran sosialis yang berjaya menjadi wakil rakyat. Fadzlan Yahya, Adun Pasir Berdamar dan kemudian Adun Lahat menjadi wakil rakyat dari DAP dari 1982 hingga 1990.

Dia berasal dari Sungai Lampam. Sementara itu Ibrahim Singeh yang pernah tinggal di Sungai Lampam juga menjadi wakil rakyat Tapah Road pada 1969 atas tiket DAP.

Namun kedua-dua bertanding bukan di kawasan bendang. Mereka bertanding di kawasan pekan.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.