Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Orang Asli dan kelestarian alam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya berasal dari Rompin, Pahang, salah satu kawasan yang ramai Orang Asli di Malaysia. Kawan-kawan sekolah saya ramai anak-anak Orang Asli dan saya berkawan dengan semua mereka.

Saya selalu pergi ke asrama anak-anak Orang Asli untuk melihat kehidupan mereka. Ramai antara mereka yang memasuki sekolah pada umur lanjut pada tahun 80-an.

Bersempena sambutan Hari Bumi marilah kita bersama masyarakat Orang Asli yang keseluruhannya 0.6 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia.

Hari Bumi disambut untuk menghargai kepentingan memelihara alam sekitar bersama komuniti Orang Asli. Ramai yang tidak tahu perkara ini.

Rakyat Malaysia dan seluruh dunia memahami bahawa Orang Asli amat mementingkan kehidupan di hutan.

Orang Asli mahukan rakyat Malaysia seluruhnya untuk memelihara hutan dan iklim.

Bersamalah kita menjaga kelestrian alam sekitar dalam berdepan ancaman perubahan iklim yang menyebabkan dunia semakin panas.

Kita harus memberi penekanan kepada masyarakat tentang betapa pentingnya memelihara alam sekitar dan bumi yang indah.

Salah satu caranya ialah dengan memberikan perhatian kepada alam semula jadi dan isu-isu alam sekitar dan mencari jalan menangani masalah ini bersama.

Daripada aspek sejarah, sejak ratusan tahun lalu, Orang Asli sudah menghuni hutan di Semenanjung Tanah Melayu.

Hutan mempunyai segala diperlukan untuk Orang Asli meneruskan kelangsungan hidup.

Wujud tiga kelompok besar Orang Asli iaitu orang Senoi, orang Melayu asal dan orang Negrito atau Semang.

Orang Senoi merupakan kumpulan terbesar dalam tiga kategori ini manakala Semang merupakan kumpulan paling kecil.

Bagaimanapun, arus kemodenan yang menyusup masuk mengubah hutan menjadi kampung - di mana-mana.

Kemudiannya kampung berkembang menjadi bandar dan kota dengan pertambahan penduduk.

Ini memaksa Orang Asli membawa diri lebih jauh ke dalam hutan untuk kehidupan.

Penghijrahan besar

Kebanyakan masyarakat Orang Asli berpindah daripada tanah nenek moyang asal dalam hutan sebab aktiviti pembalakan dan pelombongan.

Dengan sumber utama makanan dan air tercemar oleh semua aktiviti ini, berlaku penghijrahan besar Orang Asli ke pinggir hutan berhampiran bandar, menyebabkan mereka bergelut untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat arus perdana.

Perlu diingatkan, realiti Orang Asli adalah bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh ahli politik kerajaan. Kemiskinan tegar masih wujud dan masih ramai di negara kita.

Telah banyak perubahan berlaku melibatkan masyarakat Orang Asli. Namun tidak ramai yang benar-benar memahami kedudukan Orang Asli dalam masyarakat kita.

Boleh dikatakan setiap negeri mempunyai suku etnik Orang Asli yang berbeza-beza mengikut taburan geografi.

Purata setiap satu suku etnik memilih untuk kekal kalangan kelompok sama. Ini menyebabkan wujud pola populasi yang sekata apabila dipetakan kedudukan setiap etnik.

Seramai 76.9% Orang Asli berada bawah kadar kemiskinan dengan 35.2% daripada jumlah keseluruhan dianggap miskin tegar pada tahun 2010.

Jumlah ini jauh mendahului kadar kemiskinan negara kita iaitu 1.4% sahaja.

Kita boleh melihat kadar kelahiran Orang Asli juga agak rendah. Kematian kelahiran yang tinggi pada kadar 51.7 kematian untuk setiap 1,000 kelahiran. Ini adalah lebih tinggi berbanding kadar kebangsaan iaitu 8.9 kematian untuk kadar kelahiran yang sama.

Orang Asli duduk dalam 869 kampung dengan hanya 2% berada berdekatan bandar dan selebihnya terletak di bahagian pinggir desa. Desa-desa ini pula terletak di kawasan pedalaman yang sukar untuk diakses oleh orang ramai.

Kajian keturunan dan susur galur Orang Asli hanya mula diperkenalkan pada sekitar tahun 1960-an.

Penemuan sejarah menunjukkan wujudnya hubungan antara masyarakat Melayu zaman dahulu dengan Orang Asli mulai tahun kelima lagi.

Ini dapat dibuktikan melalui proses perdagangan dan pertukaran barang-barang.

Masyarakat Melayu memberikan garam, pisau dan peralatan pertukangan besi seperti kapak manakala Orang Asli memberikan barangan hutan.

Ketiadaan proses asimilasi besar-besaran menyebabkan Orang Asli terus berjaya mengekalkan kehidupan yang telah mereka jalani sekian lama, tanpa perlu melalui perubahan besar corak kehidupan dan kepercayaan.

Kekayaan alam

Ada pelbagai sumber kekayaan alam semula jadi di seluruh hutan hujan Semenanjung Malaysia yang menjadi sumber kehidupan kaum-kaum nomad dan primitif.

Kawasan hutan hujan menjadi kediaman Orang Asli yang jauh terasing daripada kawasan pembangunan dan pemodenan penduduk amnya. Sikap pemencilan selari dengan naluri kehidupan Orang Asli yang begitu dekat dengan alam sekitar.

Sumber alam semula jadi sangat penting dalam kehidupan masyarakat Orang Asli yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil hutan. Orang Asli dikenali sebagai orang asal dan ‘orang hutan’. Oleh sifat Orang Asli yang bergantung sepenuhnya kepada hutan untuk kelangsungan hidup.

Manusia tidak mempunyai posisi yang istimewa. Semua makhluk mempunyai tanggungjawab untuk menghormati makhluk lain termasuk objek tidak bernyawa.

Masyarakat Orang Asli tidak asing dan selalu dikaitkan dengan alam sekitar serta kehidupan yang berasaskan hutan.

Kebergantungan Orang Asli terhadap alam sekitar disebabkan khazanah yang banyak dalamnya, yang menjadi punca rezeki dan kehidupan.

Kehijauan alam rimba yang melingkungi masyarakat Orang Asli mempengaruhi kehidupan dan memberi ilham kepada mereka untuk mencipta alat-alat keperluan yang digunakan dalam kehidupan.

Atas faktor bersangkutan, hutan dianggap sebagai entiti yang dilahirkan oleh kuasa ghaib selepas lahirnya manusia bagi memenuhi keperluan biologi manusia.

Hutan dianggap segala-galanya bagi masyarakat Orang Asli dan mereka hidup penuh harmoni tanpa gangguan. Hutan merupakan pusaka turun-temurun daripada nenek moyang yang harus dipelihara dengan sebaik mungkin.

Orang Asli yakin roh adalah penjaga hutan. Justeru mereka menjaga hutan dan menggunakan sumber hutan dengan saksama untuk mengelakkan roh menjadi berang.

Orang Asli cukup percaya yang pembaziran sumber pasti mengakibatkan malapetaka, kemarahan dan bencana.

Pada masa yang sama, sumber alam sekitar sebagai tempat untuk melakukan kerja membina kediaman, berburu dan tanahnya menjadi kawasan pertanian pindah. Hutan dan alam semula jadi mempengaruhi kepercayaan dan nilai kehidupan.

Alam fauna dengan manusia dipertahankan pada peringkat simbolik sebab fauna mempunyai manifestasi manusianya.

Orang Asli adalah pakar kepada semua jenis tumbuhan, termasuk memahami kitaran dan perubahan situasi tumbuhan untuk waktu berbunga hingga berbuah.

Sistem ekologi tumbuhan herba terus kekal dalam hutan untuk kegunaan generasi sekarang.

Ketentuan ghaib

Mengamalkan animisme, Orang Asli percaya kehidupannya dikuasai kuasa ghaib. Maka ketentuan yang ditetapkan kuasa ghaib menjadi asas tingkah laku sosial setiap manusia.

Masyarakat Orang Asli cukup kaya dengan budaya dan adat resa sebab lingkungan hidup yang berhubungan dengan alam semula jadi biarpun sudah mengikuti dunia moden yang serba canggih.

Unesco mengiktiraf ilmu Orang Asli sebagai elemen utama untuk pendidikan lestari. Unesco mengakui pengetahuan canggih berkenaan alam global tidak sempit kepada sains mutakhir.

Rayuan, rintihan dan suara Orang Asli mesti diambil peduli. Mereka ialah golongan yang tidak diambil hirau serta mengalami kesan alam sekitar atas nama kemodenan.

Krisis penularan wabak Covid-19 sepatutnya menginsafkan umat manusia akan segala kerosakan yang telah dan sedang dilakukan selain melihat kembali tumpuan isu mengenai penyelesaian berasaskan alam seperti perhutanan dan pelindungan bakau.

Sambutan Hari Bumi menjanjikan perubahan persekitaran dengan memfokuskan makna hubungan antara alam, iklim dan pembangunan lestari dengan mengkaji kehidupan Orang Asli!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR, kini OKU pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.