Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Pengorbanan besar guru di era Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKP datang lagi, walaupun seminggu sebelum itu PM Muhyiddin Yassin sendiri berjanji PKP 3.0 tidak akan dilaksanakan.

Apapun, bagi warga pendidik, hatta jika PKP 3.0 tidak dilaksanakan di seluruh negara pun, mereka telah diminta untuk bersedia menghadapi PDPR selepas cuti Hari Raya sehinggalah cuti penggal tiba.

Maknanya, sekali lagi para guru akan berhempas pulas memastikan anak-anak murid mereka mendapat pendidikan yang sepatutnya walaupun ketika berada di rumah. Ia tidak mudah!

Pelbagai isu akan timbul, sepertimana sebelum ini. Isu kemiskinan digital yang menyebabkan kesenjangan pemilikan peranti dan juga kesenjangan akses kepada pembelajaran talian akan kembali.

Walaupun kini sudah ada DidikTV, namun keberkesanannya masih diragui bukan sahaja oleh ibubapa, malah oleh majoriti guru-guru.

Begitu juga bahan-bahan dari DidikTV yang sepatutnya ditempatkan di dalam portal milik KPM seperti Delima dan EduwebTV, tidak pula ditempatkan di sana.

Ianya diletakkan di laman web Tonton milik syarikat TV swasta walaupun yang terlibat menghasilkan bahan-bahan tersebut adalah para guru KPM sendiri.

Lebih malang kerana kecuaian seorang dua guru, sesetengah ibu bapa dan warga net pula akan segera menyalahkan para guru dan menuduh mereka makan gaji buta.

Hakikatnya majoriti para guru berhempas pulas untuk memastikan anak-anak murid mereka terdidik. Tiada istilah makan gaji buta sewaktu PKP dan PDPR bagi para guru.

Bagi yang menyedari anak-anak murid mereka tidak mempunyai talian internet ataupun peranti, ramai yang mengedarkan helaian kerja atau kerja rumah untuk dibuat oleh murid-murid.

Ada juga yang melakukan pelbagai inisiatif sendiri demi memastikan tiada hari yang dilalui oleh anak-anak murid mereka tanpa diisikan dengan perkara yang bermanfaat.

Insentif kepada Guru

Apa yang pasti, daripada aduan dan perkongsian para guru dari seluruh negara, PDPR dijangkakan akan membebankan mereka kerana terpaksa mengajar menggunakan Jadual 2.0 seperti jadual dalam bilik darjah walaupun di atas talian.

Guru-guru terpaksa mengadap laptop sepanjang hari seperti duduk dalam kelas, meskipun persediaan untuk PDPR lebih mencabar dan kompleks berbanding kaedah bersemuka.

Lebih malang lagi mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membeli data tambahan, membeli alat bantu mengajar dan lain-lain keperluan untuk PDPR selain dari berkongsi data dan peranti untuk anak-anak mereka sendiri belajar.

Bagi guru yang terpaksa melakukan tindakan proaktif buat anak-anak murid yang tiada capaian internet pula, mereka terpaksa mengeluarkan duit kocek sendiri untuk mencetak helaian-helaian kerja atau aktiviti yang diedarkan.

Ada di antara mereka juga yang menghantar dari rumah ke rumah anak-anak murid. Inilah realiti yang berlaku. Kesemua ini dilakukan oleh ramai para guru demi memastikan anak-anak murid mereka tidak keciciran dalam pembelajaran.

Pengorbanan mereka yang besar ini jarang didendangkan dan kurang diberikan perhatian berbanding dengan petugas-petugas barisan hadapan yang lain.

Sebab itulah sehingga hari ini hanya sebilangan kecil guru yang telah mendapat suntikan vaksin.

Di atas dasar inilah semenjak tahun lalu, saya telah berkali-kali membawakan isu insentif kepada para guru ini diberikan, samada di dalam sidang parlimen, perbahasan Belanjawan 2021, mahupun di dada-dada media.

Para guru amat memerlukan insentif ini demi menampung usaha mereka mendidik anak-anak murid.

Di atas dasar ini jugalah, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) yang saya terajui, di dalam kenyataan medianya bertarikh 9 Mei 2021 telah mendesak agar kerajaan memberikan insentif tambahan kepada para guru apabila berlangsungnya PDPR untuk perbelanjaan data dan alat bantuan mengajar (ABM) mereka.

Beban pelaporan

Tugas hakiki para guru ialah mendidik dan memastikan kemenjadian murid. Antara cabaran sewaktu PDPR ialah kurangnya elemen sentuhan emosional oleh para guru kerana halangan wahana virtual.

Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi alasan kepada KPM untuk bertindak proaktif membantu warga sekolah dalam memastikan kualiti pendidikan sentiasa terjamin.

Antaranya ialah dengan memberikan bimbingan dan panduan yang cukup tentang pedagogi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian kepada guru-guru.

Suasana serba baru PDPR memerlukan kepada pedagogi dan pendekatan baru buat para guru yang begitu dinamik dan giat dibangunkan oleh pakar, terutamanya di negara-negara maju yang terkenal dengan kualiti pendidikan mereka yang terkehadapan.

Di atas kesedaran inilah, kerja-kerja pengutipan dan penyelarasan data sekolah tidak boleh dibebankan kepada para guru, malah seharusnya dilakukan oleh pegawai tadbir di peringkat PPD, JPN, dan KPM.

Realitinya, para guru sememangnya telah terbeban dengan PDPR. Guru-guru seharusnya dikurangkan beban kerja perkeranian pada saat krisis penularan pandemik ini seperti memberikan laporan harian PdPR di peringkat sekolah, PPD dan JPN yang memaksa mereka membuat dua tiga pelaporan kepada pihak yang berbeza.

Mereka sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau PDPR.

Bagi mengurangkan tekanan kepada guru, perjalanan PDPR seharusnya dilaporkan kepada Pengetua sekolah sahaja. Menjadi tanggungjawab pengetua untuk memberi laporan PDPR sekolah kepada PPD, JPN dan KPM.

KPM sepatutnya juga telah mempunyai aplikasi pelaporan yang dipermudahkan melalui aplikasi telefon bimbit samada yang menggunakan sistem Android mahupun iOS.

Sistem aplikasi inilah yang telah cuba dibangunkan melalui Jawatankuasa Dataraya (Big Data) yang telah dimulakan pada 1 Julai 2019, tetapi malangnya telah dibubarkan selepas bertukar kerajaan di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Alangkah baiknya jika diteruskan usaha tersebut demi memudahkan kerja para guru.

Sehubungan dengan itu, kami menggesa pihak KPM yang diterajui oleh Senator Dr Radzi Jidin dan kedua-dua timbalannya, Dr Mah Hang Soon, dan Muslimin Yahaya untuk tidak mengabaikan kebajikan dan kepentingan para guru sewaktu PDPR dilaksanakan nanti.

Sehubung dengan itu, KPM perlu:

  • 1) Berikan insentif tambahan kepada para guru untuk membeli data dan alat bantu mengajar;
  • 2) Jangan bebankan para guru dengan pelaporan dan kerja-kerja perkeranian; serta
  • 3) Bangunkanlah aplikasi yang mesra pengguna (user-friendly) berteraskan telefon bimbit untuk memudahkan pelaporan tersebut.

Para guru adalah tonggak pendidikan negara, dan merekalah harapan kita untuk mendidik anak bangsa sekaligus mencorakkan masa depan negara.

Jika mereka hidup dengan tekanan dan bebanan, hasil kemenjadian murid yang kita mahukan pasti tidak akan dapat dicapai.

Kembalikanlah kegembiraan dan kasih sayang di kalangan para guru yang pernah mereka kecapi dahulu walaupun singkat, kerana kegembiraan mereka adalah sinar kejayaan negara dan generasi mendatang.


MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan dan ahli parlimen Simpang Renggam.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.