KOLUM | Kemudian kamu salahkan rakyat
Untuk catatan kali ini, izinkan kami membuka kata dengan penerangan mengenai apa yang ingin kami tulis. Ini bertujuan untuk mengelak berlakunya salah faham dalam pembacaan.
Kemudian dari itu kami juga ingin menjelaskan bahawa tidak ada manfaat yang besar akan kamu dapat daripada membaca tulisan kami. Ianya hanyalah suatu catatan ringan dalam meluahkan perasaan.
Catatan kali ini mungkin kelihatan sedikit peribadi kerana kami akan menceritakan apa yang kami fikir tentang diri kami sendiri di samping mengaitkan hal tersebut dengan keadaan semasa.
Kami juga akan membesar-besarkan diri kami untuk dilihat lebih gah daripada keadaan sebenar. Dalam dunia yang melahirkan emak berlumba-lumba mahu jadi lebih catik daripada anak gadisnya hari ini, perbuatan mempamerkan kehebatan diri adalah biasa. Sebiasa politikus bercakap bohong.
Kami sentiasa membayangkan bahawa kami ini seorang lelaki kacak yang lemah lembut, berbudi bahasa dan sangat penyabar orangnya. Juga banyak tersenyum daripada berkata-kata.
Kami juga berasakan bahawa kami langsung tidak mempunyai tulang marah di mana-mana pun dalam tubuh kami. Pendek kata, apa yang kami tulis di sini - dan dibaca dengan benci saban minggu kerana menyangka kami adalah si jahat yang berhati hitam - adalah sesuatu yang membuatkan jiwa kami tidak tenteram.
Kami sentiasa akan patah hati apabila terbaca komen-komen yang menghentam dan merasakan bahawa semua tulisan kami hanya berhak dipuja dan dipuji. Tidak keterlaluan sebenarnya jika kami mengatakan bahawa tulisan kami sebenarnya berhak memenangi banyak anugerah.
Tidak pernah ada walau sedikit pun kesombongan dalam diri kami walaupun semasa kami sedang memandu Kancil turbo kuning kami. Kami sentiasa menundukan pandangan semasa memandu walaupun tidak dilihat orang kerana semua cermin kancil kami dilapis dengan plastik hitam.
Sindiran kepada kerajaan
Kemudian dari itu kami juga mengandaikan bahawa kamilah penulis satira nombor satu dalam Malaya ini. Mungkin ada lebih ramai penulis yang terlebih lucu daripada kami namun mereka tidak mempunyai kolum yang tetap seperti kami.
Lalu jadilah kami penulis kolum yang terlucu.
Malah dalam beberapa mimpi yang pernah dialami, kami mengandaikan bahawa kami adalah jelmaan Pak Sako, penulis kelahiran Pahang yang banyak mengkritik penjajah - dan kemudian bangsanya sendiri - melalui lelucon dan satira seperti kami.
Terlanjur bercerita mengenai Pak Sako, elok rasanya kami mencadangkan buku Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan kepada kamu semua untuk dibaca.
Tapi ingat: Anak Mat Lela Gila dan Periwira Mat Gila adalah dua watak yang berbeza. Yang kemudian itu adalah hasil karya Allahyarham Rejabhad, kartunis yang sangat kami hormati.
Pak Sako tidak pernah menerima anugerah Sasterawan Negara. Kerana marah akan perkara ini, kerajaan Pahang memberi satu anugerah khas kepada beliau.
Di samping itu Pak Sako juga dijanjikan hadiah wang tunai sebanyak RM20,001 - iaitu lebih RM1 daripada apa yang diberikan oleh kerajaan kepada pemegang gelaran Sasterawan Negara patu waktu itu.
Ini adalah sebagai sindiran kerajaan negeri kepada kerajaan pusat. Orang Pahang memang terkenal pandai bersatira. Sindir-menyindir adalah kepakaran mereka.
(Selain itu, orang Pahang juga terkenal dengan tabiat yang disebut sebagai mempedo’oh.)
Kami tidak dapat pastikan sama ada Pak Sako memang mendapat imbuhan seperti yang dijanjikan itu. Dengan ‘sedei’ Pahang mempedo’oh anak negerinya yang juga merupakan majistret Melayu pertama negara ini.
Setelah kamu semua tahu apa jenis orangnya kami ini, kamu tentu tidak bersetuju apabila kami katakan bahawa sesiapa yang pernah tidur bersama kami akan mendakwa kami selalu marah-marah dalam tidur.
Sesuatu yang harus difahami ialah, kami tahu yang kami banyak bercakap semasa tidur. Biasanya jika ada teman baru yang ditakdirkan berseketiduran dengan kami, dia akan diberitahu hal tersebut agar tidak ada kejadian mengejutkan.
Semua perasan rasa boleh
Apabila diberitahu bahawa jika bercakap dalam tidur kami akan nampak seperti sentiasa mahu bergaduh dan menyumpah-seranah tanpa batasan, kami menjadi amat terperanjat.
Seperti apa yang kami katakan pada awal tadi, kami menganggap kami adalah manusia berakhlak. Ia bertentangan dengan apa yang diceritakan oleh mereka yang penah tidur bersama kami.
Mengapa agaknya semasa tidur kami menjadi seperti netizen - bergaduh tidak tentu fasal, mencari salah, menuduh, memfitnah dan sebagainya? Dan yang lebih menyakitkan, semua kejahatan itu dilakukan terhadap orang yang langsung tidak kita kenali.
Kami tidak ada jawapan mengapa kami jadi pemarah semasa tidur namun kami yakin kejahatan, kebodohan dan kesombongan mereka yang dipertanggungjawabkan mengelola kebajikan kita semua itu sedikit sebanyak menjadi puncanya.
Siapa yang tidak marah apabila seorang menteri perdana, misalnya, berkata bahawa beliau tidak patut dipertanggungjawabkan ke atas kebajikan 30 juta rakyatnya.
Kita lupakan bagaimana mereka mendapat kerusi pemerintahan seketika. Apa yang harus diingat ialah, semua politikus mahu memerintah kerana berasakan mereka boleh melakukan yang terbaik untuk negara ini.
Kerana itu adalah jahat, bodoh dan sombong apabila kamu berlagak seolah-olah kamu tewas dengan kehendak rakyat. Kamu mempunyai segala keperluan, kepakaran dan jentera untuk memastikan negara ini sentiasa berada dalam keadaan selamat. Maka gunakanlah semua itu.
Atau kamu berhentilah daripada memerintah.
Jangan hanya memikirkan kedudukan kamu dan kelompok kamu saja kerana yang lebih besar kepentingannya ialah negara ini. Letakkan negara di hadapan dan kamu akan dapati kamu akan dicintai walau dari atap mana pun kamu tebuk untuk menjadi kerajaan.
Duduk diam insafi diri
Kamu terlalu lama berpolitik sehingga menjadi tolol. Kamu berasakan diri kamu adalah manusia istimewa. Kerana itu kamu hanya akan menjenguk apa juga kemalangan yang menimpa rakyat hanya selepas kamu menyelesaikan urusan peribadi kamu.
Kamu lupa bahawa setelah kamu semua bersetuju untuk membentuk kerajaan, semua kehidupan peribadi kamu telah lupus. Kamu bukan lagi milik keluarga tetapi milik negara.
Tapi jangan cepat sangat bersetuju. Milik negara dan memiliki negara adalah dua perkara yang sangat berbeza. Kerana itu setelah menjadi kerajaan, kamu tidak boleh membahagi-bahagikan hasil negara kepada ahli keluarga kamu.
Tersenyum-senyum bagai kerang busuk dan membuat lawak yang hanya penjilat kamu rasakan kelakar semasa sidang akbar mengenai kecelakaan adalah perbuatan jahat, sombong dan tidak cerdik.
Kemudian kamu salahkan rakyat dalam segala hal. Penyakit yang merebak sekarang ini menurut kamu adalah disebabkan kami semua tidak patuh arahan kamu.
Lalu seribu jenis denda kamu wujudkan sementara kamu dan keluarga kamu bebas melakukan apa saja mengikut kehendak perut kamu itu.
Mungkin ada sebilangan daripada kami yang masik benak dalam mentaati arahan-arahan yang ditetapkan. Mereka yang berbondong-bondong pulang ke kampung berhari raya, misalnya. Yang berjudi di atas bukit dingin juga.
Namun majoriti daripada kami adalah pentaat undang-undang. Kami yakni pentaat undang-undang ini hanya menjadi perengus apabila melihat pemerintah cuba menyelesaikan apa juga masalah hanya berbekalkan kejahatan, kebodohan dan kesombongan.
Berhentilah menyelesaikan masalah dengan ugutan. Kerajaan, orang kenamaan, kayangan, pengantin baru atau sesiapa saja yang banyak melanggar SOP itu seharusnya duduk menginsafi diri.
Fikirkan baik-baik apa yang telah dilakukan dan berbuatlah sesuatu yang membawa faedah serta kebaikan kepada seluruh penduduk negara ini.
ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan penggemar bunga mawar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai