KOLUM | Seagung Sulaiman pun dengar teguran semut
Dalam al-Quran, ada beberapa ceritera yang seronok dibaca. Ada banyak cerita mengenai para raja. Salah satunya ialah perihal Nabi Sulaiman, seorang raja yang sangat hebat. Kewibawaan dan kegemilangan Sulaiman sebagai raja memang melongokan. Baginda Nabi Sulaiman adalah terpaling raja sekali dalam banyak-banyak raja. Mana tidaknya, keagungan tuanku itu sampaikan semua binatang, jin malah angin dan badai juga tunduk kepada kekuasaannya. Menurut saya, baginda Raja Sulaiman ini sangatlah luar biasa kemampuannya, dan tidak adalah mana-mana raja dapat menandingi baginda. Hakikat ini tidak dapat dinafikan kerana ia termuktamad dalam al-Quran. Hakikat ini jika disoal kepada musuh manusia hari ini iaitu Netanyahu pun dia akan bersetuju.
Era pemerintahan baginda Sulaiman ini sangat menarik untuk direnungkan. Tidak ada sekian makhluk kejadian dan ciptaan Yang Maha Kuasa boleh hidup berdamai dan berhimpun di bawah sebuah takhta. Akan tetapi Sulaiman melakukannya. Jadi baginda bukanlah calang-calang manusia.
Harus dinyatakan di sini, Sulaiman itu dengan segala yang muluk-muluk, adalah anakanda kepada seorang raja yang juga mencengangkan. Nama baginda ialah Daud. Juga, sebagai raja, Daud itu mampu menawan air yang mengalir. Sungai terhenti dan burung jatuh dari angkasa tatkala mendengarkan suara Daud. Di tangannya Daud, segala besi menjadi cair dan lembut untuk ditempa. Jadi kuasa Daud sebagai raja itu bukan dengan kuku besi tetapi mencairkan besi di hujung kukunya.
Kembali kepada Sulaiman, demikian agung dan terhimpun segala keulungan baginda itu, Allah malah memperisterikan baginda dengan seorang lagi pemerintah yang juga unggul dan penuh kejayaan iaitu seorang ratu bernama Balqis. Bawah perintah titah ratu Balqis adalah gerombolan tentera yang sangat berdisiplin dan terbaik di Yemen. Perihal kejelitaan baginda itu tidak usahlah dipertikaikan lagi. Terdapat riwayat yang menyatakan Balqis ini kacukan manusia dan jin. Negerinya pula bukanlah sekangkang kera tetapi demikian luas sempadannya.
Jadinya, pada Sulaiman itu terkumpul sekian alam, dan isterinya pula menompokkan pula lagi sekian izzah dan kekayaan bersama. Demikian kita membaca Sulaiman yang hebat itu, tatkala dia dan tenteranya keluar ke medan perang, dan melalui sebuah dusun atau kebun di lembah Palestina, apakah yang terdengar di cuping telinga Sulaiman masuk menembus gegendangnya?
Seekor semut yang dengan panik memberi amaran kepada sekumpulan semut lain yang siap siaga untuk keluar berarak menuju kerjaan. Maka sang semut tukang hebah memberikan amaran bahawa Sulaiman dan bala kerajaannya akan melalui jalanan yang sama dan kerana ramai serta riuh soldadu Sulaiman itu, tidak mustahil mereka semut yang demikian halus, kecil, dan tidak disedari akan dilindas, dihinjak dan dilenyek di bawah ladam kuda tentera Nabi Sulaiman.
Pun, sekecil-kecil semut, mereka adalah rakyat Sulaiman. Dan sehebat-hebat Sulaiman yang menjadi raja kepada segala emas, dan galian; bahkan raja kepada segala pohon dan tumbuhan termasuk cengal dan aneka balak lain; baginda mendengar rintihan rakyat terkecilnya.
Al-Naml ayat 18 dan 19
Insiden cemas itu direkodkan oleh kitab suci umat beragama Islam dalam Surah al-Naml ayat 18 dan 19 yang terjemahannya berbunyi lebih kurang begini:
“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke ‘Waadin-Naml’, berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari’.
“Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh’.”
Eloklah para raja di dunia ini merenungkan kejadian yang dihadapi oleh seorang manusia yang terpaling raja sekali dalam sejarah umat manusia. Bertahun-tahun saya mencari apakah yang menyebabkan Nabi Sulaiman tersenyum dan kemudian berdoa dengan penuh lugu, rasa empati dan ihsan untuk semut selaku rakyatnya. Ini kerana selalunya apa yang dikemukakan dalam al-Quran bukanlah sesuatu yang terperinci. Dalam erti kata lain, apakah perbualan penuh antara raja Sulaiman dan penghulu semut itu sehingga baginda Sulaiman dengan penuh adab dan merendah diri pula merenung hakikat kejadiannya sebagai seorang hamba Tuhan.
Apakah nasihat semut kepada raja Sulaiman?
Saya hanya menemukan jawapan mengenai hal ini dalam ‘Uyun al-Akhbar al-Ridha iaitu himpunan riwayat oleh Imam Ali Ridha, keturunan Rasulullah SAW dan boleh dijejaki melalui piutnya Muhammad al Baqir dan onengnya, Ja’far as Sadiq. Riwayat penuh itu berbunyi begini:
[Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahhab Qurasyi meriwayatkan bahawa Manshur bin Abdullah Isbahani Shufi meriwayatkan daripada Ali bin Mihrawaih Qazwini, daripada Daud bin Sulaiman Ghazi yang berkata, “Aku mendengar Ali Musa bin Ali Ridha meriwayatkan berikut ini daripada ayahnya Ja’far bin Muhammad mengenai firman Allah Azza wa Jalla, Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu (al-Naml 27: 19): Allah merujuk kepada kata-kata semut tersebut ketika ia berkata, “...Hai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarang kalian, agar kalian tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari. Angin yang bertiup di udara membawa suara semut tadi kepada Sulaiman. Sulaiman berhenti dan memanggil semut tersebut dan bertanya kepadanya, ‘Apakah kamu tidak tahu bahawa aku adalah Nabi Allah dan aku tidak akan menindas siapa pun?’ Semut berkata, ‘Ya’. Sulaiman berkata, ‘Lantas mengapa kamu membuat mereka takut aku menindas mereka?’ Semut berkata, ‘Aku takut bahawa mereka mungkin saja melihat kemuliaanmu dan begitu terpikat kepadamu sehingga mereka lupa mengingat Allah yang Maha Agung.’
Jiwa semut
Kemudian semut itu bertanya, ‘Apakah kedudukanmu lebih tinggi atau kedudukan ayahmu, Daud?’ Sulaiman berkata, ‘Ayahku Daud.’ Semut berkata, ‘Tetapi namamu memiliki satu huruf lebih dari nama ayahmu, Daud. Iya, kan?’ Sulaiman berkata,’Aku tidak memiliki pengetahuan tentang ini.’ Semut berkata, ‘Tidak. Nama ayahmu, Daud sebenarnya adalah Davi Jorha (bererti Daud Sang Penyembuh’). Kemudian, dia dipanggil Daud. Aku harap engkau boleh mencapai darjat ayahmu itu.’ Kemudian semut itu menambahkan, ‘Apakah engkau tahu mengapa Allah menundukkan angin kepadamu di antara hal-hal yang lain dalam kerajaan-Nya?’ Sulaiman berkata, ‘Aku tidak tahu.’ Semut berkata, ‘Kerana Allah azza wa Jalla ingin mengajarkan bahawa jika Dia telah membuat segala sesuatu yang lain tunduk kepadamu, mereka juga akan berakhir secepat angin, dan engkau akan kehilangan mereka secepat angin pula.’ Sulaiman tersenyum mendengar hal ini.]
Sayugia dinyatakan, dalam nota kaki terjemahan kitab ini dijelaskan riwayat ini tidak dapat ditentukan sahih atau tidak, akan tetapi kerana sifatnya adalah cerita, maka sebagai tukang cerita saya sendiri suka untuk berpegang kepadanya. Yakni dengan mengambil teladan dan pengajaran didaktik dari naratif sebegini baik.
Ada tiga sari yang boleh kita lihat dan pegang dari perbualan raja Sulaiman yang amat agung itu dengan semut, rakyatnya yang maha kecil dan senang dipijak.
Pertama, perhatikan pertanyaan, ‘Apakah kamu tidak tahu bahawa aku adalah Nabi Allah dan aku tidak akan menindas siapa pun?’
Dalam hal ini Nabi Sulaiman ingin menyatakan bahawa baginda bukan sahaja seorang raja tetapi lebih agung dari itu, baginda adalah Nabi. Saya kira nabi lebih utama dari bayang-bayang Tuhan di muka bumi. Oleh sebab baginda adalah seorang nabi mengatasi raja, tentu seorang nabi tidak akan menindas sifatnya.
Semut berkata, ‘Ya’. Ini menunjukkan semut amat sedar akan kedudukan seorang raja hebat seperti Sulaiman itu.
Jadi raja Sulaiman kembali bertanya, ‘Lantas mengapa kamu membuat mereka takut aku menindas mereka?’
Balas jawapan semut ini amat menarik di mana penghulu semut menyatakan begini, ‘Aku takut bahawa mereka mungkin saja melihat kemuliaanmu dan begitu terpikat kepadamu sehingga mereka lupa mengingat Allah yang Maha Agung.’
Demikianlah para pembaca, tidak ada raja yang demikian mulia dan agung untuk kita rasa terpacal, dan sampai terduli persis Raja Sulaiman santak dilupakan terus keagungan yang sebenar-sebenar dalam dunia yang fana ini ialah Allah Yang Maha Agung. Sulaiman raja yang paling mulia dan agung sekalipun kedudukannya lebih bawah dari Tuhan. Maka apa sebab musabab untuk semut menyembah dan terpana dengan keagungan Sulaiman berbanding Sang Pencipta. Jadinya jiwa semut itu jauh lebih merdeka dari jiwa sesetengah manusia yang melutut kepada kekuasaan sesetengah manusia.
Tunduk mengalah
Sari kedua untuk dihitung dan diambil pedoman ialah ingatan dan amaran semut yang apa-apa makhluk yang tunduk dan mengalah kepada seseorang raja itu, harus diingat sangat sementara sifatnya: ‘Kerana Allah azza wa Jalla ingin mengajarkan bahawa jika Dia telah membuat segala sesuatu yang lain tunduk kepadamu, mereka juga akan berakhir secepat angin, dan engkau akan kehilangan mereka secepat angin pula.’
Seumpama angin, kekuasaan seseorang raja boleh sahaja berlalu, dan rasa hormat dan akur seorang rakyat hatta sekecil semut boleh sahaja menghilang. Maka tidaklah usah seseorang itu berasa kekuatan dan kehebatannya akan kekal lama. Hatta Sulaiman sendiri diingatkan oleh rakyatnya yang kecil iaitu semut.
Sesungguhnya ada banyak pengajaran pada urusan pemerintahan Sulaiman sebagai seorang raja, jikalau mana-mana penguasa ingin mengambil pengajaran dan tunjuk ajar daripadanya. Jangan terlalu yakin dengan apa yang dimiliki kita hari ini, Sulaiman sendiri sebagai seorang raja mangkat dalam tidurnya di atas singgahsana yang terpancar ketakjuban.
Dan Sulaiman itu seperti dalam al-Quran adalah raja terpaling daulat dan hebat. Semua makhluk terkumpul di bawahnya. Seagung-agung Sulaiman pun baginda berhenti mendengar teguran rakyatnya yang paling lemah iaitu sang semut. Apa alasan lain untuk seorang raja untuk tidak melakukan sedemikian?
Sari ketiga yang paling indah digariskan oleh kitab suci al-Quran ialah, ia mengajak kita semua untuk bersolidariti penuh dengan semut. Dan apa paling lemah jikalau bukan semut di sisi ladam besi kuda Sulaiman seorang raja yang agung?
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai