KOLUM | Korban yang dilupakan (Siri 2)
Asalnya kerajaan Terengganu tidak mengambil sebarang cukai atau hasil daripada rakyat. Pemilikan tanah disahkan dengan cap rasmi yang diperkenan sultan.
Sekiranya tuan tanah meninggal, tanah tersebut diserahkan kepada waris si mati. Jika ada sebarang masalah, mahkamah kadi akan menyelesaikannya.
Tiada kajian ditemui untuk mengaitkan perkara itu dengan pendapat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali yang pernah mendakwa kerajaan Islam tidak mengenakan cukai kepada rakyat.
Katanya jika dikenakan cukai pun, ia hanya bersifat sementara. Pendapatan kerajaan menurut beliau lagi diperolehi daripada khazanah negara.
Khazanah negara yang dimaksudkan mungkin merujuk kepada hasil hutan, perlombongan dan pemberian konsesi. Apabila muncul berita lori membawa balak bersaiz luar biasa dari Terengganu, mungkinkah ini yang dimaksudkan sebagai khazanah negara sebagai pendapatan kerajaan?
Semasa kerajaan Terengganu dipimpin oleh Sultan Zainal Abdin III, pendapatan kerajaan diperolehi daripada pemberian konsesi tanah, perlombongan dan cukai perniagaan.
Dapat gaji setiap bulan
Menurut buku Kebangkitan Terengganu antara pihak yang mendapat pelbagai konsesi pada masa itu ialah Chia Ah Cham, Tham Kay Chiang, Ong Kay Joo, Lim Chwee Chin, Choon Ah Kiat, Chew Woon Poh, Habib Muhamad Amir dan lain-lain.
Malangnya nama yang "lain-lain" itu tidak pula dicatat dalam buku tersebut. Mungkin memang ada cuma rekodnya yang tidak ditemui.
Daripada pendapatan itulah kerajaan menampung perbelanjaan termasuklah untuk memberi gaji kakitangan, pegawai, pembesar dan sultan sendiri.
Gaji bulanan Sultan Zainal Abidin III ketika itu ialah RM6,000 - suatu pendapatan yang sangat lumayan pada masa itu. Hal berkenaan dicatat dalam buku tulisan sejarawan negara, Prof Abdullah Zakaria Ghazali.
Apabila Sultan Zainal Abidin III mangkat, putera mahkota Raja Muhamad menaiki takhta. British - yang menyediakan gaji setiap bulan - memberikan imbuhan kepadanya sebanyak RM3,500. Baginda tidak berpuas hati kerana ia jauh lebih rendah berbanding ayahandanya dulu.
Justeru Raja Muhamad meletak jawatan sebagai sultan sebagai protes. Kemudian takhta itu diambil alih oleh adindanya, Raja Sulaiman Badrul Alam Shah.
Melalui Perjanjian Bangkok 1909, Terengganu akan berada di bawah pengaruh dan kuasa Inggeris. Persetujuan itu dicapai bagi memastikan Terengganu merdeka daripada naungan Siam.
Inggeris memang bijak menggunakan istilah politik dalam berdiplomatik sebagai muslihat mereka merosakkan kerukunan bernegara sebelumnya. Maka digunakanlah istilah seperti penasihat, melindungi, kedaulatan dan sebagainya.
Samalah dengan apa yang berlaku pada hari ini. Istilah tertentu dipilih dengan teliti - misalnya darurat, pandemik, ekonomi negara dan total lockdown (sekatan pergerakan penuh) - untuk melunakkan hati orang ramai agar kuasa yang dirampas dapat dikekalkan.
Rasuah, salah guna kuasa berlaku
Ratusan tahun lalu Inggeris mengajar bagaimana melunakkan para penentang dan pada masa sama menjelmakan diri mereka sebagai ‘pelindung' Melayu.
Pada masa sama, Inggeris memberi jaminan untuk membantu pihak kerajaan dan sultan memerintah negeri dengan lebih maju dan kukuh.
Semua urusan percukaian ke atas rakyat dibuat di pejabat penghulu atau rumah pasung. Ada bayaran dikenakan. Kegagalan mematuhi peraturan baru membolehkan rakyat disaman.
Di samping itu, ada kakitangan kerajaan yang melaksanakan peraturan tanpa budi bicara dan mengambil kesempatan atas kenaifan serta ketaatan rakyat. Di bawah Inggeris ada penduduk kampung disaman hanya kerana mengambil kulit kayu untuk dijadikan dinding rumah, dirampas tanahnya dan lain-lain.
Pada masa sama, berlaku rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Ada pegawai yang bertindak lebih sudu daripada kuah. Mereka menyerahkan tanah yang sudah diteroka kepada sesiapa yang disukai.
Walaupun mereka hanya kakitangan kerajaan tetapi nafsu mereka serupa saja dengan warga kayangan.
Cerita rasuah, penguatkuasaan undang-undang dua darjat, penindasan dan salah guna kuasa pegawai, pembesar dan pemimpin bukan sejarah zaman moden sahaja. Ia adalah sejarah yang dipahat di segenap zaman. Watak dan tempatnya saja yang berubah.
Kembali kepada sejarah orang hulu Terengganu yang tidak berpuas hati dengan dasar baru kerajaan. Mereka berarak, bertakbir dan berzikir ‘Lailaha illallah’ sepanjang perjalanan dari kampung menuju ke istana.
Dari kejauhan bunyi yang kedengaran dari perarakan itu seperti bunyi lebah.
Sambil itu mereka membawa parang panjang, keris dan badik. Akhirnya mereka bertembung dengan pasukan keselamatan yang sudah menghidu kedatangan orang kampung.
Baca Seabad perjuangan orang hulu T'ganu (Siri 1)
Pada masa sama, kumpulan penduduk dari Tersat, Hulu Dungun, Kuala Jenaga dan Hulu Marang pula dalam perjalanan ke arah yang sama.
Kumpulan orang hulu Terengganu berhenti seketika. Pihak keselamatan memberi amaran kepada mereka agar tidak mara. Mereka meminta orang kampung aga bertenang namun keadaan menjadi tegang apabila emosi tidak terkawal selepas penduduk kampung melihat Sarjan Osman.
Sarjan Osman itulah yang menekan orang kampung dalam penguatkuasaan peraturan baru.
Tok Janggut yang mengetuai kumpulan itu melompat ke kanan ke kiri sambil menghayun pedangnya. Jarak di antara mereka dengan pihak berkuasa hanya kira-kira 30 meter.
Orang kampung berteriak hendak membunuh Sarjan Osman yang dikatakan pernah bertindak kasar semasa melaksanakan undang-undang ke atas penduduk hulu. Entahlah. Mungkin Sarjan Osman hanya melaksanakan tugasnya sebagai anggota keselamatan yang makan gaji dengan kerajaan.
Jiwa penduduk kampung hulu sebahagiannya sudah dipenuhi semangat untuk berperang, manakala sebahagian yang lain hanya ikut-ikut bersemangat. Barangkali dalam pemikiran orang kampung, perjuangan mereka adalah memenuhi tuntutan agama.
Dalam keadaan sebegitulah tragedi di Padang Kanchung seabad yang lalu berlaku.
Bertengkar untuk takhta, kuasa
Mata-mata seramai 25 orang bersiap sedia dengan senapang masing-masing. Setelah enam kali amaran berundur dan bersurai diberikan kepada penduduk tidak dihiraukan, tembakan dilepaskan. Tok Janggut melompat ke kanan dan ke kiri laksana burung bersedia untuk terbang.
Kini arahan tembak sudah diberikan. Tam! Tam! Tam! Tiga empat orang gugur ke bumi. Melihat keadaan begitu, keadaan menjadi kelam kabut.
Tok Janggut dikatakan kebal. Walaupun tembakan dilepaskan, dia terus mara. Barangkali dengan kepercayaan kekebalannya itulah yang memberi keyakinan kepadanya untuk melangkah ke hadapan.
Peluru pertama terkena pada payung Tok Janggut. Peluru kedua terkena dada sebelah kanan dan menyebabkan badannya terpusing ke belakang. Tetapi tangan kanannya tetap menggenggam keris.
Peluru ketiga meneroboh perut dan menyebabkan dia terus rebah ke tanah. Setelah melihat Tok Janggut dan Mahmud gugur, penduduk hulu yang tiada niat untuk berperang itu masing-masing berundur menyelamatkan diri. Tapi perang belum berakhir.
Seramai 11 orang terkorban dan jenazah mereka terbiar dua hari membusuk di Padang Kanchung. Antara yang terkorban Tok Janggut (bukan Tok Janggut Pasir Putih) dan Mahmud yang mengetuai demontrasi tersebut.
Tok Janggut yang pernah bertapa dan dipercayai memiliki ilmu kebal. Pada hari kejadian ilmu kebalnya tidak menjadi.
Mengkaji sejarah politik dan antropologi Melayu kampung sangat menarik terutama untuk memahami cara tindak orang Melayu kampung berpolitik. Sebagai orang Melayu, saya berusaha mencari rahsia yang terpendam dalam tangis duka orang Melayu bertengkar pasal takhta dan kuasa.
Gambar-gambar yang mengiringi tulisan ini diambil dari buku Kebangkitan Terengganu.
[Bersambung]
MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai