Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | TV Pendidikan: Ulang tahun ke-49

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ide untuk mewujudkan TV Pendidikan bermula sedari tahun 1971 apabila Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengemukakan satu cadangan untuk memulakan perkhidmatan penyebaran pendidikan yang dipersatukan di Malaysia. Cadangannya ialah penggabungan perkhidmatan Radio Pendidikan, Alat Pandang Dengar dan penubuhan satu wahana baharu TV Pendidikan. Jawatankuasa Penasihat Perkhidmatan Sebaran Pendidikan (PSP) telah ditubuhkan untuk merealisasikan penubuhan TV Pendidikan yang menggunakan teknologi TV terrestrial sebagai medium penyebaran.

Pada 19 Jun 1972, siaran TV Pendidikan buat pertama kali telah dilancarkan di semenanjung Malaysia dengan rasminya oleh allahyarham Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia Kedua. Siaran TV Pendidikan telah dipancarkan melalui rangkaian Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Kuala Lumpur bawah Jabatan Penerangan.

Apabila wujud keseragaman sukatan pelajaran pada hampir kesemua mata pelajaran, siaran TV Pendidikan telah diperluaskan dari semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak. Menteri Pendidikan pada ketika itu, Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan TV Pendidikan ke Sabah dan Sarawak pada 30 Ogos 1976. Siaran TV Pendidikan untuk Semenanjung telah disiarkan melalui RTM Kuala Lumpur; manakala bagi Sabah dan Sarawak pula penyiarannya melalui RTM Kota Kinabalu.

Bagi generasi X, tentu masih segar lagi dalam ingatan mereka program rancangan Bahasa Inggeris Bing & Bong yang memaparkan watak badut Bing dan Bong sebagai elemen menarik perhatian murid. Rancangan tersebut menjadi keminatan murid-murid walaupun transmisi pada masa itu masih lagi dalam warna hitam putih dan bukannya TV berwarna seperti hari ini.

Penerbitan video rancangan sains dan matematik pula menjadi rancangan utama TV Pendidikan dengan pelbagai genre drama, dokumentari dan demonstrasi bilik darjah. Proses penerbitan rancangan menggunakan pelbagai bahan sokongan teknologi semasa. Pegawai TV Pendidikan yang terdiri daripad pembangun kandungan rancangan program TV dan kakitangan sokongan kejuruteraan teknikal penyiaran TV Pendidikan. Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberikan latihan kepada pegawai TV Pendidikan yang terdiri daripada warga pendidik sebagai penerbit rancangan TV Pendidikan dan pengkhususan masing-masing dalam dan di luar negara.

Evolusi TV Pendidikan

Pada tahun 1980, TV Pendidikan telah mewujudkan Seksyen Kejuruteraan di Kompleks di Jalan Ampang bagi menampung semua keperluan penerbitan, rakaman dan pemancaran rancangan TV Pendidikan dan Radio Pendidikan. Bahagian PSP pada ketika itu telah dibekalkan kamera-kamera video electronic news gathering (ENG) bagi kerja-kerja penggambaran yang dahulunya menggunakan filem sahaja. Semua rakaman dijalankan menggunakan Studio Jalan Ampang melalui Electronic field production (EFP) van yang dilengkapkan dengan peralatan terkini pada masa itu. Pada bulan januari 1987, siaran TV Pendidikan telah dipancarkan ke seluruh negara melalui saluran 2 RTM Kuala Lumpur. Selama 27 Tahun siaran TV Pendidikan disiarkan melalui saluran 1 dan 2 sejak tahun 1972.

Pada awal tahun 2000 telah berlaku perubahan besar pada TV Pendidikan. Setelah sekian lamanya RTM menjadi pelantar penyiaran TV Pendidikan melalui teknologi teresterial, ia mula beralih kepada teknologi TV satelit. Dari tahun 2000 sehingga 2006, TV Pendidikan hanya bersiaran melalui penyedia perkhidmatan televisyen bersatelit Astro yang berbayar. Hayat penyiaran TV Pendidikan KPM melalui Astro juga tidak lama. Pada 1 Januari 2007, siaran TV Pendidikan Astro telah ditamatkan. Siaran TV Pendidikan bermula tahun 2007 telah bersiaran melalui Media Prima di secara slot airtime berbayar kepada syarikat tersebut di TV9 bermula pada 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari setiap isnin hingga khamis termasuk cuti sekolah sepanjang dari 3 Januari 2008 sehingga 31 Disember 2008.

Di pihak KPM, jemaah Menteri 21 Disember 2006 telah memutuskan agar TV Pendidikan di bawah seliaan KPM ditukarkan dari saluran TV ke pelantar internet. TV Pendidikan mula disiarkan melalui medium web sewaktu zaman Hishamudin Hussein dengan mewujudkan portal Eduweb TV yang memakan belanja lebih RM90 juta. Portal EduwebTV yang telah diwujudkan dari 2008 masih beroperasi sehingga kini dengan mengabungkan semua video kurikulum Pembelajaran dan Pengajaran menjadi pusat rujukan video Pendidikan untuk digunakan oleh warga pendidik seluruh Malaysia.

Setelah 10 tahun TV Pendidikan bersiaran melalui atas talian, pada Oktober 2018, selaku Menteri Pendidikan, saya telah mengumumkan bahawa TV Pendidikan melalui TV terrestrial digital akan dilancarkan semula selepas sekian lama tidak bersiaran. Pada waktu itu, saya melihat negara-negara maju mempunyai saluran-saluran khusus untuk Pendidikan dan juga rancangan didik hibur untuk para pelajar malah juga untuk orang dewasa. Rencananya ialah dengan menaiktaraf pelan memantapkan infrastruktur dan kandungan video Portal EduwebTV sebagai Video On Demand yang boleh diakses pada bila-bila masa sepertimana teknologi penstriman ala Netflix.

Pada hemat saya, perkembangan penyiaran TV Pendidikan harus berjalan seiring dengan perkembangan zaman. Walaupun kita mempunyai portal web Pendidikan berasaskan internet, dan juga penyiaran bahan-bahan melalui internet, namun saluran TV teresterial masih diperlukan lagi. Ini yang berlaku di negara-negara maju. Lihatlah contoh BBC, Aljazeerah, Alarabiah dan lain-lain lagi. Kesinambungan TV Pendidikan melalui medium siaran TV Pendidikan melalui TV, perlu disokong dengan bahan-bahan video/audio di portal EduwebTV dengan dikawal mutunya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Malangnya usaha tersebut tidak menemui permulaannya kerana pertukaran kerajaan.

Saya juga berpendapat pada ketika itu, KPM perlu melihat keperluan TV Pendidikan didalam menambah lagi kakitangan berkemahiran yang berlatarkan penerbitan siaran TV dan kakitangan pengkhususan Teknologi Maklumat. Satu-satunya TV Pendidikan yang dikawal selia oleh pemegangtaruhnya iaitu Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) yang tidak ada di mana-mana bahagian di KPM.

TV Pendidikan pasca-Covid-19

Pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia awal tahun lepas, telah menyebabkan banyak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown. Fenomena global itu telah menyebabkan kebanyakan negara menutup sekolah. Demikian juga halnya Malaysia yang telah melaksanakan PKP yang menyebabkan seluruh negara berkurung di rumah dan sekolah-sekolah di seluruh negara ditutup. Pada 6 April 2020 siaran TV Pendidikan mula bersiaran melalui TV kerajaan di saluran TV Okey secara percuma setiap hari selama dua jam sehari dan juga di Astro. Hal ini tidak mencukupi jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh negara-negara lain, hatta oleh negara jiran Indonesia. Kita agak ketinggalan. Isu TV Pendidikan ini telah saya bawakan ke Dewan Rakyat. Ramai ahli parlimen lain juga turut membawakan isu ini demi kelangsungan pembelajaran anak-anak.

Setelah desakan demi desakan dibawa di parlimen dan juga media, akhirnya pada 22 Januari 2021, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah telah mengumumkan bahawa RTM akan mengkhususkan TV Okey sebagai TV Pendidikan. Pengumuman itu telah disambut dengan gembira oleh ramai pihak. Anehnya, Pada 16 Feb 2021, KPM mengumumkan TV Pendidikan akan bersiaran secara slot airtime berbayar selama 17 jam setiap hari di stesen TV swasta NTV7, Media Prima dengan nilai RM 70 juta pada tahun 2021. Hal ini berbeza dengan pengumuman oleh Menteri Komuikasi dan Multimedia. Ramai yang tertanya-tanya apakah yang berlaku dan mengapakan perlu diberikan RM70 juta kepada pihak swasta, jika pihak RTM milik kerajaan mampu melaksanakannya?

Pelbagai persoalan telah timbul, dan seperti kebiasaan KPM terus menyepi dan tidak memberikan maklum balas. Rakyat tertanya-tanya dan pelik dengan sikap KPM yang tidak telus dan tidak bertanggunjawab ini. Pesoalan juga timbul, Apa yang akan terjadi dengan fasiliti studio penggambaran TV Pendidikan di BSTP yang bernilai ratusan jutaan ringgit termasuk Studio Bergerak Outdoor Broadcast (OB Van) akan menjadi gajah putih tanpa operator?

Bahkan umum juga merasa pelik bagaimana kakitangan berkemahiran berkaitan dengan sistem penggambaran TV Pendidikan dan ICT telah dikeluarkan secara besar-besaran pada tahun 2021 dek keputusan menswastakan TV Pendidikan oleh kerajaan secara tergesa-gesa.

Namun, persoalan yang paling utama bermain di fikiran rakyat ialah, “Apakah hala tuju masa hadapan TV Pendidikan dalam menghampiri jubli emas pada tahun 2022 ?”

Semoga TV Pendidikan dapat direjuvenasikan demi pendidikan anak-anak dan pembangunan Pendidikan negara. Negara memerlukan satu visi yang jelas untuk TV Pendidikan dan bukannya dilihat sebagai lubuk untuk sesetengah pihak menjana kekayaan.

Selamat ulang tahun TV Pendidikan yang ke-49!


DR MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan dan ahli parlimen Simpang Renggam.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.