Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kita bukan kerbau

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | "Pergi jual (lukisan) tu," kata Najib Dawa, Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara pada waktu itu. Beliau mengarahkan kami untuk melayan tetamu yang datang ke pameran T!GA.

Najib memberi arahan apabila melihat kami lebih sibuk mengambil gambar acara perasmian pameran daripada mempromosi lukisan kami pada hari berkenaan.

Selain melukis, kami juga amat gemar mengambil gambar.

Hanya kerana ingin memberitahu kepada dunia bahawa kami masih aktif melukis, kami gunakan media sosial, namun untuk duduk bercerita betapa hebat lukisan yang kami hasilkan bagi menjualnya bukanlah sesuatu yang selesa buat kami. Kami bukan jurujual yang baik.

Kami juga bukan ahli politik yang kerjanya mempromosi diri sendiri demi untuk melahap harta negara. Mereka memang begitu. Demi kuasa mereka tidak malu menempek muka sendiri pada bungkusan makanan untuk orang yang memerlukan seolah-lah wajah mereka itu akan memberikan rasa kenyang tambahan.

Kami tidak diajar begitu.

Pameran T!GA adalah laluan utama untuk kami masuk ke Kuala Lumpur. Sebelum pameran itu, kami lebih banyak bertumpu di Kuantan.

Namun demikian ianya bukanlah pameran pertama kami di Kuala Lumpur. Sebelum itu kami pernah menyertai satu pameran besar di Balai Seni Negara atas jemputan Prof Salmah Abu Mansor dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dan juga pameran berkumpulan di Galeri RA lama.

Raja Ahmad Aminulah, pemilik galeri berkenaan, menjemput kami untuk mengambil bahagian dalam pameran setelah penyair terkenal, Pyanhabib, mencadangkan nama kami kepada beliau.

Setelah lama merancang, akhirnya dua pelukis terkenal iaitu Anassuwandi dan A Shukri Elias bersetuju untuk bersama kami mengadakan satu pameran bersama.

Kebanggaan penduduk Pekan

Shukri dan Anas memang sedia aktif berkarya manakala kami pula terpaksa mengambil sedikit masa untuk bersedia. Bimbang datang bertalu-talu kerana memikirkan apa yang mahu dipersembahkan.

Penyesalan juga datang berlumba-lumba kerana menjadi berani tanpa usul periksa mahu berganding dengan dua seniman hebat itu.

Shukri dan Anas adalah nama besar dalam dunia seni lukis manakala kami sendiri adalah pelukis yang hanya terkenal kerana suka bercakap besar. Datang semua rasa rendah diri, takut, was-was dan segala macam rasa hiba apabila memikirkan perlu menghasilkan kerja bagi pameran tersebut.

Sebelum pameran itu, kami galak menghasilkan lukisan yang lebih sesuai untuk hiasan dalaman. Ia tentu sekali tidak sesuai untuk dipersembahkan dalam pameran T!GA.

Setelah difikir-fikir, kami mengambil keputusan untuk 'membesarkan' siri lukisan kerbau yang menjadi pemula kepada jalan kami dalam berkarya.

Selalunya apabila ditanya mengapa memilih kerbau, kami akan katakan bahawa ia adalah kerana kami amat gemar makan daging kerbau masak opor, satu masakan yang terkenal di Pahang. Opor menjadi kebanggaan penduduk Pekan.

Selain daripada opor, satu lagi kebanggaan buat orang Pekan ialah Najib Razak, bekas perdana menteri yang sekarang ini nampak sangat sibuk membela nasib rakyat.

Selingan: kami teringat sepatah dua kata Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menjadi menteri PN - membela nasib rakyat jauh lebih mudah apabila kita menjadi pembangkang atau sedang berada di luar kerajaan.

Bercakap benar kadangkala mendatangkan sakit hati pendengar.

Kita pun bersetujulah. Memang begitu pun perjalanan hidup ahli politik kita. Lawan semasa belum berkuasa; menjadi ular sawa kenyang setelah duduk dalam lingkungan pembuat dasar negara. Yang menjadi kerbau, kita semualah.

Dalam teruk membanting tulang, kita digelar malas. Apabila lapar, diberi makan rumput dan air garam cuma. Ada masanya kita perlu mengeluarkan kembali rumput dari dalam perut sendiri. Seeloknya keluarkan ketika si gembala sibuk menjamu selera dengan kebab dan arak manis.

Mabuklah mereka sehingga lupa bahawa sawah ladang itu, si kerbau inilah yang jadi tukang tenggalanya.

Kami kemudian berjanji kepada diri sendiri untuk menjadikan kerbau sebagai modal hanya untuk pameran ini. Kami tidak mahu terus-terusan melukis kerbau kerana bimbang nanti digelar orang sebagai Dollah Kerbau.

Kalau kamu ingat kita pernah ada Ismail Kerbau. Bimbang disamakan dengan penjenayah yang agak berwarna-warni itu juga membuatkan kami menjauhkan diri daripada istiqamah melukis kerbau. Tambahan pula mengikut sesetengah orang, kami ini adalah Ismail Kerbau versi halal.

Perkecil usaha rakyat

Kerana lukisan-lukisan yang dipersembahkan hampir semuanya bersaiz besar, kami telah meminta Balai Seni Negara yang menjadi lokasi pameran membina papan gantung yang lebih lebar dan gagah.

Sikap mahu mendengar pandangan orang lain dan sentiasa tidak berasa kita adalah lebih baik berbanding orang lain akan sentiasa membuahkan hasil yang tidak kita duga.

Kita ini makhluk sosial yang ditakdirkan untuk sentiasa saling membantu. Tidak mungkin kita akan naik lebih tinggi tanpa ada sokongan orang lain.

Ini berlaku dalam semua keadaan, sama ada sewaktu usaha baik mahupun usaha yang tidak mendatangkan faedah. Contoh usaha baik ialah apabila ada yang mengadu kesusahan, beramai-ramailah kita membantu.

Waktu itu kita tidak memandang warna kulit. Siapa saja yang memerlukan maka kita dengan senang hati bantu. Kerana itu agaknya usaha kibar bendera putih mendapat tempat dalam kalangan orang banyak.

Lalu contoh berkumpul untuk kerja yang tidak berfaedah juga datang daripada usaha memperlekeh usaha orang ramai hanya kerana ianya tidak menguntungkan orang politik.

Berbondong-bondong mereka datang dan memperkecilkan usaha rakyat yang sebenarnya tidak meminta campur tangan mereka pun.

Sedikit pertanyaan: sudahkan wakil-wakil kerajaan yang diberikan RM300,000 seorang itu membelanjakan wang berkenaan (kepada rakyat)?

Permintaan kami diambil perhatian dan Majidi - salah seorang kurator Balai Seni Negara - segera memastikan agar ubah suai yang diperlukan terlaksana.

Hasilnya, ruang pameran di bangunan pentadbiran Balai Seni Negara menjadi sama tarafnya dengan ruang pameran mana-mana ruang pameran galeri persendirian.

Ketika hari perasmian, kami berasa amat teruja. Selain kerana diberi peluang berpameran bersama dua seniman terkenal, majlis tersebut juga dihadiri ramai teman pelukis dan juga pengemar seni catan.

Mungkin pengunjung datang untuk melihat karya terbaru Anas dan Shukri saja, dan kami pun menumpang kemasyuran kedua-dua mereka.

Pameran T!GA dikatakan sebagai salah satu pameran paling berjaya pernah diadakan di ruang legar bangunan pentadbiran Balai Seni Negara. Baik dari segi persembahan, jumlah kehadiran penyokong dan juga nilai jualan.

Meer Habib - pengusaha toko emas yang terkenal itu - diundang oleh Balai Seni Negara bagi merasmikan pameran. Hampir semua karya yang dipamerkan habis terjual.

Kami memang tidak pernah mahu mengundang keluarga sendiri untuk menghadiri apa-apa pameran yang kami sertai. Melukis adalah kerja hakiki kami, lalu mana mungkin kami membawa mereka masuk ke 'pejabat' kami.

Kami mahu berlajar membezakan antara kerja dan makan angin. Awak tak apalah, tengah ada kuasa. Bawaklah semua kaum kerabat awak ke serata dunia sambil awak menjana pendapatan untuk ekonomi negara. Esok kalau awak kalah, awak kutuklah kawan awak yang buat perkara yang sama.

Namun demikian, boleh jadi kerana waktu itu Mok dan Indah kebetulan berziarah ke rumah Rose, adik kami yang berasa dirinya orang Kuala Lumpur - walaupun lahir di tepi sungai di Kubang Buaya, Kuantan - atau mungkin kerana ia adalah pameran besar kami yang pertama, lalu mereka bertiga datang ke pameran tersebut.

Ianya kekal menjadi satu-satunya pameran kami yang dihadiri oleh Mok, Indah dah Rose.

Mahal kepada penduduk tempatan

Walapun segan, hati kami menjadi besar apabila Mok datang melihat anak lelakinya yang terkenal baik ini menjadi lebih baik.

Najib telah bersara dan kini mengusahakan kebun buah-buahan di Karak, Pahang. Beliau juga ada mengusahakan tanaman halia Bentong yang terkenal itu.

Beliau juga menubuhkan Sari Cempaka Art Village yang berpusat tidak jauh dari bandar Karak. Di situ beliau melatih belia cara untuk menjana pendapatan melalui seni. Ianya seakan sebuah 'start up' untuk para seniman yang mahu menjerumuskan diri ke dunia perniagaan.

Usaha ini juga adalah untuk memanggil pulang belia-belia yang galak berhijrah ke bandar. Ianya digelar sebagai 'reversed migration' (migrasi berbalik).

Terdapat beberapa kios yang dikendali oleh seniman di Sari Cempaka Art Village. Ia ditempatkan di suatu kawasan ladang yang dipenuni dengan kolam ikan dan pelbagai jenis tanaman. Yang paling penting, terdapat berpuluh pohon durian musang king di situ.

Semua ditanam dengan izin pemilik tanah lalu tidak nampak kemungkinan ia akan ditebang sewaktu musim buah sedang merancak.

Di Malaya ini begitulah. Apa saja hasil dari negerinya menjadi mahal kepada penduduk tempatan. Minyak, mahal; durian, mahal; mangga, mahal. Seperti kata budak-budak raver: yang murah cuma harga diri.

Galeri ruang legar bangunan pentadbiran Balai Seni Negara sudah ditutup sekarang. Ianya dibangunkan sebagai sebuah medan digital bahkan seluruh bangunan Balai Seni Negara juga sedang dalam proses ubah suai.

Harapan kami cuma satu. Nanti apabila sudah siap bangunan tersebut, diharapakan ada sebuah kafe yang menghidangkan kopi sedap dan tidak ada sebarang larangan untuk merokok di situ.

Prof Salmah masih aktif menganjurkan pameran. Kami sendiri banyak terhutang budi atas kegigihan beliau berusaha mempromosi seni dan seniman tempatan.

RA Gallery pula sudah menamatkan perniagaan mereka manakala penyair terkenal Pyanhabib masih selesa marah-marah seperti zaman Kembara Seniman Jalanan.

Mengadakan pameran fizikal tentunya berbeza dengan pameran dalam talian. Walaupun kami sering mengambil bahagian dalam pameran maya di zaman wabak ini, ia tidak dapat dibandingkan dengan kemeriahan pameran fizikal apabila kami dapat bertemu mata dengan teman-teman. Beramah mesra dan berkongsi cerita.

Kami bukanlah seorang yang terlalu gemar bersosial namun ada masa-masanya kami pergi mencari teman berbual. Minum kopi sambil melihat mata, melepaskan tekanan. Hari ini semuanya dikongkong.

Kata orang ini adalah kerana bodohnya mereka yang ada dalam kerajaan dan kami pun berkata tak apalah. Kita ini hidup percaya tuhan. Nanti engkau jawablah perihal tekanan, kemusnahan, kemelaratan, kelaparan dan juga kematian buah kerja pentadbiran kalian.

Seorang demi seorang teman pelukis pergi dibawa pulang oleh Covid-19. Kita pun semakin selesa jadi penyendiri.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, pengembara, penulis dan kolumnis Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.