Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Stalingrad di tanah air kita

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Sudah beratus hari berlalu sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac 2020. Tetapi sehingga kini serangan musuh halimunan dan liar itu masih mengganas.

Bermula dari penghujung usia kerajaan pilihan rakyat berlanjutan sehingga kerajaan tanpa mandat digegar, peperangan belum juga selesai.

Pelbagai pendekatan dilakukan termasuk memproklamasikan darurat. Namun, kadar jangkitan dan kematian semakin meningkat. Menteri undang-undang, Takiyuddin Hassan, pun menciap: "Ayuh kita atur strategi bersama kalahkan Covid-19 sepertim Stalin's Red Army kalahkan Hitler's Fourth and Sixth armies dalam Battle of Stalingrad. Lupakan perbezaan, kerah persamaan, bentuk kekuatan demi rakyat dan negara.”

Perang Stalingrad yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua adalah tajuk penting dalam sejarah Eropah. Ini kerana peperangan yang membawa kepada kemaraan Hitler ke Moscow terbantut dan seterusnya Nazi jatuh.

Perang Stalingrad bukan isu persenjataan semata-mata. Ia adalah antara sejarah kemanusiaan paling menyayat hati. Soviet Union kehilangan lebih sejuta tentera, orang awam dan di pihak Paksi yang diketuai Jerman mengalami korban jiwa sebanyak 800,000.

Jerman dengan kekuatan 3.6 juta tentera, 3,600 kereta kebal dan 2,700 kapal terbang membuat serangan mengejut ke atas Soviet Union. Kesatuan itu tidak bersedia lalu satu demi satu kawasannya dikuasai tentera Jerman.

Joseph Stalin sudah menerima maklumat perisikan tentang kemungkinan serangan Hitler. Pun begitu dia enggan memindahkan orang awam atau mengukuhkan kekuatan ketenteraan.

Strategi Stalin di Stalingrad bagi menghadapi serangan Hitler - yang juga bekas sekutunya - ialah mengawal bekalan makanan dan memaksa tentera dan rakyatnya bertahan di kawasan masing-masing. Pada 28 Julai 1942, Perintah No 227 dikeluarkan oleh Stalin yang mengharamkan Tentera Merahnya meninggalkan Stalingrad.

Bagi menguat kuasa perintah tersebut, kira-kira 1,000 Tentara Merah yang cuba lari ditembak mati. Orang awam pula terperangkap di tengah konflik selama berbulan-bulan.

Penunggang agama

Sebelum itu, Stalin dan Hitler telah mengikat perjanjian untuk bersama-sama mendepani pasukan Berikat. Namun perjanjian itu dilanggar oleh Hitler demi menguasai kawasan minyak di kawasan yang kini dikenali sebagai Ukraine dan Azerbaijan.

Hitler menggunakan doktrin sentimen Kristian bagi menyerang Soviet Union. Kesatuan itu dilabel sebagai kuasa antiagama yang ateis. Hitler memposisikan dirinya sebagai tokoh Kristian yang beriman.

Ia dikenali sebagai Operasi Barbosa bersempena Maharaja Frederick Barbarossa dari Empayar Rom yang menjadi ketua Perang Salib pada abad ke-12.

Namun kita tahu Hitler hanyalah seorang penunggang agama. Dia menggunakan agama untuk mengaut kuasa dan pengaruh. Ketika Hitler melakukan pembunuhan ke atas bangsa Yahudi, diam-diam dia menyimpan perempuan Yahudi sebagai temannya.

Maka berselingkuhlah Hitlet dalam iman gelapnya.

Stalin pula seorang pemimpin yang sanggup melakukan apa saja untuk kepentingannya.

Riwayat hidup kedua-dua tokoh itu ditulis oleh Alan Bullock dalam bukunya ‘Hitler and Stalin - Paralles Lives’. Menurut Bullock, kedua-dua pemimpin terbabit akan tetap dikenang dalam sejarah untuk kekejaman dalam peperangan.

Jerman membuat perikatan baru atau dikenali sebagai Paksi dengan melibatkan kerjasama dengan Hungary, Romania, Slovakia, Itali dan Finland. Pada 22 Jun 1941, Jerman melancarkan serangan ke atas Rusia melalui udara dan darat.

Sebanyak 190 division dikerah ke Rusia. Ia merupakan kekuatan ketenteraan terbesar yang pernah Jerman lakukan dalam perang.

Misi ketenteraan Hitler untuk menakluk negara bekas sekutunya menghadapi taktikal balas Stalin yang luar biasa. Apabila Hitler menyerang Stalingrad, Stalin membiarkan bandar itu dimusnahkan oleh tentera udara Jerman.

Berbeza daripada taktikal perang Inggeris. Apabila menerima maklumat Hitler bakal mengganyang London, kerajaan British mengosongkan bandar raya tersebut.

Tentera udara Nazi melancarkan serangan sehingga membolehkan tentera darat mereka sampai di Stalingrad. Namun apabila tiba di situ tentera Nazi berdepan masalah bekalan makanan sehingga akhirnya mereka terpaksa memakan mayat-mayat yang terbiar.

Kemanusiaan yang terkorban

Salji yang tebal sekadar menambahkan lagi derita tentera Jerman, dan orang awam. Apabila keadaan kian terdesak mereka terpaksa menjadikan kayu-kayu rumah dan mayat sebagai bahan bakar untuk melawan sejuk.

Hitler menyedari taktik dan misinya gagal di Stalingrad. Jerman mengalami kehilangan besar tenteranya dan panglima perang Jerman, Friedrich Paulus, mengangkat bendera putih bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.

Tindakan tersebut menyebabkan Hitler amat marah dan tidak dapat menerima kekalahan tersebut.

Kata Mao Zedong, politik ialah perang tanpa pertumpahan darah, manakala perang pula ialah politik dengan pertumpahan darah. Sejarah peperangan dari zaman purba hingga kini adalah cerita politik.

Pada penghujung cerita mana-mana perang dan politik, ada manusia dan kemanusiaan yang terkorban.

Perang Stalingrad adalah langkah politik yang mengorban jiwa dan harta benda yang tidak terkira nilainya. Mayat-mayat bergelimpangan di mana-mana, serta tangisan kanak-kanak, orang tua dan wanita yang tidak terdaya. Juga tentang runtuhan bangunan bersama berjuta kedukaan.

Dalam filem ‘Stalingrad’ yang diterbitkan pada 1993 pengarahnya Joseph Vilsmaier memaparkan beberapa sisi kemanusiaan dalam perang tersebut. Ia mengisahkan ketua platun tentera Jerman, Hans von Witzland, mengadakan gencatan senjata bagi membantu tentera yang cedera.

Dia tidak sekadar menyasarkan bantuan untuk tentera Jerman semata-mata, malah memikirkan juga nasib tentera musuh yang diperanginya.

Dalam tempoh gencatan tersebut, von Witzland sempat memberikan makanan kepada musuhnya atas nama kemanusiaan. Malangnya, gencatan tersebut dimusnahkan dengan tembakan daripada platun lain yang tidak bersetuju perang ditangguhkan.

Von Witzland juga membantah hukuman tembak terhadap remaja Soviet Union yang dituduh mensabotaj Jerman. Dia berkerjasama dengan seorang wanita Soviet untuk keluar meninggalkan perang namun malangnya mereka terkorban di lautan salji yang tebal.

Begitu juga tulisan dan koleksi gambar dalam buku yang ditulis Terry Burrow, Godfrey Hodgson, Richard Overy dan lain-lain yang jelas menggambarkan perang itu adalah penderitaan orang awam berbanding hal persenjataan.

Kepada menteri yang terpesona dengan perang Stalingrad, dia sepatutnya menyedari ada beberapa kelemahan yang tidak wajar diteladani, malah mesti dielakkan.

Banyak aspek lain yang perlu dilihat dan direnung daripada perang tersebut. Ungkapan Stalin itu dinyatakan selepas tentera Nazi menyerah dan Soviet Union mengambil kembali Stalingrad.

Stalin pernah berkata: "Suatu kematian adalah sebuah tragedi, dan sejuta korban adalah suatu statistik."

Angka kematian Covid-19 di tanah air kita memang tidak setinggi korban di Stalingrad. Tapi ambillah pengajaran daripada kata-kata Stalin di atas. Tekankan tentang "suatu kematian adalah sebuah tragedi" dan elakkan "sejuta kematian adalah suatu stastik" itu.

Deretan kereta jenazah memasuki tanah perkuburan, petugas barisan hadapan yang kelecuhan, trauma luar biasa, data bunuh diri yang menakutkan, kehilangan pekerjaan, kelaparan dan seribu satu kesengsaraan lain bukan sekadar stastik.

Ia adalah tragedi buat tanah air kita. Rakyat di bawah sudah bersatu menghadapi cabaran besar ini. Ini bukan Stalingrad. Ini adalah realiti tanah air kita.

Mohd Puad Zarkashi dan Ahmad Shabery Cheek sudah memberi respon terhadap ciapan Takiyuddin yang meminta kita melupakan perbezaan. Dulu kami bersama dalam tarbiyah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dan PAS.

Soalan saya: bilakah masanya untuk kita kibarkan bendera putih sebagai isyarat mengadakan gencatan politik antara kita? Tunggu kematian siapa?


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.