Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Menerjah ke Eropah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Antara cita-cita utama saya selepas kita semua dibebaskan daripada kurungan berpanjangan ini ialah mengembara ke luar negara semula. Sementara itu dalam terkurung begini, pengisian terbaik adalah mencatat kembali pengembaraan yang berbekas dalam hati.

Ini adalah mukadimah kepada catatan perjalanan yang berlaku lebih sedekad lalu. Kami berkunjung ke empat negara dengan melewati bandar raya seperti Frankfurt Hahn, Frankfurt, Bonn, Cologne, Dusseldorf di Jerman; kemudian memasuki sempadan Belanda untuk pergi ke Utrecht, Amsterdam, The Hague dan Rotterdam sebelum menelusuri jalan-jalan di Belgium pula.

Di Belgium kami berehat di Brussels dan kemudian yang terakhir di Luxemburg. Ketika itu hari Krismas. Santa Claus dengan deretan kudanya menanti di pintu kedai.

Seterusnya kembali ke Frankfurt Hahn untuk kami kembali ke Stansted berhampiran London dan akhirnya pulang Swansea, tempat tinggal kami di United Kingdom.

Perjalanan sejauh kira-kira 1,200 kilometer itu bermula dan berakhid dalam tempoh lebih kurang lima hari semasa musim dingin.

Seminggu saya cuti kerja dan cuti belajar. Justeru semasa hendak memulakan kembali rutin bekerja dan belajar, terpaksalah mendorong-dorong diri sendiri.

Biasanya untuk memulakan kembali rutin bekerja tidak ada masalah sangat. Ia hanya memerlukan sedikit latihan pada otot-otot yang berehat lama.

Namun jika otak sudah berehat panjang, hendak menelaah kembali dan memerah otak bagi mengikuti pembelajaran, ia boleh memakan masa berhari-hari untuk mendapatkan rentak sebenar.  

Catatan terperinci akan ada dalam buku travelog yang sedang saya usahakan semasa kita masih dipaksa berada dalam kurungan ini.  Saya namakan buku tersebut Meredah Eropah kerana pengembaraan itu dulu dilaksanakan secara nekad, tetapi tetap berhemah.

Jangan berakhir dengan sifar

Sewaktu Ibnu Batutah mengembara, dia melakukannya bukan kerana ada duit berlebihan, sebaliknya anak kelahiran Maghribi itu mempunyai keyakinan dan kualiti diri yang tinggi.

Justeru pada kebanyakan tempat, dia diberikan banyak kemudahan.

Namun terdapat juga tempat yang Ibnu Batutah mengalami nasib malang, seperti dirompak orang. Begitulah adat mengembara.

Setiap kali saya terpandang papan tanda nama sesuatu tempat, fikiran akan melayang teringatkan tentang sejarah perang dunia. Apabila mengembara kita seeloknya memiliki sudut pandang budaya dan seni.

Ia akan memberikan makna yang lebih mendalam pada setiap tempat yang dikunjungi. Maka ziarah itu tidaklah bermula dengan kosong dan berakhir dengan sifar.

Papan-papan tanda yang ditemui selalu mengingatkan saya tentang perang, tentera, penderitaan dan juga kemajuan yang dialami masyarakat di situ. Peperangan yang panjang  dan konflik politik yang tidak berkesudahan di Eropah telah menyebabkan teknologi dan industri pesat berkembang.

Secara tidak langsung, perkembangan tersebut telah memberi faedah kepada masyarakat bagi mewujudkan budaya yang lebih bertamadun.

Jika saya mengambil jurusan sejarah Eropah, tentu lebih menarik pengembaraan yang dialami. Namun saya hanya mengambil kertas Sejarah Dunia dan Sains Politik yang membincangkan aspek geopolitik dan sejarah politik.

Dari situ dapatlah saya kongsikan sedikit pengalaman pengembaraan itu dengan ilmu yang diperolehi dari helaian-helaian buku yang ditulis para sarjana dunia.

Hari ini, Eropah tidak lagi berperang sesama mereka sebaliknya namun konflik politik tetap wujud. Mereka mengalihkan segala peperangan antara mereka ke negara-negara mundur atau membangun.

Eropah membekalkan senjata kepada negara terbabit bagi menguji prestasi teknologi dan pengaruh mereka.

Pertelingkahan politik yang berlaku pada hari ini adalah proses ke arah kematangan berpolitik. Memang banyak yang menjadi mangsa atas pertelingkahan berkenaan.

Sudah ramai yang terkorban akibat Covid 19, tetapi orang politik masih asyik berpolitik. Memang ramai yang menyalah ahli politik semata-mata tanpa memahami bahawa politik adalah medan semua orang bertindak.

Ahli politik pun ada juga yang menjadi boneka kepada birokrat, istana, peniaga, ulama, sarjana dan sebagainya.

Orang politik akan berpolitik hatta ketika orang mati bergelimpangan di tepi jalan raya. Orang politik tidak akan berhenti berpolitik sama ada berdamai atau berperang. Itulah uniknya politik.

Tak perlukan pasport

Ramai orang meminta orang politik berhenti berpolitik. Mahu suruh mereka main apa? Main congkak? Tidaklah ia akan menjadi begitu. Mereka akan terus berpolitik.

Apabila melintasi sesuatu sempadan negara di Eropah, ia berlangsung dengan lancar dan bebas daripada kerenah birokrasi. Tiada pasport dan visa diperlukan. Hanya di lapang terbang sahaja kita perlu menunjukkan pengenalan diri samada pasport atau dokumen rasmi lain.

Selepas itu kita bebas bergerak. Eropah ialah kesatuan yang meleburkan segala garis pemisah di antara rakyat dan negara. Mereka memperkenalkan sistem pasport kepada dunia tetapi di tempat sendiri, ia tidak diperlukan.

Kita hanya dipisah-pisahkan oleh peraturan dan undang-undang yang dicipta, bak kata Usman Awang.

Kereta Audi D4 yang kami sewa pula mengesahkan kehebatan teknologi automotif Jerman. Kereta itu dilengkapi dengan teknologi terkini. Ia kami sewa daripada sebuah syarikat.

Menurut pekerja di situ, saya merupakan orang pertama yang memandu kereta baru mereka. Kenderaan itu memang baru, 'bau kedai' pun masih ada.

Asalnya kami menempah kereta Ford tetapi akhirnya dapat kereta buatan tempatan - Jerman. Polisi syarikat kereta sewa ialah jika tiada kereta yang ditempah pelanggan, berikan kereta lain dengan kadar bayaran yang sama.

Jerman bukan negara Islam dan mereka tidak melaksanakan ekonomi Islam atau perbankan Islam.

Itu adalah sebahagian daripada hikayat pengembaraan ke Eropah tanpa perlu wang yang banyak. Semua urusan berkaitan kami sekeluarga yang uruskan sendiri.

Tiada khidmat agensi pelancongan digunakan. Jadual perjalanan ditentukan mengikut sesedap rasa. Jika sesuatu tempat itu dirasakan menarik, kami berhenti lama. Sebaliknya jika tidak, kami teruskan perjalanan.

Sementara itu kemelut politik dalam negara masih berlanjutan Jika ia berpanjangan ada kemungkinan kita akan terus berkurung di dalam rumah. Dan ini adalah masa terbaik untuk saya menyiapkan buku dan menerbitkannya. 


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.