Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Selamatlah kita dari ditipu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KOLUM | Di sebalik kata-kata "Covid-19 is real" itu ada juga kata-kata lain yang juga 'real'.

Biasanya sekadar untuk menambah kecerian dengan budak-budak, kami akan mengaku sebagai orang yang yakin dengan sepenuh hati bahawa Bumi ini sebenarnya leper. Sementara budak-budak kami pula akan melayan loyar buruk kami.

Kami tahu mereka layan lawak orang tua hanya untuk mengambil hati. Buat modal untuk ketawa beramai-ramai bagi menghilangkan bosan berkurung.

Namun begitu beberapa hari lalu kami berhadapan sendiri dengan orang yang sangat yakin bahawa Covid-19 adalah angkara Yahudi, bahawa dalam vaksin itu terdapat sejenis cip mikro.

Nanti apabila tiba masanya, dengan menekan satu dua kekunci di sebuah komputer yang tentu juga "dikawal oleh Yahudi", siapa sahaja yang sudah divaksin akan jatuh mengelupur lalu mati.

Ini adalah kerana - menurut mereka - Bill Gates mendapati dunia hari telah terlalu sesak dengan 7 bilion manusia. Justeru untuk semua manusia hidup dengan lebih sempurna, dunia hanya memerlukan 1 bilion orang sahaja.

Kerana itu mereka yakin kononnya dua tahun dari hari ini semua orang yang divaksin akan dimatikan.

Berjanji lebih rela mati

Lalu sebagai bukti, mereka telah memainkan satu rakaman audio. Suara dari audio itu memperkenalkan diri sebagai ahli atau wakil sebuah pertubuhan yang mendakwa mewakili pengguna Muslim di negara ini.

Ia sebuah pertubuhan yang wakilnya apabila bercakap untuk membela Islam akan menjerit-jerit dan dia selalu dikelilingi oleh 'abang badang'. Bimbang suara keramatnya tidak didengar orang di seluruh pelusuk alam gamaknya.

Teringin juga mahu melihat 'abang badang' itu bergasak setelah sentiasa melihat mereka 'naik syeikh' dan hilang pegangan agama yang benar setiap kali berhadapan dengan 'musuh Islam'.

Suara dari rakaman tersebut dimainkan oleh mereka sebagai bukti bahawa apa yang mereka katakan di atas adalah sah dan benar. Suara rakaman itu juga berjanji untuk lebih rela mati daripada disuntik vaksin.

Baginya itu adalah jihad akhbar yang selayaknya diikut oleh sesiapa saja yang berani mengaku diri sebagai seorang Muslim. Ia - kata suara itu - adalah jalan syahid menuju keredaan Tuhan.

Syahid kepala toyer aok.

Cakap-cakap kumpulan antivax ini bunyinya seperti cakap-cakap budak yang menghisap gam. Namun ketahuilah bahawa mereka yang percaya bahawa vaksin - atau apa pun teori konsprasi itu - adalah orang yang berpelajaran.

Yang duduk dihadapan kami itu bukan calang-calang. Belajar amat tinggi, mengambil tahu akan perkembangan politik dalam dan luar negara. Dan yang lebih malang lagi ialah mereka orang yang berusaha dengan tekun mengamalkan ajaran agama.

Setelah memainkan rakaman audio wakil kumpulan samseng loklak tadi, mereka mainkan pula audio testimoni seorang lelaki yang bersumpah bahawa ketika hampir nazak akibat Covid-19, beliau telah diselamatkan oleh pil Ivermactin, ubat cacing lembu, kuda dan segala macam haiwan itu.

Kata mereka jika Ivermactin adalah ubat untuk haiwan tentu ia adalah dalam bentuk cecair. Mana mungkin lembu mahu memakan pil.

Ketika mendengar testimoni tersebut, ingatan kami pergi jauh kepada testimoni segala macam orang yang sembuh daripada Aids, kanser, kencing manis, lemah tenaga batin, kena sihir buatan keluarga sendiri dan sebagainya hanya dengan memakan cicak tokek.

(Apabila difikirkan semula, kasihanlah kami kepada si tokek yang dilupakan orang pada zaman wabak ini.)

Segera menjadi debu

Kita selamanya tidak akan faham cara mereka yang percaya dengan sepenuh hati akan kuasa Freemason, Iluminati, Segi Tiga Bermuda dan juga kisah-kisah bercakap dengan hantu itu. Agaknya golongan manusia berkenaan memang dicipta khas untuk melariskan pil merawat penyakit darah tinggi.

Manakan tidak, hingga berbuih mulut kita cuba membawa mereka kepada kuasa Tuhan namun sehingga darah kita memecahkan segala pembuluh yang ada di dalam tubuh sekali pun, mereka akan tetap percaya bahawa dunia ini dikawal oleh keluarga Rothchild.

Kerana bodoh, kami pun mengatakan kepada mereka bahawa jika dalam masa dua tahun dari sekarang 6 bilion manusia akan mati serentak, maka 1 billion manusia yang tinggal akan dibebankan dengan jumlah mayat amat banyak yang perlu diuruskan.

Jika lambat ditanam, mayat- mayat itu akan membusuk dan mendatangkan penyakit. Lalu penyakit itu nanti akan tersebar dalam kalangan manusia yang ada pada zaman tersebut. Akibat daripada itu, sedikit demi sedikit manusia yang ada akan mati juga.

Hal itu kerana - dengan andaian teori mereka benar - termasuk dalam kalangan 6 bilion manusia yang mati kerana mengambil vaksin itu ialah doktor, jururawat, pembuat ubat, tukang gali kubur dan sebagainya.

Tetapi mereka lagi 'pandai'. Mereka sudah bersedia dengan jawapan yang meyakinkan.

Kata mereka, apabila kekunci komputer itu ditekan, manusia yang sudah divaksin itu akan jatuh mengelupur, mati dan mayat mereka akan segera menjadi debu.

Puing-puing itu kemudian akan berterbangan dibawa angin lalu, sama macam impian orang Malaya yang mahukan negara ini bebas daripada pemimpin korup.

Kami rasa mereka banyak sangat mengengok wayang gambar siri The Avengers tanpa mengetahui Yahudi yang tidak tahu dek untung di Baitulmaqdis itu adalah antara kumpulan manusia sudah hampir 100 peratus divaksin.

Agenda Yahudi celah manalah gamaknya.

Apa yang puak-puak antivax itu tidak tahu juga ialah bagaimana negara ini - tanah air yang kita cintai ini - sudah lama dikuasai oleh sebilangan kecil manusia yang mengatur dan mencatur duduk perkara berkait dengan politik kita.

Nak jadi macam Singapura

Setelah tersilap jangka dengan kemenangan 'partai komunis' yang sempat memerintah negara ini selama 22 bulan itu, kumpulan iluminati kebangsaan terbabit pun bergerak secara halus untuk mengembalikan kuasa bagi menyelamatkan kita semua daripada 'terhumban ke Melaka'.

Mujurlah segala perancangan licik mereka membuahkan kejayaan dan kini setelah hampir-hampir menjadi murtad, kelmarin  kita semua dibawa ke suatu jalan yang lurus yang pernah kita lalui suatu masa dahulu.

Selamatlah kita semua daripada ditipu oleh orang Cina yang kita diberitahu sebagai semuanya kaki memberi rasuah, kaki maksiat dan amat setia dengan negara asal nenek moyang mereka itu.

Kaum Cina di negara ini dijaja mereka sebagai orang yang sentiasa mencari muslihat untuk menjadikan tanah air kita seperti Singapura yakni dimiliki sepenuhnya oleh mereka dan maju.

Kita diberitahu semua Cina adalah jahat kecuali Ebit Lew... dan juga Jacky Chan. Dan Donnie Yen.... dan, er... Elizabeth Tan.

Bergembiralah kita semua kerana pemimpin kita hari ini bukan sahaja memiliki kek yang sebiji itu malah mereka juga boleh menikmatinya sesama sendiri.

Freemason Melayu is real, I tell you laa.


ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.