Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sembahyang tak menunjuk-nunjuk

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Di celah-celah jutaan manusia yang datang ke Time Square di New York setiap tahun, apabila masuk waktu, kamu akan dapati seorang lelaki kulit hitam akan segera berwuduk, membentangkan sejadah dan mula bersembahyang di kaki lima tanpa mempedulikan sesiapa.

Lelaki itu berniaga barangan cerderamata. Menurut sahabat kami yang biasa ke sana, sudah berpuluh tahun lelaki kulit hitam itu di situ. Beliau tidak mempunyai gerai tetap. Cuma ada sebuah meja yang dipenuhi dengan rantai kunci, poskad, magnet yang biasa diletakan di peti sejuk dan seribu jenis cenderahati.

Kami kurang ingat sama ada beliau berasal dari Jamaica atau Nigeria.

Pertama kali melihat beliau bersembahyang di tengah hiruk-pikuk kawasan tersebut, kami menjadi sangat teruja. Kamu harus faham bahawa Time Square yang digelar sebagai centre of the universe itu adalah tempat tumpuan pelancong.

Ia tempat manusia berpusu-pusu membeli-belah atau sekadar melihat manusia. Dan untuk melihat seorang lelaki sedang taat bersembahyang di antara ribuan manusia yang sedang asyik berlibur adalah sesuatu yang mengujakan.

Sembahyang menurut sesetengah orang adalah sesuatu yang peribadi. Menjadi kebanggaan oleh semua manusia yang mengaku mereka beragama Islam. Tegak berdirilah mereka mempertahankannya sama ada mereka taat bersembahyang atau tidak.

Namun begitu menurut kata para ustaz yang memetik kata-kata nabi junjungan kita, Mulism yang tidak bersembahyang adalah Mulism yang meruntuhkan agamanya.

Bukan minta dipuji-puji

Sembahyang pula adalah soalan pertama yang akan ditanya setelah kamu dikuburkan nanti. Selamatnya kita menjawab soalan tentang sembahyang maka akan mudahlah perjalanan kita menuju fasa lain di alam akhirat.

Lelaki yang bersembahyang di tengah-tengah kesibukan ribuan manusia di Time Square itu boleh agaknya kita kelaskan sebagai lelaki yang mempertahankan agamanya. Agama untuk dirinya sendiri dan boleh jadi juga sebagai ingatan kepada kami yang melihat perbuataannya itu.

Seingat kami, masjid yang paling hampir terletak kira-kira 300 meter dari Time Square. Ia berada di tingkat dua dan tiga sebuah bangunan yang kami lupa namanya.

Bersembahyang lima kali sehari semalam adalah tuntutan beragama setelah kamu mengaku seorang Muslim. Ianya adalah perkara asas yang tidak perlu dibanggakan apatah lagi dipertontonkan.

Malah ada tuan-tuan guru yang mengatakan yang kita ini boleh bersembahyang itu adalah kerana adanya kasih sayang Tuhan Maha Kuasa kepada kita.

Kerana adanya belas kasihan daripada yang Maha Perkasa itulah maka kita ini dapat bersujud dengan tekun. Maka terima kasih yang teramat besar seharusnya kita berikan kepada Tuhan yang Maha Kekal itu. Bukan meminta puji dari manusia yang serba-serbi serebeh ini.

Sembahyang yang baik adalah seperti mana yang diajar oleh Nabi Muhammad iaitu pada awal waktu, berjemaah dan juga dilakukan di masjid atau di surau. Nabi dan para sahabat tidak pernah sembahyang wajib di rumah masing-masing.

Atau jika terpaksa, kamu boleh juga sembahyang berjemaah di atas batu di sungai-sungai.

Setakat artikel ini ditulis kami tidak pernah melihat foto lelaki yang bersembahyang di tengah-tengah kesibukan kota New York ditularkan di mana-mana media sosial.

Agak kami beliau masih di sana dan masih berniaga seperti biasa. Dan tentu saja masih menunaikan kewajiban sebagai seorang Muslim seperti selalu.

Kami tidak fikir beliau berasa perlu untuk menularkan kegiatan beribadah beliau di media sosial untuk apa tujuan sekali pun. Baik untuk berdakwah atau pun untuk melariskan barangan jualannya.

Orang yang bersembahyang sepatutnya menjadikan orang Islam yang tidak bersembahyang sebagai model apabila kita bercakap mengenai media sosial.

Tidak pernah lagi kita semua berjumpa dengan mana-mana orang Islam yang tidak bersembahyang dengan bangga memberitahu kepada dunia bahawa "sekarang sudah masuk waktu Isyak dan kami tak sembahyang". Atau memaparkan foto keingkaran mereka di media sosial, misalnya.

Jadikanlah mereka yang tidak bersembahyang itu sebagai contoh kerana malu (untuk berbangga-bangga tidak sembahyang) adalah sebahagian dari iman.


ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.