KOLUM | Merdeka yang terjajah
Merdeka itu maknanya bebas daripada sebarang penjajahan. Merdeka dan terjajah adalah dua istilah yang saling bertentangan. Namun secara tidak sedar ada waktunya kemerdekaan itu masih dalam kerangka yang terjajah.
Artikel ini akan menjelaskan maksud "merdeka yang terjajah". Semoga tidak menjadi seperti pepatah lama; menang sorak, kampung habis tergadai.
Dalam kitab Das Kapital, Karl Marx menzahirkan kepercayaaannya bahawa ekonomi - atau kapital - adalah modal kepada sebarang gerakan manusia. Dia mengemukakan teori pertentangan dua kelas iaitu antara yang menguasai modal ekonomi, dengan kapital buruh.
Kedua-dua kelas saling berlawanan dari lapangan industri hingga ke dalam aspek sosial dan juga politik. Perlawanan itu hingga mencetuskan peperangan dan pembunuhan.
Pierre Bourdieu, seorang sarjana Perancis pula menghuraikan tentang konsep keganasan simbolik (symbolic violence) bagi merujuk tindakan yang memaksa sesuatu kelompok menanggalkan identiti diri secara bawah sedar atau yang juga dikenali sebagai "kesedaran palsu" oleh Marx.
Inilah yang berlaku di tanah air kita terutama sewaktu Inggeris menjajah dan dekad-dekad berikutnya.
Kemerdekaan perlu dinilai semula bagi memastikan ia bersifat semasa bukannya sekadar upacara memperingati tarikh. Paling membimbangkan ialah keghairahan meraikan kemerdekaan palsu.
Penjajah guna keganasan simbolik
Bourdieu menghuraikan lebih lanjut pemikiran Max Weber tentang peranan legitimasi dalam mengawal tindakan masyarakat. Legitimasi mendorong sesuatu kelompok dalam masyarakat membuat arahan dan menerima arahan.
Legitimasi ataupun kuasa perundangan lahir daripada tradisi, sistem masyarakat dan karismatiknya seseorang pemimpin atau kelompok.
Kelompok terbabit biasanya menguasai modal dalam masyarakat. Modal yang dimaksudkan di sini ialah sumber seperti tanah, wang, harta dan sebagainya.
Materialisme yang kuat akan meminggirkan konsep modal yang berupa pemikiran, kebudayaan, sifat dan semangat. Ia merupakan modal yang mempunyai peranan penting dalam sesuatu gerakan.
Itulah modal sebagai simbol kepada kewujudan diri. Kiranya modal berkenaan musnah dan lemah, pihak luar akan mudah menguasai masyarakat.
Idea itu digunakan oleh Frantz Omar Fanon dalam perjuangan kemerdekaan di Mauritania dan gerakan pembebasan di Palestin, Afrika Selatan dan beberapa tempat lain.
Melalui suntikan pemikirannya, kesedaran dapat membangkitkan semangat menentang penjajah. Penjajah menggunakan keganasan simbolik yang membentuk modal budaya baru (pendidikan, intelek, pengucapan, cara penampilan diri dan sebagainya) yang asing daripada budaya tempatan.
Melaluinya, penjajah terus kekal berpengaruh pada tanah bekas jajahan biarpun sudah bertahun-tahun ia memperolehi kemerdekaan.
Melalui proses akomodasi (penyesuaian) dalam masyarakat, nilai baru diterima tanpa soal. Hasilnya, kemerdekaan yang diberikan oleh kuasa kolonial menjadi upacara pemberian jawatan, bendera, lagu, pakaian seragam dan seumpamanya.
Setelah berdekad-dekad merdeka, tanah air ini kehilangan simbol yang menjadi kemegahan bernegara dan merdeka.
Tumbang buat kali pertama
Kuasa legitimasi sedia ada dalam negara menerima makna kemerdekaan mengikut kerangka penjajah yang dibentuk selama beratus-ratus tahun. Penghasilan kebudayaan baru mencetuskan tata sosial baru dan sedikit demi sedikit meninggalkan tradisi dan nilai lama.
Sejak kedatangan kuasa-kuasa asing ke alam Melayu pada kurun ke-16, proses menerima tamadun Barat khususnya mulai berkembang dalam pemikiran masyarakat.
Antara unsur yang tumbuh dalam wadah pemikiran orang Melayu adalah sistem politik.
Inggeris memperkenalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan sebagai teras pembentukan negara. Kedua-dua konsep politik itu dalam proses pematangan yang berterusan.
Konsep tersebut mengalami cabaran apabila pilihan raya umum (PRU) lalu menyaksikan tumbangnya Umno-BN buat pertama kali sejak negara ini mengenali pilihan raya.
Kejatuhan gabungan itu adalah suatu percubaan mencabar metos merdeka dan hegemoni BN selama enam dekad. Oleh sebab itu, kekacauan dalaman Pakatan Harapan (PH) ketika menerajui kerajaan adalah petanda-petanda bermulanya gerakan kemerdekaan fasa baru.
Pada masa sama kita tidak menafikan wujudnya cubaan kepada perubahan struktural melalui reformasi institusi.
Kekacauan politik selepas itu menyaksikan kuasa politik berpatah balik kepada Umno-BN setelah mereka hilang kuasa dalam tempoh beberapa ketika.
Ini adalah proses memaknai merdeka semula.
Antara warisan Inggeris yang masih kekal subur dalam negara ini ialah naratif mengenai ancaman komunis, krisis perkauman, bahasa, budaya dan peranan golongan kiri dalam perjuangan kemerdekaan.
Prof Mohammad Agus Yusoff dalam tulisannya telah menegur naratif ancaman komunis yang sentiasa diulang tayang setiap musim merdeka. Seolah-olah komunis yang menjajah tanah air kita.
Menyemai benih perkauman
Kita masih belum keluar dari kerangka pemikiran ciptaan Inggeris semasa zaman darurat. Sedangkan mengikut sejarah Inggeris pernah membantu komunis di tanah air ini pada zaman pendudukan Jepun.
Apabila kemudian mereka gagal bersepakat, Inggeris memulakan serangan bersenjata dan propaganda ke atas komunis dan melaksanakan doktrinasasi 'ancaman' tersebut.
Kerajaan Malaysia mengadakan perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya pada 1989.
Dasar Inggeris mengubah demografi tanah air kita menjadi sebuah negara pelbagai kaum dan kita dipisah-pisahkan oleh petak-petak ekonomi dan juga penempatan berbeza.
Inggeris juga telah menukar ekonomi sara diri kepada skala besar.
Di sebalik mempunyai faedah kepada tanah air, sistem ekonomi tersebut membentuk pola-pola yang tidak seimbang antara kaum. Ia juga menyemai benih-benih perkauman kerana perbezaan tersebut.
Politik perkauman terus kekal subur dan relevan dalam meraih kuasa politik secara mudah.
Golongan kiri yang memperjuangkan kemerdekaan dan menjadi korban kepada dasar Inggeris terus tenggelam dalam kamus sejarah arus perdana tanah air. Mereka kekal dianggap sebagai penjahat, pengkhianat, pemberontak, pengacau dan apa jua istilah yang seumpamanya.
Ini adalah manifestasi dasar Inggeris yang mahu negara ini kekal diwarisi kepada jalur yang sama dengan mereka.
Semangat kemerdekaan berkobar-kobar terutama semasa zaman pendudukan Jepun. Ini kerana dasar Jepun yang mahu membebaskan negara-negara Asia daripada kuasa Barat. Meski mempunyai maksud-maksud untuk kepentingan mereka sendiri, Jepun membangkitkan semangat kebangsaan.
Jepun telah memadamkan metos kononnya Barat tidak boleh ditewaskan.
Begitu juga pemimpin-pemimpin kiri yang bekerjasama dengan Jepun. Mereka diberi gambaran buruk dalam sejarah tanah air. Sebaliknya pihak yang bekerjasama dengan Inggeris dijulang sebagai tokoh negara.
Naratif warisan Inggeris terus disuburkan dalam kotak pemikiran rakyat.
Dalam soal bahasa, ia terus terpenjara apabila pemimpin pascamerdeka memandang dengan sebelah mata jiwa bangsa itu. Penggunaan bahasa kebangsaan dalam jabatan kerajaan dan swasta bagai melukut di tepi gantang.
Oleh kerana soal bahasa adalah soal negara, ia perlu diangkat sebagai agenda bernegara. Jika belum, usah bercakap soal merdeka.
Ini bukan bermakna kemerdekaan yang kita lalui adalah suatu yang sia-sia. Ini adalah suatu perjalanan bagi mencapai kemerdekaan hakiki.
MUHAIMIN SULAM ialah pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai